Penerbit Dipenjara Edar Novel Kontroversi
KAHERAH: Pengasas syarikat penerbitan Mesir, Khaled Lotfi dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana menterjemah dan mengedar karya terjemahan novel kontroversi Israel.

Khaled dibicarakan di mahkamah tentera sejak 2018 atas kesalahan menerbit buku itu dalam versi bahasa Arab, dua tahun sebelumnya.
Abang kepada Khalid, Mahmoud berkata, adiknya yang dituduh ‘mendedahkan rahsia ketenteraan itu, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun meskipun merayu terhadap hukuman asal.
Novel Kontroversi
Novel berjudul The Egyptian Spy Who Saved Israel karya penulis Israel, Uri Bar-Joseph, mengisahkan bagaimana Ashraf Marwan menantu bekas presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser menjadi perisik negara Yahudi itu.
Ashraf yang pernah menjadi penasihat kepada bekas presiden, Anwar Sadat selepas kematian Gamal pada 1970, meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di London pada 2007.
Filem The Angel

Penerbitan novel itu menarik pihak Netflix untuk menerbitkan filem adaptasi, The Angel yang kemudiannya ditayangkan pada 2018 di saluran itu. Namun, ia mencetuskan kemarahan media Mesir yang mendakwanya sebagai manipulasi sejarah kerana mengandungi pelbagai adegan palsu.
Siapa Ashraf Marwan
Ashraf Marwan adalah seorang bilionar yang menjadi menantu Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser. Sebagai menantu, beliau dipercayai dan berkhidmat di Pejabat Presiden. Walhal, beliau adalah seorang perisik Israel. Namun, ada pihak yang mengatakan beliau sebenarnya adalah talam dua muka kerana pernah memperdaya Israel pula dengan maklumat palsu.

Mesir Menyekat Kebebasan Media
Mesir adalah sebuah negara yang dikatakan menentang kebebasan akhbar.Demikian menurutTahrir Institute for Middle East Policy. Kerajaan Mesir di bawah pimpinan Presiden Abdelfattah al-Sisi, telah menutup 500 laman web termasuk The New Arab, Al-Jazeera dan Mada Masr.
Sekurang-kurangnya 25 wartawan telah dipenjarakan, menurut Committee to Protect Journalists (CPJ). Mesir memenjara paling ramai wartawan selain daripada negara China dan Turki. ~ LM
Video The Angel:
https://www.youtube.com/watch?v=z0q2WbXQWbw
12 Ayat Pembuka Terbaik Dalam Novel
Di antara tip menulis novel yang baik ialah membukanya dengan ‘first liners.’ Ramai novelis yang menyentuh hal first liners ini tidak menafikan peri pentingnya. First liners yang mencengkam minda pembaca bakal menawan mereka untuk terus membaca. Disertakan 10 first liners yang menarik dari 10 buah novel klasik…

Anna Karenina; Leo Tolstoy
“Keluarga bahagia itu semuanya sama sahaja; semua keluarga yang bersedih itu bersedih mengikut caranya yang tersendiri.”
“Happy families are all alike; every unhappy family is unhappy in its own way.”
The Go-Between; LP Hartley
“Kenangan itu sama seperti negara lain; di sana mereka buat semua hal menurut cara yang tersendiri.”
“The past is a foreign country: they do things differently there.”

Peter Pan; JM Barrie
“Semua kanak-kanak akan membesar kecuali seorang!
“All children, except one, grow up.”

The Hobbit; JRR Tolkien
“Dalam sebuah lubang di dalam tanah, tinggal seekor Hobbit.”
“In a hole in the ground there lived a hobbit.”
The Stranger; Albert Camus
“Emak meninggal hari ini. Mungkin juga semalam. Aku tak pasti!”
“Mother died today. Or maybe, yesterday; I can’t be sure.”
Catch-22; Joseph Heller
“Ia
adalah cinta pandang pertama.”
“It was love at first sight.”
The Road; Cormac McCarthy
“Apabila dia terjaga dari tidur di tengah rimba dalam kegelapan dan kedinginan malam, dia akan menyentuh anak yang terlena di sisinya.”
“When he woke in the woods in the dark and cold of the night he’d reach out to touch the child sleeping beside him.”

Pride and Prejudice; Jane Austen
“Ia adalah kebenaran yang diterima secara universal. Bahawa seorang lelaki bujang yang berharta pasti inginkan seorang isteri.”
“It is a truth universally acknowledged, that a single man in possession of a good fortune, must be in want of a wife.”
I Capture the Castle; Dodie Smith
“Aku
menulis ketika duduk dalam sinki dapur!”
“I write this sitting in the kitchen
sink.”
The Crow Road; Iain Banks
“Itulah
hari bilamana nenekku mengamuk!”
“It was the day my grandmother
exploded.”
Rancang Dahulu atau Buat Dahulu?
MAAFCAKAP 25.12.19
Selepas Isyak, ada juga ketikanya saya berkunjung ke restoran mamak bersama anak sulung saya, Hilman. Dia seorang programmer IT yang punyai bisnes sendiri. Topik perbualan dan perbincangan kami selalunya berkisar darihal kerja masing-masing. Sebagai orang IT, banyak soalan mengenai teknologi terkini yang saya belajar daripadanya. Dia pula menggali pengalaman hidup yang saya ada.
Baru-baru ini saya ke restoran mamak secara bersendirian. Hilman tak dapat bersama kerana masih belum pulang. Dengan sebuah buku nota kecil, sebatang pen dan tentunya telefon, saya duduk di kerusi kegemaran saya iaitu yang membelakangkan skrin TV. Saya mahu fokus berfikir. Biarlah tayangan bolasepak berlangsung. Saya hanya menoleh ke skrin apabila kedengaran pelanggan yang lain menjerit ‘gol!’
Tumpuan saya untuk mencatat apa yang terlintas di fikiran terhenti apabila terpandang seorang pemuda berkopiah yang duduk selang dua meja di hadapan. Saya cam dia kerana kerap juga terserempak dia duduk sendirian bertemankan telefonnya apabila saya datang ke restoran bersama Hilman. Dari gayanya, saya mengagak yang dia sedang mencatat sesuatu dari fikirannya di telefon dengan S-pennya.
Pandangan kami bertembung. Dia mengangkat tangan dan mengisyaratkan hendak datang ke meja saya. Sudah tentu saya okey lalu menggamitnya. Setelah bersalaman, dia memperkenalkan diri sebagai Abadi. ‘Saya selalu nampak pakcik dekat sini. Dia anak pakcik, kan?’ Abadi membuka kata. ‘Macam mana awak tau?’ tanya saya. ‘Muka sama!’ Abadi menjawab dan kami tertawa.
Saya jangka perbualan kami hanya berkisar tentang hal-hal yang biasa. Namun Abadi adalah seorang pemerhati. Katanya, dia kerap terpandang saya dan Hilman berbincang hal-hal serius. Ini yang menarik hatinya untuk berterus terang ingin berbincang dengan saya mengenai suatu topik yang menarik. Lantas dia bertanya, langkah manakah yang lebih baik ~ merancang dahulu atau buat dahulu? Saya jawab, terdapat pro dan kontra pada kedua-duanya.
Merancang terlebih dahulu sebelum bertindak adalah apa yang lazimnya kita lakukan. Kita merancang perjalanan pada setiap pagi dengan merujuk pada GPS untuk mencari jalan yang lebih cepat. Untuk buat rumah pun, kita kenalah merancang pelannya dahulu. Begitu juga apabila hendak berniaga, perancangan adalah suatu kemestian.
Melakukan sesuatu tanpa merancang terlebih dahulu samalah juga seperti menempah kegagalan. Ia umpama menyeberangi sungai menggunakan sebuah jambatan gantung yang rapuh. Apabila jambatan bergoyang dan serpihan lantainya berterbangan jatuh, kita dalam dilema samada hendak terus melangkah ataupun berundur. Andainya kita merancang dengan mengambil kira risiko sebelum itu, mungkin kita menyeberang menggunakan perahu.
Sebaliknya, berbuat dahulu dan kemudiannya berfikir adalah kaedah bertindak pada hari ini. Speed is the language of the day. Andainya kita asyik berfikir untuk mempertimbangkan segala peluang dan risiko, keadaan sudah berubah dan kita akan terlepas peluang. Pendekatan dengan menggunakan perancangan akan berakhir dengan penangguhan. Malah, perancangan itu sendiri adalah suatu bentuk penangguhan jika kesempurnaan perancangan menjadi keutamaannya.
Jadi, apa yang terbaik? Rancang dahulu ataupun buat dahulu? Pemikiran dan tindakan pada hari ini memerlukan ketangkasan menyesuaikan diri dengan keadaan. Kita perlu merangkul apa sahaja yang mendatang. Merangkul dalam ertikata menggunapakai peluang yang ada dan bersedia untuk melepaskannya bagi menggapai peluang yang lain.
Oportunis? Bukan begitu, kerana oportunis mempunyai konotasi yang negatif. Sebenarnya, istilah yang lebih tepat, walaupun tiada maksud tepat di dalam kamus ialah timist. Pada saya, timist ialah kebolehan menggunakan apa yang ada pada waktu yang tepat.
Keadaan yang cair pada hari ini menjadikan orang yang merancang terlalu lama itu ketinggalan keretapi. Sebaliknya jika bertindak sahaja dalam segala hal tanpa ada perancangan akan merugikan apabila sesuatu yang tidak dirancang menemui kegagalan dan kita terpaksa bermula dari langkah pertama kembali.
Yang penting, kaedah tindakan pada hari ini memerlukan kita bertindak sambil merancang, seperti melangkah sambil berfikir di manakah kaki kita akan berpijak. Risikonya memang ada. Tetapi sekurang-kurangnya pendekatan itu membolehkan kita sudah melangkah ke hadapan. Ia lebih baik daripada duduk merancang mencari jalan yang sempurna tetapi belum berbuat apa-apa.
“Abadi tak rancang nak bertemu saya. Tetapi Abadi bertindak walaupun tahu mungkin saya tak akan melayan. Tetapi kerana bertindak, kita sudah berkongsi banyak idea yang menarik,” kata saya kepada Abadi yang terangguk mengiyakan.
Seorang Lagi Novelis Romantik Pergi Meninggalkan…

Johanna Lindsey, novelis kisah cinta yang digarap dengan elemen dendam dan pasrah di kalangan aristokrat, lanun, hero dan heroin telah meninggal dunia 27 Oktober lalu. Usianya 67 tahun. Beliau menghidap komplikasi kanser paru-paru tahap empat. Pihak keluarganya begitu berdukacita untuk mengumumkan kematiannya lebih awal.
Lindsey menulis novelnya yang pertama secara santai sebelum menggarap 60 buah karya seterusnya. Novelnya yang terakhir iaitu Temptation’s Darling yang terbit Julai lalu berlatarkan kurun ke-19 yang mengisahkan seorang bangsawan yang merancang perkahwinan anak perempuannya dengan seorang yang bongkak.

Kesemua karyanya pernah tersenarai carta di akhbar The New York Times. Empat darinya pernah menjuarai carta. Sekurang-kurangnya 60 juta naskhah novelnya telah terjual menurut penerbitnya Simon & Schuster. Beliau berdiri sebaris dengan novelis-novelis cinta di eranya seperti Jude Deveraux, Judith McNaught, Kathleen Woodiwiss and Rosemary Rogers.
Johanna amat peka dengan kisah-kisah romantiknya. Beliau memilih latar tempat yang eksotik seperti Barbary Coast dan Caribbean, Norway di zaman Viking dan Texas pada kurun ke-19.
Beliau menyifatkan kehidupannya sebagai damai, penuh dengan gelak ketawa dan menakjubkan. Beliau juga mempunyai satu hobi yang menarik iaitu membaca novelnya sendiri. Novel-novel itu akan membuatnya menangis dan tertawa kembali.
Bila bercakap mengenai kebahagiaan, Johanna berkata ia adalah berkongsi hidup dengan orang tersayang. Beliau amat menyanjungi sikap amanah, bertanggungjawab dan perangai yang kelakar.
Nasihatnya kepada para penulis, “Berkaryalah dengan sepenuh hati. Andainya kamu tidak dapat tertawa atau menitiskan airmata untuk watak-watak kamu, orang lain pun tak akan dapat menangis dan ketawa dengan tulisan kamu.”
Menyentuh mengenai cara mengakhirkan sesebuah novel, pandangannya sama seperti kebanyakan pembaca. “Saya suka kisah cinta yang happy ending,” katanya.
Sumber: The New York Times & Goodreads
Kisah Tengku Permaisuri Diabadi Dalam Buku
SHAH ALAM: Kisah permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam sebuah buku bertajuk ‘My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’.
Buku mewah setebal 133 muka surat itu adalah nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman dan dijual pada harga RM160 senaskhah dengan sebahagian hasil daripada pembelian itu akan disalurkan kepada kempen ‘Stray Free Selangor’ bagi membantu haiwan jalanan.

Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017.
Buku berbahasa Inggeris itu dilancarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Pustaka Raja Tun Uda, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa penerbitan buku terbabit adalah bagi berkongsi pengalaman baginda menempuh perkara baharu buat pertama kali sebagai Tengku Permaisuri Selangor, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat dalam Balairung Seri.
“Tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.
“Saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku ini walaupun pada masa sama, perasaan saya bercampur-baur dan kadangkala berbelah-bahagi. Apatah lagi, saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi sejak dahulu,” titah baginda.

Yang turut berangkat ke majlis itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerabat diraja Selangor.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, bercerita mengenai buku berkenaan, Norely yang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang pendidikan dari Asia e University, Kuala Lumpur, berkata beliau mengambil masa hampir tiga tahun untuk melengkapkan isi kandungannya kerana jadual Tengku Permaisuri Norashikin yang padat.
Norely berkata, walaupun pada awalnya, Tengku Permaisuri Selangor agak keberatan untuk berkongsi kisah hidupnya dengan menyifatkan dirinya sebagai ‘tidak menarik’, beliau cuba meyakinkan adik bongsunya itu bahawa rakyat pastinya ingin tahu pengalamannya.
“Satu perkara yang saya perhatikan adalah apabila seseorang berada ‘di atas’, ramai akan mengidolakan mereka tanpa tahu cerita sebenar. Orang boleh memuji dan mengeji, disebabkan itu saya berpendapat adalah lebih bagus jika rakyat tahu dari mana asal usul kita dan kisah di sebaliknya.
“Menerusi buku yang dibahagikan kepada 14 bab ini, penceritaannya berdasarkan kisah-kisah di sebalik peristiwa dilalui Tengku Permaisuri. Jalan ceritanya daripada pihak baginda sendiri. Saya amat berbesar hati dengan tunjuk ajar daripada Tuanku Sultan (Sultan Sharafuddin) terutama membabitkan penggunaan bahasa istana, terminologi dan protokol,” katanya.
Buat masa ini, katanya, sebanyak 1,500 naskhah telah dicetak dan pihak yang berminat mendapatkan buku bagi pembacaan santai itu boleh merujuk laman Facebook Selangor Royal Office untuk maklumat lanjut.
Ditanya sama ada buku berbahasa Inggeris itu akan diterjemah ke dalam bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pelbagai latar belakang pembaca pada masa depan, Norely berkata, ia akan ditentukan oleh pihak Sultan Selangor sendiri. – BERNAMA


