Covid-19: beza pandangan 6 golongan
MAAFCAKAP 10.2.2021
Hampir setahun kita mengharungi kehidupan dalam PKP. PKP 1.0 dikatakan PKP yang berjaya. Pematuhan rakyat ketika itu amat tinggi. Hasilnya, kita hampir menang menangani pandemik hingga mendapat perhatian dan pengiktirafan WHO.
Kemudian, datang PRU Sabah pada September 2020, dan angka kes-kes baharu meningkat ke-tiga angka. Kempen dan perhimpunan ramai dikatakan di antara penyumbang kepada peningkatan kes-kes Covid-19. Tidak lama kemudian, merentas negeri dibenarkan sempena Cuti Krismas dan angka kes-kes baharu kian meningkat hingga ke empat angka.
Ramai yang tidak sedar mereka adalah pembawa virus Covid-19 dan menjadi penyebarnya bila bergerak merentas negeri. Kini kita dalam keadaan malang apabila terpaksa mengharungi PKP 2.0 dan dalam suasana darurat pula.
Terdapat beberapa golongan yang boleh kita kenalpasti berhubung dengan pendirian mereka terhadap Covid-19. Yang pasti, ada golongan yang menyokong apa yang pihak kerajaan lakukan dan golongan yang kritis.
Kini, kejayaan awal telah pihak kerajaan menangani Covid-19 telah dilupakan. Manifestasi kekecewaan ini telah menyelinap ke laman Facebook Istana Negara dan juga Facebook Presiden Indonesia, Jokowi baru-baru ini apabila sebilangan netizen melepaskan kekecewaaan mereka terhadap Perdana Menteri.
Atas apa pun alasan, jika disusuri, sebilangan daripada netizen yang mengkritik Perdana Menteri di kedua-dua laman itu adalah dari golongan aktivis politik. Tujuan mereka hanya satu ~ Parlimen dibubar dan Pilihanraya Umum diadakan. Itu sahaja.
Satu lagi golongan adalah terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman secara langsung dengan pandemik ini. Tiada sesiapa pun di kalangan keluarga, rakan sepejabat, jiran tetangga mahupun mereka yang rapat yang menghidap penyakit ini. Oleh kerana itu mereka tidak nampak apakah bahaya dan kesan penyakit ini. Justeru mereka berpendapat, PKP dan SOP yang dikenakan adalah tindakan yang menghalang aktiviti mereka khususnya aktiviti ekonomi. Mereka mahu PKP segera ditamatkan dan tidak disambung-sambung lagi.
Golongan yang percaya dengan teori konspirasi pula yakin bahawa Covid-19 ini adalah ciptaan manusia yang bertujuan untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia. Kononnya, Covid-19 disebarkan dari makmal di Wuhan, China. Kata mereka, mangsa-mangsa Covid-19 pada peringkat awal adalah pelakon-pelakon yang menggelupur di kaki lima untuk menimbulkan ketakutan manusia. Kata mereka, jika benarlah Covid-19 ini bukan ciptaan, mengapa kini tiada lagi ada manusia yang tergeletak di mana-mana?
Terdapat juga golongan agamawan yang mempersoalkan mengenai penjarakkan fizikal di masjid dan surau. Ia dikatakan sebagai menghalang umat Islam beribadah dan berdoa kepada ALLAH swt agar menolak Covid-19. Jika umat Islam tidak diberi peluang untuk kembali kepada ALLAH bagaimana Covid-19 dapat dihapuskan?
Golongan yang pernah berdepan dengan Covid-19 iaitu pesakit, kontak rapat seperti keluarga, serta rakan sepejabat adalah golongan yang sudah merasa jerihnya berdepan dengan penyakit ini. Mereka perlu melakukan penjarakkan fizikal di rumah dan hidup penuh kebimbangan. Inilah golongan yang akan akur dengan apa jua langkah pencegahan pihak bewajib.
Dan akhir sekali, ialah golongan hero-hero yang tak didendang. Barisan hadapan warga dari KKM, PDRM, ATM, Rela dan pelbagai NGO masih berperang tanpa sempat menoleh dan mendengar apa komplen golongan-golongan lain.
Covid-19 ini adalah pandemik dunia. Kalau benarlah ia konspirasi, ia belum dibuktikan lagi. Kalaupun ia dikatakan sebagai peluang syarikat-syarikat farmaseutikal berbuat untung, dalam dunia kapitalis, apa sahaja yang boleh menjadikan duit akan dikejar oleh sesiapa sahaja para pemainnya.
Covid-19 adalah penyakit seperti selsema yang boleh membawa maut bagi sesetengah yang lain. Cuma kita tidak boleh memilih untuk membuang hingus ataupun berdepan dengan ajal!
Mari Memilih santapan minda
MAAFCAKAP 3.2.2021
Alhamdulilah. Semalam saya telah mendapat Surat Pelepasan Isolasi Untuk Kes Positif Covid-19! Bagi yang belum tahu, ia adalah surat yang mengesahkan bahawa saya bebas dari penyakit itu. Menurut KKM, saya sudah melepasi 12 hari kuarantin kendiri. Namun mengikut kiraan sendiri, saya sudah berkuarantin di rumah lebih 17 hari. Tak apalah. Lagi lama berkuarantin, lagi lama boleh berqurantime!
Secara klinikalnya virus di dalam tubuh saya sudah tidak boleh merebak pada orang lain. Ini bermakna saya bebas melakukan aktiviti seperti orang biasa. Alhamdulilah kontak rapat iaitu anggota keluarga saya kesemuanya negatif.
Inilah demam paling lama dan paling renyah, pernah saya alami. Setiap hari apabila ia menyerang, tubuh terasa bisa dan tidur pun terganggu. Bila ia pergi, saya berasa sihat seperti tiada apa-apa. Mujurlah bahan-bahan bacaan termasuk maklumat di MySejahtera banyak sekali membantu saya untuk mengharungi 10 hari kuarantin dengan tabah dan sabar.
Walau apa pun, situasi getir ini alhamdulilah dapat diharungi dengan baik. Namun ia bergantung kepada bagaimana saya ingin melihatnya. ALLAH berfirman dalam hadis Qudsi, “Aku menurut seperti sangkaan hamba-Ku…” Tanpa mengenepikan ketetapan ALLAH, tanpa menafikan kekuatan doa yang dapat mengubah takdir, banyak tafsiran hadis ini menjurus kepada maksud, jika kita melihat dari kacamata baik, maka jadilah baik. Andai sebaliknya, maka jadilah begitu pula. Positif memohon kepada ALLAH dan insya-ALLAH, Dia akan mengkabulkan doa itu.
Meskipun terdapat maklumat yang mengatakan mereka di usia warga emas, yang mempunyai penyakit kronik iaitu diabetes dan hipertensi adalah tergolong di kalangan yang berisiko tinggi, saya tidak mendengar, menonton dan membaca sangat bahan-bahan itu. Saya tahu, sekiranya saya mencari dan mencari maklumat sebegitu, ia akan menggusarkan saya kerana saya adalah warga emas yang menghidapi diabetes dan juga hipertensi itu.
Justeru, saya ubah santapan minda dengan menonton video ceramah agama, kuliah motivasi, penulisan, mendengar bacaan al-Quran dan tidak ketinggalan video Badminton World Tour Finals yang baru berlangsung di Bangkok, Thailand. Sukan badminton adalah kegemaran saya sejak di usia remaja. Tontonan ini menggembirakan saya.
Suka atau benci, gembira mahupun sedih adalah kondisi fikiran yang boleh kita ubah-ubah seperti kita mengubah stesen televisyen. Contohnya, ramai wanita yang ceria mempunyai waktu sedih selama sejam setiap hari apabila mereka membuka siri drama kegemaran. Setelah sejam, mereka tutup TV dan gembira kembali.
Dahulu, ketika anak-anak saya takut menonton cerita hantu, saya tak perlu berkata bahawa itu adalah cerita. Sebaliknya saya tutup TV dan imej-imej hantu di kaca TV terus ghaib. Di waktu itu saya berikan kuliah pendek bahawa apa yang ditonton adalah cerita dan tak perlu berasa takut. Kemudian, saya buka TV dan tukar pula ke saluran kartun. Saya katakan yang hantu sudah jadi kartun dan mereka ketawa tak takut lagi!
Dunia skrin, samada di kaca televisyen, skrin komputer mahupun di skrin telefon amat mempengaruhi fikiran dan seterusnya perilaku kita. Apa yang kita gemari itulah dunia kita. Jika siang malam kita asyik menatap berita Covid-19, kita berasakan dunia ini telah ditakluki oleh virus itu. Alihkan tumpuan skrin-skrin di sekeliling kita dengan hal-hal dunia, alam dan manusia, maka kita akan rasa bahawa dunia ini nyaman dan hidup.
Covid-19 masih ada tetapi biarlah cerita muncul sendiri. Jika ada kes besar, tentulah beritanya akan sampai juga ke pancaindera kita. Di kala itu baharulah kita menghadam maklumat dan menilai apakah tindakan yang kita perlu lakukan untuk survival. Begitu juga dengan cerita orang politik. Mereka jadi orang kecil jika kita mengalihkan tumpuan kita daripada mereka.
Besarkan sahaja ALLAH kerana memang Dia yang selayaknya besar. Sibukkan sahaja dengan ibadah kerana itulah juga yang ALLAH besarkan sebagai tugas kita. Itulah santapan minda pilihan yang selayaknya.
JUMAAT YANG KIAN SUNYI
MAAFCAKAP 27.1.2021
Hari Jumaat adalah hari yang mempunyai makna yang berbeza buat setiap orang. Bagi saya, ia mencatat makna-makna yang berbeza pada peringkat-peringkat usia yang saya lalui. Di waktu sekolah di Johor, hari Jumaat ialah hari cuti. Pada hari itu, pagi-pagi lagi abah dah suruh saya cuci dan kapur kasut sekolah. Kemudian abah akan potongkan kuku saya sebelum mandi sunat Jumaat.
Lebih kurang jam 11.30 saya akan membonceng basikal abah untuk ke Masjid Jamek Mersing kira-kira 1.5 kilometer dari rumah. Saya masih ingat lagi bila abah meletak basikal di bawah pokok berhampiran dengan tangga untuk ke masjid. Ada ratusan basikal di situ. Masjid Jamek Mersing terletak di atas bukit. Jadi kami menapak naik lebih 100 anak tangga untuk sampai ke atas.
Satu-satunya kegembiraan saya setelah bersolat Jumaat dengan abah ialah dia akan membawa saya makan nasi minyak di Medina Restoran di bandar Mersing. Wah, itulah hadiah yang abah beri kerana bersolat dengannya. Bila meningkat remaja, saya berkayuh ke masjid sendirian. Dapat berjumpa kawan-kawan sekolah sebelum solat. Selepas solat kami ramai-ramai meredah semak menuruni bukit masjid. Tidak mahu ikut tangga yang ada kerana inginkan thrill. Ada juga ketikanya saya jatuh tergolek ke bawah bukit bila tersadung akar kayu. Di zaman kanak-kanak, mana tahu erti sakit?
Saya ingat lagi ketika menuntut di UiTM Dungun pada tahun 70-an. Saya akan bersolat Jumaat di sebuah masjid di Kampung Pak Sabah ketika itu adalah pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Kipas angin yang ada hanyalah kipas yang diletak di bahagian hadapan masjid. Jika tiba lewat, alamat tubuh lencun dengan peluh kerana bersolat di bahagian belakang yang tiada kipas.
Bila meniti zaman bekerja, saya bersolat Jumaat di Masjid Negara kerana pejabat saya terletak di Bangsar. Biasanya saya ke masjid dengan bas mini. Ada satu pengalaman yang menjadi kenangan kelakar pada suatu Jumaat. Dalam perjalanan pulang, entah macam mana selipar saya putus!
Dalam bas yang sesak dan berhimpit itu, saya tidak dapat mengambil dan membetulkan selipar. Lantas apabila bas tiba di Bangsar, saya turun berkaki ayam! Masya-ALLAH, jalan raya ketika itu sesak dan tapak kaki saya kepanasan. Pedihnya rasa hinggakan saya terpaksa mengangkat kaki kiri kanan, kiri kanan seperti orang sedang berkawat. ‘Kereta banyak. Macam mana nak lintas ni? Aduh…’ desis hati saya.
Bantuan ALLAH tiba. Saya terpandang seorang buta berhampiran yang juga ingin melintas jalan. Tanpa berlengah lagi saya bahunya dengan tangan kiri, saya angkat tangan kanan tinggi-tinggi meminta kenderaan berhenti. Alhamdulilah, dengan mudah saya dapat membawa lelaki buta itu melintas jalan. Atau… lelaki buta itu yang membantu saya melintas jalan!
Sebaik sahaja melepaskan tangan lelaki buta itu, saya berlari ke sebuah kedai kasut berhampiran. Pedih di tapak kaki semakin tak tertahan. Bila bertembung dengan amoi promoter di kedai itu, saya menggesa, “I want a pair of slippers!” Amoi itu kaget melihat wajah cemas saya. Namun apabila dia ternampak kaki saya, dia tersenyum menekup mulut!
Khutbah Jumaat adalah acara wajib. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah tatkala menunaikan solat Jumaat di masjid belakang Istana Negara Lama. Ketika itu, khatibnya ialah allahyarham Datuk Hassan Din al-hafiz. Khutbah pertamanya meriwayatkan hadis tiga amalan yang kekal walaupun seseorang itu telah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau doa anak yang soleh.
Saya yang sedang berwuduk ketika khutbah dibacakan bergegas masuk ke ruang solat kerana allahyarham terus membaca khutbah kedua sebelum menamatkannya untuk bersolat. Tidak sampai lima minit, khutbah selesai. Ia adalah khutbah Jumaat teringkas pernah saya alami.
Semakin berusia, saya semakin faham mengenai erti hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah hari penghapus dosa seminggu di antara dua Jumaat dan hari di mana ada saat doa akan dimakbul.
Semuanya saya dapati melalui ceramah secara live di surau, masjid dan juga melalui you tube. Setelah ribuan kali berseronok merayakan hari Jumaat saya kasihankan cucu-cucu saya yang tidak berpeluang beraya seminggu sekali seperti saya kerana terhalang akibat Covid-19.
RASUAH: MENCARI HANTU SEBENAR
MAAFCAKAP 20.1.2021
Apabila akhbar Sinar Harian melancarkan Rasuah Busters atau Penggempur Rasuah dengan slogan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa, ia adalah kelantangan yang ditunggu-tunggu. Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub selaku teraju utama begitu lantang mengajak masyarakat membanteras budaya rasuah.
Benar, rasuah sudah meresap ke dalam budaya masyarakat Malaysia. Apabila ia menjadi sebahagian daripada norma masyarakat, ia sesuatu yang tidak disukai namun diterima sebagai satu cara berurusan di antara si peminta dan si pemberi; di antara yang memohon dan yang memegang kuasa.
Apakah rasuah sudah membudaya di kalangan masyarakat kita? Filem Bujang Lapok, 1957 merakam watak yang kini dikenali sebagai ‘Ayu 20 sen.’ Kanak-kanak ini akan meminta upah 20 sen jika ibunya mahukan maklumat perlakuan kakaknya. Tanpa 20 sen, maklumat tak akan diberi Ayu.
Ini membawa kepada frasa popular bagi generasi paska merdeka iaitu ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh,’ sebagai lawak kepada sekumpulan yang menyuruh seseorang untuk pergi jauh sebagai gurauan supaya dia tidak bersama kumpulan. Meskipun ‘Ayu 20 sen’ dan ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh,’ itu lawak, namun ia adalah gambaran mengenai wujudnya ciri-ciri rasuah sejak dahulu.
Betapa pun, apabila diteliti, apakah rasuah itu sesuatu yang menjadi salah satu ajaran bagi seseorang anak sejak kecil hingga ia menjadi sesuatu kebiasaan? Saya rasa tidak. Upah beli jajan jika anak siap kerja sekolah, beli laptop jika anak mendapat 8A dalam keputusan peperiksaan bukannya bentuk rasuah yang diajar oleh ibubapa kepada anak. Ia hanya hadiah. Dari segi keluarga, budaya rasuah tidak bermula di situ. Masih ada harapan kita membanterasnya.
Saya menyimpan sebuah pengalaman yang amat berkesan ketika saya di sekolah rendah, tentang betapa arwah saya menolak unsur rasuah yang terjadi kepadanya. Ayah saya adalah seorang kerani di pejabat tanah. Pada suatu hari datang seorang lelaki ke rumah. Di tangannya ada sehelai borang memohon tanah. Saya tahu orang itu bukannya orang tempatan yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.
Setelah ayah saya mengisi borang, dia menghulur sebungkus biskut coklat dan sekotak mancis. Saya ingat lagi betapa wajah ayah saya berubah melihat pemberian itu. Dia menolak biskut dan kotak mancis itu. Lelaki itu berkeras menghulur. Akhirnya ayah saya mengambil biskut coklat tetapi menolak kotak mancis. (Satu ketika dahulu, banyak modus operandi merasuah dibuat dengan menyelit wang di dalam kotak mancis)
Sepulangnya lelaki itu, ayah saya bergegas memberi biskut coklat itu kepada ibu saya dan melarang keras saya memakannya. Memanglah saya terpinga-pinga tidak tahu apa sebabnya. Namun, beberapa hari kemudian, saya teringatkan biskut coklat itu dan mengambil di atas almari. Alangkah kecewanya saya bila mendapati coklat itu sudah berulat!
Rasuah mula membudaya apabila seseorang itu mahu berurusan dengan pihak berkuasa. Meskipun banyak jalan-jalan rasuah telah ditutup melalui teknologi seperti permohonan secara online, banyak cara lain yang boleh terjadi. Yang memaksa pemohon melakukan rasuah ialah apabila anggota yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas tidak malu meminta rasuah.
Namun cara meminta rasuah pun sudah canggih. Seorang kenalan saya terkena memberi rasuah meskipun memasuki tender dan memenangi tender sejujurnya. Namun apabila tiba ke peringkat pembayaran, pihak yang membayar tidak akan melepaskan bayaran terakhir selagi si pemohon tidak berjanji untuk ‘menghulur’ kepadanya. Kini, kenalan saya sudah pandai. Dia naikkan kos kerja hingga bayaran sepenuhnya telah beliau terima meskipun hanya menerima 80 % bayaran. Baki 20 % lagi beliau tak tagih kerana tidak mahu menghulur.
Bukan senang untuk membanteras rasuah. Ia adalah suatu perjuangan yang panjang. Seperti kata Datuk Dr. Hussamuddin, ia melibatkan dua pihak iaitu si pemberi dan si penerima. Namun kita kerap ditampilkan berita tentang si penerima yang menerima hukuman. Bagaimana pula dengan si pemberi? Si penerima boleh dipenjara, dibuang mahupun ditukar, tetapi si pemberi akan berjumpa dengan pucuk baharu yang akan menerima baja rasuah. Dialah hantu sebenar yang harus dihapuskan!
TIDAK AKAN LARI KERUSI DIKEJAR
Banyak pihak dapat mengagak yang PKP akan diumumkan oleh Perdana Menteri. Dan, benar. Perdana Menteri telah mengumumkan PKP ke atas negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, kelmarin. PKPB pula untuk negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan ialah Perlis dan Sarawak.
Pada pagi semalam pula, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Sebelum ini, Perdana Menteri pernah mengusulkan pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak diperkenankan. Namun, pada kali ini pertimbangan semula dibuat oleh baginda dan diperkenankan berikutan dengan menularnya Covid-19.
Apa pun, kedua-dua pengumuman ini disambut baik oleh rakyat jelata. Mereka mahukan pihak kerajaan melaksanakan PKP demi mengekang pandemik Covid-19. Malah pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan tindakan yang jitu meskipun ada pihak yang masih mengatakan ia adalah taktik Tan Sri Muhyiddin untuk kekal berkuasa. Yang bercakap begitu hanya orang politik. Rakyat jelata tidak lihat begitu.
Yang penting, suara rakyat yang rata-rata mahukan PKP diperketatkan telah didengar oleh pemerintah. Dan pengisytiharan darurat pula juga memberi kesan kepada orang politik kerana mereka tidak boleh lagi memaksa pilihanraya diadakan pada ketika kegawatan kesihatan rakyat, malah kesihatan mereka sendiri. Tidak keterlaluan jika pengisytiharan darurat itu adalah satu bentuk PKP – Perintah Kawalan Politik!
Tak akan lari kerusi dikejar. Apabila pengisytiharan darurat diumumkan, tiada lagi kerusi akan bertukar tempat, tiada pula yang boleh dirampas melalui pilihanraya kecil mahupun umum. Status quo, kekal. Malah parti-parti politik memperoleh masa untuk benar-benar memenangi kerusi dengan cara anak jantan iaitu melalui pilihanraya umum. Tidak perlu melalui cara menarik sokongan hingga neraca politik kerap naik turun seperti papan jongkang-jongkit. Bila ada yang menuduh kerajaan sekarang adalah kerajaan tebuk atap, tindakan mereka juga persis menebuk ~ menebuk buritan bahtera negara hingga kesemuanya boleh lemas tenggelam.
Pertimbangan sekarang ialah pertimbangan untuk memelihara nyawa. Itu lebih penting daripada hayat politik, sebab hayat politik masih kekal apabila PKP dan darurat diisytihar. Jika ia tidak dilakukan sekarang dan pilihanraya diteruskan, mana-mana pihak yang menang tidak boleh menjamin bahawa pandemik Covid-19 akan hilang begitu sahaja secara magis selepas pilihanraya umum.
Pemimpin politik sepatutnya membela rakyat, bukannya menganiaya rakyat dengan pertaruhan nyawa atas nama demokrasi. Dalam tempoh ini, rakyat mahu meneruskan hidup, menyara keluarga dengan sesuap nasi dalam waktu yang penuh kepayahan ini. Mereka juga tidak mahu ahli keluarga mereka tiba-tiba hilang dari mata bila diserang virus Covid-19 jika pemerintah menurut telunjuk puak-puak dalam politik yang mahukan PRU. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa di antara sebab menularnya kembali Covid-19 adalah berpunca daripada Pilihanraya Negeri Sabah tidak lama dahulu.
Betapa pun pengisytiharan darurat hingga Ogos adalah satu tamparan hebat untuk semua kerana ia memakan masa 8 bulan. Ertinya lebih separuh kebahagiaan 2021 telah hilang dari kita. Hampir keseluruhan 2020 telah berlalu begitu tanpa banyak pencapaian. Janganlah ada pihak yang hendak rosakkan masa depan kita meskipun secara retorik.
Biarlah pelabur luar hendak melabur ke negara mana pun hingga menjejaskan ekonomi negara. Ia adalah keputusan yang terpaksa diambil walaupun kita berada dalam situasi diluah mati emak, ditelan mati bapak. Banyak negara lain yang lebih teruk berdepan dengan soal hidup mati. Jika soal banyak atau sikitnya duit atau ekonomi menjadi kayu ukur, mereka dah salah keutamaan kerana seolah-olah ingin membawa wang hingga ke mati!



