CNN.ALAA ELASSAR.4.4.2020
SEBUAH thriller pandemik yang satu ketika dahulu dianggap tak realistik kini mendapat perhatian meluas. Manuskrip yang tersepuk dan bersawang itu tiba-tiba menarik perhatian penerbit dan terpilih untuk dipasarkan.
Penulis skrip dan novelis, Peter May mengarang novel mengenai pandemik berjudul LOCKDOWN pada tahun 2005. Novel itu ditolak oleh banyak penerbit. Novelis yang kecewa itu terus menyimpannya. Lima belas tahun berlalu. Kini karyanya yang tidak dipedulikan itu bakal diterbitkan Khamis ini berikutan dengan wabak Covid-19.
Novel thriller ini berlatarbelakangkan kota London, paksi pandemik global yang menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menguatkuasakan lockdown. Kisahnya bukan khayalan penulis. Sebaliknya Peter May membina latar kejadian daripada dokumen-dokumen sejak tahun 2002 agar novelnya tampak realistik.
“Tatkala saya menulis novel itu, para saintis meramalkan selsema burung bakal menjadi pandemik dunia pada masa akan datang,” ujar May kepada CNN.
“Ia amat, amat menakutkan kerana kebarangkaliannya berlaku amat nyata. Saya banyak ambil masa menyelidik dan akhirnya mendapat idea, apa kata jika pandemik ini bermula di London? Bagaimana jika kota ini mengalami lockdown?
Meskipun selsema burung dan Covid-19 amat berbeza, namun senario lockdownnya seakan-akan sama dengan apa yang berlaku hari ini terhadap jutaan manusia yang berdepan dengan virus.
Penerbitnya berharap, kesamaan dengan apa yang berlaku akan menarik ramai pembaca.
“Beberapa tahun yang lalu, para penerbit menolak novel itu kerana menganggap ia tidak logik,” kata May. Berikutan itu, dia menyimpan manuskripnya hingga dia sendiri terlupa yang dia pernah menulisnya.
Sehinggalah pada suatu hari, seorang peminat di media Twitter mencadangkan dia menulis sebuah kisah berlatarbelakangkan Covid-19.
“Saya berfikir sejenak sebelum teringat yang saya sudah ada novel itu,” kata May. “Saya beritahu penerbit saya dan editor saya hampir terjatuh dari kerusi akibat terkejut. Dia membaca novel itu semalaman dan pada keesokan harinya dia berkata, “Novel ini bagus sangat. Kita kena terbitkan novel ini sekarang!”
“LOCKDOWN,” hanya boleh didapati di Amazon UK dan akan terjual dalam format Kindle. Naskhah buku dan buku audionya boleh didapati mulai 30 April.
Artikel asal:
https://edition.cnn.com/2020/04/04/us/peter-may-lockdown-coronavirus-book-trnd/index.html
Ulasan novel LOCKDOWN:
https://www.youtube.com/watch?v=W6ytGlWmWUI