MAAFCAKAP 17.2.2021

KEDAI runcit mengikut persepsi generasi pasca merdeka hanyalah kedai yang menjual barang keperluan harian. Kedai-kedai runcit yang mereka lazim kunjungi adalah kedai runcit Cina dan India. 

Kedai-kedai ini di antaranya menjual beras, gula, tepung, lada, bawang, biskut, peralatan dapur, besen, terompah dan jajan. Kadang-kadang di kedai runcit ini ada juga menjual sebongkah air batu, bukan berbentuk kiub-kiub kecil seperti hari ini. Kedai-kedai runcitnya pula gelap dan sempit.

Bagaimana dengan kedai runcit Melayu? Kalau ada pun kedai runcit Melayu, pandangan ketika itu ialah, kedai runcit Melayu biasanya akan bankrap kerana ramai pelanggannya tak bayar hutang. Begitulah ceritanya. Kerana itu, bisnes kedai runcit tidak dilihat sebagai sebuah bisnes yang menarik.

Sehingga ke hari ini, tak ramai orang Melayu yang minat mahu buka kedai runcit. Mereka lebih gemar membuka kedai dandan rambut, kedai komputer, kedai makan, kedai servis kenderaan dan butik. 

Ramai tak tahu bahawa bisnes peruncitan menjana pendapatan besar. Pada tahun 2019, nilai bisnes peruncitan ialah RM112 bilion. Sayangnya 60 % peratus pendapatan bisnes runcit itu dibolot oleh pelabur-pelabur asing. Pasaraya-pasaraya yang besar kecuali Mydin pada hari ini kesemuanya kepunyaan asing. 

Pada tahun 80an muncul pasaraya yang dikenali sebagai hypermarket. Nama-nama seperti Hankyu Jaya, Makro dan Carrefour membuka premis mereka yang besar-besar hingga timbul tanggapan bahawa hypermarket ini akan menelan kedai-kedai runcit. Kemudian timbul pula nama-nama seperti Aeon dan Tesco. Syarikat Giant yang pada mulanya kecil berubah menjadi gergasi sebenar apabila ia menjadi hypermarket. 

Kedai-kedai runcit tradisional nampaknya kalah dengan kehebatan hypermarket sehinggalah apabila 7-Eleven pertama dibuka di Bukit Bintang pada tahun 1984. Kedai serbanika 24 jam ini mengubah persepsi kedai runcit. Perlahan-lahan imej kedai runcit persendirian makin malap bila banyak pihak membuka rangkaian kedai runcit yang cantik, bersih dan terang benderang.

Pada hari ini, carian di internet mendapati di Malaysia terdapat 2,413 kedai 7-Eleven, 1,880 kedai Speedmart 99, 243 Family Mart, 95 Econsave, 63 kedai KK Supermart, 33 Lesong Mart, 27 Ikhwan Mart dan 21 Elewsmart. Itu tidak termasuk ratusan lagi rangkaian kedai Acheh di merata pelosok negara.

Pada musim PKP hari ini, kedai-kedai runcit moden ini menjadi alternatif untuk kita pergi berbelanja. Malah, kedai-kedai runcit tradisional China, India, Melayu serta kedai Aceh menjadi tumpuan kembali kerana pembeli tidak suka beratur panjang mematuhi SOP sebelum dapat memasuki pasaraya.

Sejak permulaan PKP pada 2020, kedai runcit dibenarkan terus membuka perniagaan kerana ia menyediakan barangan keperluan. Justeru, kedai-kedai ini terus stabil mendapat pulangan yang menguntungkan. Malah, dalam tempoh PKP ini banyak rangkaian kedai runcit terus berkembang. Contohnya, rangkaian kedai runcit Elewsmart kepunyaan pendakwah Ebit Liew mula membuka cawangan pada musim PKP pada tahun lalu. Baru setahun jagung, ia sudah mempunyai 21 buah cawangan.

Inilah di antara sektor bisnes yang masih rancak, yang boleh menjana ekonomi lokal. Para pengguna yang berada di hujung ekosistem peruncitan memainkan peranan menghidupkannya. 

Cuma yang peliknya,  mengapa pihak kerajaan masih membenarkan pasaraya syarikat asing menguasai bisnes peruncitan menjual barangan dapur, telur, ayam, daging dan sayur. Walhal orang Malaysia boleh menjual kesemua barangan ini. 

Pemilikan lokal dalam sektor ini penting diseimbangkan samada dengan mengurangkan kepentingan syarikat asing atau membuka ruang dan insentif kepada pemain tempatan yang ada membesarkan bisnes untuk setanding dengan pemain luar. Dengan perubahan ini, baharulah pendapatan di sektor peruncitan tidak mengalir keluar.

Lebih-lebih lagi bila dunia belum pasti apakah Covid-19 berjaya diperangi meskipun jutaan tiub vaksin sudah bereda ke merata dunia. Sektor ini pula membabitkan food security yang menjadi kebimbangan banyak negara kerana food security yang lemah boleh mengakibatkan kebuluran. Justeru, semangat ‘kita jaga kita’ dalam soal makan minum, wajar menjadi prioriti semerta negara.