Cemas Berlumba Dengan Masa
MAAFCAKAP: 23.6.2021
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula 9 Jun hingga 15 Jun lalu. Ini susulan daripada surat secara peribadi Tun Dr, Mahathir Mohamad yang meminta perkenan Seri Paduka untuk campur tangan dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat.
Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik ini diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu. Dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang telah bermesyuarat memutuskan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Pemimpin-pemimpon pembangkang segera membuat telahan bahawa Yang di Pertuan Agong mahukan sidang Parlimen diadakan pada bulan Ogos iaitu kerana Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada Januari lalu mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos.
Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat tafsiran bahawa baginda tidak menyatakan itu secara spesifik mengenai tarikh sidang Parlimen, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng menuduh beliau derhaka. Lantas, satu laporan polis segera dibuat ke atas beliau.
Dalam pada itu tular semula gossip-gossip liar yang tular mengenai jajaran baharu politik yang mendakwa sebilangan para pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional akan beralih arah, membuat undi tidak percaya pada sidang Parlimen dan seterusnya mengakibatkan ia dibubar dan Pilihanraya Umum diadakan.
Cuma pada petang 15 Jun, sehari sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara. Ia adalah pelan terperinci tentang fasa-fasa hingga membawa penamatan PKP setelah jumlah rakyat yang menerima vaksinasi mencapai 80 % iaitu menjelang November 2021.
Banyak pihak khususnya di kalangan industri tidak setuju dengan pelan yang dikatakan terlalu lembab ini. Tempoh lima hingga enam bulan sudah cukup untuk melumpuhkan lagi banyak perniagaan khususnya di sektor kecil dan sederhana. Ramai yang bakal hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan akan jatuh miskin.
Pihak kerajaan nampaknya tiada pilihan melainkan meneruskan pelan pemulihan di samping mengintai peluang sekiranya ada jalan untuk mereka mendapat bekalan vaksin yang banyak dari sumber-sumber lain agar herd immunity dicapai lebih awal dari November.
Menteri Menteri Koordinator Program Imunisasi Nasional, Khairi Jamaluddin telah beberapa kali meminta kefahaman umum bahawa kelewatan program imunisasi ini adalah kerana kelambatan menerima vaksin seperti yang diingini kerana negara-negara besar seperti Amerika dan Eropah telah merebut dahulu bekalan.
Mahu tidak mahu, kita kena akui bahawa kita terperangkap dengan situasi. Pihak kerajaan sedang berlumba dengan masa. Kelewatan rakyat menerima suntikan vaksin bermakna Covid-19 masih boleh bermaharaja lela dan meningkatkan angka jangkitan. Ia juga akan melumpuhkan ekonomi. Tanpa pendapatan, apa nak makan? Bagaimana hendak memberi subsidi bantuan kepada rakyat jika dana semakin kosong?
Musuh-musuh politik sedang menggunakan isu ini untuk menggambarkan kerajaan tidak cekap. Inilah yang ditiup dan diapi-apikan. Namun, katakanlah sidang Parlimen diadakan pada bulan Ogos, apakah mudah Perdana Menteri mendapat undi tidak percaya?
Seandainya berlaku dan Dewan Rakyat dibubar untuk diadakan PRU-15, berapa ramaikah rakyat yang berani turun untuk mengundi? Meskipun yang turun mengundi begitu kecil pun, yang menang akan tetap menang dan memerintah. Namun, apakah PRU secara paksa kepada rakyat ini akan menerima restu mereka? Jika kerajaan PN dikatakan kerajaan tebuk atap, kerajaan yang menang nanti, kerajaan tebuk apa?
Hebatkah Berjaya Secara Sendirian?
MAAFCAKAP: 16.6.2021
Baru-baru ini saya mengikuti ceramah mengenai pentingnya solat berjemaah. Ucap penyampainya, solat berjemaah yang membawa pahala 27 kali ganda berbanding dengan solat bersendirian itu besar maknanya jika perbuatan berjemaah itu dipraktikkan di luar solat.
Benar kata ustaz. Apa yang kita lihat pada hari ini ialah betapa para jemaah ‘bertebaran di muka bumi,’ yang dalam konteks ini menyambung urusan masing-masing secara sendirian. Kita menjadi individualistik semula dalam kehidupan seharian. Kita hanya bertaut untuk solat jemaah semata-mata. Urusan muamalat setelah itu tak ikut cara Nabi saw dan para sahabat.
Kehidupan kita yang sendiri-sendiri itu ditambah pula dengan keadaan pandemik Covid-19 bilamana kita menjaga jarak fizikal, mengucap salam dengan kenalan hanya dari jauh, menghulur senyuman diberi di sebalik topeng muka, malah terasing duduk di rumah.
Bersendirian itu sebenarnya melemahkan fikiran dan perlahan-lahan menjadikan kita anti-sosial pula. Kita hanya dapat perhati dunia melalui kaca televisyen dan berbual melalui telefon. Rumah, yang dahulunya sarang, kini jadi penjara. Akhirnya, kerana kurang berinteraksi dan merujuk dengan orang di sekeliling, kita lemah dalam menaakul sesuatu perkara. Kebenaran itu bergantung kepada maklumat mana yang lebih banyak kita terima.
“Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai.” (Hadis riwayat Ahmad)
Bila direnung kepada hadis ini, kita bimbang betapa kian sehari iman kita semakin menipis. Oleh kerana tiada kawan-kawan, geng mahupun team untuk duduk bersama-sama bertukar-tukar fikiran, amal kita semakin kurang. Malangnya, sebahagian besar daripada kita tidak berasa pelik dengan keadaan ini.
Kita berasa okey sahaja bila kita bersendirian secara zahir kerana segala bentuk komunikasi dengan sesiapa sahaja di dunia ini boleh dijangkau dengan hujung jari. Malah, bersendirian itu disamakan dengan sifat anak jantan. Tidak keterlaluan bila dikatakan sikap bahawa menjalankan aktiviti secara solo itu adalah sikap terbaik sebab kita diuar-uarkan dengan kegagahan hero yang berjaya bila bertindak sendirian.
Terlalu banyak dialog yang menggambarkan kehandalan seseorang bila dapat menyelesaikan masalah secara berseorangan. Dialog hero-hero fiksyen Hercules, Spider-Man, Wolverine, Daredevil, Rambo, Jason Bourne dan James Bond memang tidak lekang dengan dialog, ‘I work alone,’ bagi menggambarkan bahawa bersendirian itu macho!
Justeru itu, kita berasa kita terhebat menjadi johan kerana kita seorang yang berjaya mencapai puncak. Kita menang perlumbaan, kita julang piala dan kemasyhuran sambil mendabik dada diiringi tepukan orang ramai yang jauh di bawah. Selepas itu, apa?
Hebatkah menjadi seorang tokoh di puncak sedangkan mereka di bawah tidak mampu memanjat ke atas dan si tokoh pula tidak mahu menjejak ke tanah? Logiknya jika seseorang boleh mengangkat sekeping papan, sekumpulan manusia boleh mengangkat dan memindahkan sebuah rumah. Di mana kekuatan bila sendirian?
Benar, bergerak bersendirian untuk ke puncak itu lebih pantas. Tetapi bukankah puncak itu tempatnya sunyi? “If you want to walk fast, walk alone. But if you want to walk far, walk together.” Begitulah mutiara kata Ratan Tata, tokoh bisnes Kumpulan Tata dari India.
“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) Akhir-akhir ini, dalam apa jua bidang pun, ramai sangat hendak jadi hero sebab hero itu seorang dan seorang itu hebat. Tetapi, bukankah itu sikap individualistik yang bukan dari ajaran Nabi saw?
Penerbitan Mana Yang Kita Pilih?
Topik ini bukan untuk anda yang ingin untuk terbit buku sendiri. Itu topik lain yang saya akan tulis nanti. Dalam suasana pandemik Covid-19 ini, banyak penerbit lipat tikar, kurangkan pengeluaran buku baharu.
- Yang gulung tikar pun ada kerana tak tahan menanggung kerugian bila buku-buku tak laku. Begitu pun, ada penerbit yang masih terbitkan buku. Cuma kali ini mereka lebih berhati-hati samada mencetak sedikit buku atau mencetak buku menurut tempahan.
- Begitu juga, ada penulis yang berhenti menulis kerana kurang bersemangat akibat jualan tak memberangsangkan. Ada yang menerbitkan e-buku. Ada juga yang selamba sahaja hendak cuba berenang di lautan yang dalam dan bergelora iaitu menerbitkan buku di zaman yang sukar ini. Justeru itu, ini topik untuk anda.
- Apabila kita memilih sesebuah syarikat itu menjadi penerbit buku kita, kita seharusnya menjadikan ia rakan kongsi. Tetapkan fikiran bahawa penerbit juga perlukan kita. Bukan kita bernaung di bawah mereka.
- Mereka adalah rakan niaga kita sebab kita sandarkan idea iaitu harta intelek kita kepada mereka untuk dipasarkan. Mereka keluar modal kertas, percetakan dan pengedaran. Kita memberi mereka peluang untuk membuat duit dengan menerbit dan memasarkan karya kita.
- Kita bukan di bawah mereka. Sebaliknya, kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Itu pendirian dan persepsi yang perlu kita betulkan. Win-win situation.
- Mencari rakan kongsi itu sama juga seperti memilih pasangan. Kita tidak boleh tengok yang cantik atau yang hensem sahaja. Sebaliknya kita kenalah kenal siapakah ibubapanya. Dalam konteks ini, siapakah taukenya? Selidik betul-betul.
- Kalau tauke syarikat penerbitan yang kita pilih itu bukan orang penerbitan buku dia mungkin memasuki bidang penerbitan buku semata-mata kerana ingin mengaut keuntungan. Maaf cakap, kalau dia tauke ikan kering, macam mana dia boleh jiwai bisnes penerbitan?
- Kita perlu selidik siapa-siapa kah penulis yang menerbitkan buku-buku mereka dengan penerbit ini. Cuba PM tepi penulis-penulis ini memohon maklumat mengenai sesebuah penerbitan yang kita ingin pilih.
- Ada juga mereka yang jadi penerbit buku, tetapi mereka kaki kelentong. Mereka jual 5,000 buku kita tetapi kata, hanya 1,000 yang laku. Royalti yang dibayar pun berdasarkan jumlah yang terjual sahaja sedangkan duit jualan untuk 4,000 naskhah lagi dia sapu semua.
- Ada juga penerbit yang cari kita, mengecek minta kita hantar karya ke penerbitan mereka. Kononnya untuk tolong mereka. Berhati-hatilah dengan penerbit sebegini kerana mereka berniaga berasaskan tolong-tolong. Mahu berniaga mesti berdasarkan congakan untung rugi.
- Jika kita setuju dengan konsep tolong-tolong ini, esok-esok royalti kita pun dibayar lewat sedangkan dia lasak menerbitkan banyak buku penulis lain. Ertinya, dia gunakan duit untung novel kita untuk cetak buku orang lain. Dan kita putih mata sahajalah dengan royalti ciput.
PKP: Syarikat Percetakan Makin Tenat
Murnaena Muhammad Nasir.Harian Metro
Kuala Lumpur: Ratusan syarikat percetakan semakin tenat dan berkemungkinan terpaksa gulung tikar susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang dikuat kuasakan ketika ini.
Perkara itu dinyatakan Penasihat Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Muhammed Farhan Basheer dan berharap kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) memantau komitmen institusi perbankan mahupun syarikat kredit berlesen supaya menyediakan pakej moratorium.
“Persatuan menyifatkan, pakej moratorium itu adalah harapan terakhir kepada kira-kira 100 ahli PPPMM untuk bertahan dan meneruskan kelangsungan dalam industri.
“Ini juga bagi meringankan beban kewangan komuniti perniagaan serta perusahaan percetakan selepas kira-kira 16 bulan terjejas akibat penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, berikutan perubahan teknologi mesin percetakan dan penjilidan yang semakin canggih, ahli PPPMM terpaksa membuat pelaburan yang besar untuk membeli mesin baharu sebelum 2020 supaya pengoperasian lebih efisien.
“Ramai ahli persatuan membuat pinjaman bank dan syarikat kredit berlesen demi meningkatkan daya saing syarikat sekali gus memenuhi tuntutan pelanggan yang mahu kerja-kerja mencetak disiapkan dengan kadar lebih pantas.
“Namun sejak pandemik Covid-19 awal tahun lalu, tender atau kerja-kerja mencetak yang ditawarkan semakin terhad sehingga rata-rata ahli persatuan tidak lagi mampu meraih pendapatan untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan masing-masing,” katanya.
Katanya, selain terbeban dengan ansuran bulanan yang tinggi, aliran tunai ahli PPPMM juga semakin kritikal kerana mereka perlu menanggung pelbagai kos operasi khususnya gaji pekerja yang dianggarkan antara 15 hingga 500 orang serta harga kertas yang semakin mahal.
“Perubahan sikap pengguna yang semakin ramai meminggirkan kebiasaan membaca bahan bercetak dan lebih cenderung mendapatkan maklumat menerusi pelbagai aplikasi dalam talian dan media sosial dalam internet turut memberi kesan.
“Ini menyebabkan industri percetakan terjejas teruk dan ada ahli PPPMM menanggung kerugian berjuta ringgit kerana buku-buku dan majalah yang diterbitkan tidak laku di pasaran,” katanya.
Bolehkah Kita Capai Herd Immunity?
MAAFCAKAP: 9.6.2021
Akhir-akhir ini pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenai pandemik Covid-19 khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia sibuk bersilat menangkis pelbagai berita, mesej dan video dakwaan mengenai ubat yang dikatakan lebih mudah memulihkan Covid-19. Itu belum termasuk mesej-mesej yang menggusarkan mengenai imunisasi.
Melihat kepada tularnya mesej-mesej sebegitu di media sosial, ia petanda bahawa masyarakat percaya kepada dakwaan-dakwaan itu. Kalau seseorang itu tak percaya, mustahil dia akan sebarkan. Malangnya, ini membolak-balikkan hati mereka yang telah sedia untuk divaksinasi.
Setakat artikel ini ditulis, carian di laman Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat hanya sejumlah 12.7 juta daripada 32 juta rakyat telah mendaftar. Maknanya hanya 40 % telah mendaftar. Daripada jumlah ini hampir 2.5 juta rakyat atau hanya 8 % sudah divaksinasi.
Angka ini masih jauh daripada sasaran 80 % rakyat atau 25.6 juta divaksinasi untuk kita memperoleh herd immunity. Bagaimana pun, Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba berkata, sasaran untuk mencapai herd immunity ialah pada bulan Disember. Ini bermakna, sejumlah 113,000 rakyat perlu divaksinasi dalam sehari.
Menurut Khairi Jamaluddin selaku Menteri Kordinator Program Imunisasi Nasional Covid-19, pihak kerajaan mensasarkan jumlah 150,000 divaksinasi sehari mulai Jun. Ini bermakna lebih kurang 160 hari lagi atau menjelang pertengahan November 2021, kita boleh mencapai herd immunity.
Ini bererti PKP boleh ditamatkan! Semua orang boleh keluar merentas daerah, merentas negeri malah merentas benua yang mengizinkan mereka yang ada sijil vaksinasi untuk berkunjung. Kita boleh melancong, makan-makan, minum-minum dengan keluarga dan dengan kawan-kawan. Kita boleh pergi membeli-belah, bersukan dan berekreasi.
Kita boleh beribadah dengan ke masjid dan ke surau untuk bersolat jemaah, mendengar ceramah dan bertahlil. Kenduri kendara boleh diadakan semula. Majlis perkahwinan pun boleh diadakan dan diraikan dengan meriah. Pendek kata, nikmat hidup di dunia yang kita telah tinggal hampir dua tahun akan kembali semula. Oh, bahagianya.
Bagaimana pun, apakah kita benar-benar telah bersedia? Apakah kita betul-betul nampak apa yang bakal menyinari seandainya kita sama-sama yakin dengan program vaksinasi ini? Saya rasa ramai di antara kita belum sedar. Tahu tapi belum faham.
Semakan di laman Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di MySejahtera hanya mencatat 12.7 juta atau hanya 40 % mereka yang patut divaksinasi yang mendaftar. Hanya 19.8 % di Sabah dan hanya 37 % di Kelantan yang telah mendaftar. Kedah, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu mencatat jumlah yang mendaftar kurang dari 50 %.
Negeri-negeri lain pula mencecah 60 % sementara hanya Kuala Lumpur melebihi 70 % tetapi Putrajaya mencatat peratusan terbaik iaitu 100 % penduduk yang mendaftar. Andainya dicongak jumlah yang telah mendaftar ini dan sasaran vaksinasi 150,000 rakyat sehari, jumlah kesemua 10,264,282 mereka yang telah mendaftar ini selesai divaksinasi menjelang 15 Ogos akan datang. Tetapi jumlahnya baru 49 %!
Bagaimana dengan 51 % lagi yang belum? Apakah kita menunggu saat-saat akhir? Bila tidak cukup jumlah mereka yang divaksinasi maka kita lambat mencapai herd immunity apakah kita hendak menyalahkan pemerintah kerana kononnya lembab? Sedangkan mereka telah membuat penerangan terperinci yang semua orang boleh tatap melalui telefon masing-masing? Kenapa pilih mesej viral yang belum tentu dari sumber mana? Kenapa tak tengok maklumat sahih pihak berwajib?
Nanti, apabila PKP dilanjutkan disebabkan peratus yang divaksinasi tak cukup peratusannya, apakah pihak pemerintah jugalah yang salah? Janganlah kata, biar orang lain yang daftar dahulu. Kasihankan frontliners yang telah bertahun-tahun pertahankan benteng kesihatan kita! Selesaikan tanggungjawab kita dan berilah frontliners peluang untuk melepas lelah.
Mari kita lakukan tanggungjawab untuk diri dan untuk seluruh rakyat Malaysia!


