NORRA HASSAN (Facebook | Instagram) adalah di antara novelis yang prolifik. Setelah menulis Bila Hati Berahsia,  Pengantin Lelaki Untuk Aku, Melati Untuk Gabriel, Kita Suka Sama Suka dan Engkau Lebih Mengerti dan Berikan Aku Sebutir Bintang, kini beliau menghadiahkan Tidak Kulepaskan untuk para peminatnya.

Kita ikuti e-temubual dengan Norra Hassan…

Novel Tidak Kulepaskan karya Norra Hassan

Tidak Kulepaskan muncul 6 bulan setelah Berikan Aku Sebutir Bintang. Apakah novel ini juga sedang ditulis ketika saudari menggarap Berikan Aku Sebutir Bintang?

Tidak.

Sesetengah penulis suka menggarap lebih dari sebuah karya pada satu-satu masa. Apakah saudari tidak begitu?

Setiap penulis mempunyai proses kreatif dan keupayaan yang berbeza. Masing-masing ada rentak, disiplin menulis atau cara tersendiri ketika berkarya.

Keupayaan saya sekarang ialah menggarap satu cerita pada satu masa. Saya lebih selesa fokus untuk bangunkan satu-satu karya sehingga siap. Selepas itu, baru beralih kepada cerita seterusnya.

Selalunya apabila mendapat idea, saya akan terus membina idea itu sehingga siap. Ada waktunya, saya rasa idea itu tidak sekukuh mana walaupun sudah separuh jalan digarap, jadi saya letak ke tepi dulu.

Letak ke tepi dulu ini sebenarnya strategi bahaya. Sebab kalau ada idea lain, saya akan siapkan idea kedua itu. Kalau tiada idea lain, melangut depan laptop sajalah jawabnya!

Saya secara individu adalah seseorang yang sukar hendak memberikan fokus kepada sesuatu perkara dan cepat berasa bosan. Tetapi berkarya adalah satu-satunya perkara yang saya boleh saya paksa diri untuk berikan tumpuan penuh. Tetapi, kadang-kadang hilang fokus juga. Jadi, ini membuatkan saya lebih selesa menukangi satu-satu karya pada satu masa.

Saudari punyai target seperti dua buah novel setahun, atau bagaimana?

Saya hanya menulis satu karya satu tahun. Tetapi tidak juga bermakna yang saya ada sasaran wajib penulisan atau penerbitan seperti dua novel setahun.

Norra Hassan berposing di Red Square, Moscow yang popular

Mengapa tiada target khusus?

Ini kerana idea dan penerbitan adalah faktor yang di luar kawalan saya. Pada ketika ini, saya dimurahkan rezeki dengan idea yang tidak putus. Jadi selepas siap satu karya, saya bergerak ke idea seterusnya.

Penerbit juga mempunyai jadual penerbitan mereka sendiri. Buat waktu ini saya menulis untuk dua rumah penerbitan. Oleh itu, buat waktu ini pembaca akan dapat melihat karya saya terbit dua buah setahun.

Apa pandangan saudari mengenai penulis yang swaterbit?

Tabik kepada mereka kerana banyak perkara yang perlu diuruskan sendiri seperti berurusan dengan pereka dan pencetak. Selain itu, mereka perlu berfikir dan bertindak seperti ahli perniagaan apabila perlu menjalankan promosi, pemasaran dan sebagainya. Itu bukan kerja yang senang. Tetapi mereka menguasai sepenuhnya proses kreatif karya mereka dan proses penerbitan. Saya kira kepuasan swaterbit terletak di sini. 

Apa yang Norra suka mengenai novel ini?

Pertama, bahagian perkembangan novel ini dibina dalam latar masa 7 hari. Jenuh hendak mengira hari, bagi mengelakkan kesilapan terkurang atau terlebih hari.

Kedua, watak hero novel ini adalah watak sampingan novel Kita Suka Sama Suka (terbitan 2017), tetapi pembaca tidak perlu membaca Kita Suka Sama Suka untuk memahami watak Shou. Ia sebuah naskah yang tersendiri. Jalan cerita Tidak Kulepaskan bermula selepas dua tahun daripada penamat novel Kita Suka Sama.

Ketiga, mereka yang membaca Kita Suka Sama Suka akan menyedari bahawa watak Shou adalah watak lelaki yang berusia awal 30-an. Oleh itu, sangat janggal jika saya menggambarkan watak heroin, Juli, yang berusia 30-an sebagai seorang perempuan yang berperangai kurang matang. Jadi, usia Juli terpaksa dikurangkan jauh berbanding Shou. Jarak usia mereka adalah tujuh tahun. Bermakna ketika Shou putus cinta ketika di tahun pertama universiti, Juli ketika itu baru berusia 13 tahun. 

Cabaran ketika menulis novel ini?

Cabaran saya ialah mengatur garis masa bagi peristiwa-peristiwa penting dalam novel ini adalah berdasarkan kepada kisah hidup Juli, bermula daripada satu kejadian utama yang berlaku sebelum dia lahir sehingga kepada perkahwinannya dengan hero, Shou.

Untuk itu, saya menyediakan sebuah jadual ringkas yang mencatatkan usia watak Juli, Shou dan Tok Ayah Ali (datuk saudara Juli yang juga penjaga sahnya) dan perkara penting yang berlaku pada usia tertentu Juli untuk menjaga rasionaliti dan kontinuiti karya ini.

Keempat, saya mengabadikan sepintas lalu kenangan kunjungan kerja saya ke Berlin, Jerman secara tidak langsung ke dalam novel ini.

Norra Hassan bersama dengan para peminatnya.

Kalau menelusuri FB saudari, saudari kian sibuk dengan kerja hakiki. Tidakkah ini mengganggu minat saudari?

Tidak. Kerja hakiki sekarang ini adalah satu kepuasan tersendiri kepada saya. Salah satu sebab kenapa saya sukakan kerja hakiki ini ialah ia memberikan peluang kepada saya untuk mendapat pelbagai input seperti persekitaran fizikal yang boleh digarapkan sebagai latar tempat atau ruang dalam karya, maklumat tertentu yang menjadi rujukan fakta, bahkan cerita atau gosip tertentu yang boleh diolah sebagai idea karya.

Oleh kerana saya tiada komitmen terhadap keluarga, saya mempunyai sejumlah besar masa pada waktu malam untuk kerja menulis. Saya anggap menulis adalah kerja hakiki atau kerja sepenuh masa waktu malam.

Mengapa tidak menulis sepenuh masa?

Ada banyak pertimbangan yang perlu saya teliti jika mahu menulis sepenuh masa. Buat waktu ini, saya belum lagi mempunyai kedudukan yang kukuh untuk menjadi seorang penulis sepenuh masa. Jika saya mahu berhenti daripada kerja hakiki sekarang, saya perlu memastikan keputusan saya itu tidak menjejaskan mana-mana pihak.

Apakah projek berikutnya?

Spin-off novel Berikan Aku Sebutir Bintang, di mana saya mengembangkan watak sampingan, Mizar, dan antagonis, Nazira, ke dalam satu cerita.