ARTIKEL DIPETIK DARI DW.COM

Hampir 50 % buku yang terbit di Jerman terjual di kedai-kedai buku. Jualan buku amat terjejas kerana ditutup sejak beberapa minggu. Walaupun ada kedai-kedai buku yang sudah dibuka semula sejak 20 April, jualan dijangka masih lembab.

Kerugian ke atas industri buku dijangka melebihi setengah bilion euro, menurut Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Jerman.

Dirk Rehm, penerbit buku kecil dalam kenyataannya berkata, “Keadaan masih lengang kerana orang ramai masih bimbang tentang kesihatan mereka. Lagi pula ramai yang kurang berbelanja.”

Syarikatnya yang menerbitkan komik dan novel grafik dari penulis antarabangsa mengalami kemerosotan pendapatan lebih 40 %. Bagaimana pun beliau masih terus berusaha dengan bantuan dana kerajaan dan turut mengurangkan waktu kerja untuk tujuh orang kakitangannya.

Seronok bila dapat membelek buku di dalam kedai (pixkredit: dw.com)

Penerbit-penerbit kecil mengalami kesan teruk berikutan dengan krisis coronavirus ini. Pembatalan Pesta Buku Leipzig, pesta sastera, kembara buku dan perintah berkurung hampir melenyapkan buku di mata khalayak. Oleh itu, kehadiran kedai buku dan urusniaga buku amat perlu.

Syarikat e-commerce Amazon turut menjejaskan jualan buku. Berikutan dengan covid-19, syarikat itu mengutamakan penghantaran makanan, keperluan rumah dan kosmetik. Ia memang ironi kerana Amazon pada mulanya berkembang melalui jualan buku.

Para penerbit kini tidak dapat mengedarkan buku baharu terbitan mereka dan para pelanggan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pesanan mereka.

Nina Wehner yang membuka sebuah kedai buku kecil di Berlin sebaliknya mendapat keuntungan dari keadaan ini. Sesetengah pelanggan yang geram dengan Amazon, mula mengunjungi kedai bukunya. Kini kedainya sibuk mengambil pesanan melalui telefon dan secara online. Para pembeli juga boleh mendapatkan buku masing-masing di pintu kedai pada keesokan hari. 

Dia tidak dapat membenarkan para pelanggan memasuki kedainya atas sebab kesihatan. Beliau teringin sangat dapat bersembang dengan para pelanggan. Tetapi inilah sumbangannya untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Beliau beruntung kerana memperoleh dua orang pelajar yang menjadi penghantar buku secara sukarela. Mereka menawarkan diri melalui laman Facebook dan ini meruntun perasaannya. 

Pestabuku Frankfurt masih kekalkan tarikh acaranya (pixcredit: linkedin)

Krisis covid-19 masih dibimbangi. Para pelanggan masih berhati-hati. Amazon masih belum mengalih prioriti mengutamakan penghantaran buku dan pesta-pesta buku masih dilarang sehingga 31 Ogos hadapan. 

Tetapi nampaknya sinar bakal menjelma. Pestabuku Frankfurt akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada Oktober hadapan. “Bagaimanakah bentuk pestabuku itu masih menjadi tanda tanya,” kata jurucakap pestabuku itu, Kathrin Grun. “Yang jelas, pestabuku itu pasti akan berbeza.”

Pautan asal:
https://www.dw.com/en/how-the-coronavirus-impacts-the-book-industry/a-53210592