Topik ini bukan untuk anda yang ingin untuk terbit buku sendiri. Itu topik lain yang saya akan tulis nanti. Dalam suasana pandemik Covid-19 ini, banyak penerbit lipat tikar, kurangkan pengeluaran buku baharu.
- Yang gulung tikar pun ada kerana tak tahan menanggung kerugian bila buku-buku tak laku. Begitu pun, ada penerbit yang masih terbitkan buku. Cuma kali ini mereka lebih berhati-hati samada mencetak sedikit buku atau mencetak buku menurut tempahan.
- Begitu juga, ada penulis yang berhenti menulis kerana kurang bersemangat akibat jualan tak memberangsangkan. Ada yang menerbitkan e-buku. Ada juga yang selamba sahaja hendak cuba berenang di lautan yang dalam dan bergelora iaitu menerbitkan buku di zaman yang sukar ini. Justeru itu, ini topik untuk anda.
- Apabila kita memilih sesebuah syarikat itu menjadi penerbit buku kita, kita seharusnya menjadikan ia rakan kongsi. Tetapkan fikiran bahawa penerbit juga perlukan kita. Bukan kita bernaung di bawah mereka.
- Mereka adalah rakan niaga kita sebab kita sandarkan idea iaitu harta intelek kita kepada mereka untuk dipasarkan. Mereka keluar modal kertas, percetakan dan pengedaran. Kita memberi mereka peluang untuk membuat duit dengan menerbit dan memasarkan karya kita.
- Kita bukan di bawah mereka. Sebaliknya, kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Itu pendirian dan persepsi yang perlu kita betulkan. Win-win situation.
- Mencari rakan kongsi itu sama juga seperti memilih pasangan. Kita tidak boleh tengok yang cantik atau yang hensem sahaja. Sebaliknya kita kenalah kenal siapakah ibubapanya. Dalam konteks ini, siapakah taukenya? Selidik betul-betul.
- Kalau tauke syarikat penerbitan yang kita pilih itu bukan orang penerbitan buku dia mungkin memasuki bidang penerbitan buku semata-mata kerana ingin mengaut keuntungan. Maaf cakap, kalau dia tauke ikan kering, macam mana dia boleh jiwai bisnes penerbitan?
- Kita perlu selidik siapa-siapa kah penulis yang menerbitkan buku-buku mereka dengan penerbit ini. Cuba PM tepi penulis-penulis ini memohon maklumat mengenai sesebuah penerbitan yang kita ingin pilih.
- Ada juga mereka yang jadi penerbit buku, tetapi mereka kaki kelentong. Mereka jual 5,000 buku kita tetapi kata, hanya 1,000 yang laku. Royalti yang dibayar pun berdasarkan jumlah yang terjual sahaja sedangkan duit jualan untuk 4,000 naskhah lagi dia sapu semua.
- Ada juga penerbit yang cari kita, mengecek minta kita hantar karya ke penerbitan mereka. Kononnya untuk tolong mereka. Berhati-hatilah dengan penerbit sebegini kerana mereka berniaga berasaskan tolong-tolong. Mahu berniaga mesti berdasarkan congakan untung rugi.
- Jika kita setuju dengan konsep tolong-tolong ini, esok-esok royalti kita pun dibayar lewat sedangkan dia lasak menerbitkan banyak buku penulis lain. Ertinya, dia gunakan duit untung novel kita untuk cetak buku orang lain. Dan kita putih mata sahajalah dengan royalti ciput.