BLOG

Tak Cinta Kerana Tak Kenal

Tak Cinta Kerana Tak Kenal

MAAFCAKAP 22.1.2020

Saya begitu teruja apabila membaca sebuah berita di Facebook, bagaimana sayap sebuah parti politik telah menganjurkan program yang begitu santai yang mereka namakan Street Caligraphy. Program anjuran Pemuda PAS Kuala Langat dan Ameerah Kuala Langat telah diadakan di Pantai Morib baru-baru ini.

Dalam program itu, para pengunjung itu diberi peluang untuk nama mereka ditulis di dalam tulisan Jawi, Chinese, Tamil dan Rumi. Dengan cara itu setiap mereka yang menyertainya dapat melihat nama mereka dieja dalam pelbagai bentuk tulisan. Rata-rata mereka yang mengambil bahagian berasa seronok melihat nama mereka tertulis dalam pelbagai kaligrafi.

Dari acara yang begitu simple, ia membuka hati para pengunjung untuk melihat betapa unik dan kayanya budaya dalam tulisan kaligrafi. Masing-masing kelihatan gembira. Dari paparan foto yang diambil jelas sekali tiada wajah-wajah yang takut apabila melihat bentuk tulisan kaum lain. Mesej program itu jelas ~ berkenal-kenal lah dengan kaligrafi kaum lain. Apabila sudah kenal, ia tidak menakutkan langsung, malah rasa suka mula mendatang.

Tidak timbul alasan menakut-nakutkan bahawa tulisan Jawi boleh memesongkan pandangan mereka yang beragama lain hingga boleh memeluk Islam. Tulisan Jawi adalah sebahagian dari bahasa Melayu yang telah digunapakai sebelum adanya tulisan rumi. Malah, dalam pelbagai produk keluaran bukan Melayu pun tertera tulisan Jawi.

Tentu sekali tulisan Cina ataupun Tamil tidak akan membuat seseorang yang mempelajarinya boleh menukar agama. Jadi, mengapa pula masih ada pandangan sampah sebegitu? Malangnya mengapa masih ada yang percaya dan takut pada tulisan? Apa puncanya? Puncanya ialah kerana tidak kenal. Apabila tidak kenal, maka tiadalah cinta.

Soalnya sekarang, kenapa setelah lebih 60 tahun merdeka, kita biarkan perkara ini berlaku? Mengapa semakin ramai di antara kita semakin mengasingkan diri dan bergaul hanya sesama bangsa? ALLAH menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Demikian saranan daripada surah al-Hujurat ayat ke-13. Bila kita tidak saling berkenal, maka akan timbul rasa curiga dan melarat kepada sikap bermusuh. Apabila kita tidak ikut ajarannya, maka jadilah masalah. Jika kita bertanya, buat apa bertepuk sebelah tangan? Apakah orang Islam sahajakah yang patut belajar dan ambil tahu tentang kaum lain? Ini tidak patut.

Memanglah tidak patut jika orang Islam sahaja yang pergi untuk mempelajari budaya kaum-kaum lain. Yang sepatutnya ialah, dalam berusaha untuk mempelajari budaya kaum lain, orang Islam perlu juga memperkenalkan budayanya sendiri. Orang Islam kena mulakan dahulu, kerana mereka majoriti.

Sememangnya benar, masing-masing tidak mengorak langkah untuk memperbaiki hubungan kerana takut. Orang Melayu takut dengan orang Cina dan orang India. Dan orang Cina dan India takut dengan  orang Melayu. Masing-masing takut diperalatkan, dipermainkan, ditipu dan dikhianati.

Soalnya, jika kita renung, semua itu berlaku di dalam media sosial, di dalam akhbar, dan di dalam televisyen. Kalau adapun berlakunya bantahan secara nyata, kesemuanya digelembungkan dengan kehadiran media yang merakam dengan kamera dan mikrofon. Selepas menghambur kata di media cetak dan elektronik, sepanduk dilipat dan kesemuanya sejuk kembali. Setelah tamat sidang akhbar, semuanya menjalankan kerja dan hidup masing-masing.

Orang Melayu tidak kisah shopping di mini market Cina, orang India tidak kisah bangsa apakah yang pandu Grab yang dipanggil dan orang Cina beratur panjang hendak beli nasi lemak makcik di simpang jalan.

Dari segi makan minum, masing-masing balun semua. Dari segi bahasa, masing-masing menyelit, ‘podah,’ ‘ngam’ atau ‘lah’ dalam pertuturan. Apabila tiba acara bolasepak, masing-masing menyokong Malaysia. Bila berlaku kemalangan, kita jadi manusia dan tak kira bangsa. Jadi, hantu manakah yang telah mempengaruhi kita untuk curiga di antara satu sama lain hingga ke peringkat benci?

Maaf cakap, samada kita suka atau tidak, mereka yang kerap bercakaran secara lantang di media itulah yang telah mempengaruhi kita. Kalau kita tidak tonton dan baca lontaran kritik sesama mereka, suhu ketegangan kaum dapat diredakan.

Barangkali, kita bukan setakat Uninstall Hatred, Reboot Malaysia Harmony atau Membuang Kebencian dan Memulakan Malaysia Yang Harmoni, seperti saranan Datuk Hussamuddin Yaacub, Penerbit akhbar Sinar Harian. Sebaliknya kita patut juga Uninstall Haters iaitu ‘menendang’ mereka yang sentiasa memainkan api kebencian ini jauh-jauh dari perhatian kita!

Melebur Wang Untuk Melabur Pahala

Melebur Wang Untuk Melabur Pahala

MAAFCAKAP 15.1.2020

Baru-baru ini telah tular video dan juga berita di akhbar-akhbar, televisyen dan juga media sosial mengenai Masjid Temerloh Jaya. Ia menarik kerana kejayaannya menghimpun para jemaah yang begitu ramai untuk mendirikan solat subuh hingga melimpah ke luar ruang masjid. Ramainya jemaah di masjid itu diumpamakan sama seperti mereka bersolat Jumaat.

Masjid yang mula dibuka pada tahun 2010 itu nampaknya akan terus menjadi tempat tumpuan mereka yang berada di kawasan sekeliling dan juga dari jauh. Bagi kariah di situ, hati mereka telah terpaut hingga sentiasa ingin menunaikan ibadah di masjid itu. Untuk yang datang dari luar daerah termasuk dari luar negara, mereka ingin menjiwai aura dan belajar cara masjid itu diuruskan hingga berjaya menarik sebegitu ramai para jemaah.

Masjid yang menerima jolokan Masjid TJ itu tidaklah besar. Ia hanya boleh memuatkan kira-kira 400 jemaah di ruang solat utamanya. Namun, ahli-ahli jawatankuasa yang memikul amanah menyelenggara masjid itu telah mengurusnya secara moden. Selain daripada ibadah-ibadah khusus, mereka turut menganjurkan pelbagai program seperti ceramah, kuliah, mengaji dan juga aktiviti untuk golongan wanita seperti kelas memasak. Mereka menjaganya dengan baik. ‘Tandasnya pun wangi,’ seperti kata penceramah bebas Datuk Hassan Ali dalam sebuah video yang tular.

Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan ahli-ahli jawatankuasanya yang berusaha dan berkempen melalui media sosial, khutbah Jumaat, termasuk berkunjung dari rumah ke rumah untuk memanggil para kariah memakmurkan masjid. Usaha mereka berjaya. Para jemaah melimpah ruah.

Malah mereka begitu bermurah hati untuk masjid itu. Dikatakan, apabila pihak masjid ingin menggantikarpet,dalam tiga minggu, sejumlah RM120,000 telah terkumpul. Selepas solat subuh, mereka yang hendak bersedekh di tabung masjid pun terpaksa berbaris panjang. Dan yang lebih penting, masjid itu dikatakan tidak mempuyai masalah kewangan. Khabarnya, bukan sahaja penduduk setempat sahaja yang menghulur derma. Mereka dari jauh pun mengirim wang sebagai sedekah jariah.

Panjang saya bercerita mengenai Masjid Temerloh Jaya. Namun, di sebalik semua kisah yang baik ini, berapa buah masjid lain yang ingin mencontohi masjid ini? Khabarnya, terdapat beberapa jawatankuasa masjid dari daerah dan negeri lain yang ingin belajar modus operandi masjid Temerloh Jaya ini. Jumlahnya, tidak banyak. Seharusnya, jumlah jemaah di masjid itu meningkat dua kali ganda kerana dipenuhi oleh ahli-ahli jawatankuasa masjid dari pelbagai negeri di seluruh negara yang datang untuk menimba ilmu pengurusan masjid.

Barangkali banyak juga jawatankuasa masjid yang punyai kaedah yang tersendiri menguruskan masjid mereka. Jika begitu, baguslah. Jangan pula seperti sesetengah masjid yang berbangga memaparkan jumlah kutipan mingguan yang bernilai berbelas ribu ringgit tetapi mereka tidak berbelanja untuk pemuliharaan masjid.

Ada masjid yang hanya cantik di ruang solat, tetapi tandasnya membantutkan kita melepas hajat kerana kondisinya. Ada tandas-tandas masjid yang rosak pam tandasnya, saluran di atas kepala bocor hingga air menitis dari salurannya, pintu yang punyai selak yang patah dan selipar-selipar yang berlendir.

Wang sedekah ke masjid adalah untuk kegunaan kelengkapan masjid. Wang itu bukannya untuk simpanan hingga puluhan dan ratusan ribu ringgit. Untuk apa laporan kewangan mesyuarat jawatankuasa masjid mencatatkan jumlah simpanan, malah pelaburan yang banyak? Mengapa hendak menghimpun harta seolah-olah masjid sudah menjadi institusi perniagaan dan koperasi yang bertujuan membesarkan kantungnya?

Maaf cakap, lazimnya mereka yang terpilih menjadi bendahari adalah terdiri daripada profesional dalam bidang akaun dan perniagaan. Orang perakaunan dan perniagaan mempunyai mindset mengumpul dan mengumpul dengan banyaknya. Jumlah banyaknya terkumpul itulah petanda kejayaan. Maaf caap lagi, tidakkah ini mentaliti kapitalis?

Seharusnya kejayaan sesebuah masjid itu diukur dari jumlah yang dibelanjakan. Lagi banyak yang diinfaqkan itulah yang lebih bagus. Malah, ia bakal memakmurkan pendapatan masjid jika kita berpegang kepada ganjaran bersedekah yang gandaannya hingga ke 700 angka seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 261.

Untuk itu, bendahari masjid seharusnya dipilih dari kalangan mereka yang aktif dalam NGO ataupun profesional dari bidang sumber manusia. Mereka ini mudah mengatur perbelanjaan, bukannya menambah harta simpanan. Biar wang dilebur, asalkan pahala terlabur.

Kota Buku Berganti CEO

Kota Buku Berganti CEO

Mutalib Uthman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kota Buku (PKB). Terdahulu, perbadanan tersebut menerusi laman Facebooknya memaparkan hantaran gambar Mutalib.

PKB melalui media sosialnya mengumumkan pelantikan Mutalib sekali gus mengalu-alukan kedatangannya.

Mutalib Uthman CEO baru Perbadanan Kota Buku

 “Sebuah harapan dan jalan selalu ada untuk mereka yang selalu senantiasa berdoa serta berjuang tanpa mengenal sebuah kata menyerah,” tulis PKB.

Lantikan Muthalib dan hantaran Kota Buku di media sosial mengubah imej korporat PKB sebelum ini di bawah teraju bekas CEOnya Sayed Munawar Sayed Mustar.

Dalam dunia penerbitan buku tempatan, Mutalib dikenali sebagai ‘budak indie’ dan pernah menjadi CEO Dubook Press.

Perbadanan Kota Buku ialah syarikat berhad milik Kementerian Pendidikan yang berhasrat menjadi agensi utama dalam pembangunan industri buku sejajar Dasar Buku Negara (DBN) yang menyarankan agar ditubuhkan sebuah “Pusat Buku” di Malaysia.

Ditubuhkan pada tahun 2011, ia mula beroperasi pada tahun 2012, merupakan salah satu Syarikat Berkaitan Kerajaan milik Kementerian Pendidikan Malaysia.

PKB juga adalah pusat sehenti bagi menghimpunkan pembaca, penulis dan penerbit untuk bertemu dan membantu mereka menjalankan pelbagai aktiviti yang berkaitan kegiatan perbukuan di antara satu sama lain.

Sumber asal:
https://www.malaysiakini.com/hiburan/506255

Cari Jalan Halalkan Air Zamzam!

Cari Jalan Halalkan Air Zamzam!

MAAFCAKAP 8.1.2020

Kini timbul tular di laman sosial yang mempersoal kenyataan Kementerian Kesihatan yang akan mendenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun terhadap sesiapa yang didapati menjual air zamzam. Timbul juga tular yang tak manis membandingkan mengapa arak yang haram itu dihalalkan penjualannya di Malaysia, sedangkan air zamzam yang paling berkhasiat itu pula yang diharamkan?

Sebenarnya pengharaman penjualan air zamzam itu adalah berikutan dengan arahan kerajaan Arab Saudi yang mengharamkan penjualannya. Malah, sejak 2012 lagi kerajaan Arab Saudi telah menangkap anggota sindiket menjual dan mengeksport air zamzam. Berikutan itu, pada 2017, kerajaan Arab Saudi mengharamkan terus sebarang penjualan dan pengeksportan air zam zam.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air setelah mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Untuk kes air zamzam pula, Kementerian Kesihatan Malaysia pula (KKM) menegaskan tiada pihak termasuk pengedar atau syarikat yang mendapat lesen pengimportan dan penjualan air zamzam berikutan larangan kerajaan Arab Saudi terhadap tindakan itu.

Maknanya, air zamzam yang terdapat di negara kita ini datang daripada mereka yang memperoleh air itu ketika mengerjakan haji, umrah atau daripada saudara dan kenalan. Ada juga mereka yang berulang-alik ke sana mengambil kesempatan untuk menjualnya.

Air zamzam adalah air yang terbaik di muka bumi. Banyak sekali kes-kes di sekeliling kita yang menceritakan betapa air zamzam yang diminum membantu dalam memulihkan pelbagai penyakit. Malah, terdapat hadis riwayat Ibn Majah yang menyatakan, “Air zamzam bergantung pada sesiapa yang meminumnya” iaitu khasiatnya terletak kepada niat sesiapa yang meminumnya.

Sayang sekali, air yang datangnya dari syurga menurut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dilarang dijual berikutan dengan sindiket penipuan air mulia itu. Kalau kita berdegil dan mendapatkan air itu melalui jalan yang menyalahi undang-undang, keberkatannya hilang. Sayang sekali kita dah sukar memperoleh air yang berkhasiat ini.

Betapa pun, jika pengharaman kerajaan Arab Saudi itu berpunca kerana penipuan, pihak kita seharusnya mencari jalan agar air zamzam dapat ‘dihalalkan’ melalui cara yang sah menurut undang-undang kerajaan Arab Saudi dan juga piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam hal ini, pihak Tabung Haji, melalui perhubungan baik dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi harus berunding supaya air zamzam dapat dibawa masuk ke negara ini secara sah dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Tabung Haji adalah autoriti yang dipercayai kerajaan Arab Saudi.

Kos yang harus diuruskan ialah dari segi pengangkutan, pembotolan dan pengedaran. Pengangkutan adalah kos yang boleh ditanggung oleh pihak Tabung Haji dengan harga minimal dari syarikat penerbangan mahupun perkapalan. Begitu juga, pembotolannya boleh dilaksanakan oleh syarikat koperasi terlantik yang berminat. Dan, pengagihannya boleh pula dilakukan oleh jawatankuasa-jawatankuasa masjid dengan harga yang minima.

Ini adalah amal jariah yang berupa perkhidmatan. Sekali pandang, mungkin idea ini nampaknya terlalu simple. Tidak perlulah sampai begitu operasinya hanya untuk mendapatkan air zamzam. Tetapi, sedar tak, ramai di kalangan kita sanggup membeli air import dari mata air di pergunungan negara barat semata-mata kerana khasiatnya. Begitu juga, ramai yang berasa hebat apabila membeli air mineral tempatan yang mahal dan berasa koman apabila meneguk air mineral yang berharga murah.

Kalau kita bertanya kepada mereka yang pernah merasa air zamzam, air apakah pilihan mereka? Kita dah tahu jawapannya! Lagi pula, air zamzam berkeupayaan untuk memulih. Ruginya jika kita tidak mahu mendapatkan ‘ubat’ yang terbaik ini.

Belum Menang Selagi Belum Tamat

Belum Menang Selagi Belum Tamat

OLEH KERANA hampir semua daripada kita menggunakan kalendar Masehi, kita lebih selesa meraikan 1 Januari 2020 sebagai hari pertama di tahun baharu. Selamat menyambut tahun baharu kepada anda yang setia mengikuti kolum Maaf Cakap ini.

  1. Tahun 2020 punyai signifikannya yang tersendiri. Bagi peminat nombor, 2020 adalah istimewa kerana angkanya yang berganda. Mereka berasa tahun-tahun 1919, 1818 ataupun 1717 sebagai angka-angka tahun yang istimewa.
  2. Dari segi perubatan, visi 20/20 adalah pandangan mata yang jelas diukur dari jarak 20 kaki. Visi 20/20 ini telah menginspirasikan Tun Mahathir untuk mencetuskan Wawasan 2020.
  3. Malangnya Tun Mahathir sendiri telah mengubah ke sasaran baharu kepada Wawasan 2025 kerana Wawasan 2020 dikatakan telah lari dari fokus asal. (Ramaikah yang tahu akan Wawasan 2025 ini?)
  4. 2020 membawa kita lebih jauh dalam era Revolusi Industri 4.0. Teknologi kian pantas berkembang dan berubah. Siapa lambat, akan ketinggalan.
  5. Artificial Intelligence semakin mengambil alih tugas manusia. Jaringan data mobile 5G akan lancar. Ia bukan sahaja meliputi kota-kota utama dunia, malah akan menjalar ke bandar-bandar kecil.
  6. Kenderaan automatik nanti bukan sahaja setakat penukaran gear, penyalaan lampu, membuka dan mengunci kenderaan atau menghidup dan mematikan injin. Kenderaan akan datang boleh menukar lorong, membantu parkir, memilih haluan, malah memberi pelbagai ingatan dan cadangan kepada pemandunya termasuk hendak makan apa pada hari ini!
  7. Smartwatches yang memberi ingatan mengenai jadual harian, membaca degupan jantung, nadi dan mengira berapa langkah kita berjalan pada sesuatu hari akan dapat pula membaca tahap kesihatan si pemakai dan mencadangkan jenis ubatan yang harus diambil.
  8. Pengalaman digital melalui Virtual Reality, Augmented Reality dan Mixed Reality akan diintegrasi sebagai Extended Reality bilamana manusia boleh berinteraksi dengan objek digital yang dijelmakan di alam nyata. Fikirkan seseorang bermain alat piano holografi di dalam biliknya!
  9. Teknologi Blockchain yang dipandang enteng akan menjadi penting. Syarikat-syarikat multinasional makin banyak melabur dalam teknologi ini. Rakyat Malaysia yang biasa dengan Facebook pun akan didekatkan dengan teknologi ini apabila media sosial itu mempunyai matawang crypto yang dinamakan Libra.
  10. Perkhidmatan memesan makanan melalui Foodpanda atau Grabfood, memanggil kenderaan melalui Grab atau MyCar, membeli secara atas talian di Shopee dan Lazada dengan membayar melalui payment gateway billplz atau Raudhahpay yang pada mulanya adalah gaya hidup akan menjadi cara hidup. Ia bukan kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan.
  11. Semua perubahan yang dibawa oleh teknologi Revolusi Industri 4.0 ini boleh menjadikan kita berasa lemas dan tenggelam punca. Setakat hari ini pun, teknologi yang muncul di telefon pun menjadikan kita lalai hingga tidak berpijak di bumi nyata.
  12. Berapa ramai di antara kita yang membaca berita yang tidak penting apatah lagi yang palsu? Kalau dahulu, kita bersembang di kedai kopi atau di tepi tingkap, kini kita boleh bersembang dengan berbelas-belas kumpulan dalam Whatsapp. Berapa banyak masa terbuang bila menghadap telefon walaupun kita hanya menjadi silent reader?
  13. Justeru itu, betapa pun perubahan yang berlaku di sekeliling kita, jangan lupa yang kita ini adalah insan yang punyai perasaan, yang boleh menimbang di antara yang buruk dan yang baik. Kita ada peranan dan tugas di alam nyata. Kita juga ada tanggungjawab yang perlu dibereskan sebelum kita dipindahkan ke alam yang lain nanti.
  14. Tidak perlu rasa ketinggalan dengan apa yang berlaku di sekeliling kita kerana kita akan meninggalkan semua yang ada di alam fana ini.

SEHARUSNYA kita berasa ketinggalan untuk mempersiapkan diri dalam perjalanan ke alam yang satu lagi.

SEBAIKNYA semakin kita menghampiri penghujung perlumbaan hidup, kita sepatutnya semakin deras berlari.

SEWAJIBNYA, semakin menghampiri garisan penamat, kita tak boleh berlenggang-lenggok seraya menoleh ke kiri dan kanan dengan penuh santai.

Mana boleh sudah berasa menang meskipun belum tamat perlumbaan?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]