MAAFCAKAP 29.1.2020

Malek Ridzuan bin Yusof adalah salah seorang junior saya dari kampus UiTM Shah Alam. Beliau berusia 32 tahun yang saya sudah boleh dipanggil anak. Wan adalah usahawan kecil yang berjiwa besar. Pengalamannya pun hebat kerana pernah bekerja di dua buah syarikat pemakanan yang besar dan terkenal di Malaysia.

Pagi kelmarin, Wan, menemui saya di sebuah restoran mamak untuk bertukar-tukar fikiran. Topik perbualan kami begitu luas meliputi pelbagai bidang dalam skop perniagaan. Kami berbincang mengenai ekosistem ekonomi, pemasaran, penjenamaan, rekabentuk, peruncit, pengedar, pengeluar, pengilang, pengguna dan tentu sekali topik yang sedang hangat diperkatakan iaitu gerakan Buy Muslim First atau BMF.

Kami setuju bahawa orang Melayu kini begitu aktif dan kian sepakat dalam bidang ekonomi kerana mereka sudah letih menaruh harapan dengan kepimpinan politik Melayu. Mereka dilihat asyik berpolemik, beretorik dengan kuasa yang nampaknya kian longgar dari genggaman mereka. Front politik yang walaupun nampak mula bertaut pun belum tentu kekal jajarannya. Maklumlah, politics is the art of the impossible.

Dunia politik pun sudah penuh dengan para pemain, penyokong dan para pengulasnya hingga kita sudah over-politiking. Apa sahaja akan dipolitikkan termasuklah mengenai coronavirus. Kerana itu, jika sebahagian daripada orang Melayu tidak lagi jadi pemain, penyokong dan pengulas bidang politik, padang itu masih meriah dan riuh lagi.

Padang yang kadang-kadang bising, malah selalu sunyi ialah padang ekonomi. Tidak ramai orang Melayu yang aktif di bidang ini. Kalau ada pun yang aktif ialah mereka yang mempolitikkan perniagaan. Apa jua keputusan pemerintah mengenai ekonomi dilihat dari sudut politik. Seolah-olah politik adalah paksi semua keputusan perniagaan.

Memang rancak perbualan kami pada pagi kelmarin. Tiba-tiba Wan menghulur ke hadapan saya sehelai kertas yang mengandungi catatan dan lakaran. Dengan serius, Wan memberitahu yang dia ingin menulis sebuah buku perniagaan. Ia bukannya buku ilmiah perniagaan. Sebaliknya ia adalah catatan mengenai apa yang beliau harungi untuk berdiri teguh.

Wan memohon saya menjadi coachnya supaya catatannya akan terhasil sebagai sebuah buku. Malah, Wan mencadangkan agar saya memberi latihan kepada beberapa orang rakan yang lain untuk menulis. Katanya, ada beberapa orang teman-temannya yang ingin mendapat bimbingan dalam penulisan.

Maka timbul pula idea alangkah eloknya jika ia adalah mengenai kisah hidup, tetapi dikhususkan kepada bidang perniagaan. Biarpun ia berbentuk autobiografi iaitu seseorang menulis mengenai dirinya sendiri, penulisan yang digarap dengan kisah penglibatan seseorang dalam bidang perniagaan akan penuh dengan kisah suka, duka, masam, manis, senyum dan airmata. Semua kisah-kisah ini boleh menjadi bahan bacaan yang penuh inspirasi. Malah, buat penulisnya sendiri, ia adalah harta intelek dan harta pusaka yang ternilai untuk rujukan anak cucu.

Saya timbulkan kepada Wan mengenai betapa hebatnya orang terdahulu meninggalkan harta pusaka bukan sahaja dalam bentuk sawah berelung-relung, tombak, keris berluk, pending permata mahupun kitab-kitab lama. Orang sekarang memang tidak punyai banyak tinggalan yang ternilai meskipun ia berbentuk aset seperti tanah dan rumah untuk anak cucu.

Apakah tinggalan yang hendak dibanggakan oleh anak cucu? Buku autobiografi iaitu catatan mengenai diri sendiri yang disalut sejarah hidup, perjuangan untuk diri dan keluarga serta berlatarbelakangkan salah silah keluarga yang berketurunan itulah yang menjadi harta yang tidak ternilai.

Selama ini, saya biasa melatih mereka yang berminat untuk menghasilkan novel. Ramai teman-teman penulis yang turut mengadakan bengkel penulisan novel. Akhirnya terdapat terlalu ramai mereka yang menulis fiksyen.  

Bidang penulisan mengenai kisah hidup dari mereka yang menceburi bidang perniagaan adalah sesuatu yang tidak banyak diketengahkan untuk tatapan khalayak. Kita kena pelbagaikan juga genre bacaan para peminat buku. Ruanglingkup bahan bacaannya perlu diperluaskan. Golongan yang meminati tulisan semi-ilmiah tidak kurang khalayaknya. Dan, orang yang berniaga seperti Wan perlu merakam kisahnya untuk tatapan para peminat buku.