BLOG

Lukisan Viral Yang Dikagumi Dunia

Lukisan Viral Yang Dikagumi Dunia

RASIA HASHMI.21.4.2020.SIASAT.COM

ARTIS Saudi Nabila Abujadayel melakar lukisan yang menggambarkan kekosongan dan tafakkur di Masjidilharam ketika lockdown. Lukisannya menjadi tular dan mendapat pujian di seluruh dunia.

Nabila Abujadayel (Pixcredit AlKhaleej Today)

Lukisan mengimbas keputusan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menutup Masjidilharam bagi mengekang penularan coronavirus. Lukisan yang beliau namakan ‘Isjod wa Iqtareb’ atau ‘Bersimpuh dan Bertaqarrub’ memaparkan seorang tukang cuci sedang duduk bersimpuh di hadapan Kaabah – satu-satunya insan berada di ruang kaabah yang selalunya sesak dengan para jemaah.

Nabila adalah Duta Muhibbah Pusat Bantuan Kemanusiaan King Salman. Menurutnya, idea itu adalah ilham dari realiti.

Gambar yang menjadi inspirasi Nabila untuk menjadikan ia lukisan (Pixcredit siasat.com)

Arab News memetik beliau sebagai berkata, “Inspirasi saya untuk lukisan ini adalah berdasarkan daripada sesuatu yang belum pernah terjadi. Tiba-tiba saya tersedar yang saya tidak dapat menjejaki Masjidilharam.” Katanya lagi, “Saya tersedar kalau kita dapat mengunjungi masjid, ia adalah satu penghormatan, keistimewaan dan petanda dirahmati-Nya.”

Lukisan Bersimpuh dan Bertafakkur Nabila Abujadayel yang viral. (Pixcredit siasat.com)

Mereka yang mempunyai taraf yang tinggi untuk mengunjungi Masjidilharam adalah mereka yang menyerahkan hidup mereka untuk menjaganya. Katanya, “Mereka yang tidak berwajah, tidak bernama yang kita tidak peduli inilah yang terpilih untuk mendapat peluang yang terbaik di dunia.”

Kita Sayang Negara Kita Ini

Kita Sayang Negara Kita Ini

MAAFCAKAP 29.4.2020

Hari ini adalah hari ke-43 dan hari pertama fasa keempat kita PKP. Kini nampaknya hampir seluruh rakyat Malaysia sudah menerima hakikat perubahan dalam hidup mereka. 

Bila direnungi, pandemik covid-19 telah membawa banyak hikmah yang kita tak mungkin dapat lagi di sepanjang hayat. Sesungguhnya ALLAH swt Maha Pengatur. Adalah bukan kebetulan apabila kita mendapat sebuah kerajaan baharu dari sebuah pergolakan politik pada penghujung Februari tahun ini.

Rakyat berasa lega bila akhirnya ada penyudah kepada peperangan politik yang tidak berhenti sejak PRU-14 lagi . Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac beliau mengambil masa sembilan hari untuk mengumumkan barisan kabinetnya. Sesuatu yang menarik telah terjadi. Rakyat mula sedar bahawa tatanegara masih berjalan seperti biasa. Para penjawat awam masih dapat menjalankan tugas dengan lancar. Malah, ada yang berseloroh di media sosial, kalau begini, lebih baik tiada pak menteri kerana pentadbiran negara berjalan okey sahaja. 

10 hari setelah kabinet tertubuh, PM mengumumkan PKP; suatu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Dan sebahagian besar rakyat yang tidak pernah mengalami zaman darurat dan perang dunia memang bising pada mulanya. Rakyat terpaksa melalui orientasi daripada bebas bergerak kepada yang terhad. Pendekatan petugas PDRM di sekatan jalanraya pada mulanya dibuat menasihat dan berlembut, bertukar menjadi tegas dan keras mulai fasa kedua.

Pada mulanya ramai juga yang cuba menguji had kesabaran pihak PDRM. Tetapi apabila pihak ATM pula dibawa masuk, rakyat mula mengubah sikap. Yang menarik daripada semua ini ialah, kita bukan sahaja belajar mematuhi undang-undang, malah belajar menghormati pasukan keselamatan. 

Di pihak pasukan keselamatan pula dengan mandat yang diberi telah menunjukkan taring sepatutnya dalam melaksanakan tugas. Tidak keterlaluan jika dikatakan, selama ini kita berdepan lebih ramai ‘pak guard’ yang garang daripada anggota pasukan keselamatan yang garang. Imej pasukan keselamatan di mata rakyat kini berubah. Semoga ketegasan ini kekal sampai bila-bila kerana memang tidak seronok apabila kita melihat anggota pasukan keselamatan atau penguatkuasa diacah-acah oleh mereka yang besar kepala. 

Selama ini TV hanya dianggap sebagai alat hiburan. Dalam tempoh PKP ini kita menggunakan TV sebagai alat penyampai maklumat. Setiap hari kita ternanti-nanti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, bukan lagi wajah artis kesayangan.

Kita belajar untuk melihat penjawat awam sebagai mereka yang benar-benar memberi perkhidmatan kepada rakyat. Mereka bukan lagi dipandang sebagai orang ‘saya yang menurut perintah.’ Para petugas di KKM dan barisan hadapan di pelbagai agensi kerajaan dilihat sebagai hero-hero yang memungkinkan kita nyenyak tidur. 

Apabila Covid-19 ini membuat kita duduk di rumah, dengan sendirinya kita memaksa diri untuk menerima teknologi. Kita bermesyuarat secara maya, belajar secara maya, bersembang dengan ibu dan ayah di kampung secara maya dan juga merubah cara kita membeli-belah secara online. Walaupun terpaksa, kita membiasakan diri dengan perubahan ini. Mudah-mudahan ini adalah kursus semerta untuk kita mendepani IR 4.0. 

Dalam tempoh ini jugalah rakyat menjadi patriotik. Secara bawah sedar, mereka yang duduk di rumah mahu melakukan sesuatu untuk negara. Dalam tempoh ini beberapa buah laman ‘jabatan netizen’ telah wujud. Mereka melapor apa yang mereka rasa menggugat kedaulatan negara. Isu Rohingya dan IC palsu mendapat perhatian yang besar rakyat.

Mereka juga membela individu yang dirasakan berjasa atau menggali bukti sampai ke lubang cacing mereka yang dianggap menyalahgunakan kuasa. Suara-suara di media sosial inilah yang membela Ustaz Ebit Lew yang dipanggil pihak polis di atas laporan seseorang. Suara-suara mereka jugalah menyekolahkan pelbagai individu yang dianggap menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk melanggar peraturan yang ditetapkan.

Jika diperhalusi, rakyat kembali menghirup semangat Rukunegara. Sebenarnya benteng pertahanan ketiga kita adalah rakyat. Dan kita telah hidupkan kembali semangat itu.  

*Gambar Hiasan oleh Walkerssk dari Pixabay

Buku dan COVID-19: Apa yang berlaku di Jerman

Buku dan COVID-19: Apa yang berlaku di Jerman

ARTIKEL DIPETIK DARI DW.COM

Hampir 50 % buku yang terbit di Jerman terjual di kedai-kedai buku. Jualan buku amat terjejas kerana ditutup sejak beberapa minggu. Walaupun ada kedai-kedai buku yang sudah dibuka semula sejak 20 April, jualan dijangka masih lembab.

Kerugian ke atas industri buku dijangka melebihi setengah bilion euro, menurut Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Jerman.

Dirk Rehm, penerbit buku kecil dalam kenyataannya berkata, “Keadaan masih lengang kerana orang ramai masih bimbang tentang kesihatan mereka. Lagi pula ramai yang kurang berbelanja.”

Syarikatnya yang menerbitkan komik dan novel grafik dari penulis antarabangsa mengalami kemerosotan pendapatan lebih 40 %. Bagaimana pun beliau masih terus berusaha dengan bantuan dana kerajaan dan turut mengurangkan waktu kerja untuk tujuh orang kakitangannya.

Seronok bila dapat membelek buku di dalam kedai (pixkredit: dw.com)

Penerbit-penerbit kecil mengalami kesan teruk berikutan dengan krisis coronavirus ini. Pembatalan Pesta Buku Leipzig, pesta sastera, kembara buku dan perintah berkurung hampir melenyapkan buku di mata khalayak. Oleh itu, kehadiran kedai buku dan urusniaga buku amat perlu.

Syarikat e-commerce Amazon turut menjejaskan jualan buku. Berikutan dengan covid-19, syarikat itu mengutamakan penghantaran makanan, keperluan rumah dan kosmetik. Ia memang ironi kerana Amazon pada mulanya berkembang melalui jualan buku.

Para penerbit kini tidak dapat mengedarkan buku baharu terbitan mereka dan para pelanggan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pesanan mereka.

Nina Wehner yang membuka sebuah kedai buku kecil di Berlin sebaliknya mendapat keuntungan dari keadaan ini. Sesetengah pelanggan yang geram dengan Amazon, mula mengunjungi kedai bukunya. Kini kedainya sibuk mengambil pesanan melalui telefon dan secara online. Para pembeli juga boleh mendapatkan buku masing-masing di pintu kedai pada keesokan hari. 

Dia tidak dapat membenarkan para pelanggan memasuki kedainya atas sebab kesihatan. Beliau teringin sangat dapat bersembang dengan para pelanggan. Tetapi inilah sumbangannya untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Beliau beruntung kerana memperoleh dua orang pelajar yang menjadi penghantar buku secara sukarela. Mereka menawarkan diri melalui laman Facebook dan ini meruntun perasaannya. 

Pestabuku Frankfurt masih kekalkan tarikh acaranya (pixcredit: linkedin)

Krisis covid-19 masih dibimbangi. Para pelanggan masih berhati-hati. Amazon masih belum mengalih prioriti mengutamakan penghantaran buku dan pesta-pesta buku masih dilarang sehingga 31 Ogos hadapan. 

Tetapi nampaknya sinar bakal menjelma. Pestabuku Frankfurt akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada Oktober hadapan. “Bagaimanakah bentuk pestabuku itu masih menjadi tanda tanya,” kata jurucakap pestabuku itu, Kathrin Grun. “Yang jelas, pestabuku itu pasti akan berbeza.”

Pautan asal:
https://www.dw.com/en/how-the-coronavirus-impacts-the-book-industry/a-53210592

Hari Ini Hari Indah Untuk Peminat Buku di Malaysia

Hari Ini Hari Indah Untuk Peminat Buku di Malaysia

Kuala Lumpur, 23 April, – SEBENTAR LAGI, Kuala Lumpur akan dinobatkan secara rasmi sebagai Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020. Saksikan perasmiannya secara live di  FB Page KL BACA dan Instagram @kualalumpurwbc hari ini, jam 12.00 tengah hari ini, 23.4.2020.

Pelancaran digital ini akan dimulakan dengan ucapan  Unesco Director General Audrey Azoulay, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan. Ini akan diikuti dengan bacaan puisi Merindui Buku karya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said oleh Pelakon dan Pengarah Adlin Aman Ramli.

Lagu tema KLWBC 2020 berjudul  Surat Cinta Kuala Lumpur oleh Penyanyi dan Pencipta Lagu  Ramli Sarip akan turut dilancarkan.

Kuala Lumpur diisytihar sebagai Ibukota Buku oleh Unesco pada September 2018. Kuala Lumpur adalah kota yang ke 20 dunia yang terpilih sebagai kota buku.

Program setahun ini dianjurkan oleh Dewan bandaraya uala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Mabopa.

Jangan lupa untuk ke FB KLBaca, jam 12.00 tengahari.

Norma Baharu Bawaan Covid-19

Norma Baharu Bawaan Covid-19

MAAFCAKAP 22.4.2020

Dunia masih lagi memerangi Covid-19. Serangan makhluk yang halus ini turut memperlihatkan belang sebenar pemimpin dan juga negara. Kita lihat betapa negara yang dianggap hebat dan terbaik seperti Amerika Syarikat berdepan dengan masalah besar menangani pandemik ini kerana silap pertimbangan. Kini faktor politik dan ekonomi menjadi keutamaan sebilangan rakyatnya yang tidak mahu patuh duduk di rumah.

Kita lihat negara-negara yang hebat seperti Sepanyol, Itali, Perancis dan United Kingdom nyaris tersungkur dalam keadaan panik kerana tidak bersedia dengan keadaan ini. Ribuan kematian tercatat di negara-negara ini berbanding dengan negara-negara di benua Afrika. 

Di negara-negara Asia, kecuali negara China yang mencatat ribuan kematian, negara-negara lain sedang berhempas pulas menangani pandemik ini. Doakan agar Asia lebih-lebih lagi Asia Tenggara tidak menjadi epicenter kepada penyakit ini seperti ramalan seorang pakar dari National University of Singapore, Profesor Teo Yik Ying.

Keadaan di Malaysia nampaknya makin terkawal hasil tindakan konkrit dan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia yang dibantu oleh PDRM, ATM serta puluhan kementerian dan agensi yang lain. Kita juga lihat NGO-NGO pun turut bertungkus lumus memberikan sokongan dan semangat padu samada dengan menyalurkan bantuan makanan kepada yang perlu mahupun menolong menjahit PPE untuk barisan hadapan. Tabik juga kepada rakyat Malaysia yang sama-sama membantu hanya dengan duduk di rumah.

Sudah masuk ke hari yang ke-36 kita melalui PKP. Kita tidak tahu apakah ada fasa empat selepas fasa tiga ini. Jika terpaksa melaluinya lagi, kita kenalah rela stay home dan stay safe kerana yang penting kita menang dalam peperangan dengan virus ini. Cuma apabila sudah lebih sebulan kita duduk di rumah, apakah kita sudah mula menyesuaikan diri dengan the new norm ini?

Kita tidak lagi bangun pagi untuk pergi kerja, sebaliknya bangun pagi untuk menghadap TV atau komputer. Kita tidak bermesyuarat di pejabat tetapi melalui aplikasi Zoom atau Google Meet. Stres untuk beri tumpuan bermesyuarat secara online ini, lain macam dari mesyuarat biasa di pejabat. Kita tidak makan di kantin atau restoran, sebaliknya makan di rumah.

Tiada nasi lemak gerai tepi jalan, tiada lagi ke restoran mamak hingga ke jauh malam dan yang lain juga ialah tiada lagi berjemaah dengan teman sepejabat mahupun ahli kariah setaman.

36 hari yang dilalui sebenarnya bukan sekejap, tetapi kita yang sudah terbiasa dengan keadaan PKP ini mula berasakan fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 berlalu seperti angin. Maknanya, new norm sekarang ialah duduk lebih lama di rumah daripada di luar rumah. Kita lebih lama melihat wajah suami atau isteri dan anak-anak daripada wajah bos dan teman-teman sekerja.

Begitu pun, janganlah pula menyangka new norm berkubang di rumah ini sebagai new norm baharu bilamana kita boleh bermesej di telefon sepanjang hari atau menonton berpuluh siri di Netflix atau boleh juga mencuba memperbaiki kelemahan dalam kulinari. 

New norm atau kebiasaan baharu di waktu PKP ini sebenarnya sementara. Habis PKP, berlalulah kebiasaan ini. Kita akan keluar rumah dan pergi kerja. Mungkin kita akan selalu lewat ke pejabat kerana jumlah penumpang di tren akan dikurangkan. Naik lif pun kena menunggu lebih lama kerana tidak boleh berhimpit-himpit. 

Kita masih lagi melakukan penjarakkan sosial di restoran mahupun di pasaraya. Bershopping sehari suntuk di mall atau menonton bukan sesuatu yang merehatkan. Barangkali tempat yang boleh dikunjungi ialah di taman rekreasi. Itupun kena berhati-hati. Kehidupan masih lagi tawar untuk waktu yang lama.

Justeru itu, waktu PKP ini bukannya waktu berehat, bercuti mahupun bersantai. Sebaliknya kita kena bersedia dengan kehidupan yang sedikit warna-warninya sekurang-kurangnya untuk enam bulan mendatang. Mudah-mudahan Ramadan nanti menjadi medan memperkukuh kesabaran. Mudah-mudahan bila dunia luar menjadi hambar, kita lebih selesa di rumah. Dengan itu binalah syurga di rumah mulai sekarang.

Cover Image oleh K. Kliche dari Pixabay

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]