MAAFCAKAP 13.11.19

Baru-baru ini, sementara menunggu Zuhur, saya berbincang dengan beberapa orang rakan sekerja mengenai isu-isu keusahawanan Melayu. Banyak masalah yang klise disebut sebagai di antara sebab-sebab mengapa usahawan Melayu sukar meningkat maju. Alasan yang klise ialah, pihak pemerintah tidak jalankan peranan mereka secekap dan secepatnya. Soal bantuan, skim dan peluang, diperkatakan. Hal-hal seperti modal, kecekapan mencium peluang, pengetahuan pemasaran, malah kecekapan kutipan dari si pemiutang turut dibicarakan.

Bagaimana pun, kita sudah nampak kesungguhan sesetengah para usahawan Melayu untuk bergerak sendiri tanpa pergantungan total kepada pihak pemerintah. Ini adalah sekumpulan generasi baharu usahawan. Ramai yang sudah menjadi jutawan.

Kita mula merasai akan kehadiran mereka. Mereka ke masjid dengan kereta menjalar. Lazimnya juga golongan ini memberi tajaan pada setiap majlis yang pihak surau adakan. Bil-bil api dan air selalunya sudah mereka bayarkan secara senyap-senyap. Ramai di kalangan mereka yang menaja ahli qariah untuk menunaikan umrah, memberi sedekah kepada anak-anak yatim, sekolah tahfiz, malah mendirikan masjid.

Bagaimana pun, seandainya kita lihat secara makro, alangkah eloknya jika limpahan rezeki yang mereka peroleh itu dihimpun dalam sebuah dana yang diuruskan oleh sebuah badan amanah ekonomi? Jika ada 100 orang jutawan Melayu yang mempunyai wang yang banyak ini mencurahkan pendapatan yang berlebihan ini untuk memajukan ekonomi orang Melayu, lebih ramai orang Melayu akan memperoleh manfaat daripadanya.  

Kita masih bergegar dengan kempen Buy Muslim First. Ia merupakan gelombang yang membangkitkan semangat umat Melayu. Di dalam media sosial, sokongan terhadap kempen ini begitu memberangsangkan. Namun, jika kita bertanya diri kita sendiri, setakat manakah kita benar-benar cuba untuk menjadikan BMF ini suatu amalan yang mudah dilaksanakan?

Pada hari ini, apabila kita berniat untuk memilih sebuah produk Muslim, kita menghadapi kesukaran mencari kedudukannya di antara rak-rak di pasaraya. Jika kita menjumpainya pun, apakah kita teruja dengan jenamanya? Barangkali jika ia jenama-jenama yang popular, mungkin kita mudah memilihnya. Bagaimana pula jika kita mahu mencari sebuah jenama baharu untuk dicuba? Mungkin di situlah sendunya.

Saudara Azarul Hakim Ibrahim, sebuah Ketua Pegawai Operasi Hayib.com, marketplace siber berkata, bagi setiap kategori produk, pasti ada dua atau tiga produk Muslim. Misalnya bagi minuman coklat popular, terdapat sekurang-kurangnya tiga produk Muslim. Begitu juga dengan lain-lain kategori produk.

Soalnya, bagaimanakah seseorang pengguna Muslim hendak mempraktikkan BMFnya jika dia belum jumpa dengan produk itu? Jika bertemu pun, apakah dia berani mencubanya? Tingkahlaku pengguna adalah proses membuat keputusan secara peribadi ~ a personal decision. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mempengaruhinya untuk memilih sesebuah produk. Dan, tiada sesiapa pun yang tahu seandainya dia tidak jadi memilih!

Soalan di point of sales itu, apakah jenama yang telah bersarang di fikirannya? Di sinilah kelemahan produk Muslim. Banyak produk-produk kita yang bagus, setanding malah lebih baik kualitinya. Tetapi ia tewas untuk bertakhta di minda pengguna.

Bagaimana pula jika jenama produk itu sentiasa bermain di fikiran pengguna hasil daripada kempen dan promosi besar-besaran pengeluarnya? Di aspek inilah kita perlu tingkatkan. Ramai para pengeluar, meskipun menjual barangan yang laris, tidak mempunyai modal untuk meningkatkan pengeluarannya ke tahap nasional.

Misalnya, serbuk kari yang terbaik hanya laris di Kangar, Sungai Petani dan Gerik. Susu kambing kurma yang berkhasiat hanya terkenal di Batu Pahat, Segamat dan Jasin.  Mereka hanya terkenal di kawasan lokal. Modal untuk pemasaran melalui pengiklanan, itulah yang menjadi kekangan mereka.

Golongan ini ramai yang kaya raya. Tapi kaya raya untuk diri dan keluarga semata-mata. Namun, mereka sudah separuh jalan untuk menjadi jutawan. Mereka inilah yang perlu dibantu oleh 100 jutawan-jutawan Melayu yang rajin menderma itu. Beri mereka dana. Beri usahawan-usahawan yang belum jadi jutawan ini kecekapan untuk bermain di padang niaga yang lebih luas.

Oleh kerana mereka sudah separuh jalan menuju ke jalan kekayaan, mereka perlu dibantu secara ekspres. Kita perlu ada dana besar yang disertai bukan oleh golongan jutawan sahaja, tetapi oleh sesiapa sahaja yang menyokong BMF. Mungkin dana besar itu boleh diwujudkan dalam bentuk koperasi.

“Kita dah ada KoPPIM, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia yang diaktifkan kerana BMF!” kata rakan perbincangan saya, Coach Fadzil sebelum mengajak kami semua untuk ke surau.