MAAFCAKAP 18.3.2020
Petang kelmarin jumlah pengunjung ke pasaraya berhampiran dengan rumah saya macam pada petang Ramadan. Jalan jem. Sehinggakan memaksa seorang anggota polis turun dari jip yang kebetulannya lalu di jalan untuk mengkoordinasi lalulintas.
Pasaraya dah sesak. Pembeli pula berbaris di kaunter membayar. Wajah-wajah mereka kesemuanya ketat. Setelah membayar, masing-masing kelihatan tergesa-gesa keluar ke kenderaan masing-masing seperti mengejar waktu berbuka.
Tak nampak pula mereka panic buying. Cuma yang jelas ada di kalangan mereka yang impulsive buying atau membeli tanpa berfikir hingga penuh troli seperti hendak menyimpan makanan di kala perintah berkurung. Asalkan jangan jadikan rumah setor simpanan barangan, sudahlah. Tapi tanda-tanda yang rakyat mula gusar itu bagus kerana ia menggambarkan yang mereka mula faham dan amat berhati-hati agar dapat menghindar dari terkena penyakit itu.
Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, hingga 31 Mac 2020, kita wajib patuh dengan perintah yang memakan masa 14 hari ini. Dua kematian yang diumumkan semalam adalah amaran bahawa wabak ini amat berbahaya.
Sekolah dan universiti ditutup, premis perniagaan dan pejabat kerajaan juga tidak beroperasi melainkan sektor-sektor yang perlu sahaja. Ini adalah suatu perubahan yang perlu kita hadapi. Bagi yang tinggal di kota, kita tidak boleh menghabiskan cuti ini dengan bersantai di mall atau di pawagam kerana ianya ditutup. Kita tidak juga boleh pergi berekreasi ke taman tema. Barangkali, sekadar berjoging di taman rekreasi sahaja yang okey kerana ia di tempat terbuka dan dilakukan dengan penjarakkan sosial.
Yang berbeza juga kali ini ialah kita tidak dapat menjalani ibadah sembahyang berjemaah dan juga solat Jumaat di masjid. Segala aktiviti anjuran masjid juga tidak boleh dianjurkan. Kita mungkin akan mendengar azan dari rumah tanda masuknya waktu, tetapi hanya boleh menunaikannya di rumah. Mudah-mudahan ia akan menimbulkan rasa rindu kepada masjid.
Sebenarnya, Perintah Kawalan Pergerakan akan mengubah hidup kita. Jika cuti panjang yang kita alami sebelum ini seperti cuti hari raya yang dilalui dengan penuh keseronokan, cuti panjang kali ini adalah peluang bagi kita untuk mengatur kembali jalan hidup yang kononnya penuh dengan kesibukan.
Pada cuti kali ini, kita tidak perlu terkejar-kejar menunaikan solat subuh sebelum bergegas ke pejabat. Kita akan dikelilingi anak-anak yang boleh kita tatap kerana mereka tidak ke sekolah. Barangkali kita sempat bergurau senda dengan mereka sambil berbual dengan pasangan tatkala sarapan di rumah.
Apabila sang suami tidak ke surau, maka inilah masa yang baik untuk berjemaah bersama keluarga. Ini jugalah waktu yang bagus untuk melakukan tazkirah untuk memeriksa hala tuju hidup seisi keluarga. Inilah masanya untuk memperbaharui nawaitu hidup agar dapat ke Jannah bersama keluarga.
Kita punyai dua minggu atau 14 hari atau 336 jam yang perlu kita jadikan waktu untuk memeriksa diri. Bila kita berasa sentiasa tidak cukup masa, sentiasa berasa terbeban dengan tugas dan selalu berasa bosan dengan apa yang dilakukan, inilah waktu terbaik untuk kita merefleksi diri.
Kita kena lakukan muhasabah diri dalam tempoh 14 hari ini kerana tidak akan punyai luang masa seperti ini lagi pada masa akan datang kecuali jika kita berada dalam suasana peperangan. Ruang waktu di masa Perintah Kawalan Pergerakan ini harus digunakan untuk mengumpul tenaga dan memperteguh iltizam sebagai persediaan untuk berlari kembali setelah perintah ini tamat.
Bagaimana pula bagi mereka yang bertugas di sektor-sektor penting yang terpaksa bekerja dan tidak memperoleh masa untuk berehat seperti sebilangan daripada kita? Apabila kita kena bekerja tanpa rehat dan tanpa cuti sedangkan kita tahu ada di antara jiran-jiran kita tidak bekerja, kita sebenarnya memperoleh bahagian kita juga.
Percayalah. Mereka yang terpaksa bercuti itu amat menghormati pengorbanan kita. Meskipun dalam keterpaksaan, kita adalah golongan yang terpilih untuk menjaga sebahagian rakyat Malaysia yang lain. Bangga kerana mampu berjasa adalah perasaan yang tiada tolok bandingnya. Kerana, ia petanda kita memperoleh penghormatan dari langit. Penghormatan dari langit itu lebih bermakna dan berganda pahalanya. Amin.