MAAFCAKAP 5.2.2020

Kelmarin, heboh di media sosial mengenai peniaga Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat  yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita. Bila mengetahui hal itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengecam, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi. Menteri itu telah memanggil agensi umrah yang membawa peniaga tersebut untuk mengetahui kedudukan sebenar. Terkini, Muhammad Sajat dan rombongannya telah dibawa keluar dari Mekah.

Pada 31 Disember lalu, kerajaan Cina telah memaklumkan kepada WHO mengenai kes-kes pneumonia di Wuhan yang tidak diketahui virusnya. Hanya seminggu kemudian, WHO mengenalpasti ia sebagai coronavirus. Cuti Tahun Baru Cina yang meningkatkan pergerakan manusia ke merata tempat telah menyumbang penularan penyakit ini ke negara-negara lain di dunia termasuk Malaysia. Terkini, jumlah kematian di Cina ialah 361 orang dengan 17,000 kes di dalam negara itu.

Kelmarin juga, penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an di sebuah rumah kosong di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, dihebohkan di media sosial kononnya rumah kosong itu berhantu. Bagaimana pun penduduk Hasnawi Hasim yang tinggal bersebelahan sejak kecil tidak tahu menahu rumah itu berhantu.

Berita Nur Sajat, virus coronavirus dan rumah berhantu adalah berita yang tidak ada kena mengena secara langsung dengan kita. Namun, kita mengetahuinya melalui media dan ia membina suatu persepsi yang akhirnya secara bawah sedar menjadi pendirian kita. Minda kita telah memproses sesuatu berita yang sampai ke pengetahuan kita.

Kelajuan dan tularnya sesebuah berita itu menjadikan kita tenggelam untuk bertanya kesahihan sesebuah berita itu. Apatah lagi bila ia disampaikan dalam bentuk berita yang bertulis, minda kita terus menganggap ia sesuatu yang benar. Tanpa disedari, kita mengambil masa berjam-jam untuk membaca, menonton dan memperkatakan mengenai sesebuah berita itu. Kemuncaknya, keyakinan kita kepada sesebuah berita itu membuatkan kita menyampaikannya kepada orang lain. Betul atau tidaknya sesebuah berita itu sudah tidak penting lagi.

Dunia media pada hari ini telah mendekatkan kita kepada semua kejadian yang terjadi di muka bumi ini. Setiap saat, terdapat ribuan kejadian yang berlaku di dunia, baik yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan. Semuanya berlaku di depan batang hidung apabila ia terpapar di kaca televisyen mahupun di skrin komputer. Namun, yang membimbangkan itulah yang terlekat di minda hingga kita terfikir-fikir hal itu meskipun kita ada kerja lain yang hendak dibuat.

Tidak boleh tidak, ia membawa kita ke situasi terlebih fikir atau overthinking. Dari sudut psikologi, terlebih fikir ini adalah sebuah keadaan di mana seseorang itu memikirkan sesuatu perkara itu secara berulang-ulang. Jika dalam keadaan biasa, kita memikirkan sesuatu masalah peribadi, kini satu masalah dunia terbenam dan terbeban mengacau fikiran kita. Para psikologis yakin, situasi terlebih fikir atau overthinking ini membawa kepada keadaan stres dan depresi.

Kalau overthinking hal-hal peribadi itu boleh ditangani dengan bertindak, overthinking hal-hal yang datang sebagai mesej dan berita yang tular itu tidak akan berakhir kerana ia di luar kawalan kita. Tidak fasal-fasal, ini akan memakan tenaga kerana kita akan memikirkannya secara berulang-ulang. Kemunculan sesuatu berita itu di laman sosial menambah beban di fikiran kita. Jiwa jadi tidak stabil.

Apa akan berlaku seandainya kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji berikutan dengan kes Sajat itu? Bagaimana jika jiran di sebelah rumah mengalami jangkitan coronavirus? Apakah ada rumah kosong yang ditinggalkan bertahun-tahun tanpa penghuni di kampung kita? Seimbas fikir, kita akan kata ia mengarut. Namun sedarkah kita bahawa fikiran-fikiran itulah yang sering bertandang di fikiran kita tatkala kita membaca atau menonton sesebuah berita itu?

Overthinking itu melibatkan permainan fikiran mengenai hal-hal semalam dan esok. Hal semalam tidak dapat kita capai dan hal esok tidak dapat kita jangkau. Yang boleh kita tangani ialah hal hari ini. Hal-hal hari ini adalah yang menyentuh kita dan mereka yang kita sayangi  secara langsung.

Berbaloi jugalah jika overthinking itu mengenai hal-hal yang langsung mengenai diri kita. Rugi sangat seandainya apa yang menjadikan kita overthinking itu sesuatu yang di luar kawalan kita. Lebih-lebih lagi apabila hal-hal itu sudah mengganggu kita tatkala solat. Solat saya pernah terganggu kerana hal-hal sebegini. Mudah-mudahan, anda tidak sampai begitu!