BLOG

BOLEH BELI BUKU DI CAR BOOT SALE MASA PKP

BOLEH BELI BUKU DI CAR BOOT SALE MASA PKP

Kuala Lumpur: Ini berita baik untuk peminat buku. Operasi kedai buku dan ‘car boot sale’ dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dua bentuk perniagaan itu adalah di bawah sektor peruncitan dan ia boleh dibuka di negeri yang menguatkuasakan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Ramai yang keliru dan bertanya sebab ada dalam kalangan mereka sudah lama tidak buka kedai buku. Ia dibenarkan termasuk ‘car boot sale’, pasar malam dan pasar tani,” katanya pada sidang media PKP, di Putrajaya, dekat sini.

Perniagaan buku adalah di antara yang amat terjejas berikutan dengan PKP.

Berita penuh:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/787640/kedai-buku-car-boot-sale-boleh-beroperasi-sepanjang-pkp

Gambar Utama: Car Boot Sale (Gambar hiasan). Pixcredit: storagevault

KE MANA PERGINYA SEMANGAT MELAYU?

KE MANA PERGINYA SEMANGAT MELAYU?

MAAFCAKAP 24.2.2021

Semangat menurut definasi kamus ialah roh, perasaan hati dan jiwa, atau kemahuan untuk melakukan sesuatu. Saya hendak menyentuh semangat orang Melayu yang naik turun; bersemangat dan berapi-api tetapi tak lama kemudian dingin, beku dan kaku.

Semangat orang Melayu lazimnya terlahir secara berkumpulan. Jarang kita lihat orang Melayu bersemangat secara individu untuk mencapai sesuatu. Jika ada pun individu yang bersemangat dalam sejarah, kita dapati contohnya dari Allahyarham Leftenan Adnan yang mempertahankan nyawanya di Pasir Panjang, Singapura dari tentera Jepun.

Individu lain yang amat kita kenali ialah Dato Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman; kedua-duanya pemimpin Melayu yang meniupkan semangat Melayu dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Banyak peristiwa sejarah yang mencatat bahawa orang Melayu akan begitu bersemangat jika mereka menzahirkannya secara berkumpulan. Lihatlah memanifestasi semangat mereka secara massa ketika sama-sama mengangkat senjata menentang komunis dengan pihak askar di era darurat pada 1948-1960.

Kemuncak semangat orang Melayu dapat dilihat apabila mereka bersatu menolak Malayan Union pada tahun 1948. Pelbagai persatuan seperti persatuan guru, pemandu teksi, penarik beca, pertubuhan silat serta pelajar telah bersatu menentang hingga pihak British terpaksa menarik balik pelan mereka menguasai Tanah Melayu.

Tragedi Natrah pada tahun 1950 sekali lagi menampakkan betapa orang Melayu bersemangat menghalang wanita berbangsa Belanda yang dijaga sebagai gadis Islam itu dibawa kembali ke pangkuan ibubapanya di Belanda. 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera dalam rusuhan di antara orang Melayu dan tentera British untuk menghalang Natrah menjadi murtad.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, semangat orang Melayu untuk bersatu menentang apa yang dianggap mereka sebagai ancaman telah mula kendur. Kerajaan diperintah oleh parti Perikatan yang ditunjangi kepimpinan Melayu menjadikan orang Melayu kian tenang. Mereka yakin yang para pemimpin mereka boleh menjaga mereka dan hak-hak mereka. Orang Melayu relaks sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Tragedi itu dikaitkan dengan keputusan PRU tahun 1969 bila mana kerajaan Perikatan yang dianggotai parti Umno, MCA dan MIC gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Keceluparan kata dan aksi yang memprovok oleh pihak yang sengaja mencari fasal telah menyakitkan hati orang Melayu hingga terjadinya rusuhan di antara kaum.

Darurat diisytihar dan MAGERAN diberi kuasa mentadbir negara dari 1969 hingga 1971. Negara tenang kembali dan Dasar Ekonomi Baru; DEB dilancar pada 1972. DEB dengan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat memberi fokus kepada pihak kerajaan membantu orang Melayu dari segi ekonomi. Orang Melayu tenang kembali dan berasa dilindungi oleh pemerintah Melayu dan semangat mereka beransur-ansur hilang.

Kekuasaan politik telah menjadi benteng yang paling ampuh untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Malangnya, itulah satu-satunya benteng yang ada. Dan benteng politik mula terhakis pada PRU-12, tahun 2008. Tanpa semangat, tanpa benteng, orang Melayu berterabur kesatuan jiwanya.

Politik menyatukan Melayu, politik juga yang memecahkan mereka. PRU-14 pada 2018 dan keputusannya semakin memisahkan bila mana parti-parti Melayu berada di dua pihak pemerintah dan pembangkang. Muncul isu anti-ICERD pada Disember 2018 dan orang Melayu mampu bersatu kembali dalam perhimpunan aman manusia yang terbesar dalam sejarah Kuala Lumpur. Tetapi kemudian semangat melayu carca merba semula.

Mengapakah semangat Melayu lebih banyak menurun dari meningkat khususnya setelah kita merdeka? Pada saya ia adalah kerana semangat Melayu berpaksikan politik. Tanpa politik, orang Melayu akan semangat. Faktor ekonomi seperti DEB tidak pernah menjadikan Melayu bersemangat. Begitu juga semangat kerana faktor bahasa, budaya dan agama sekali pun.

Soalnya siapakah yang sentiasa mengumbah dan mengacau perasaan kesatuan ini? Tangan-tangan ghaib atau orang politik sendiri?

EKSKLUSIF! Terima Kasih Cinta Menyiksa Aisya Sofea

EKSKLUSIF! Terima Kasih Cinta Menyiksa Aisya Sofea

AISYA SOFEA menulis lagi. Karya 2021 ini berjudul Terima Kasih Cinta bakal menemui para pembaca mulai Mac ini. Apakah beza novel ini daripada karya-karya Aisya sebelum ini? Ia berbeza kerana novel ini cukup menyiksanya. 

Banyak yang Aisya rasa tak kena dari segi jalan cerita apabila manuskripnya siap. Banyak yang perlu dirombak dan diubah hingga kadang-kadang novelisnya sendiri berasa seperti berada dalam sebuah perjalanan yang tak berpenghujung. 

Sesungguhnya menulis novel bukan sebuah kerja yang mudah. Kita ikuti apa yang susahnya dari mulut Aisya Sofea sendiri…

Dari mana timbulnya idea Terima Kasih Cinta?
Saya menulis novel ini ketika saya tak ada idea yang khusus. Saya main tulis aje. Pada deraf pertama, saya dapati novel ini mendatar. Saya rasa seperti novel ini tak ke mana. Bila rasa tak puas hati, saya membaca semula karya ini untuk tengok sisi kekuatan dan kelemahannya. 

Aisya Sofea bersama peminatnya Ida Kamarudin

Berapa lama Aisya menggarap novel ini?
Selepas novel Sumpah Setia terbit pada Januari 2020, saya berehat sebulan. Bulan Mac saya mula menaip. Ini kali pertama saya terus menaip tanpa memikirkan jalur cerita terlebih dahulu. Macam syok sendiri.

Mengapa tak menulis dengan pendekatan sama yang dilakukan terhadap novel-novel sebelum ini?
Sebenarnya saya tak mahu terikat dengan mana-mana formula pengkaryaan sebab saya tak mahu karya-karya saya menjadi stereotaip. 

Maknanya garapan Terima Kasih Cinta sama sekali berbeza dengan novel-novel sebelum ini?
Dari segi pendekatan dalam menulis, memanglah. Tapi saya kekalkan kaedah mengumpul bahan seperti penyelidikan. Misalnya yang berkaitan dengan perubatan, selain merujuk dengan bahan-bahan di internet, saya tetap memperoleh sumber penyelidikan secara konvensional. 

Saya berhubung dengan mereka dalam bidang perubatan untuk bertanya dengan banyak sekali. Iyalah, bahan-bahan di internet biasanya fakta yang mentah. Bila saya merujuk dengan mereka di bidang perubatan, baharulah saya dapat memasukkan feel pada sesuatu yang serius itu.

Berapa harga novel ini dan bila akan di pasarkan?
Harganya RM32.00. Mula diedar pada Mac 2021.

Ini novel self-publish. Tentulah ia tak dapat hebahan seluas seperti ketika di bawah penerbit Alaf 21 dulu. Ada kesan dari segi pemasarannya?
Sebagai novel yang saya terbit sendiri, saya tak dapat buat naskhah sebanyak penerbit besar. Tapi, saya dah dapat tempahan dari penjual online. Penjual online punyai pendekatan yang tersendiri untuk melariskan novel ini. Pesanannya sedikit-sedikit, tetapi laris dan laju jualannya.

……………..

SINOPSIS NOVEL TERIMA KASIH CINTA

Pertemuan An dengan dua anak kecil Yaya dan adiknya Lea membawa pertelingkahan dan perselisihan faham antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki bongkak dan sombong itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya. 

Malah Harris memberi amaran pada An untuk tidak lagi mengambil berat terhadap mereka. Tapi tidak bagi Yaya dan Lea. Anak kecil itu belum pandai hidup berdikari. Mereka tetap mengharapkan belas dari An. 

Bagai menjilat ludah yang telah dihamburkan, Harris kembali menagih pertolongan dari ummi; ibu saudara An, untuk menjaga kedua anaknya itu tatkala dia bertugas malam. 

Razlan yang bakal mengahwini wanita pilihan keluarga datang menagih cinta lama dan mahu memperisterikan An. Razlan bukan lagi cinta hatinya kerana lelaki itu tidak pernah berani mengota janjinya. 

Saat itulah Harris datang melamar mahu memperisterikan An demi anak-anaknya yang sudah menjadikan An mommy mereka. Harris bukan lelaki idaman An, jauh sekali untuk dijadikan suami. 

Biarpun usia An sudah menginjak 33 tahun, tapi dia belum terdesak untuk menamatkan zaman bujang. Apakah akan jadi pada rumahtangga mereka jika kasih sayang tidak akan wujud di antara mereka? 

Mampukah kebahagiaan jadi miliknya jika kasih sayang datang dari Yaya dan Lea sahaja? Benar, cinta bukan segalanya. Tetapi penting dalam membina rumahtangga bahagia. Apakah cinta mampu dimilikinya jika cinta lelaki itu hanya pada arwah isterinya? 

Apakah An sekadar dijadikan pengasuh dan penjaga ke dua orang anaknya? Semua persoalan ini terjawab dalam kisah TERIMA KASIH CINTA hasil idea terbaru Aisya Sofea.

Polis Rampas Komputer Penerbit Buku Tommy Thomas

Polis Rampas Komputer Penerbit Buku Tommy Thomas

PIHAK berkuasa merampas dua komputer daripada GerakBudaya Enterprise Sdn Bhd susulan siasatan ke atas penerbit buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas itu.

Pengasas Gerakbudaya Chong Ton Sin mengesahkan bahawa siasatan dibuat terhadap buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

“Dua pegawai polis hadir pukul 11 pagi tadi dan mereka rampas komputer untuk siasatan,” kata Chong.

Pengasas Gerakbudaya Chong Tom Sim, Pixcredit: Malaysiakini

Ini merupakan kali ketiga Gerakbudaya disiasat berhubung perkara tersebut.

Berita penuh:
https://www.malaysiakini.com/news/563567

Gambar Utama: Buku My Story: Justice in the Wilderness. Pixcredit: malaysianreserve

APA ADA PADA KEDAI RUNCIT?

APA ADA PADA KEDAI RUNCIT?

MAAFCAKAP 17.2.2021

KEDAI runcit mengikut persepsi generasi pasca merdeka hanyalah kedai yang menjual barang keperluan harian. Kedai-kedai runcit yang mereka lazim kunjungi adalah kedai runcit Cina dan India. 

Kedai-kedai ini di antaranya menjual beras, gula, tepung, lada, bawang, biskut, peralatan dapur, besen, terompah dan jajan. Kadang-kadang di kedai runcit ini ada juga menjual sebongkah air batu, bukan berbentuk kiub-kiub kecil seperti hari ini. Kedai-kedai runcitnya pula gelap dan sempit.

Bagaimana dengan kedai runcit Melayu? Kalau ada pun kedai runcit Melayu, pandangan ketika itu ialah, kedai runcit Melayu biasanya akan bankrap kerana ramai pelanggannya tak bayar hutang. Begitulah ceritanya. Kerana itu, bisnes kedai runcit tidak dilihat sebagai sebuah bisnes yang menarik.

Sehingga ke hari ini, tak ramai orang Melayu yang minat mahu buka kedai runcit. Mereka lebih gemar membuka kedai dandan rambut, kedai komputer, kedai makan, kedai servis kenderaan dan butik. 

Ramai tak tahu bahawa bisnes peruncitan menjana pendapatan besar. Pada tahun 2019, nilai bisnes peruncitan ialah RM112 bilion. Sayangnya 60 % peratus pendapatan bisnes runcit itu dibolot oleh pelabur-pelabur asing. Pasaraya-pasaraya yang besar kecuali Mydin pada hari ini kesemuanya kepunyaan asing. 

Pada tahun 80an muncul pasaraya yang dikenali sebagai hypermarket. Nama-nama seperti Hankyu Jaya, Makro dan Carrefour membuka premis mereka yang besar-besar hingga timbul tanggapan bahawa hypermarket ini akan menelan kedai-kedai runcit. Kemudian timbul pula nama-nama seperti Aeon dan Tesco. Syarikat Giant yang pada mulanya kecil berubah menjadi gergasi sebenar apabila ia menjadi hypermarket. 

Kedai-kedai runcit tradisional nampaknya kalah dengan kehebatan hypermarket sehinggalah apabila 7-Eleven pertama dibuka di Bukit Bintang pada tahun 1984. Kedai serbanika 24 jam ini mengubah persepsi kedai runcit. Perlahan-lahan imej kedai runcit persendirian makin malap bila banyak pihak membuka rangkaian kedai runcit yang cantik, bersih dan terang benderang.

Pada hari ini, carian di internet mendapati di Malaysia terdapat 2,413 kedai 7-Eleven, 1,880 kedai Speedmart 99, 243 Family Mart, 95 Econsave, 63 kedai KK Supermart, 33 Lesong Mart, 27 Ikhwan Mart dan 21 Elewsmart. Itu tidak termasuk ratusan lagi rangkaian kedai Acheh di merata pelosok negara.

Pada musim PKP hari ini, kedai-kedai runcit moden ini menjadi alternatif untuk kita pergi berbelanja. Malah, kedai-kedai runcit tradisional China, India, Melayu serta kedai Aceh menjadi tumpuan kembali kerana pembeli tidak suka beratur panjang mematuhi SOP sebelum dapat memasuki pasaraya.

Sejak permulaan PKP pada 2020, kedai runcit dibenarkan terus membuka perniagaan kerana ia menyediakan barangan keperluan. Justeru, kedai-kedai ini terus stabil mendapat pulangan yang menguntungkan. Malah, dalam tempoh PKP ini banyak rangkaian kedai runcit terus berkembang. Contohnya, rangkaian kedai runcit Elewsmart kepunyaan pendakwah Ebit Liew mula membuka cawangan pada musim PKP pada tahun lalu. Baru setahun jagung, ia sudah mempunyai 21 buah cawangan.

Inilah di antara sektor bisnes yang masih rancak, yang boleh menjana ekonomi lokal. Para pengguna yang berada di hujung ekosistem peruncitan memainkan peranan menghidupkannya. 

Cuma yang peliknya,  mengapa pihak kerajaan masih membenarkan pasaraya syarikat asing menguasai bisnes peruncitan menjual barangan dapur, telur, ayam, daging dan sayur. Walhal orang Malaysia boleh menjual kesemua barangan ini. 

Pemilikan lokal dalam sektor ini penting diseimbangkan samada dengan mengurangkan kepentingan syarikat asing atau membuka ruang dan insentif kepada pemain tempatan yang ada membesarkan bisnes untuk setanding dengan pemain luar. Dengan perubahan ini, baharulah pendapatan di sektor peruncitan tidak mengalir keluar.

Lebih-lebih lagi bila dunia belum pasti apakah Covid-19 berjaya diperangi meskipun jutaan tiub vaksin sudah bereda ke merata dunia. Sektor ini pula membabitkan food security yang menjadi kebimbangan banyak negara kerana food security yang lemah boleh mengakibatkan kebuluran. Justeru, semangat ‘kita jaga kita’ dalam soal makan minum, wajar menjadi prioriti semerta negara.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]