MAAFCAKAP 2.9.2020

Negara kita baharu sahaja menyambut Hari Kemerdekaan Yang ke-63 tahun. Negara kita sudah bebas dari cengkaman British. Sebagai rakyat, kita wajib pertahankan kedaulatan negara kita. 

Manusia yang tidak merdeka itu adalah hamba abdi. Dia boleh membebaskan dirinya setelah dibebaskan oleh orang lain ataupun terlepas bebas apabila berlakunya peperangan. 

Malaysia sudah merdeka. Namun, apakah kita sendiri sebagai warganegaranya sudah merdeka? Dari segi zahirnya kita merdeka kerana boleh bergerak ke mana-mana dalam suasana yang aman. Kita boleh buat apa yang kita suka dan makan apa yang kita mahu. 

Namun sedarkah kita, dalam pada kita berasa kita ini bebas dan merdeka, mengapa pula kita pilih hal-hal yang akhirnya memenjarakan diri kita kembali? Apakah kita sedar, terdapat banyak sekali aspek kehidupan yang menjadikan kita hamba yang tidak merdeka? Dan yang mengikat kita adalah diri kita sendiri? 

Di antara perkara yang kita bebas memilih ialah pendidikan. Mengisi dada dengan ilmu itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan. Ia memenuhi tuntutan intelektual manusia. Kita bebas memilih jurusan mana yang kini ingini. Bagaimana pun, mengapa pula kita menyalahkan pihak lain seperti pemerintah mahupun syarikat-syarikat apabila mereka tidak mengambil kita bekerja? 

Setelah merdeka untuk memilih bidang yang kita minati, kita mestilah juga merdekakan diri untuk mencipta kerja sekiranya tiada kerja. Ada ribuan jenis kerja yang boleh dilakukan. Ada banyak sekali cara untuk memperoleh pendapatan asalkan kita memerdekakan diri daripada paradigma seandainya kita belajar dalam sesebuah bidang, kita mesti bekerja dalam bidang yang sama. Bila kita berfikiran begitu, apakah itu tidak bermakna kita memasung pemikiran kita daripada merdeka untuk berfikir dan bertindak?

Dalam bidang sosial, terdapat satu kepercayaan bahawa kita tidak mahu minda kita dikuasai oleh media massa. Apa yang diperkatakan oleh pihak yang berkuasa melalui media massa itu tidak boleh dipercayai kerana ia bertujuan untuk mengurung pemikiran kita. Tetapi kita sendiri mencari jalan dan cara untuk mengikuti segala perkembangan yang melalut dan mengarut dalam media sosial. Apa sahaja aplikasi yang datang, kita sertai dengan penuh seronok, tanpa menyedari ia memenjarakan kita dari melakukan aktiviti berfaedah melainkan membuang masa. 

Di bidang ekonomi pula, apakah kita berbelanja kerana keperluan ataupun berbelanja kerana menyambut seruan iklan? Siapakah yang memaksa kita membeli barangan yang tidak perlu? Siapakah pula yang menyuruh kita membeli dengan cara ansuran dengan harga yang lebih tinggi sedangkan kita boleh mendapatkan dengan harga yang jauh lebih murah dengan tunai? Dan apakah kita meneliti, barangan yang kita beli itu barangan keperluan ataupun kehendak? Apakah produk tawaran istimewa yang kita dapatkan itu menguntungkan apabila dibeli atau lebih menguntungkan jika kita tidak beli? Siapa yang merdeka di sini?

Kita mahu sihat? Pilihlah makanan yang sihat. Tetapi mengapa kita memilih makanan yang berminyak, berlemak dan bergula? Pelik. Kita mahu sihat, tetapi bertindak secara yang tidak sihat. Baguslah bila kita memahami cara menjaga kesihatan dengan berdiet. Tetapi sejak bila timbul istilah cheat day dalam berdaiet hingga kita akhirnya amalkan cheat day, everyday?

Dari segi beragama pun kita tahu mendapat pahala yang lebih banyak itu lebih baik daripada pahala yang sedikit. Kita bebas membuat pilihan yang mana lebih baik. Oleh itu, mengapa kita jauhkan diri dengan solat sendirian daripada solat berjemaah? Mengapa kita ikut orang lain berdoa dalam bahasa Arab yang kita tidak fahami sedangkan kita tahu memahami sesebuah doa itu lebih baik? ALLAH swt membebaskan kita memilih yang terbaik, tetapi kenapa kita ikat diri dengan memilih yang kurang baik?

Dalam pada kita bersorak-sorai meraikan kemerdekaan negara, renungilah samada kita sendiri telah memerdekakan diri dari pemikiran ikut-ikutan yang sebenarnya satu bentuk pemenjaraan fikiran. Tiada manusia yang berfikiran waras mahu dirinya diperhambakan oleh orang lain. Kita mahu bebas. Kita mahu merdeka. Kerana itu, janganlah pula kita buat keputusan dan tindakan yang akhirnya menjadikan kita hamba kepada diri sendiri!