BLOG

Hanna Alkaf Menang Anugerah

Hanna Alkaf Menang Anugerah

Hanna Alkaf, penulis novel The Weight of Our Sky, telah memenangi anugerah Freeman Book Awards 2019. Novelis berusia 34 tahun itu muncul juara dalam kategori Sastera Dewasa / Sastera Sekolah Menengah.

Pengumuman pemenang itu diumumkan oleh penganjurnya, Konsortium Kebangsaan untuk Pengajaran mengenai Asia (NCTA) dan Jawatankuasa Pengajaran mengenai Asia Persatuan Pengajian Asia dan Asia untuk Pendidik di Columbia University.

Anugerah itu mengiktiraf buku-buku yang berkualiti untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang menyumbang kepada pemahaman Asia Timur dan Asia Tenggara.

Hanna, yang ditemubual oleh Mashable SEA, berkata dia berasa teruja dengan anugerah itu.

“Jika saya tidak silap, rakyat Malaysia pertama yang memenangi penghormatan Freeman adalah Shamini Flint. Jadi anugerah ini adalah langkah besar untuk diikuti.

“Anda rasa teruja dan rendah diri apabila karya diiktiraf. Dan saya bersyukur jawatankuasa pertandingan melihat sesuatu yang bernilai dalam mengiktiraf buku saya,” katanya.

NovelThe Weight of Our Sky berlatarbelakangkan tahun 1969 di Kuala Lumpur yang menyaksikan rusuhan kaum. Ia menceritakan tentang remaja yang mempunyai gangguan obsesif-kompulsif (OCD) yang cuba mencari jalan kembali ke ibunya.

Novel itu diterbitkan oleh Simon & Schuster yang berpangkalan di AS.

Versi terjemahan novel itu berjudul Di Situ Langit Dijunjung diterbitkan Fixi Verso.

Novel Hanna ini sudah mencuri tumpuan ramai apabila pada September tahun lalu dipilih untuk dipaparkan di platform komik digital, Webtoon.

Ikuti sorotan novelnya:
https://layarminda.com/2019/04/14/layar-sorot-the-weight-of-our-sky-hanna-alkaf/

Apabila Kita Terlebih Fikir

Apabila Kita Terlebih Fikir

MAAFCAKAP 5.2.2020

Kelmarin, heboh di media sosial mengenai peniaga Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat  yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita. Bila mengetahui hal itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengecam, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi. Menteri itu telah memanggil agensi umrah yang membawa peniaga tersebut untuk mengetahui kedudukan sebenar. Terkini, Muhammad Sajat dan rombongannya telah dibawa keluar dari Mekah.

Pada 31 Disember lalu, kerajaan Cina telah memaklumkan kepada WHO mengenai kes-kes pneumonia di Wuhan yang tidak diketahui virusnya. Hanya seminggu kemudian, WHO mengenalpasti ia sebagai coronavirus. Cuti Tahun Baru Cina yang meningkatkan pergerakan manusia ke merata tempat telah menyumbang penularan penyakit ini ke negara-negara lain di dunia termasuk Malaysia. Terkini, jumlah kematian di Cina ialah 361 orang dengan 17,000 kes di dalam negara itu.

Kelmarin juga, penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an di sebuah rumah kosong di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, dihebohkan di media sosial kononnya rumah kosong itu berhantu. Bagaimana pun penduduk Hasnawi Hasim yang tinggal bersebelahan sejak kecil tidak tahu menahu rumah itu berhantu.

Berita Nur Sajat, virus coronavirus dan rumah berhantu adalah berita yang tidak ada kena mengena secara langsung dengan kita. Namun, kita mengetahuinya melalui media dan ia membina suatu persepsi yang akhirnya secara bawah sedar menjadi pendirian kita. Minda kita telah memproses sesuatu berita yang sampai ke pengetahuan kita.

Kelajuan dan tularnya sesebuah berita itu menjadikan kita tenggelam untuk bertanya kesahihan sesebuah berita itu. Apatah lagi bila ia disampaikan dalam bentuk berita yang bertulis, minda kita terus menganggap ia sesuatu yang benar. Tanpa disedari, kita mengambil masa berjam-jam untuk membaca, menonton dan memperkatakan mengenai sesebuah berita itu. Kemuncaknya, keyakinan kita kepada sesebuah berita itu membuatkan kita menyampaikannya kepada orang lain. Betul atau tidaknya sesebuah berita itu sudah tidak penting lagi.

Dunia media pada hari ini telah mendekatkan kita kepada semua kejadian yang terjadi di muka bumi ini. Setiap saat, terdapat ribuan kejadian yang berlaku di dunia, baik yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan. Semuanya berlaku di depan batang hidung apabila ia terpapar di kaca televisyen mahupun di skrin komputer. Namun, yang membimbangkan itulah yang terlekat di minda hingga kita terfikir-fikir hal itu meskipun kita ada kerja lain yang hendak dibuat.

Tidak boleh tidak, ia membawa kita ke situasi terlebih fikir atau overthinking. Dari sudut psikologi, terlebih fikir ini adalah sebuah keadaan di mana seseorang itu memikirkan sesuatu perkara itu secara berulang-ulang. Jika dalam keadaan biasa, kita memikirkan sesuatu masalah peribadi, kini satu masalah dunia terbenam dan terbeban mengacau fikiran kita. Para psikologis yakin, situasi terlebih fikir atau overthinking ini membawa kepada keadaan stres dan depresi.

Kalau overthinking hal-hal peribadi itu boleh ditangani dengan bertindak, overthinking hal-hal yang datang sebagai mesej dan berita yang tular itu tidak akan berakhir kerana ia di luar kawalan kita. Tidak fasal-fasal, ini akan memakan tenaga kerana kita akan memikirkannya secara berulang-ulang. Kemunculan sesuatu berita itu di laman sosial menambah beban di fikiran kita. Jiwa jadi tidak stabil.

Apa akan berlaku seandainya kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji berikutan dengan kes Sajat itu? Bagaimana jika jiran di sebelah rumah mengalami jangkitan coronavirus? Apakah ada rumah kosong yang ditinggalkan bertahun-tahun tanpa penghuni di kampung kita? Seimbas fikir, kita akan kata ia mengarut. Namun sedarkah kita bahawa fikiran-fikiran itulah yang sering bertandang di fikiran kita tatkala kita membaca atau menonton sesebuah berita itu?

Overthinking itu melibatkan permainan fikiran mengenai hal-hal semalam dan esok. Hal semalam tidak dapat kita capai dan hal esok tidak dapat kita jangkau. Yang boleh kita tangani ialah hal hari ini. Hal-hal hari ini adalah yang menyentuh kita dan mereka yang kita sayangi  secara langsung.

Berbaloi jugalah jika overthinking itu mengenai hal-hal yang langsung mengenai diri kita. Rugi sangat seandainya apa yang menjadikan kita overthinking itu sesuatu yang di luar kawalan kita. Lebih-lebih lagi apabila hal-hal itu sudah mengganggu kita tatkala solat. Solat saya pernah terganggu kerana hal-hal sebegini. Mudah-mudahan, anda tidak sampai begitu!

Novel Thriller Atasi Novel Cinta

Novel Thriller Atasi Novel Cinta

SHAH ALAM – Novel bergenre thriller menjadi tumpuan utama pengunjung pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf yang berlangsung di Kompleks Karangkraf di sini bermula kelmarin sehingga 9 Februari ini.

Jika empat tahun sebelum ini novel bergenre cinta sering menjadi pilihan tetapi kini situasinya berubah apabila trend pembelian novel thriller mula mengambil tempat.

Editor Kanan Grup Buku Karangkraf (GBK), Mazuen Yahaya berkata, penangan novel thriller semakin menjadi-jadi sejak kemunculan penulis genre itu seperti Arifful Baqi (Survival), Ahmad Erkan (Vektor), Arman Jazee (LP.3) dan terbaharu karya penulis prolifik terkenal, Ramlee Awang Murshid berjudul Haura.

Mazuen Yahaya, Editor Kanan Grup Buku Karangkraf

“Garapan daripada penulis yang menyelitkan pelbagai aksi seperti babak penyiasatan, penggunaan senjata api, konflik dan percintaan pasti menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca untuk membaca babak seterusnya.

“Kebetulan pula sempena jualan gudang kali ini, Ramlee Awang Murshid ada Haura dan ia merupakan naskhah istimewa untuk peminat novel thriller dan cinta kerana penceritaannya yang mengangkat kisah cinta detektif polis serta berlatar belakangkan lokasi di Melbourne,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Haura - Jualan Gudang Awal Tahun
Haura – Novel terbaru Ramlee Awang Murshid boleh didapati di Jualan Gudang Awal Tahun.

Menurutnya, peminat novel thriller dan seram boleh menikmati potongan harga sebanyak 25 hingga 30 peratus dan untuk lebih jimat mereka, digalakkan daftar sebagai ahli VIP Karangkraf.

Pelbagai tawaran menarik menanti pengunjung sepanjang 10 hari Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf berlangsung.

Lebih menarik, sebanyak 200,000 buku latih tubi terbitan Bestari Karangkraf dengan harga serendah 50 sen turut ditawarkan kepada pengunjung.

Terdapat tiga lokasi untuk setiap ruang pameran mengikut jenis bahan bacaan yang disediakan bagi memudahkan pengunjung untuk mencari buku yang diingini iaitu di Studio F, Auditorium dan lobi Karangkraf. ~ petikan dari Sinar Harian

Kerana Koronavirus Pesta Buku Taipei Ditangguh

Kerana Koronavirus Pesta Buku Taipei Ditangguh

WILLIAM YEN/FOCUS TAIWAN/30 JANUARI 2020

Taipei ~ Pesta buku 2020 Taipei International Book Exhibition (TIBE), yang dikunjungi lebih 580,000 pelawat pada tahun lalu telah ditangguhkan ke bulan Mei. Pestabuku yang bakal berlangsung pada 4-9 Februari ini ditangguh ke bulan Mei dari 7-12.

Penangguhan ini berikutan dengan menularnya virus coronavirus. Demikian kenyataan Kementerian Kebudayaaan. Sebelum itu, Taipei Book Fair Foundation, perwakilan pempamer serta persatuan penerbit telah berbincang dan memutuskan pestabuku itu perlu ditangguhkan.

Di negara Taiwan, 8 orang telah disahkan menghidap coronavirus sementara di negara Cina, lebih 7,000 mangsa dengan 170 kematian telah direkodkan sejak Disember tahun lalu.

Keputusan penangguhan itu juga diambil kerana pihak penganjur menjangka jumlah pengunjung akan berkurangan. Ramai pempamer dari luar negara telah membatalkan penyertaan mereka. Bagaimana pun, Taipei Book Fair Foundation memutuskan untuk tetap memberi kemasukan percuma kepada para pelancong dan mereka dari luar negara untuk berkunjung ke pestabuku pada Mei hadapan.

Betapa pun, Menteri Kebudayaan Cheng Li-chiun berkata, meskipun pestabuku tersebut telah ditangguh, kementeriannya tetap mempromosi tabiat membaca dan kempen membeli buku pada bulan Februari ini.

Siapa Minat Baca Kisah Perniagaan?

Siapa Minat Baca Kisah Perniagaan?

MAAFCAKAP 29.1.2020

Malek Ridzuan bin Yusof adalah salah seorang junior saya dari kampus UiTM Shah Alam. Beliau berusia 32 tahun yang saya sudah boleh dipanggil anak. Wan adalah usahawan kecil yang berjiwa besar. Pengalamannya pun hebat kerana pernah bekerja di dua buah syarikat pemakanan yang besar dan terkenal di Malaysia.

Pagi kelmarin, Wan, menemui saya di sebuah restoran mamak untuk bertukar-tukar fikiran. Topik perbualan kami begitu luas meliputi pelbagai bidang dalam skop perniagaan. Kami berbincang mengenai ekosistem ekonomi, pemasaran, penjenamaan, rekabentuk, peruncit, pengedar, pengeluar, pengilang, pengguna dan tentu sekali topik yang sedang hangat diperkatakan iaitu gerakan Buy Muslim First atau BMF.

Kami setuju bahawa orang Melayu kini begitu aktif dan kian sepakat dalam bidang ekonomi kerana mereka sudah letih menaruh harapan dengan kepimpinan politik Melayu. Mereka dilihat asyik berpolemik, beretorik dengan kuasa yang nampaknya kian longgar dari genggaman mereka. Front politik yang walaupun nampak mula bertaut pun belum tentu kekal jajarannya. Maklumlah, politics is the art of the impossible.

Dunia politik pun sudah penuh dengan para pemain, penyokong dan para pengulasnya hingga kita sudah over-politiking. Apa sahaja akan dipolitikkan termasuklah mengenai coronavirus. Kerana itu, jika sebahagian daripada orang Melayu tidak lagi jadi pemain, penyokong dan pengulas bidang politik, padang itu masih meriah dan riuh lagi.

Padang yang kadang-kadang bising, malah selalu sunyi ialah padang ekonomi. Tidak ramai orang Melayu yang aktif di bidang ini. Kalau ada pun yang aktif ialah mereka yang mempolitikkan perniagaan. Apa jua keputusan pemerintah mengenai ekonomi dilihat dari sudut politik. Seolah-olah politik adalah paksi semua keputusan perniagaan.

Memang rancak perbualan kami pada pagi kelmarin. Tiba-tiba Wan menghulur ke hadapan saya sehelai kertas yang mengandungi catatan dan lakaran. Dengan serius, Wan memberitahu yang dia ingin menulis sebuah buku perniagaan. Ia bukannya buku ilmiah perniagaan. Sebaliknya ia adalah catatan mengenai apa yang beliau harungi untuk berdiri teguh.

Wan memohon saya menjadi coachnya supaya catatannya akan terhasil sebagai sebuah buku. Malah, Wan mencadangkan agar saya memberi latihan kepada beberapa orang rakan yang lain untuk menulis. Katanya, ada beberapa orang teman-temannya yang ingin mendapat bimbingan dalam penulisan.

Maka timbul pula idea alangkah eloknya jika ia adalah mengenai kisah hidup, tetapi dikhususkan kepada bidang perniagaan. Biarpun ia berbentuk autobiografi iaitu seseorang menulis mengenai dirinya sendiri, penulisan yang digarap dengan kisah penglibatan seseorang dalam bidang perniagaan akan penuh dengan kisah suka, duka, masam, manis, senyum dan airmata. Semua kisah-kisah ini boleh menjadi bahan bacaan yang penuh inspirasi. Malah, buat penulisnya sendiri, ia adalah harta intelek dan harta pusaka yang ternilai untuk rujukan anak cucu.

Saya timbulkan kepada Wan mengenai betapa hebatnya orang terdahulu meninggalkan harta pusaka bukan sahaja dalam bentuk sawah berelung-relung, tombak, keris berluk, pending permata mahupun kitab-kitab lama. Orang sekarang memang tidak punyai banyak tinggalan yang ternilai meskipun ia berbentuk aset seperti tanah dan rumah untuk anak cucu.

Apakah tinggalan yang hendak dibanggakan oleh anak cucu? Buku autobiografi iaitu catatan mengenai diri sendiri yang disalut sejarah hidup, perjuangan untuk diri dan keluarga serta berlatarbelakangkan salah silah keluarga yang berketurunan itulah yang menjadi harta yang tidak ternilai.

Selama ini, saya biasa melatih mereka yang berminat untuk menghasilkan novel. Ramai teman-teman penulis yang turut mengadakan bengkel penulisan novel. Akhirnya terdapat terlalu ramai mereka yang menulis fiksyen.  

Bidang penulisan mengenai kisah hidup dari mereka yang menceburi bidang perniagaan adalah sesuatu yang tidak banyak diketengahkan untuk tatapan khalayak. Kita kena pelbagaikan juga genre bacaan para peminat buku. Ruanglingkup bahan bacaannya perlu diperluaskan. Golongan yang meminati tulisan semi-ilmiah tidak kurang khalayaknya. Dan, orang yang berniaga seperti Wan perlu merakam kisahnya untuk tatapan para peminat buku.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]