AISYA SOFEA menulis lagi. Karya 2021 ini berjudul Terima Kasih Cinta bakal menemui para pembaca mulai Mac ini. Apakah beza novel ini daripada karya-karya Aisya sebelum ini? Ia berbeza kerana novel ini cukup menyiksanya. 

Banyak yang Aisya rasa tak kena dari segi jalan cerita apabila manuskripnya siap. Banyak yang perlu dirombak dan diubah hingga kadang-kadang novelisnya sendiri berasa seperti berada dalam sebuah perjalanan yang tak berpenghujung. 

Sesungguhnya menulis novel bukan sebuah kerja yang mudah. Kita ikuti apa yang susahnya dari mulut Aisya Sofea sendiri…

Dari mana timbulnya idea Terima Kasih Cinta?
Saya menulis novel ini ketika saya tak ada idea yang khusus. Saya main tulis aje. Pada deraf pertama, saya dapati novel ini mendatar. Saya rasa seperti novel ini tak ke mana. Bila rasa tak puas hati, saya membaca semula karya ini untuk tengok sisi kekuatan dan kelemahannya. 

Aisya Sofea bersama peminatnya Ida Kamarudin

Berapa lama Aisya menggarap novel ini?
Selepas novel Sumpah Setia terbit pada Januari 2020, saya berehat sebulan. Bulan Mac saya mula menaip. Ini kali pertama saya terus menaip tanpa memikirkan jalur cerita terlebih dahulu. Macam syok sendiri.

Mengapa tak menulis dengan pendekatan sama yang dilakukan terhadap novel-novel sebelum ini?
Sebenarnya saya tak mahu terikat dengan mana-mana formula pengkaryaan sebab saya tak mahu karya-karya saya menjadi stereotaip. 

Maknanya garapan Terima Kasih Cinta sama sekali berbeza dengan novel-novel sebelum ini?
Dari segi pendekatan dalam menulis, memanglah. Tapi saya kekalkan kaedah mengumpul bahan seperti penyelidikan. Misalnya yang berkaitan dengan perubatan, selain merujuk dengan bahan-bahan di internet, saya tetap memperoleh sumber penyelidikan secara konvensional. 

Saya berhubung dengan mereka dalam bidang perubatan untuk bertanya dengan banyak sekali. Iyalah, bahan-bahan di internet biasanya fakta yang mentah. Bila saya merujuk dengan mereka di bidang perubatan, baharulah saya dapat memasukkan feel pada sesuatu yang serius itu.

Berapa harga novel ini dan bila akan di pasarkan?
Harganya RM32.00. Mula diedar pada Mac 2021.

Ini novel self-publish. Tentulah ia tak dapat hebahan seluas seperti ketika di bawah penerbit Alaf 21 dulu. Ada kesan dari segi pemasarannya?
Sebagai novel yang saya terbit sendiri, saya tak dapat buat naskhah sebanyak penerbit besar. Tapi, saya dah dapat tempahan dari penjual online. Penjual online punyai pendekatan yang tersendiri untuk melariskan novel ini. Pesanannya sedikit-sedikit, tetapi laris dan laju jualannya.

……………..

SINOPSIS NOVEL TERIMA KASIH CINTA

Pertemuan An dengan dua anak kecil Yaya dan adiknya Lea membawa pertelingkahan dan perselisihan faham antara dia dengan Harris Ibrahim. Lelaki bongkak dan sombong itu tidak perlukan pertolongan An untuk menjaga anak-anaknya. 

Malah Harris memberi amaran pada An untuk tidak lagi mengambil berat terhadap mereka. Tapi tidak bagi Yaya dan Lea. Anak kecil itu belum pandai hidup berdikari. Mereka tetap mengharapkan belas dari An. 

Bagai menjilat ludah yang telah dihamburkan, Harris kembali menagih pertolongan dari ummi; ibu saudara An, untuk menjaga kedua anaknya itu tatkala dia bertugas malam. 

Razlan yang bakal mengahwini wanita pilihan keluarga datang menagih cinta lama dan mahu memperisterikan An. Razlan bukan lagi cinta hatinya kerana lelaki itu tidak pernah berani mengota janjinya. 

Saat itulah Harris datang melamar mahu memperisterikan An demi anak-anaknya yang sudah menjadikan An mommy mereka. Harris bukan lelaki idaman An, jauh sekali untuk dijadikan suami. 

Biarpun usia An sudah menginjak 33 tahun, tapi dia belum terdesak untuk menamatkan zaman bujang. Apakah akan jadi pada rumahtangga mereka jika kasih sayang tidak akan wujud di antara mereka? 

Mampukah kebahagiaan jadi miliknya jika kasih sayang datang dari Yaya dan Lea sahaja? Benar, cinta bukan segalanya. Tetapi penting dalam membina rumahtangga bahagia. Apakah cinta mampu dimilikinya jika cinta lelaki itu hanya pada arwah isterinya? 

Apakah An sekadar dijadikan pengasuh dan penjaga ke dua orang anaknya? Semua persoalan ini terjawab dalam kisah TERIMA KASIH CINTA hasil idea terbaru Aisya Sofea.