BLOG

Berehat Untuk Bermuhasabah

Berehat Untuk Bermuhasabah

MAAFCAKAP 18.3.2020

Petang kelmarin jumlah pengunjung ke pasaraya berhampiran dengan rumah saya macam pada petang Ramadan. Jalan jem. Sehinggakan memaksa seorang anggota polis turun dari jip yang kebetulannya lalu di jalan untuk mengkoordinasi lalulintas. 

Pasaraya dah sesak. Pembeli pula berbaris di kaunter membayar. Wajah-wajah mereka kesemuanya ketat. Setelah membayar, masing-masing kelihatan tergesa-gesa keluar ke kenderaan masing-masing seperti mengejar waktu berbuka. 

Tak nampak pula mereka panic buying. Cuma yang jelas ada di kalangan mereka yang impulsive buying atau membeli tanpa berfikir hingga penuh troli seperti hendak menyimpan makanan di kala perintah berkurung. Asalkan jangan jadikan rumah setor simpanan barangan, sudahlah. Tapi tanda-tanda yang rakyat mula gusar itu bagus kerana ia menggambarkan yang mereka mula faham dan amat berhati-hati agar dapat menghindar dari terkena penyakit itu. 

Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, hingga 31 Mac 2020, kita wajib patuh dengan perintah yang memakan masa 14 hari ini. Dua kematian yang diumumkan semalam adalah amaran bahawa wabak ini amat berbahaya. 

Sekolah dan universiti ditutup, premis perniagaan dan pejabat kerajaan juga tidak beroperasi melainkan sektor-sektor yang perlu sahaja. Ini adalah suatu perubahan yang perlu kita hadapi. Bagi yang tinggal di kota, kita tidak boleh menghabiskan cuti ini dengan bersantai  di mall atau di pawagam kerana ianya ditutup. Kita tidak juga boleh pergi berekreasi ke taman tema. Barangkali, sekadar berjoging di taman rekreasi sahaja yang okey kerana ia di tempat terbuka dan dilakukan dengan penjarakkan sosial.

Yang berbeza juga kali ini ialah kita tidak dapat menjalani ibadah sembahyang berjemaah dan juga solat Jumaat di masjid. Segala aktiviti anjuran masjid juga tidak boleh dianjurkan. Kita mungkin akan mendengar azan dari rumah tanda masuknya waktu, tetapi hanya boleh menunaikannya di rumah. Mudah-mudahan ia akan menimbulkan rasa rindu kepada masjid.

Sebenarnya, Perintah Kawalan Pergerakan akan mengubah hidup kita. Jika cuti panjang yang kita alami sebelum ini seperti cuti hari raya yang dilalui dengan penuh keseronokan, cuti panjang kali ini adalah peluang bagi kita untuk mengatur kembali jalan hidup yang kononnya penuh dengan kesibukan.

Pada cuti kali ini, kita tidak perlu terkejar-kejar menunaikan solat subuh sebelum bergegas ke pejabat. Kita akan dikelilingi anak-anak yang boleh kita tatap kerana mereka tidak ke sekolah. Barangkali kita sempat bergurau senda dengan mereka sambil berbual dengan pasangan tatkala sarapan di rumah.

Apabila sang suami tidak ke surau, maka inilah masa yang baik untuk berjemaah bersama keluarga. Ini jugalah waktu yang bagus untuk melakukan tazkirah untuk memeriksa hala tuju hidup seisi keluarga. Inilah masanya untuk memperbaharui nawaitu hidup agar dapat ke Jannah bersama keluarga.

Kita punyai dua minggu atau 14 hari atau 336 jam yang perlu kita jadikan waktu untuk memeriksa diri. Bila kita berasa sentiasa tidak cukup masa, sentiasa berasa terbeban dengan tugas dan selalu berasa bosan dengan apa yang dilakukan, inilah waktu terbaik untuk kita merefleksi diri.

Kita kena lakukan muhasabah diri dalam tempoh 14 hari ini kerana tidak akan punyai luang masa seperti ini lagi pada masa akan datang kecuali jika kita berada dalam suasana peperangan. Ruang waktu di masa Perintah Kawalan Pergerakan ini harus digunakan untuk mengumpul tenaga dan memperteguh iltizam sebagai persediaan untuk berlari kembali setelah perintah ini tamat.

Bagaimana pula bagi mereka yang bertugas di sektor-sektor penting yang terpaksa bekerja dan tidak memperoleh masa untuk berehat seperti sebilangan daripada kita? Apabila kita kena bekerja tanpa rehat dan tanpa cuti sedangkan kita tahu ada di antara jiran-jiran kita tidak bekerja, kita sebenarnya memperoleh bahagian kita juga.

Percayalah. Mereka yang terpaksa bercuti itu amat menghormati pengorbanan kita. Meskipun dalam keterpaksaan, kita adalah golongan yang terpilih untuk menjaga sebahagian rakyat Malaysia yang lain. Bangga kerana mampu berjasa adalah perasaan yang tiada tolok bandingnya. Kerana, ia petanda kita memperoleh penghormatan dari langit. Penghormatan dari langit itu lebih bermakna dan berganda pahalanya. Amin.

Benarkah Novelis Dean Koontz Meramal Pandemik Virus Covid-19?

Benarkah Novelis Dean Koontz Meramal Pandemik Virus Covid-19?

HARMEET KAUR.CNN.13 MARCH 2020

Apabila coronavirus diisytihar sebagai sebuah pandemik, khalayak pembaca mula mencari ketenangan dengan menonton wayang dan juga membaca buku-buku mengenai penyakit-penyakit wabak yang lain.

Terdapat di antara karya-karya yang dibaca itu mempunyai persamaan yang menyeramkan. Ini menjadikan mereka mendakwa sesetengah penulis sudah meramal penularan coronavirus.

Salah satu contoh yang nyata ialah novel thriller Dean Koontz berjudul The Eyes of Darkness.

Dalam sebuah ciapan yang dikongsi khalayak, seseorang mengatakan Koontz telah meramal penularan coronavirus apabila dia terbaca sebuah halaman di dalam novel itu. Namun, adalah keterlaluan untuk mengatakan Koontz telah meramalnya. Bukankah novel itu hanya sebuah karya fiksyen?

Bagaimana pun, mari kita lihat apa yang sebenarnya ditulis oleh David Koontz ini.

Dalam sebuah petikan halaman daripada novel itu, watak Dombey menceritakan bagaimana seorang saintis China membawa senjata biologi yang diberi nama ‘Wuhan-400’ ke Amerika Syarikat.

Terjemahan halaman 555 novel The Eyes of Darkness:

“Untuk faham,” kata Dombey, “kamu kenalah mengimbau 20 bulan nan lalu. Pada waktu itu, seorang saintis China bernama Li Chen telah lari ke Amerika Syarikat. Dia bawa bersamanya sebuah rekod penting lagi berbahaya mengenai sebuah senjata biologi pada dekad itu. Mereka gelar benda itu, Wuhan-400 kerana ia dibangunkan di makmal RDNA  di luar bandaraya Wuhan. Ia adalah campuran mikro organisme yang ke 400 yang dibina di makmal penyelidikan itu.”

Pertama, dalam novel asal The Eyes of Darkness yang diterbitkan pada tahun 1981, senjata biologi ini diberi nama “Gorki-400,” yang berbaur Russia. Nama itu ditukar kepada “Wuhan-400” apabila buku itu diedar kembali pada tahun 1989, menurut akhbar The South China Morning Post.

Adalah benar, coronavirus berpunca dari Wuhan, China, Namun, ia bukannya ciptaan dari sebuah makmal menurut teori konspirasi yang tiada kesahihan. Ia juga telah dinafikan oleh saintis dari China dan juga Barat.

Pakar-pakar sedang mengkaji sumber asal virus itu. Penyelidikan mendapati ia mungkin datang dari kelawar yang kemudiannya berjangkit kepada manusia; sama seperti epidemik SARS pada tahun 2003. 

Dalam buku itu, virus itu membunuh manusia pada kadar 100 %, menurut watak Dombey. Namun yang sebenarnya, coronavirus tidak mampu membunuh semua mangsanya.

Pada kenyataannya, mereka yang dijangkiti virus ini (merujuk Covid-19) akan menampakkan kesannya selepas lima hari dijangkiti yang mula kelihatan dalam tempoh dua minggu. Dan, kadar kematian tidak pernah sampai hingga 100 %.

Meskipun virus itu boleh membunuh, warga tua dan mereka yang punyai kelemahan dalam sistem imuniti diri atau keadaan kesihatan lain yang akan berdepan dengan risiko yang serius.

Pakar-pakar mengatakan kadar kematian dijangka antara 3 % hingga 4 % sahaja di seluruh dunia berdasarkan statistik yang diperolehi.

Justeru itu, meskipun Dean Koontz adalah seorang novelis yang mengagumkan, dia bukannya seorang peramal!

Sumber:

https://edition.cnn.com/2020/03/13/us/dean-koontz-novel-coronavirus-debunk-trnd/index.html

Tiga Aspek Tumpuan Kabinet 2020

Tiga Aspek Tumpuan Kabinet 2020

MAAFCAKAP 12.3.2020

Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berjaya membariskan Jemaah Menteri Kabinet 2020. Alhamdulilah kerana beliau diberi ruang untuk berfikir dengan lebih selesa apabila dua pemimpin parti UMNO dan Pas telah menyatakan bahawa mereka tidak mahu dipilih untuk menganggotai kabinet.

Kenyataan Dauk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak menyertai kabinet sebenarnya mematikan hasrat ahli-ahli parti UMNO dan Pas untuk mendesak dengan pelbagai formula, sifir dan kuota untuk parti masing-masing.

Satu lagi faktor yang penting dalam pertimbangan pemilihan TSMY ialah kesemua nama mereka yang tersenarai itu telah melepasi tapisan SPRM dan juga PDRM. Moga-moga anggota kabinet ini juga telah melepasi piawaian Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Malaysian Qualification Agency (MQA) dari segi akademik!

Perdana Menteri kita nyata berpandangan jauh. Beliau mengutamakan tiga aspek dalam pembinaan manusia iaitu aspek mental, emosional dan material. Beliau memilih untuk menyentuh tiga buah kementerian berkaitan secara khusus di dalam teks ucapan pembentukan kabinet baharunya.

Dari segi mental, beliau telah mengumumkan untuk memisahkan pendidikan kepada dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengurangkan beban bidang tugas di antara pendidikan sekolah dan institusi pendidikan tinggi. Kita mengharapkan warga kerja di sektor pendidikan dapat mengangkat kembali prestasi kualiti pendidikan di Malaysia hingga kembali menjadi rujukan negara-negara lain seperti sebelum ini.

Sudah lebih separuh abad kita daripada pelbagai kaum di Malaysia dapat hidup bersama secara bertoleransi, muhibbah dan berharmoni. Namun akhir-akhir ini kita tidak pandai menjaga dan mengambil hati.

Kita berpolitik hingga menjejaskan hubungan sesama kita. Kementerian Perpaduan Negara yang ditubuhkan harus peka dengan gelodak emosi rakyat Malaysia. Aspek emosi inilah yang patut diurus dengan baik. Banyakkan berbicara mengenai titik persamaan bukannya jurang perbezaan. Seperti harapan TSMY, perpaduan itu penentu kelangsungan atau survival negara kita.

Aspek material juga disentuh oleh Perdana Menteri kita. Hal menangani ekonomi yang kian mencabar menjadi agenda jangka pendeknya. Namun yang menjadi agenda jangka panjang sebenarnya ialah material atau benda untuk masa depan.

Kementerian Alam Sekitar yang akan diwujudkan itu sebenarnya mempunyai agenda jangka panjang tentang bagaimana kita mengurus alam sekeliling. Jika kita berpandangan jauh, dunia tempat kita tinggal inilah satu-satunya material bernilai yang harus kita jagai dan wariskan kepada anak cucu kita.

Jemaah Kabinet 2020 harus juga mengambil semangat ini an menyematkan elemen mental, emosional dan material ini di dalam agenda kementerian masing-masing.

Dan Brown Menulis Buku Bergambar Pula

Dan Brown Menulis Buku Bergambar Pula

ALISON FLOOD.THE GUARDIAN.21.2.2020 – COVER PICTURE BY BUSINESSINSIDER.COM

DAN BROWN bukan sahaja berbakat dalam bidang penulisan. Beliau juga adalah seorang komposer. Kini, Brown menonjolkan bakatnya sebagai seorang pengarang buku bergambar.

Buku kanak-kanak Wild Symphony (pixcredit: FB Susan Batori)

Penulis The Da Vinci Code itu kini sedang giat menulis buku bergambarnya yang pertama berjudul author Wild Symphony, sebuah buku kisah binatang. Buku yang bakal dilancarkan pada 1 September hadapan, akan diterbitkan bersama sebuah album muzik klasik.

Brown sebenarnya adalah seorang yang mempunyai latarbelakang muzik. Beliau telah menerbitkan beberapa buah album sebelum menulis novel The Da Vinci Code.

Hasil karyanya yang terkini itu diilhamkan dari buku-buku klasik di zaman kanak-kanaknya seperti buku Peter and the Wolf. Puffin, sebuah penerbit buku kanak-kanak yang berprestij akan menerbitkan bukunya. Buku itu akan diilustrasikan oleh Susan Batori, seorang ilustrator buku dari Hungary.

Sementara itu, album muzik yang akan dilancarkan bersama dengan buku itu pula akan dipersembahkan oleh Zagreb Festival Orchestra dari Croatia. Sebuah persembahan perdana sempena pelancaran buku itu yang diikuti dengan persembahan-persembahan konsert yang lain akan diadakan ke merata dunia.

“Saya suka bercerita. Novel-novel saya sentiasa cuba menyulam pelbagai tema,” kata Brown.

Beliau yang kini sedang menulis buku thriller With Wild Symphony mengatakan, “Saya begitu teruja dapat menggabungkan tiga medium seni iaitu lukisan, muzik dan bahasa.

Susan Batori (pixcredit: childrensilustrator)

Jika sesebuah opera boleh memukau audien dengan rekaan set, muzik yang dramatik dan drama, Wild Symphony cuba menjamu mata, telinga dan minda anda secara serentak.”

Pautan asal:

https://amp.theguardian.com/books/2020/feb/21/dan-brown-announces-debut-picture-book-da-vinci-code-wild-symphony

Ada Pihak Tulis Buku Tipu Coronavirus

Ada Pihak Tulis Buku Tipu Coronavirus

JANE ROBERTS.UNDARK.6.3.2020

KETIKA orang ramai sibuk membeli topeng muka, sekumpulan manusia oportunis kini mengerumuni Amazon.com dengan penghasilan buku dan manual yang mendakwa sebagai rahsia agar dapat bertahan dari wabak ini. 

Sejak akhir Januari lalu, terdapat beratus judul berkaitan dengan Covid-19 yang terjual atas talian yang nampaknya ditulis menggunakan nama palsu atau nama samaran. Salah sebuah daripadanya berjudul “Coronavirus 101: Everything You Should Know to Avoid Illness and Protect Yourself from the Wuhan 2020 Outbreak” and “Coronavirus and Face Masks: The Truth,” yang mendakwa ditulis bersama dengan Dr. Zoe Gottlieb. 

Di halaman penulis buku itu tertera sebuah foto seorang wanita berkot putih yang diambil dari arah belakang, yang mengatakan Dr. Gottlieb adalah seorang doktor pakar penyakit berjangkit, yang berkelulusan sarjana bioengineering dan sains biomedik dari Universiti California.

Carian mengenai Gottlieb dan rekod penerbitan mengenai imunologi dan penyakit berjangkit tidak menemui apa-apa. Beberapa buah buku Gottlieb didapati ‘tiada stok’ menjelang pagi Jumaat apabila Undark mempersoalkan kesahihannya.

Dua buah buku lagi didapati telah ditarik dari pasaran kononnya ditulis oleh Dr. Sanjay Gupta, seorang sarjana dalam bidang perubatan dan lain-lain kelulusan. Sebuah lagi buku berjudul “Coronavirus Disease: A Practical Guide for Preparation and Protection,” kononnya terbitan bersama  U.S. Department of Health and Human Services (HHS), sebuah agensi yang tidak wujud.

Sesetengah judul tidak mempunyai nahu dan format buku yang betul. Ia turut bermain dengan teori konspirasi mengenai asal-usul virus itu. Kebanyakan maklumat di dalam buku itu juga hanya mengulang apa yang telah dinyatakan oleh pihak berkuasa kesihatan seperti Centers for Disease Control and Prevention and the World Health Organization. 

Buku-buku itu didapati begitu laris. Menjelang Khamis, sekurang-kurangnya terdapat lima judul berkaitan dengan coronavirus dalam senarai 100 ebuku laris di Amazon. 

Pihak Amazon tidak dapat memberi kenyataan rasmi. Namun melalui emel jurucakap Stephany Rochon, mengatakan syarikat itu sentiasa mempastikan penjual, penulis dan penerbit memberikan maklumat yang tepat. Mana-mana buku yang didapati melanggar peraturan itu akan ditarik dari pasaran.

*UNDARK adalah sebuah portal yang memperkatakan mengenai sains dan masyarakat. 

Pautan asal: https://undark.org/2020/03/06/coronavirus-books-amazon-outbreak/

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]