Maaflah Kalau Kamu Terasa Macam Watak dalam Novel Saya – Stephen King
TERRY GROSS.NPR.8.4.2020
Stephen King tidak ketinggalan menulis sebuah novel mengenai pandemik virus yang mengurangkan penduduk dunia. Pada tahun 1978, novelnya The Stand dihasilkan.
Berikutan dengan keadaan pada hari ini, para peminat King mengatakan yang mereka seolah-olah berada di dalam novel beliau.

Apa respon Stephen King? “Ramai orang berkata, ‘Kami berasa macam jadi watak dalam novel Stephen King.’ Jawapan saya, “I’m sorry!”
Pandemik seperti Covid-19 “Boleh berlaku,” kata King. “Kita memang tak boleh persoalkan, dalam kehidupan manusia yang sentiasa kembara, pada bila-bila masa akan ada virus yang akan menjejaskan manusia secara keseluruhannya.”
Meskipun King dikenali sebagai penulis novel seram, menurutnya dia lebih gemar meneroka dan “menerobos ka alam yang di luar jangka dan aneh” dalam kehidupan manusia biasa.
Koleksi cerpen-cerpennya If it Bleeds mengisahkan seorang detektif, Holly Gibney. Yang mempunyai kuasa luarbiasa. Watak ini pernah dimuatkan di dalam beberapa novel lain termasuk The Outsider yang kemudiannya diadaptasi oleh HBO.

“Terdapat manusia yang punyai kuasa luarbiasa ini,” ujar King mengenai wataknya. “Orang boleh gelar saya sebagai novelis seram, okey aje buat saya. Tapi saya rasa saya lebih dari itu. Saya gemar pada misteri… misteri mengenai kita dan apa yang terdaya kita lakukan.”
COVID 19: Apa Nasib Dunia Buku Malaysia?
NAZMI YAACUB.BERITA HARIAN.6.4.2020
PENULARAN pandemik COVID-19 pada skala global ini menjejaskan semua bidang dan sektor, termasuk kesusasteraan serta industri buku di seluruh dunia.
Secara makro, penularan COVID-19 yang mendorong kepada langkah memperkenalkan perintah berkurung atau kawalan pergerakan itu, memberi impak besar kepada industri buku khususnya syarikat penerbitan, ejen sastera, pengedar, kontraktor dan kedai buku.

Ini secara langsung memberikan kesan kepada kakitangan setiap syarikat atau kedai buku, sekali gus membabitkan ahli keluarga mereka. Pada masa sama, kelembapan ekonomi yang turut dihadapi industri buku itu, menjejaskan pengarang dan penterjemah, terutama yang bergantung sepenuhnya kepada penulisan.
Bagaimana pula dengan nasib penerbit, penjual dan kedai buku sama ada syarikat besar serta rangkaian gergasi atau berskala kecil dan bebas di negara ini? Apakah nasib pengarang tanah air, terutama yang menjadi penulis bebas dan sepenuh masa?
Harus diingat, industri buku sudah mengalami masalah ekonomi sehingga banyak penerbit terpaksa menutup perniagaan atau gulung tikar, manakala sebahagian lagi sukar membayar gaji kakitangan sehingga ada yang terpaksa memberhentikan pekerja.
Ketika keadaan semua segmen dalam masyarakat dan sektor ekonomi di negara ini terjejas teruk akibat COVID-19, tentu ranah penerbitan serta kesusasteraan tanah air turut menerima kesannya, tetapi nasib mereka mungkin berada dalam senarai yang ‘terlepas pandang’.
Sebenarnya, senario yang terpaksa dihadapi penerbitan dan kesusasteraan kurang dipandang kerana tidak ada sebarang laporan penilaian menyeluruh yang dibuat untuk menilai kedudukan mereka.
Ini berbeza dengan Eropah apabila Majlis Pengarang Eropah (FWC) mengeluarkan laporan COVID-19: Impact on the EU Book Sector yang menyifatkan krisis coronavirus meletakkan kebudayaan Eropah dalam bahaya.

Ia membabitkan pembatalan acara, sesi bacaan di sekolah, perpustakaan, institusi budaya dan kedai buku, majlis anugerah, pesta buku, bengkel, syarahan serta biasiswa residensi. Apatah lagi dengan rizab yang rendah kerana pendapatan purata rendah dalam sektor buku, situasi itu mengancam ramai pengarang dan penterjemah dengan lebih cepat.
Kebanyakan pengarang, kata laporan itu, akan berdepan kejatuhan ekonomi, kehilangan bayaran dan pendedahan yang diperlukan. FWC memberi amaran kehilangan pendapatan ekoran pembatalan semua acara itu hanya gelombang pertama yang menjejaskan pengarang.
Gelombang kedua lebih berbahaya apabila membabitkan kehilangan jualan kerana kedai buku ditutup dan pelancaran judul baharu ditangguhkan, manakala gelombang ketiga pula menyaksikan pasaran buku yang kosong.
FWC turut mengingatkan pasaran buku perlu melakukan anjakan besar-besaran selepas semakin banyak kedai buku terpaksa ditutup yang sebahagiannya mungkin tidak dapat beroperasi lagi, manakala syarikat penerbitan menangguh atau membatalkan penerbitan judul baharu.
Sektor institusi budaya seperti perpustakaan, teater dan penganjur acara berskala kecil juga perlu menangani kerugian, menutup operasi atau mengurangkan belanjawan dalam program kebudayaan.
Setiap entiti dalam rangkaian buku dan budaya yang rapuh akan terjejas teruk, tetapi yang paling terkesan ialah kebanyakan pengarang sepenuh masa serta penterjemah, syarikat penerbitan berskala kecil dan kedai buku bebas.
Justeru, kita menanti penilaian daripada pemegang taruh dalam sektor buku dan bidang kesusasteraan Malaysia seperti Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Disebabkan sikap berahsia yang diamalkan sebahagian besar penerbit terutama dalam mendedahkan jumlah jualan buku dan keuntungan penerbitan, ia pasti akan mengambil masa.
Begitu juga dalam konteks persatuan penulis yang sebelum ini lebih tertumpu kepada penganjuran acara berskala kecil atau kebajikan pengarang secara ad-hoc, tentunya memerlukan berlakunya anjakan paradigma dalam kalangan penggiat persatuan berkenaan untuk menghasilkan kajian menyeluruh.
Namun, baik penerbit mahupun persatuan, mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam membuat penilaian terhadap impak COVID-19 yang dihadapi itu, bukan sahaja untuk mengharungi gelombang besar ini, bahkan sebagai persiapan pasca-COVID-19 nanti.
Apatah lagi kajian dan penilaian itu, boleh dikemukakan kepada kerajaan sebagai saranan yang perlu diberi perhatian ketika merangka sebarang pakej rangsangan ekonomi yang dijangka mungkin akan diumumkan lagi.
Artikel asal:
https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2020/04/673790/covid-19-apa-nasib-penerbit-kedai-buku-tanah-air
COVID-19: Ini Nasihat Sheikh Muszaphar
FAREEZ AZMAN.ASTRO AWANI.30.3.2020
KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, pengalaman beliau ketika berada di angkasa lepas pada 2007 boleh dijadikan panduan untuk rakyat kekal positif meskipun berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Katanya, keadaan semasa amat mencabar kekuatan mental, fizikal dan psikologi setiap rakyat apabila menerima tekanan akibat gangguan rutin seharian yang terbatas.
“Kami (angkasawan) telah diuji kekuatan mental, fikizal dan psikologi. Bagi saya, kekuatan minda itu paling penting. Memang nak ke angkasa lepas risikonya tinggi. Tetapi kami diajar untuk memisahkan logik dan emosi sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Jadi berbalik kepada PKP, bukan mudah dan bukan senang. Tapi amat penting seseorang mempunyai kekuatan mental. Gunalah masa ini untuk bonding bersama anak-anak. Saya sendiri menghabiskan banyak masa bersama anak-anak seperti mengajar mereka memasak, melukis, main board games dan banyak perkara.
“Beberapa perkara yang saya tidak boleh buat sebelum ini seperti membaca buku, juga menulis buku mengenai parenting dapat saya lakukan.
“Jadi nasihat saya, buat sesuatu yang boleh menenangkan jiwa kita. Bersolat dan meditasi juga memainkan peranan penting. Banyakkan berhubung dengan kawan-kawan dan orang yang tersayang supaya anda tidak rasa beban tinggal di rumah dalam jangka masa waktu yang panjang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Meskipun pada awalnya agak sukar bagi sesetengah rakyat untuk tinggal di rumah seperti disarankan kerajaan, namun keselamatan semua adalah tanggungjawab setiap individu di negara ini.
“Memang tidak dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan ini memberi kesukaran kepada semua rakyat Malaysia. Sekarang lebih dua minggu perintah ini dilaksanakan. Namun masih ada yang berdegil dan tidak mematuhi arahan. Ini sesuatu yang membimbangkan dan melibatkan seluruh rakyat Malaysia.

“Ketika ini, adalah sangat penting kita faham tentang bencana COVID-19 ini. Ia bukan sahaja menyerang orang tua tetapi juga menyerang golongan muda dan kanak-kanak. Virus ini boleh berada di udara dua hingga tiga jam. Sebab itu dikatakan social distancing itu amat penting dan virus ini boleh berada di pelbagai permukaan selama dua-tiga hari,” jelas beliau lagi.
Beliau percaya rantaian virus itu boleh diputuskan dengan kerjasama semua pihak dan bukan hanya dari petugas barisan hadapan.
Pautan asal:
http://www.astroawani.com/gaya-hidup/pkp-pengalaman-saya-di-angkasa-mampu-dijadikan-panduan-sheikh-muszaphar-235912
Peluang Kembali ke Pangkal Jalan
MAAFCAKAP 8.4.2020
Ini adalah hari ke-22 kita hidup dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Sudah 22 hari juga kita kehilangan kesibukan yang rutin untuk bergegas ke tempat kerja dengan mengharungi kesesakan jalanraya. Tiada pemandu di hadapan yang hendak kita marahi lagi kerana lambat bergerak tatkala lampu trafik bertukar hijau.
Tiada lagi keluhan apabila melihat begitu ramai penumpang yang menanti di platform LRT kerana kita tidak selesa berhimpit-himpit. Tidak perlu lagi fikir apa nak makan pada waktu tengahari. Tiada lagi keletihan memandu jauh ke luar kawasan kediaman untuk menghadiri majlis kenduri sahabat handai dan taulan pada hujung minggu.
Semuanya telah terhenti. Selama ini, walaupun kita sibuk atau menyibuk, kita masih bebas untuk menentukan apa yang kita mahu. Kini kita tidak lagi sesibuk dahulu apabila kita hidup dalam kurungan kediaman. Kita mati kutu pada mulanya. Tetapi kini kita terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin hidup yang sebegini.
Sebenarnya selama ini, hidup kita makin tidak terkawal. Kita bersembang dengan kawan-kawan pun tidak tentu masa. Malah dalam mesyuarat atau town hall syarikat pun kita masih membelek telefon. Banyak waktu pejabat kita ambil kerana kita semakin lemah mengawal nafsu diri untuk menumpukan masa kepada produktiviti kerja.
Kita makan apa sahaja dengan tidak menentu masa. Pagi, petang, siang dan malam kita asyik makan apa yang kita ingini. Makan di luar tidak menjadi suatu momen yang khas bagi meraikan hari jadi, meraikan kejayaan pencapaian syarikat, kenduri atau makan bersama keluarga. Bila kita asyik menjamu selera pada bila-bila masa, apa lagi yang special pada acara makan itu kecuali yang special adalah menunya?
Sesuatu yang bagus bila kita berdepan virus ini ialah pergerakan kita dilumpuhkan melalui PKP. Tabiat kita yang lepas bebas kini telah diikat. Apabila kita terpaksa berdiam di rumah, tiba-tiba kerengsaan kita kerana tidak dapat keluar itu perlahan-lahan mengubah tabiat kita tatkala sibuk.
Ada yang berkata, ia memberi kita peluang untuk reset kehidupan bermula dengan angka sifar. Saya lihat inilah satu-satunya peluang buat kita kembali ke pangkal jalan. Bagi yang gila kerja, inilah masa kita merenungi kembali bahawa kerja yang kita gilakan itu sebenarnya untuk kelangsungan hidup.
Apabila kita berdiam di rumah, kita nampak anggota keluarga yang kita abaikan selama ini. Jika anak-anak telah tidur setelah kita pulang kerja dan mereka masih tidur apabila kita keluar ke tempat kerja, kini kita boleh pandang dan tatap mereka. Kita sambung dan luaskan rasa kasih kita kepada mereka.
Bagi isteri yang memasak, inilah masa untuk mencuba puluhan resepi dari buku yang tersimpan. Dalam keadaan begini, para isteri sempat memandang makanan yang terbuang dan mula pandai menyukat kadar hidangan. Anak-anak yang sukakan makanan segera pun belajar makan apa yang emak masak. Yang penting, kita belajar berjimat cermat. Kita nampak roti adalah makanan yang mudah, sedap, mengenyang lagi menjimatkan.
Kini kita belajar menonton berita berselang-seli dengan hiburan. Kita meletakkan prioriti maklumat dan pengetahuan. Kita berpeluang untuk memberi perhatian kepada mereka yang kelaparan. Baharulah kita sedar bahawa kelaparan itu bukan semata-mata kerana berpuasa sahaja tetapi juga kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan apabila kita melihat pelbagai usaha NGO-NGO menghantar makanan kepada yang kelaparan.
Dalam suasana kita punyai banyak masa, kita berhenti untuk melihat merasai dan cakna kepada insan lain yang dalam kesusahan. Kita mula mengerti bahawa bersedekah itu bukan sahaja apabila permintaan itu tiba dalam bentuk tabung bergerak di masjid atau melalui peminta sedekah jalanan. Kini kita belajar menghulur sedekah tanpa menunggu permintaan yang datang melalui kemudahan internet.
Yang penting, dalam suasana yang lebih merehatkan ini, kita boleh lamakan sedikit solat, panjangkan doa dan mengkhatam al-Quran. Pada tempoh waktu yang diberhentikan ini, kita berpeluang merenung dan lebih mengingatkan Yang Satu. Mudah-mudahan kita sedang kembali ke pangkal jalan.
Manuskrip Bersawang Bakal Meletup Kerana COVID-19!
CNN.ALAA ELASSAR.4.4.2020
SEBUAH thriller pandemik yang satu ketika dahulu dianggap tak realistik kini mendapat perhatian meluas. Manuskrip yang tersepuk dan bersawang itu tiba-tiba menarik perhatian penerbit dan terpilih untuk dipasarkan.
Penulis skrip dan novelis, Peter May mengarang novel mengenai pandemik berjudul LOCKDOWN pada tahun 2005. Novel itu ditolak oleh banyak penerbit. Novelis yang kecewa itu terus menyimpannya. Lima belas tahun berlalu. Kini karyanya yang tidak dipedulikan itu bakal diterbitkan Khamis ini berikutan dengan wabak Covid-19.

Novel thriller ini berlatarbelakangkan kota London, paksi pandemik global yang menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menguatkuasakan lockdown. Kisahnya bukan khayalan penulis. Sebaliknya Peter May membina latar kejadian daripada dokumen-dokumen sejak tahun 2002 agar novelnya tampak realistik.
“Tatkala saya menulis novel itu, para saintis meramalkan selsema burung bakal menjadi pandemik dunia pada masa akan datang,” ujar May kepada CNN.
“Ia amat, amat menakutkan kerana kebarangkaliannya berlaku amat nyata. Saya banyak ambil masa menyelidik dan akhirnya mendapat idea, apa kata jika pandemik ini bermula di London? Bagaimana jika kota ini mengalami lockdown?
Meskipun selsema burung dan Covid-19 amat berbeza, namun senario lockdownnya seakan-akan sama dengan apa yang berlaku hari ini terhadap jutaan manusia yang berdepan dengan virus.
Penerbitnya berharap, kesamaan dengan apa yang berlaku akan menarik ramai pembaca.
“Beberapa tahun yang lalu, para penerbit menolak novel itu kerana menganggap ia tidak logik,” kata May. Berikutan itu, dia menyimpan manuskripnya hingga dia sendiri terlupa yang dia pernah menulisnya.
Sehinggalah pada suatu hari, seorang peminat di media Twitter mencadangkan dia menulis sebuah kisah berlatarbelakangkan Covid-19.
“Saya berfikir sejenak sebelum teringat yang saya sudah ada novel itu,” kata May. “Saya beritahu penerbit saya dan editor saya hampir terjatuh dari kerusi akibat terkejut. Dia membaca novel itu semalaman dan pada keesokan harinya dia berkata, “Novel ini bagus sangat. Kita kena terbitkan novel ini sekarang!”

“LOCKDOWN,” hanya boleh didapati di Amazon UK dan akan terjual dalam format Kindle. Naskhah buku dan buku audionya boleh didapati mulai 30 April.
Artikel asal:
https://edition.cnn.com/2020/04/04/us/peter-may-lockdown-coronavirus-book-trnd/index.html
Ulasan novel LOCKDOWN:
https://www.youtube.com/watch?v=W6ytGlWmWUI


