MAAFCAKAP: 9.6.2021
Akhir-akhir ini pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenai pandemik Covid-19 khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia sibuk bersilat menangkis pelbagai berita, mesej dan video dakwaan mengenai ubat yang dikatakan lebih mudah memulihkan Covid-19. Itu belum termasuk mesej-mesej yang menggusarkan mengenai imunisasi.
Melihat kepada tularnya mesej-mesej sebegitu di media sosial, ia petanda bahawa masyarakat percaya kepada dakwaan-dakwaan itu. Kalau seseorang itu tak percaya, mustahil dia akan sebarkan. Malangnya, ini membolak-balikkan hati mereka yang telah sedia untuk divaksinasi.
Setakat artikel ini ditulis, carian di laman Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat hanya sejumlah 12.7 juta daripada 32 juta rakyat telah mendaftar. Maknanya hanya 40 % telah mendaftar. Daripada jumlah ini hampir 2.5 juta rakyat atau hanya 8 % sudah divaksinasi.
Angka ini masih jauh daripada sasaran 80 % rakyat atau 25.6 juta divaksinasi untuk kita memperoleh herd immunity. Bagaimana pun, Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba berkata, sasaran untuk mencapai herd immunity ialah pada bulan Disember. Ini bermakna, sejumlah 113,000 rakyat perlu divaksinasi dalam sehari.
Menurut Khairi Jamaluddin selaku Menteri Kordinator Program Imunisasi Nasional Covid-19, pihak kerajaan mensasarkan jumlah 150,000 divaksinasi sehari mulai Jun. Ini bermakna lebih kurang 160 hari lagi atau menjelang pertengahan November 2021, kita boleh mencapai herd immunity.
Ini bererti PKP boleh ditamatkan! Semua orang boleh keluar merentas daerah, merentas negeri malah merentas benua yang mengizinkan mereka yang ada sijil vaksinasi untuk berkunjung. Kita boleh melancong, makan-makan, minum-minum dengan keluarga dan dengan kawan-kawan. Kita boleh pergi membeli-belah, bersukan dan berekreasi.
Kita boleh beribadah dengan ke masjid dan ke surau untuk bersolat jemaah, mendengar ceramah dan bertahlil. Kenduri kendara boleh diadakan semula. Majlis perkahwinan pun boleh diadakan dan diraikan dengan meriah. Pendek kata, nikmat hidup di dunia yang kita telah tinggal hampir dua tahun akan kembali semula. Oh, bahagianya.
Bagaimana pun, apakah kita benar-benar telah bersedia? Apakah kita betul-betul nampak apa yang bakal menyinari seandainya kita sama-sama yakin dengan program vaksinasi ini? Saya rasa ramai di antara kita belum sedar. Tahu tapi belum faham.
Semakan di laman Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di MySejahtera hanya mencatat 12.7 juta atau hanya 40 % mereka yang patut divaksinasi yang mendaftar. Hanya 19.8 % di Sabah dan hanya 37 % di Kelantan yang telah mendaftar. Kedah, Pahang, Perak, Perlis dan Terengganu mencatat jumlah yang mendaftar kurang dari 50 %.
Negeri-negeri lain pula mencecah 60 % sementara hanya Kuala Lumpur melebihi 70 % tetapi Putrajaya mencatat peratusan terbaik iaitu 100 % penduduk yang mendaftar. Andainya dicongak jumlah yang telah mendaftar ini dan sasaran vaksinasi 150,000 rakyat sehari, jumlah kesemua 10,264,282 mereka yang telah mendaftar ini selesai divaksinasi menjelang 15 Ogos akan datang. Tetapi jumlahnya baru 49 %!
Bagaimana dengan 51 % lagi yang belum? Apakah kita menunggu saat-saat akhir? Bila tidak cukup jumlah mereka yang divaksinasi maka kita lambat mencapai herd immunity apakah kita hendak menyalahkan pemerintah kerana kononnya lembab? Sedangkan mereka telah membuat penerangan terperinci yang semua orang boleh tatap melalui telefon masing-masing? Kenapa pilih mesej viral yang belum tentu dari sumber mana? Kenapa tak tengok maklumat sahih pihak berwajib?
Nanti, apabila PKP dilanjutkan disebabkan peratus yang divaksinasi tak cukup peratusannya, apakah pihak pemerintah jugalah yang salah? Janganlah kata, biar orang lain yang daftar dahulu. Kasihankan frontliners yang telah bertahun-tahun pertahankan benteng kesihatan kita! Selesaikan tanggungjawab kita dan berilah frontliners peluang untuk melepas lelah.
Mari kita lakukan tanggungjawab untuk diri dan untuk seluruh rakyat Malaysia!