MAAFCAKAP 24.2.2021

Semangat menurut definasi kamus ialah roh, perasaan hati dan jiwa, atau kemahuan untuk melakukan sesuatu. Saya hendak menyentuh semangat orang Melayu yang naik turun; bersemangat dan berapi-api tetapi tak lama kemudian dingin, beku dan kaku.

Semangat orang Melayu lazimnya terlahir secara berkumpulan. Jarang kita lihat orang Melayu bersemangat secara individu untuk mencapai sesuatu. Jika ada pun individu yang bersemangat dalam sejarah, kita dapati contohnya dari Allahyarham Leftenan Adnan yang mempertahankan nyawanya di Pasir Panjang, Singapura dari tentera Jepun.

Individu lain yang amat kita kenali ialah Dato Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman; kedua-duanya pemimpin Melayu yang meniupkan semangat Melayu dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Banyak peristiwa sejarah yang mencatat bahawa orang Melayu akan begitu bersemangat jika mereka menzahirkannya secara berkumpulan. Lihatlah memanifestasi semangat mereka secara massa ketika sama-sama mengangkat senjata menentang komunis dengan pihak askar di era darurat pada 1948-1960.

Kemuncak semangat orang Melayu dapat dilihat apabila mereka bersatu menolak Malayan Union pada tahun 1948. Pelbagai persatuan seperti persatuan guru, pemandu teksi, penarik beca, pertubuhan silat serta pelajar telah bersatu menentang hingga pihak British terpaksa menarik balik pelan mereka menguasai Tanah Melayu.

Tragedi Natrah pada tahun 1950 sekali lagi menampakkan betapa orang Melayu bersemangat menghalang wanita berbangsa Belanda yang dijaga sebagai gadis Islam itu dibawa kembali ke pangkuan ibubapanya di Belanda. 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera dalam rusuhan di antara orang Melayu dan tentera British untuk menghalang Natrah menjadi murtad.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, semangat orang Melayu untuk bersatu menentang apa yang dianggap mereka sebagai ancaman telah mula kendur. Kerajaan diperintah oleh parti Perikatan yang ditunjangi kepimpinan Melayu menjadikan orang Melayu kian tenang. Mereka yakin yang para pemimpin mereka boleh menjaga mereka dan hak-hak mereka. Orang Melayu relaks sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Tragedi itu dikaitkan dengan keputusan PRU tahun 1969 bila mana kerajaan Perikatan yang dianggotai parti Umno, MCA dan MIC gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Keceluparan kata dan aksi yang memprovok oleh pihak yang sengaja mencari fasal telah menyakitkan hati orang Melayu hingga terjadinya rusuhan di antara kaum.

Darurat diisytihar dan MAGERAN diberi kuasa mentadbir negara dari 1969 hingga 1971. Negara tenang kembali dan Dasar Ekonomi Baru; DEB dilancar pada 1972. DEB dengan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat memberi fokus kepada pihak kerajaan membantu orang Melayu dari segi ekonomi. Orang Melayu tenang kembali dan berasa dilindungi oleh pemerintah Melayu dan semangat mereka beransur-ansur hilang.

Kekuasaan politik telah menjadi benteng yang paling ampuh untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Malangnya, itulah satu-satunya benteng yang ada. Dan benteng politik mula terhakis pada PRU-12, tahun 2008. Tanpa semangat, tanpa benteng, orang Melayu berterabur kesatuan jiwanya.

Politik menyatukan Melayu, politik juga yang memecahkan mereka. PRU-14 pada 2018 dan keputusannya semakin memisahkan bila mana parti-parti Melayu berada di dua pihak pemerintah dan pembangkang. Muncul isu anti-ICERD pada Disember 2018 dan orang Melayu mampu bersatu kembali dalam perhimpunan aman manusia yang terbesar dalam sejarah Kuala Lumpur. Tetapi kemudian semangat melayu carca merba semula.

Mengapakah semangat Melayu lebih banyak menurun dari meningkat khususnya setelah kita merdeka? Pada saya ia adalah kerana semangat Melayu berpaksikan politik. Tanpa politik, orang Melayu akan semangat. Faktor ekonomi seperti DEB tidak pernah menjadikan Melayu bersemangat. Begitu juga semangat kerana faktor bahasa, budaya dan agama sekali pun.

Soalnya siapakah yang sentiasa mengumbah dan mengacau perasaan kesatuan ini? Tangan-tangan ghaib atau orang politik sendiri?