MAAFCAKAP 15.1.2020

Baru-baru ini telah tular video dan juga berita di akhbar-akhbar, televisyen dan juga media sosial mengenai Masjid Temerloh Jaya. Ia menarik kerana kejayaannya menghimpun para jemaah yang begitu ramai untuk mendirikan solat subuh hingga melimpah ke luar ruang masjid. Ramainya jemaah di masjid itu diumpamakan sama seperti mereka bersolat Jumaat.

Masjid yang mula dibuka pada tahun 2010 itu nampaknya akan terus menjadi tempat tumpuan mereka yang berada di kawasan sekeliling dan juga dari jauh. Bagi kariah di situ, hati mereka telah terpaut hingga sentiasa ingin menunaikan ibadah di masjid itu. Untuk yang datang dari luar daerah termasuk dari luar negara, mereka ingin menjiwai aura dan belajar cara masjid itu diuruskan hingga berjaya menarik sebegitu ramai para jemaah.

Masjid yang menerima jolokan Masjid TJ itu tidaklah besar. Ia hanya boleh memuatkan kira-kira 400 jemaah di ruang solat utamanya. Namun, ahli-ahli jawatankuasa yang memikul amanah menyelenggara masjid itu telah mengurusnya secara moden. Selain daripada ibadah-ibadah khusus, mereka turut menganjurkan pelbagai program seperti ceramah, kuliah, mengaji dan juga aktiviti untuk golongan wanita seperti kelas memasak. Mereka menjaganya dengan baik. ‘Tandasnya pun wangi,’ seperti kata penceramah bebas Datuk Hassan Ali dalam sebuah video yang tular.

Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan ahli-ahli jawatankuasanya yang berusaha dan berkempen melalui media sosial, khutbah Jumaat, termasuk berkunjung dari rumah ke rumah untuk memanggil para kariah memakmurkan masjid. Usaha mereka berjaya. Para jemaah melimpah ruah.

Malah mereka begitu bermurah hati untuk masjid itu. Dikatakan, apabila pihak masjid ingin menggantikarpet,dalam tiga minggu, sejumlah RM120,000 telah terkumpul. Selepas solat subuh, mereka yang hendak bersedekh di tabung masjid pun terpaksa berbaris panjang. Dan yang lebih penting, masjid itu dikatakan tidak mempuyai masalah kewangan. Khabarnya, bukan sahaja penduduk setempat sahaja yang menghulur derma. Mereka dari jauh pun mengirim wang sebagai sedekah jariah.

Panjang saya bercerita mengenai Masjid Temerloh Jaya. Namun, di sebalik semua kisah yang baik ini, berapa buah masjid lain yang ingin mencontohi masjid ini? Khabarnya, terdapat beberapa jawatankuasa masjid dari daerah dan negeri lain yang ingin belajar modus operandi masjid Temerloh Jaya ini. Jumlahnya, tidak banyak. Seharusnya, jumlah jemaah di masjid itu meningkat dua kali ganda kerana dipenuhi oleh ahli-ahli jawatankuasa masjid dari pelbagai negeri di seluruh negara yang datang untuk menimba ilmu pengurusan masjid.

Barangkali banyak juga jawatankuasa masjid yang punyai kaedah yang tersendiri menguruskan masjid mereka. Jika begitu, baguslah. Jangan pula seperti sesetengah masjid yang berbangga memaparkan jumlah kutipan mingguan yang bernilai berbelas ribu ringgit tetapi mereka tidak berbelanja untuk pemuliharaan masjid.

Ada masjid yang hanya cantik di ruang solat, tetapi tandasnya membantutkan kita melepas hajat kerana kondisinya. Ada tandas-tandas masjid yang rosak pam tandasnya, saluran di atas kepala bocor hingga air menitis dari salurannya, pintu yang punyai selak yang patah dan selipar-selipar yang berlendir.

Wang sedekah ke masjid adalah untuk kegunaan kelengkapan masjid. Wang itu bukannya untuk simpanan hingga puluhan dan ratusan ribu ringgit. Untuk apa laporan kewangan mesyuarat jawatankuasa masjid mencatatkan jumlah simpanan, malah pelaburan yang banyak? Mengapa hendak menghimpun harta seolah-olah masjid sudah menjadi institusi perniagaan dan koperasi yang bertujuan membesarkan kantungnya?

Maaf cakap, lazimnya mereka yang terpilih menjadi bendahari adalah terdiri daripada profesional dalam bidang akaun dan perniagaan. Orang perakaunan dan perniagaan mempunyai mindset mengumpul dan mengumpul dengan banyaknya. Jumlah banyaknya terkumpul itulah petanda kejayaan. Maaf caap lagi, tidakkah ini mentaliti kapitalis?

Seharusnya kejayaan sesebuah masjid itu diukur dari jumlah yang dibelanjakan. Lagi banyak yang diinfaqkan itulah yang lebih bagus. Malah, ia bakal memakmurkan pendapatan masjid jika kita berpegang kepada ganjaran bersedekah yang gandaannya hingga ke 700 angka seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 261.

Untuk itu, bendahari masjid seharusnya dipilih dari kalangan mereka yang aktif dalam NGO ataupun profesional dari bidang sumber manusia. Mereka ini mudah mengatur perbelanjaan, bukannya menambah harta simpanan. Biar wang dilebur, asalkan pahala terlabur.