MAAFCAKAP 20.11.19

Minggu lalu saya sempat berkunjung ke rumah sahabat saya, Muaz. Menziarahinya kerana dengar cerita dia sudah tiga bulan tidak bekerja. Sebagai wartawan yang juga seorang ketua meja sebuah akhbar, dia turut menjadi di antara yang mereka yang diberhentikan syarikat. Dia di angtara yang akhir meninggalkan syarikat.

Kerana itu dia tidak bernasib baik kerana tidak menerima apa-apa pampasan. Sebelum ini, bila berpeluang untuk meletak jawatan dengan VSS, dia tidak mahu kerana begitu sayangkan profesyennya. Biarlah dia bergantung hingga kapal medianya karam. Sebagai orang surat khabar, saya terkesan dengan keadaannya. Begitu juga dengan perkembangan dunia pekerja dalam industri akhbar.

Alhamdulilah, Muaz tersenyum lebar apabila saya sampai. Katanya dia sudah mula bekerja. Katanya, dia mengendalikan hal ehwal media syarikat kenalannya. Ketika bertugas dahulu, dia kenal dengan tuanpunya syarikat ini. Pernah juga dia membantu tuanpunya syarikat ini membuat kenyataan akhbar dan juga teks ucapan. Jadi, pengalaman itulah yang menjadikan dia terpilih untuk bertugas.

Meskipun dengan separuh gaji, dia menerimanya dengan senang hati kerana tidak perlu ke pejabat setiap hari. Malah, dia hanya diminta hadir apabila dipanggil oleh majikan baharunya. Itupun bukannya untuk bertugas semata-mata malah untuk bersembang mengenai hal-hal semasa terutamanya politik kerana tuanpunya syarikat itu ada cita-cita politik. Muaz tersenyum lagi bila saya mengusiknya barangkali jawatan Setiausaha Akhbar menantinya bila kawannya itu berjawatan esok.

Sambil berbual, saya terpandang anak Muaz, Arif yang asyik dengan laptop di sudut ruang tamu setelah lebih setengah jam berbual. Saya menegurnya dan bertanya apakah peperiksaan SPMnya sudah habis? Dia menggeleng dan berkata ada tiga subjek lagi. Katanya, dia berehat sekejap setelah penat belajar.

Muaz berbisik kepada saya, anaknya itu lebih banyak berehat daripada belajar. Dia kerap berkata yang dia sudah banyak belajar dan perlukan berehat. Walhal, dia perasan sejak dia tidak bekerja, Arif nampak seperti belajar, tetapi rupa-rupanya bermain dengan telefon. Kelihatan seperti membaca, tetapi kerap juga kepalanya melangut menonton TV.

Saya tahu dan faham sangat dengan tabiat Arif. Ia juga kerap menyerang kita. Jika kita tidak perasan apa yang kita lakukan iaitu teralih perhatian dari fokus terhadap apa yang kita buat, lama-lama kita berasa penat juga. Bukan penat dengan kerja, tetapi penat melayan apa yang bukan menjadi tugasan. Lebih malang lagi  apabila kita terkeliru bahawa kepenatan kita itu adalah kerana kerja dan bukannya kerana membuat hal-hal yang tidak berfaedah.

Apabila kita belum berjaya sedangkan kita rasa yang kita telah melakukan sehabis usaha, ia terjadi kerana dua kemungkinan. Pertama, kerana ia bukannya rezeki atau kejayaan itu belum tiba. Kedua, kita belum berjaya kerana kita sebenarnya belum pun berusaha bersungguh-sungguh. Sebaliknya, kita hanya perasan yang kita sudah kerja kuat.

Sebab yang kedua inilah yang lebih sukar kita ketahui melainkan kita ada seseorang yang boleh memberi kita penilaian apakah kita telah benar-benar berusaha tetapi belum berjaya kerana belum ada rezeki. Di peringkat peribadi, orang yang kita perlukan tentulah orang yang paling rapat dengan kita samada teman hidup ataupun sahabat.

Dalam pendidikan, orang itu dinamakan guru, pensyarah ataupun supervisor. Di kalangan profesional, mereka mendapatkan khidmat seorang jurulatih ataupun seorang coach. Pada hari ini, tugas seorang coach sudah berkembang di luar bidang sukan. Dalam bidang pengurusan, perniagaan, pemasaran, termasuk imej.

Konsepnya, kita semua perlukan seorang insan untuk menasihatkan, memberi pandangan atau mendera minda kita agar dapat berbuat lebih baik daripada hari ini. Sekiranya pemain badminton seperti Lee Chong Wei mendapat nasihat seorang jurulatih, ia bukan bermakna jurulatih itu lebih handal daripadanya. Sebaliknya, jurulatih itu adalah orang yang mencatat perkembangan permainannya, mencadangkan strategi dan menggalakkannya untuk sentiasa bangkit.

Menurut seorang motivator Amerika Mel Robbins, tatkala kita kecil, ibubapalah yang menjalankan tugas ‘parenting’ dengan menyuruh kita bangun tidur, kemas katil, pergi mandi, makan sayur, buat kerja rumah dan apa-apa lagi. Mereka sentiasa memerhati segala tindak tanduk kita dari pagi hingga ke malam.

Peranan ‘parenting’ mereka itu adalah satu pendekatan coaching yang mereka berikan kepada kita. Apabila kita dewasa, kita pula yang jalankan tugas itu kepada anak-anak. Malanglah sekiranya kita ini adalah anak yang tidak mendengar nasihat atau mematuhi ‘parenting’ ibubapa.

Kelak, apabila kita dewasa, kita tidak pandai memainkan peranan itu kepada anak-anak. Anak-anak pula menjadi terbiar dan berbuat apa yang mereka suka dengan bermalas-malasan. Apabila mereka berdepan dengan tugas yang sedikit sukar, mereka cepat mengalah dengan mengatakan yang mereka telah berusaha sehabis mungkin. Orang begini akhirnya sukar berjaya dalam kehidupan.

Saya membisikkan hal ini kepada Arif ketika Muaz masuk ke dalam untuk solat. Mata Arif terkebil-kebil mendengarnya. Saya harap, Arif faham yang dia perlu bangun dan berusaha tanpa mengenal penat hingga ke garisan terakhir perjuangan sebagai seorang calon SPM.