MAAFCAKAP: 23.6.2021

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula 9 Jun hingga 15 Jun lalu. Ini susulan daripada surat secara peribadi Tun Dr, Mahathir Mohamad yang meminta perkenan Seri Paduka untuk campur tangan dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat.

Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh para pemimpin parti politik ini diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu. Dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang telah bermesyuarat memutuskan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pemimpin-pemimpon pembangkang segera membuat telahan bahawa Yang di Pertuan Agong mahukan sidang Parlimen diadakan pada bulan Ogos iaitu kerana Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada Januari lalu mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos. 

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat tafsiran bahawa baginda tidak menyatakan itu secara spesifik mengenai tarikh sidang Parlimen, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng menuduh beliau derhaka. Lantas, satu laporan polis segera dibuat ke atas beliau. 

Dalam pada itu tular semula gossip-gossip liar yang tular mengenai jajaran baharu politik yang mendakwa sebilangan para pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional akan beralih arah, membuat undi tidak percaya pada sidang Parlimen dan seterusnya mengakibatkan ia dibubar dan Pilihanraya Umum diadakan. 

Cuma pada petang 15 Jun, sehari sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara. Ia adalah pelan terperinci tentang fasa-fasa hingga membawa penamatan PKP setelah jumlah rakyat yang menerima vaksinasi mencapai 80 % iaitu menjelang November 2021.

Banyak pihak khususnya di kalangan industri tidak setuju dengan pelan yang dikatakan terlalu lembab ini. Tempoh lima hingga enam bulan sudah cukup untuk melumpuhkan lagi banyak perniagaan khususnya di sektor kecil dan sederhana. Ramai yang bakal hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan akan jatuh miskin.

Pihak kerajaan nampaknya tiada pilihan melainkan meneruskan pelan pemulihan di samping mengintai peluang sekiranya ada jalan untuk mereka mendapat bekalan vaksin yang banyak dari sumber-sumber lain agar herd immunity dicapai lebih awal dari November.

Menteri Menteri Koordinator Program Imunisasi Nasional, Khairi Jamaluddin telah beberapa kali meminta kefahaman umum bahawa kelewatan program imunisasi ini adalah kerana kelambatan menerima vaksin seperti yang diingini kerana negara-negara besar seperti Amerika dan Eropah telah merebut dahulu bekalan.

Mahu tidak mahu, kita kena akui bahawa kita terperangkap dengan situasi. Pihak kerajaan sedang berlumba dengan masa. Kelewatan rakyat menerima suntikan vaksin bermakna Covid-19 masih boleh bermaharaja lela dan meningkatkan angka jangkitan. Ia juga akan melumpuhkan ekonomi. Tanpa pendapatan, apa nak makan? Bagaimana hendak memberi subsidi bantuan kepada rakyat jika dana semakin kosong?

Musuh-musuh politik sedang menggunakan isu ini untuk menggambarkan kerajaan tidak cekap. Inilah yang ditiup dan diapi-apikan. Namun, katakanlah sidang Parlimen diadakan pada bulan Ogos, apakah mudah Perdana Menteri mendapat undi tidak percaya? 

Seandainya berlaku dan Dewan Rakyat dibubar untuk diadakan PRU-15, berapa ramaikah rakyat yang berani turun untuk mengundi? Meskipun yang turun mengundi begitu kecil pun, yang menang akan tetap menang dan memerintah. Namun, apakah PRU secara paksa kepada rakyat ini akan menerima restu mereka? Jika kerajaan PN dikatakan kerajaan tebuk atap, kerajaan yang menang nanti, kerajaan tebuk apa?