MAAFCAKAP 3.2.2021

Alhamdulilah. Semalam saya telah mendapat Surat Pelepasan Isolasi Untuk Kes Positif Covid-19! Bagi yang belum tahu, ia adalah surat yang mengesahkan bahawa saya bebas dari penyakit itu. Menurut KKM, saya sudah melepasi 12 hari kuarantin kendiri. Namun mengikut kiraan sendiri, saya sudah berkuarantin di rumah lebih 17 hari. Tak apalah. Lagi lama berkuarantin, lagi lama boleh berqurantime!

Secara klinikalnya virus di dalam tubuh saya sudah tidak boleh merebak pada orang lain. Ini bermakna saya bebas melakukan aktiviti seperti orang biasa. Alhamdulilah kontak rapat iaitu anggota keluarga saya kesemuanya negatif. 

Inilah demam paling lama dan paling renyah, pernah saya alami. Setiap hari apabila ia menyerang, tubuh terasa bisa dan tidur pun terganggu. Bila ia pergi, saya berasa sihat seperti tiada apa-apa. Mujurlah bahan-bahan bacaan termasuk maklumat di MySejahtera banyak sekali membantu saya untuk mengharungi 10 hari kuarantin dengan tabah dan sabar.

Walau apa pun, situasi getir ini alhamdulilah dapat diharungi dengan baik. Namun ia bergantung kepada bagaimana saya ingin melihatnya. ALLAH berfirman dalam hadis Qudsi, “Aku menurut seperti sangkaan hamba-Ku…” Tanpa mengenepikan ketetapan ALLAH, tanpa menafikan kekuatan doa yang dapat mengubah takdir, banyak tafsiran hadis ini menjurus kepada maksud, jika kita melihat dari kacamata baik, maka jadilah baik. Andai sebaliknya, maka jadilah begitu pula. Positif memohon kepada ALLAH dan insya-ALLAH, Dia akan mengkabulkan doa itu.

Meskipun terdapat maklumat yang mengatakan mereka di usia warga emas, yang mempunyai penyakit kronik iaitu diabetes dan hipertensi adalah tergolong di kalangan yang berisiko tinggi, saya tidak mendengar, menonton dan membaca sangat bahan-bahan itu. Saya tahu, sekiranya saya mencari dan mencari maklumat sebegitu, ia akan menggusarkan saya kerana saya adalah warga emas yang menghidapi diabetes dan juga hipertensi itu.

Justeru, saya ubah santapan minda dengan menonton video ceramah agama, kuliah motivasi, penulisan, mendengar bacaan al-Quran dan tidak ketinggalan video Badminton World Tour Finals yang baru berlangsung di Bangkok, Thailand. Sukan badminton adalah kegemaran saya sejak di usia remaja. Tontonan ini menggembirakan saya.

Suka atau benci, gembira mahupun sedih adalah kondisi fikiran yang boleh kita ubah-ubah seperti kita mengubah stesen televisyen. Contohnya, ramai wanita yang ceria mempunyai waktu sedih selama sejam setiap hari apabila mereka membuka siri drama kegemaran. Setelah sejam, mereka tutup TV dan gembira kembali. 

Dahulu, ketika anak-anak saya takut menonton cerita hantu, saya tak perlu berkata bahawa itu adalah cerita. Sebaliknya saya tutup TV dan imej-imej hantu di kaca TV terus ghaib. Di waktu itu saya berikan kuliah pendek bahawa apa yang ditonton adalah cerita dan tak perlu berasa takut. Kemudian, saya buka TV dan tukar pula ke saluran kartun. Saya katakan yang hantu sudah jadi kartun dan mereka ketawa tak takut lagi!

Dunia skrin, samada di kaca televisyen, skrin komputer mahupun di skrin telefon amat mempengaruhi fikiran dan seterusnya perilaku kita. Apa yang kita gemari itulah dunia kita. Jika siang malam kita asyik menatap berita Covid-19, kita berasakan dunia ini telah ditakluki oleh virus itu. Alihkan tumpuan skrin-skrin di sekeliling kita dengan hal-hal dunia, alam dan manusia, maka kita akan rasa bahawa dunia ini nyaman dan hidup.

Covid-19 masih ada tetapi biarlah cerita muncul sendiri. Jika ada kes besar, tentulah beritanya akan sampai juga ke pancaindera kita. Di kala itu baharulah kita menghadam maklumat dan menilai apakah tindakan yang kita perlu lakukan untuk survival. Begitu juga dengan cerita orang politik. Mereka jadi orang kecil jika kita mengalihkan tumpuan kita daripada mereka. 

Besarkan sahaja ALLAH kerana memang Dia yang selayaknya besar. Sibukkan sahaja dengan ibadah kerana itulah juga yang ALLAH besarkan sebagai tugas kita. Itulah santapan minda pilihan yang selayaknya.