BLOG

Lahirnya Pasar Besar Orang Melayu

Lahirnya Pasar Besar Orang Melayu

MAAFCAKAP 9.9.2020

Ahad lalu, 6 September, telah berlangsung Majlis Perasmian Malakat Mall, di Cyberjaya. Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Buat ramai yang belum tahu, Malakat Mall adalah mall Muslim pertama di Malaysia, yang membawa imej bisnes Melayu moden di bandar yang menjadi hub IT negara. 

Apa signifikannya mall ini dengan kita semua? Bukankah ia juga adalah sebuah entiti perniagaan sepertimana bisnes-bisnes yang lain? Daripada sudut zahirnya memanglah begitu. Namun, dari segi isi dan inti, Malakat Mall ini membawa sebuah misi perjuangan besar untuk membina ekosistem ekonomi Melayu Islam. 

Ia bermula apabila seorang usahawan dan jutawan, Mohd. Fadzil Hashim atau Coach Fadzil menganjurkan siri-siri kursus perniagaan secara percuma kepada usahawan Melayu. Melalui diskusi susulan dengan para usahawan inilah, beliau mendapati para usahawan ini tidak dapat mengembangkan perniagaan mereka kerana tiadanya marketplace ataupun pasar besar. Lantas beliau mencari data lalu mendapati pasaran peruncitan di Malaysia yang bernilai RM110 bilion pada tahun 2019 itu dikuasai oleh pemilik asing. Mereka membolot 60 % pasaran, bukan bumiputera pula 32 % sementara peniaga Muslim hanya seciput 8 %!

Beliau tertanya-tanya mengapakah kita membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat asing untuk membuka bisnes runcit di negara kita? Bukankah jika hendak menjual beras, ikan, sayur dan minyak masak, kita pun boleh buat? Bukankah usahawan kita juga berkebolehan membuat baju, kasut, peralatan elektrik, malah komputer? Tidak mengapalah seandainya syarikat asing itu datang dan dibenarkan melabur untuk membuka syarikat membuat roket ataupun kereta terbang. Tetapi, jika sekadar membuka kedai runcit, biarlah rakyat Malaysia sendiri yang buat.

Beinspirasikan tindakan Baginda Rasulullah saw setelah berhijrah dari Mekah lalu membuka pasar Madinah, Coach Fadzil menjejaki formula itu untuk membuka pasar besar yang diberi nama Malakat Mall. Nama ‘malakat’ pula disematkan daripada nama ‘malakat’ yang bermaksud pertemuan para pedagang – gelaran untuk Melaka oleh pedagang Arab ketika zaman keagungan kesultanan Melayu Melaka.

Tatkala ingin mengisi pelbagai jenis perniagaan di Malakat Mall, tiada jenama-jenama Melayu Muslim tempatan yang terkenal berminat untuk membuka premis mereka di Malakat Mall. Memang adat, siapa yang hendak percaya dengan pembukaan sebuah mall Melayu oleh usahawan Melayu?

Ini menyebabkan Coach Fadzil dan pasukan anak-anak Melayu yang menyertainya telah mencipta dan membawa jenama-jenama baharu yang belum terdapat di pasaran tempatan. Maka wujudlah kedai alatan sukan, peralatan, alatulis, buku dan farmasi selain dari kafe dan pasar keperluan harian. Ia mengubah persepsi dan imej bahawa mall Melayu yang hanya menjual jubah dan tudung semata-mata.  

Apa yang menarik ialah, Malakat Mall dibuka tanpa pinjaman bank. Di manakah mereka memperoleh dana? Pada penghujung tahun lalu, idea membuka sebuah mall Melayu ini menarik perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). NGO yang diterajui oleh Datuk Nadzim Johan atau Toqqi telah tampil dengan membawa Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM). Koperasi yang hidup segan mati tak mahu dengan hanya 60 orang ahli segera diaktifkan.

Baharu 10 bulan ia digerakkan, jumlah ahli-ahlinya telah melangkaui 25,000 orang dengan pelaburan melebihi RM10 juta. Kemasukan pelaburan harian bernilai puluhan ribu ringgit dari ahli-ahli baharu telah memungkinkan Malakat Mall terus berkembang dengan dana sendiri. Dan mereka merancang membuka 100 buah mall dalam tempuh 10 tahun. 

Beliau dan pasukannya tidak bertepuk sebelah tangan. Tiba-tiba terdapat ramai jutawan Melayu yang tak didendang telah muncul menyuarakan hasrat untuk menyertai perjuangan ini. Perjalanan masih jauh, malah bagaikan baharu sahaja berdiri dan bertatih. 

Setakat ini belum ada lagi kumpulan anak-anak Melayu yang bergabung tenaga untuk berjuang menegakkan ekosistem ekonomi bangsa. Kita sudah ada banyak kumpulan-kumpulan yang membela bangsa dari sudut politik, bahasa, pendidikan dan kemanusiaan. Justeru itu, satu-satunya usaha mengembalikan maruah bangsa dari sudut ekonomi secara holistik ini seharusnya kita sokongi. 

Ini adalah kerana, kita sebenarnya masih dijajah dari sudut ekonomi.  

Berhentilah Dari Menjadi Hamba

Berhentilah Dari Menjadi Hamba

MAAFCAKAP 2.9.2020

Negara kita baharu sahaja menyambut Hari Kemerdekaan Yang ke-63 tahun. Negara kita sudah bebas dari cengkaman British. Sebagai rakyat, kita wajib pertahankan kedaulatan negara kita. 

Manusia yang tidak merdeka itu adalah hamba abdi. Dia boleh membebaskan dirinya setelah dibebaskan oleh orang lain ataupun terlepas bebas apabila berlakunya peperangan. 

Malaysia sudah merdeka. Namun, apakah kita sendiri sebagai warganegaranya sudah merdeka? Dari segi zahirnya kita merdeka kerana boleh bergerak ke mana-mana dalam suasana yang aman. Kita boleh buat apa yang kita suka dan makan apa yang kita mahu. 

Namun sedarkah kita, dalam pada kita berasa kita ini bebas dan merdeka, mengapa pula kita pilih hal-hal yang akhirnya memenjarakan diri kita kembali? Apakah kita sedar, terdapat banyak sekali aspek kehidupan yang menjadikan kita hamba yang tidak merdeka? Dan yang mengikat kita adalah diri kita sendiri? 

Di antara perkara yang kita bebas memilih ialah pendidikan. Mengisi dada dengan ilmu itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan. Ia memenuhi tuntutan intelektual manusia. Kita bebas memilih jurusan mana yang kini ingini. Bagaimana pun, mengapa pula kita menyalahkan pihak lain seperti pemerintah mahupun syarikat-syarikat apabila mereka tidak mengambil kita bekerja? 

Setelah merdeka untuk memilih bidang yang kita minati, kita mestilah juga merdekakan diri untuk mencipta kerja sekiranya tiada kerja. Ada ribuan jenis kerja yang boleh dilakukan. Ada banyak sekali cara untuk memperoleh pendapatan asalkan kita memerdekakan diri daripada paradigma seandainya kita belajar dalam sesebuah bidang, kita mesti bekerja dalam bidang yang sama. Bila kita berfikiran begitu, apakah itu tidak bermakna kita memasung pemikiran kita daripada merdeka untuk berfikir dan bertindak?

Dalam bidang sosial, terdapat satu kepercayaan bahawa kita tidak mahu minda kita dikuasai oleh media massa. Apa yang diperkatakan oleh pihak yang berkuasa melalui media massa itu tidak boleh dipercayai kerana ia bertujuan untuk mengurung pemikiran kita. Tetapi kita sendiri mencari jalan dan cara untuk mengikuti segala perkembangan yang melalut dan mengarut dalam media sosial. Apa sahaja aplikasi yang datang, kita sertai dengan penuh seronok, tanpa menyedari ia memenjarakan kita dari melakukan aktiviti berfaedah melainkan membuang masa. 

Di bidang ekonomi pula, apakah kita berbelanja kerana keperluan ataupun berbelanja kerana menyambut seruan iklan? Siapakah yang memaksa kita membeli barangan yang tidak perlu? Siapakah pula yang menyuruh kita membeli dengan cara ansuran dengan harga yang lebih tinggi sedangkan kita boleh mendapatkan dengan harga yang jauh lebih murah dengan tunai? Dan apakah kita meneliti, barangan yang kita beli itu barangan keperluan ataupun kehendak? Apakah produk tawaran istimewa yang kita dapatkan itu menguntungkan apabila dibeli atau lebih menguntungkan jika kita tidak beli? Siapa yang merdeka di sini?

Kita mahu sihat? Pilihlah makanan yang sihat. Tetapi mengapa kita memilih makanan yang berminyak, berlemak dan bergula? Pelik. Kita mahu sihat, tetapi bertindak secara yang tidak sihat. Baguslah bila kita memahami cara menjaga kesihatan dengan berdiet. Tetapi sejak bila timbul istilah cheat day dalam berdaiet hingga kita akhirnya amalkan cheat day, everyday?

Dari segi beragama pun kita tahu mendapat pahala yang lebih banyak itu lebih baik daripada pahala yang sedikit. Kita bebas membuat pilihan yang mana lebih baik. Oleh itu, mengapa kita jauhkan diri dengan solat sendirian daripada solat berjemaah? Mengapa kita ikut orang lain berdoa dalam bahasa Arab yang kita tidak fahami sedangkan kita tahu memahami sesebuah doa itu lebih baik? ALLAH swt membebaskan kita memilih yang terbaik, tetapi kenapa kita ikat diri dengan memilih yang kurang baik?

Dalam pada kita bersorak-sorai meraikan kemerdekaan negara, renungilah samada kita sendiri telah memerdekakan diri dari pemikiran ikut-ikutan yang sebenarnya satu bentuk pemenjaraan fikiran. Tiada manusia yang berfikiran waras mahu dirinya diperhambakan oleh orang lain. Kita mahu bebas. Kita mahu merdeka. Kerana itu, janganlah pula kita buat keputusan dan tindakan yang akhirnya menjadikan kita hamba kepada diri sendiri!

Pemimpin Yang Berani Mengaku Salah

Pemimpin Yang Berani Mengaku Salah

MAAFCAKAP 26.8.2020

Apakah itu pemimpin? Pemimpin adalah ketua. Dia menjadi ketua pula kerana dipilih oleh para pengikut yang menyakininya. Oleh kerana dia pemimpin, dia akan berada di hadapan dan di atas. Dari depan atau dari atas, dia akan nampak lebih jauh daripada para pengikutnya. Dia akan nampak peluang mahupun masalah lebih dahulu daripada mereka yang dipimpinnya.

Pengikut pula lazimnya berada di belakang. Umpama dalam sebuah perjalanan yang jauh, para pengikut akan menuruti jejak pemimpin. Oleh kerana berada di belakang atau di bawah, dia tidak nampak apa yang pemimpin lihat. Tetapi oleh kerana mereka menyakini pemimpin, para pengikut akan patuh terhadap arahan daripada pemimpin mereka.

Secara tamsilannya, pemimpin sememangnya memimpin para pengikutnya. Adat orang memimpin, dia mesti berada hampir dengan mereka yang dipimpinnya. Dia perlu sentiasa memberi semangat kepada mereka agar sama-sama menuruti langkahnya supaya sama-sama sampai ke matlamat. 

Kerana itu dia juga tidak boleh berada terlalu ke hadapan atau terlalu tinggi hingga tidak dapat dilihat oleh para pengikutnya. Sekiranya terdapat pengikut yang tertinggal, pemimpin harus berpatah balik untuk menarik mereka yang ketinggalan jauh untuk berada dalam kumpulan. Pemimpin juga harus mengembalikan pengikut yang tersesat ke dalam kumpulan yang dipimpinnya.

Dalam pelbagai situasi, pemimpin perlu autokratik dalam keadaan krisis dan bahaya. Dia perlu mainkan peranan untuk mendesak dan memerintah dalam keadaan kritikal agar pengikut patuh dan semuanya selamat dari bahaya. Dalam keadaan pengikut yang lemah, pemimpin perlu naikkan semangat pengikut agar beristiqamah bergerak ke matlamat. Dalam keadaan senang dan berjaya dalam perjuangan pula, masing-masing boleh meraikan kemenangan. Namun setelah itu mereka perlu menghulurkan tangan pula kepada kumpulan-kumpulan lain yang masih terkial-kial merangkak mencari kejayaan. Inilah kemanusiaan.

Pemimpin perlukan pengikut dan begitulah sebaliknya. Pemimpin dipilih untuk bertindak penuh hikmah dalam apa jua keadaan pun. Pengikut pula wajib menuruti arahan pemimpin samada dia setuju ataupun tidak asalkan arahan pemimpin itu bukannya berupa kemungkaran.

Saling hormat menghormati peranan masing-masing itu adalah ikatan yang merangkumi etika dan adab berorganisasi. Dalam konteks peraturan dan hukum, ia sama rata. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi atau memanipulasi undang-undang yang berkuatkuasa ke atas sesiapa sahaja.

Kerana itu, andainya seseorang pemimpin itu bersalah, dia sepatutnya lebih awal mengaku, sebab dia lebih tahu. Dia juga harus sedia menerima implikasi di atas kesalahannya. Tidak boleh pula dia meuar-uarkan jasa-jasanya yang lain selama ini untuk mengecilkan kesalahan yang telah dilakukan. Yang ingin diadili ialah kesalahan, bukannya menghargai segala kebaikannya.

Tindakan sebegitu seolah-olah mengajak para pengikut untuk melanggar peraturan dengan pelbagai helah untuk melepas diri. Kesalahan yang kecil pun adalah kesalahan. Kesalahan yang kecil pula adalah besar di mata pengikut kerana ia dilihat dari kacamata pengikut bahawa seseorang pemimpin itu seharusnya maksum. Meskipun ia tidak adil, tetapi itulah pandangan bersalut harapan para pengikut.

Benarlah, pemimpin harus berani ke kehadapan, berani harungi cabaran, berani daripada pengikut dan juga berani mengaku salah dan menerima hukuman tanpa berdalih lagi. Pemimpin yang berani sebegitu akan melahirkan pengikut yang berani berpegang kepada hukum. Sesungguhnya hukum itu adalah pagar agar manusia tidak terjerlus ke jurang kecelakaan. 

Aspek Hijrah yang Jarang Disentuh

Aspek Hijrah yang Jarang Disentuh

MAAFCAKAP 20.8.2020

Hari ini adalah hari cuti. Cuti apa? Cuti Awal Muharam. Kebanyakan daripada kita akan teringat yang esok adalah hari cuti, boleh berehat dan pergi jalan-jalan. Sedangkan awal Muharam adalah hari cuti untuk mengingati betapa signifikan penghijrahan Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah. Hijrah ini adalah simbol pengorbanan yang dilakukan Baginda dan jemaahnya sebagai game changer. 

Sejak diutus menjadi Rasulullah saw, Baginda membina akidah dan tauhid selama 13 tahun di Mekah. Bagaimana pun tentangan dari kaum Quraisy menggugat usaha Baginda. Apabila ALLAH SWT mengutuskan agar Baginda berhijrah ke Madinah, maka Rasulullah saw bersama para sahabat. Di kalangan mereka terdapat para usahawan dan jutawan yang turut serta sehelai sepinggang meninggalkan segala harta. 

Di Madinah, Rasulullah membina masjid, pasar dan kemudiannya menegakkan sebuah negara. Baginda menyusun piagam Madinah yang merupakan panduan untuk sebuah negara Islam, sistem pentadbiran, ketenteraan, diplomatik dan juga menstruktur ekonomi. Aspek ekonomi tidak banyak yang disentuh oleh para pendakwah dalam mengkisahkan hijrah Baginda. Tidak difokus bagaimana Rasulullah saw bersaing dengan ekonomi Yahudi ketika itu dengan membina pasar Islam.

Ia bermula apabila Baginda mendapat berita dari para sahabat bahawa pasar Yahudi di Madinah mengenakan harga yang tinggi, menipu dalam urusniaga dan zalim terhadap pengguna khususnya orang Islam yang dikenakan sewa yang tinggi. 

Apabila mendapat maklumat itu, Rasulullah saw tidak bertemu dengan pedagang-pedagang Yahudi untuk mendesak menuntut keadilan diberikan ruang niaga kepada usahawan Islam di dalam pasar Yahudi kerana tidak mahu para peniaga Islam terpaksa akur dengan syarat-syarat dan sepak terajang di padang permainan Yahudi.

Sebaliknya Baginda telah membina pasar Madinah yang berasingan untuk orang Islam. Baginda tahu seandainya Baginda mengambil tindakan konfrontasi dengan kaum Yahudi, ia akan menimbulkan permusuhan dan tentu sekali persengketaan yang tak berkesudahan. Pembinaan hidup baharu akan terhalang apabila muncul seteru baharu. Apa yang terjadi di Mekah akan berulang apabila dakwah terhalang.

Apabila baginda buka pasar sendiri,  ia juga memberi ruang kepada golongan usahawan Muhajirin mempunyai ruang berniaga. Dan, masyarakat Ansar yang mahir dalam pertanian pula dapat membekalkan produk mereka ke pasar Islam yang terbina. Inilah bentuk persahabatan dari segi ekonomi di antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Apabila membuka pasar sendiri, Baginda yang tentukan syarat, peraturan dan sistem yang patuh syariah. Barangan halal, sumber halal, tiada urusniaga berunsurkan riba seperti di pasar Yahudi. Pasar Islam itu memberi kitaran dalam ekosistem ekonomi Islam. Peniaga Islam berurusniaga dengan pengguna Islam juga. Ia menjana ekonomi umat Islam. Dengan keteguhan ekonomi, aktiviti dakwah dapat berjalan dengan dana kewangan yang mencukupi.

Pada hari ini, kita tidak ambil ibrah apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Strateginya ialah membina pasar sendiri, lakukan urusniaga sesama sendiri untuk mengukuhkan ekonomi. Pada hari ini kita bercakap tentang kelemahan ekonomi umat Islam, padahal kita sendiri yang meniriskan belanja di tempat lain dan mengayakan orang lain.

Berapa ramai di antara kita yang sedar formula berjaya yang dilakukan Rasulullah saw dan cuba ikut formula yang telah dicartakan oleh Baginda?  Kita berbelanja tanpa berfikir akan kesannya. Dan di mana pasar Islam kita?

Kita hanya nampak ekonomi sebagai jalan untuk membuat duit dan untung menurut ajaran dan anutan sistem yang bergelumang dengan riba. Akhirnya ekonomi negara terdedah dengan manipulasi golongan kapitalis. Ia tidak mengkayakan negara kerana berkatnya dah hilang. Kita kenalah berhijrah dalam ekonomi. Sekurang-kurangnya mulakan pada tahun ini dengan menghijrah sebahagian dari perbelanjaan kita mengutamakan peniaga-peniaga Islam. 

Inilah Dia Masyarakat Madani

Inilah Dia Masyarakat Madani

MAAFCAKAP 12.8.2020

Dua hari lalu, saya menerima video yang memaparkan kawasan kedai-kedai judi di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Video itu membawa penonton meronda dari jalan ke jalan di bandar itu dengan suara latar orang yang merakam video itu.

Suara itu mendakwa terdapat banyak pusat-pusat judi haram, penjualan rokok seludup dan juga kedai-kedai yang diusahakan oleh golongan PATI. Suara latar itu sempat berkata yang dia terpaksa menghilangkan dirinya sambil mendakwa mungkin dibunuh kerana menularkan rakaman itu. 

Pada hari yang sama, saya menemui video temubual portal Malakat Tribune dengan si empunya video yang tular itu.  Mohd Asri Hamid, ataupun Asri Janggut adalah pengasas Hot Burger Malaysia, menceritakan mengapa beliau menularkan video itu. Pengakuannya itu mendapat 31,000 perkongsian, 6,400 komen dan juga 51,000 tanda suka. Ini petanda jelas bahawa tindakannya itu mendapat sokongan orang ramai.

Berikutan dengan itu, beliau dipanggil oleh Ketua Polis Negara dan juga oleh Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hamzah Zainuddin secara berasingan. Kedua-duanya menyuarakan pandangan yang sama iaitu akan mengambil tindakan terhadap anggota PDRM seandainya mereka didapati tidak menjalankan tanggungjawab. 

Pihak PDRM telah membuat serbuan di kawasan yang dinyatakan. Gabungan NGO-NGO Islam, PEMBELA menyokong penuh tindakan Asri Janggut dan akan membela beliau sekiranya dizalimi sebagai pelapor.  Kuasa viral media. Inilah kuasa baharu yang berperanan memapar dan menyebarluaskan sesebuah berita kepada masyarakat dengan kadar segera. 

Laporan begini bukanlah hebahan pertama yang dibuat oleh orang awam. Sebelum ini, berpuluh-puluh video angkara salahlaku telah tersebar. Video pemandu mabuk yang melanggar orang yang tidak bersalah, pergaduhan penghantar makanan dengan pelanggan, kes peragut, malah patient under surveillance Covid-19 (PUS) yang memakai gelang pink mudah dikesan pihak bertanggungjawab berikutan pantasnya penyebaran sesebuah video dan foto melalui media siber.

Orang ramai kian berani untuk berkata yang benar. Jika dahulu, rakyat Malaysia pernah dikatakan sebagai golongan yang takut untuk tampil sebagai saksi, kini tidak lagi. Malah, terdapat pelbagai akaun media sosial seperti Info Trafik Kemalangan, Kes Jenayah Malaysia dan pelbagai laman Jabatan Netizen yang sedia mengumpul dan menularkan segala maklumat salahlaku. Ia membantu pihak berkuasa mendapat bahan bukti dan bertindak.

Setelah hampir 63 tahun merdeka, masyarakat Malaysia telah menunjukkan kematangan dan berubah menjadi sebuah masyarakat yang madani. Kita punyai pelbagai NGO-NGO kemanusiaan yang muncul membantu mereka dalam kesusahan. Kita telah lihat betapa pantasnya mereka membantu golongan B40 dengan menghantar bahan makanan dan juga peralatan PPE kepada frontliners tatkala PKP kerana Covid-19.

Kita juga mempunyai banyak sekali badan-badan amal kebajikan, pendidikan, kepenggunaan, pendidikan dan perundangan yang sedia menyingsing lengan membantu tugas pihak berkuasa sebagai pasukan sokongan mahupun menjadi kumpulan pendesak agar penguatkuasaan dan pelaksanaan dasar pihak pemerintah dapat dijalankan secara saksama.

Yang penting, mereka tidak menangani undang-undang di tangan sendiri. Kian ramai di kalangan kita yang sedia menjadi pembela rakyat. Konsep kita jaga kita. Inilah civil society atau masyarakat madani. 

Dari suatu sudut, mereka telah mengambil alih peranan ahli-ahli politik yang seharusnya membela mereka tetapi, maaf cakap… menjadi bahan hiburan dan jenaka rakyat. 

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]