KELMARIN, 22 Jun, genaplah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  ke-65 tahun. DBP ditubuhkan pada tahun 1956 telah lalui pelbagai cabaran dan ranjau yang dilalui sepanjang tempoh tersebut.

Selama ini DBP hanya dihormati oleh ramai kerana peranannya sebagai pemantau dan memperkaya bahasa Melayu di semua bidang. Ia juga memperkembang bakat, mencetak dan menerbitkan, membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan meluas. 

DBP juga adalah ‘cop JAKIM’ di padang pendidikan. Dari sudut bahasa, DBP dirujuk sebagai institusi yang mengesahkan apa jua hal dalam bidang bahasa. Namun ia tidak mempunyai taring yang tajam sebagai penguatkuasa. 

Mengambil contoh, kelulusan dalam tatabahasa dan ejaan di bidang pengiklanan seperti papan tanda perlukan kelulusan DBP. Bagaimana pun sekiranya pelanggaran tatabahasa dan ejaan dilakukan pada papan iklan dan notis, pihak DBP tidak lagi mempunyai taring untuk menurunkannya. Ia tiada kuasa dalam bidang penguatkuasaan.

Betapa pun, DBP nampaknya tidak ketinggalan dalam menghadirkan dirinya di media sosial. DBP menggiatkan perkongsian atau kaedah amalan membaca menggunakan landasan media sosial DBP seperti Facebook, Instagram, Twitter, Telegram juga YouTube.

Malah pada tahun lalu, media sosial DBP khususnya Faebook merekodkan hampir 37 juta carian oleh pengguna media sosial. Hal ini membuktikan perkongsian DBP telah menarik perhatian masyarakat. DBP menyedari bagaimana landasan digital menjadi fokus DBP untuk menggiatkan amalan membaca rakyat Malaysia.

Sejak tahun lalu, ia telah mendinamiskan kaedah bagaimana masyarakat dapat mengetahui sesebuah buku melalui perbincangan, wacana, diskusi, kegiatan bentuk pertandingan dan sayembara bagi memaksimumkan kempen budaya membaca.

Untuk itu, DBP sedang bersiap siaga bagi melancarkan Pelantar Digital DBP dijangka pada tahun ini. Berjayakah DBP melaksanakan kempen membaca melalui Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030).

Sekali lagi, ia mestilah mendasarkan pendekatannya kepada khalayak masyarakat. DBP perlu memasarkan institusinya dengan imej yang up-to-date di media yang up-to-date seperti di media-media sosial popular seperti yang mereka lakukan sekarang.

 Baharulah ia dekat di hati masyarakat.