Johanna Lindsey meninggal dunia 27 Oktober lalu.

Johanna Lindsey, novelis kisah cinta yang digarap dengan elemen dendam dan pasrah di kalangan aristokrat, lanun, hero dan heroin telah meninggal dunia 27 Oktober lalu. Usianya 67 tahun. Beliau menghidap komplikasi kanser paru-paru tahap empat. Pihak keluarganya begitu berdukacita untuk mengumumkan kematiannya lebih awal.

Lindsey menulis novelnya yang pertama secara santai sebelum menggarap 60 buah karya seterusnya. Novelnya yang terakhir iaitu Temptation’s Darling yang terbit Julai lalu berlatarkan kurun ke-19 yang mengisahkan seorang bangsawan yang merancang perkahwinan anak perempuannya dengan seorang yang bongkak.

Antara karya Johanna Lindsey

Kesemua karyanya pernah tersenarai carta di akhbar The New York Times. Empat darinya pernah menjuarai carta. Sekurang-kurangnya 60 juta naskhah novelnya telah terjual menurut penerbitnya Simon & Schuster. Beliau berdiri sebaris dengan novelis-novelis cinta di eranya seperti  Jude DeverauxJudith McNaughtKathleen Woodiwiss and Rosemary Rogers.

Johanna amat peka dengan kisah-kisah romantiknya. Beliau memilih latar tempat yang eksotik seperti Barbary Coast dan Caribbean, Norway di zaman Viking dan Texas pada kurun ke-19.

Beliau menyifatkan kehidupannya sebagai damai, penuh dengan gelak ketawa dan menakjubkan. Beliau juga mempunyai satu hobi yang menarik iaitu membaca novelnya sendiri. Novel-novel itu akan membuatnya menangis dan tertawa kembali.

Bila bercakap mengenai kebahagiaan, Johanna berkata ia adalah berkongsi hidup dengan orang tersayang. Beliau amat menyanjungi sikap amanah, bertanggungjawab dan perangai yang kelakar.

Nasihatnya kepada para penulis, “Berkaryalah dengan sepenuh hati. Andainya kamu tidak dapat tertawa atau menitiskan airmata untuk watak-watak kamu, orang lain pun tak akan dapat menangis dan ketawa dengan tulisan kamu.”

Menyentuh mengenai cara mengakhirkan sesebuah novel, pandangannya sama seperti kebanyakan pembaca. “Saya suka kisah cinta yang happy ending,” katanya.

Sumber: The New York Times & Goodreads