MAAFCAKAP 20.1.2021

Apabila akhbar Sinar Harian melancarkan Rasuah Busters atau Penggempur Rasuah dengan slogan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa, ia adalah kelantangan yang ditunggu-tunggu. Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub selaku teraju utama begitu lantang mengajak masyarakat membanteras budaya rasuah.

Benar, rasuah sudah meresap ke dalam budaya masyarakat Malaysia. Apabila ia menjadi sebahagian daripada norma masyarakat, ia sesuatu yang tidak disukai namun diterima sebagai satu cara berurusan di antara si peminta dan si pemberi; di antara yang memohon dan yang memegang kuasa. 

Apakah rasuah sudah membudaya di kalangan masyarakat kita? Filem Bujang Lapok, 1957 merakam watak yang kini dikenali sebagai ‘Ayu 20 sen.’ Kanak-kanak ini akan meminta upah 20 sen jika ibunya mahukan maklumat perlakuan kakaknya. Tanpa 20 sen, maklumat tak akan diberi Ayu. 

Ini membawa kepada frasa popular bagi generasi paska merdeka iaitu ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh,’ sebagai lawak kepada sekumpulan yang menyuruh seseorang untuk pergi jauh sebagai gurauan supaya dia tidak bersama kumpulan. Meskipun ‘Ayu 20 sen’ dan ‘ambil 20 sen, pergi main jauh-jauh,’ itu lawak, namun ia adalah gambaran mengenai wujudnya ciri-ciri rasuah sejak dahulu. 

Betapa pun, apabila diteliti, apakah rasuah itu sesuatu yang menjadi salah satu ajaran bagi seseorang anak sejak kecil hingga ia menjadi sesuatu kebiasaan? Saya rasa tidak. Upah beli jajan jika anak siap kerja sekolah, beli laptop jika anak mendapat 8A dalam keputusan peperiksaan bukannya bentuk rasuah yang diajar oleh ibubapa kepada anak. Ia hanya hadiah. Dari segi keluarga, budaya rasuah tidak bermula di situ. Masih ada harapan kita membanterasnya.

Saya menyimpan sebuah pengalaman yang amat berkesan ketika saya di sekolah rendah, tentang betapa arwah saya menolak unsur rasuah yang terjadi kepadanya. Ayah saya adalah seorang kerani di pejabat tanah. Pada suatu hari datang seorang lelaki ke rumah. Di tangannya ada sehelai borang memohon tanah. Saya tahu orang itu bukannya orang tempatan yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.

Setelah ayah saya mengisi borang, dia menghulur sebungkus biskut coklat dan sekotak mancis. Saya ingat lagi betapa wajah ayah saya berubah melihat pemberian itu. Dia menolak biskut dan kotak mancis itu. Lelaki itu berkeras menghulur. Akhirnya ayah saya mengambil biskut coklat tetapi menolak kotak mancis. (Satu ketika dahulu, banyak modus operandi merasuah dibuat dengan menyelit wang di dalam kotak mancis)

Sepulangnya lelaki itu, ayah saya bergegas memberi biskut coklat itu kepada ibu saya dan melarang keras saya memakannya. Memanglah saya terpinga-pinga tidak tahu apa sebabnya. Namun, beberapa hari kemudian, saya teringatkan biskut coklat itu dan mengambil di atas almari. Alangkah kecewanya saya bila mendapati coklat itu sudah berulat! 

Rasuah mula membudaya apabila seseorang itu mahu berurusan dengan pihak berkuasa. Meskipun banyak jalan-jalan rasuah telah ditutup melalui teknologi seperti permohonan secara online, banyak cara lain yang boleh terjadi. Yang memaksa pemohon melakukan rasuah ialah apabila anggota yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas tidak malu meminta rasuah.

Namun cara meminta rasuah pun sudah canggih. Seorang kenalan saya terkena memberi rasuah meskipun memasuki tender dan memenangi tender sejujurnya. Namun apabila tiba ke peringkat pembayaran, pihak yang membayar tidak akan melepaskan bayaran terakhir selagi si pemohon tidak berjanji untuk ‘menghulur’ kepadanya. Kini, kenalan saya sudah pandai. Dia naikkan kos kerja hingga bayaran sepenuhnya telah beliau terima meskipun hanya menerima 80 % bayaran. Baki 20 % lagi beliau tak tagih kerana tidak mahu menghulur.

Bukan senang untuk membanteras rasuah. Ia adalah suatu perjuangan yang panjang. Seperti kata Datuk Dr. Hussamuddin, ia melibatkan dua pihak iaitu si pemberi dan si penerima. Namun kita kerap ditampilkan berita tentang si penerima yang menerima hukuman. Bagaimana pula dengan si pemberi? Si penerima boleh dipenjara, dibuang mahupun ditukar, tetapi si pemberi akan berjumpa dengan pucuk baharu yang akan menerima baja rasuah. Dialah hantu sebenar yang harus dihapuskan!