MAAFCAKAP 9.9.2020

Ahad lalu, 6 September, telah berlangsung Majlis Perasmian Malakat Mall, di Cyberjaya. Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Buat ramai yang belum tahu, Malakat Mall adalah mall Muslim pertama di Malaysia, yang membawa imej bisnes Melayu moden di bandar yang menjadi hub IT negara. 

Apa signifikannya mall ini dengan kita semua? Bukankah ia juga adalah sebuah entiti perniagaan sepertimana bisnes-bisnes yang lain? Daripada sudut zahirnya memanglah begitu. Namun, dari segi isi dan inti, Malakat Mall ini membawa sebuah misi perjuangan besar untuk membina ekosistem ekonomi Melayu Islam. 

Ia bermula apabila seorang usahawan dan jutawan, Mohd. Fadzil Hashim atau Coach Fadzil menganjurkan siri-siri kursus perniagaan secara percuma kepada usahawan Melayu. Melalui diskusi susulan dengan para usahawan inilah, beliau mendapati para usahawan ini tidak dapat mengembangkan perniagaan mereka kerana tiadanya marketplace ataupun pasar besar. Lantas beliau mencari data lalu mendapati pasaran peruncitan di Malaysia yang bernilai RM110 bilion pada tahun 2019 itu dikuasai oleh pemilik asing. Mereka membolot 60 % pasaran, bukan bumiputera pula 32 % sementara peniaga Muslim hanya seciput 8 %!

Beliau tertanya-tanya mengapakah kita membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat asing untuk membuka bisnes runcit di negara kita? Bukankah jika hendak menjual beras, ikan, sayur dan minyak masak, kita pun boleh buat? Bukankah usahawan kita juga berkebolehan membuat baju, kasut, peralatan elektrik, malah komputer? Tidak mengapalah seandainya syarikat asing itu datang dan dibenarkan melabur untuk membuka syarikat membuat roket ataupun kereta terbang. Tetapi, jika sekadar membuka kedai runcit, biarlah rakyat Malaysia sendiri yang buat.

Beinspirasikan tindakan Baginda Rasulullah saw setelah berhijrah dari Mekah lalu membuka pasar Madinah, Coach Fadzil menjejaki formula itu untuk membuka pasar besar yang diberi nama Malakat Mall. Nama ‘malakat’ pula disematkan daripada nama ‘malakat’ yang bermaksud pertemuan para pedagang – gelaran untuk Melaka oleh pedagang Arab ketika zaman keagungan kesultanan Melayu Melaka.

Tatkala ingin mengisi pelbagai jenis perniagaan di Malakat Mall, tiada jenama-jenama Melayu Muslim tempatan yang terkenal berminat untuk membuka premis mereka di Malakat Mall. Memang adat, siapa yang hendak percaya dengan pembukaan sebuah mall Melayu oleh usahawan Melayu?

Ini menyebabkan Coach Fadzil dan pasukan anak-anak Melayu yang menyertainya telah mencipta dan membawa jenama-jenama baharu yang belum terdapat di pasaran tempatan. Maka wujudlah kedai alatan sukan, peralatan, alatulis, buku dan farmasi selain dari kafe dan pasar keperluan harian. Ia mengubah persepsi dan imej bahawa mall Melayu yang hanya menjual jubah dan tudung semata-mata.  

Apa yang menarik ialah, Malakat Mall dibuka tanpa pinjaman bank. Di manakah mereka memperoleh dana? Pada penghujung tahun lalu, idea membuka sebuah mall Melayu ini menarik perhatian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). NGO yang diterajui oleh Datuk Nadzim Johan atau Toqqi telah tampil dengan membawa Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM). Koperasi yang hidup segan mati tak mahu dengan hanya 60 orang ahli segera diaktifkan.

Baharu 10 bulan ia digerakkan, jumlah ahli-ahlinya telah melangkaui 25,000 orang dengan pelaburan melebihi RM10 juta. Kemasukan pelaburan harian bernilai puluhan ribu ringgit dari ahli-ahli baharu telah memungkinkan Malakat Mall terus berkembang dengan dana sendiri. Dan mereka merancang membuka 100 buah mall dalam tempuh 10 tahun. 

Beliau dan pasukannya tidak bertepuk sebelah tangan. Tiba-tiba terdapat ramai jutawan Melayu yang tak didendang telah muncul menyuarakan hasrat untuk menyertai perjuangan ini. Perjalanan masih jauh, malah bagaikan baharu sahaja berdiri dan bertatih. 

Setakat ini belum ada lagi kumpulan anak-anak Melayu yang bergabung tenaga untuk berjuang menegakkan ekosistem ekonomi bangsa. Kita sudah ada banyak kumpulan-kumpulan yang membela bangsa dari sudut politik, bahasa, pendidikan dan kemanusiaan. Justeru itu, satu-satunya usaha mengembalikan maruah bangsa dari sudut ekonomi secara holistik ini seharusnya kita sokongi. 

Ini adalah kerana, kita sebenarnya masih dijajah dari sudut ekonomi.