MAAFCAKAP 12.8.2020

Dua hari lalu, saya menerima video yang memaparkan kawasan kedai-kedai judi di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. Video itu membawa penonton meronda dari jalan ke jalan di bandar itu dengan suara latar orang yang merakam video itu.

Suara itu mendakwa terdapat banyak pusat-pusat judi haram, penjualan rokok seludup dan juga kedai-kedai yang diusahakan oleh golongan PATI. Suara latar itu sempat berkata yang dia terpaksa menghilangkan dirinya sambil mendakwa mungkin dibunuh kerana menularkan rakaman itu. 

Pada hari yang sama, saya menemui video temubual portal Malakat Tribune dengan si empunya video yang tular itu.  Mohd Asri Hamid, ataupun Asri Janggut adalah pengasas Hot Burger Malaysia, menceritakan mengapa beliau menularkan video itu. Pengakuannya itu mendapat 31,000 perkongsian, 6,400 komen dan juga 51,000 tanda suka. Ini petanda jelas bahawa tindakannya itu mendapat sokongan orang ramai.

Berikutan dengan itu, beliau dipanggil oleh Ketua Polis Negara dan juga oleh Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hamzah Zainuddin secara berasingan. Kedua-duanya menyuarakan pandangan yang sama iaitu akan mengambil tindakan terhadap anggota PDRM seandainya mereka didapati tidak menjalankan tanggungjawab. 

Pihak PDRM telah membuat serbuan di kawasan yang dinyatakan. Gabungan NGO-NGO Islam, PEMBELA menyokong penuh tindakan Asri Janggut dan akan membela beliau sekiranya dizalimi sebagai pelapor.  Kuasa viral media. Inilah kuasa baharu yang berperanan memapar dan menyebarluaskan sesebuah berita kepada masyarakat dengan kadar segera. 

Laporan begini bukanlah hebahan pertama yang dibuat oleh orang awam. Sebelum ini, berpuluh-puluh video angkara salahlaku telah tersebar. Video pemandu mabuk yang melanggar orang yang tidak bersalah, pergaduhan penghantar makanan dengan pelanggan, kes peragut, malah patient under surveillance Covid-19 (PUS) yang memakai gelang pink mudah dikesan pihak bertanggungjawab berikutan pantasnya penyebaran sesebuah video dan foto melalui media siber.

Orang ramai kian berani untuk berkata yang benar. Jika dahulu, rakyat Malaysia pernah dikatakan sebagai golongan yang takut untuk tampil sebagai saksi, kini tidak lagi. Malah, terdapat pelbagai akaun media sosial seperti Info Trafik Kemalangan, Kes Jenayah Malaysia dan pelbagai laman Jabatan Netizen yang sedia mengumpul dan menularkan segala maklumat salahlaku. Ia membantu pihak berkuasa mendapat bahan bukti dan bertindak.

Setelah hampir 63 tahun merdeka, masyarakat Malaysia telah menunjukkan kematangan dan berubah menjadi sebuah masyarakat yang madani. Kita punyai pelbagai NGO-NGO kemanusiaan yang muncul membantu mereka dalam kesusahan. Kita telah lihat betapa pantasnya mereka membantu golongan B40 dengan menghantar bahan makanan dan juga peralatan PPE kepada frontliners tatkala PKP kerana Covid-19.

Kita juga mempunyai banyak sekali badan-badan amal kebajikan, pendidikan, kepenggunaan, pendidikan dan perundangan yang sedia menyingsing lengan membantu tugas pihak berkuasa sebagai pasukan sokongan mahupun menjadi kumpulan pendesak agar penguatkuasaan dan pelaksanaan dasar pihak pemerintah dapat dijalankan secara saksama.

Yang penting, mereka tidak menangani undang-undang di tangan sendiri. Kian ramai di kalangan kita yang sedia menjadi pembela rakyat. Konsep kita jaga kita. Inilah civil society atau masyarakat madani. 

Dari suatu sudut, mereka telah mengambil alih peranan ahli-ahli politik yang seharusnya membela mereka tetapi, maaf cakap… menjadi bahan hiburan dan jenaka rakyat.