BLOG

Di Mana Buku-buku Politik Di Pestabuku Hong Kong?

Di Mana Buku-buku Politik Di Pestabuku Hong Kong?

Berita asal: ChannelNewsAsia . 15.7.2021

Pestabuku Hongkong yang baru berlangsung mulai 14 Julai lalu telah menghadkan buku-buku yang sensitif dari segi politik. Pestabuku yang ditangguh dua kali kerana pandemik Covid-19 biasanya dikunjungi oleh ratus ribuan para pengunjung.

Nampaknya undang-undang keselamatan negara yang dikuatkuasakan oleh pemerintah di Beijing telah mengekang kebebasan para pempamer memperagakan buku-buku pro-demokrasi. Saban tahun pestabuku di HongKong telah menarik para pengunjung kerana buku-buku baharu politik akan memenuhi reruai.

“Setiap penerbit akan meneliti buku-buku yang akan dipamer di pestabuku ini agar tidak menimbulkan masalah,” ujar Jimmy Pang, Presiden Subculture Publishing House. “Kami tak mahu menimbulkan masalah. Jadi kami baca setiap buku sebelum membawanya ke pestabuku ini.”

Penulis politik Johnny Lau berkata, buku-bukunya tidak dibenarkan di pestabuku kali ini, bukannya kerana campurtangan kerajaan, bahkan kerana tekanan dari dasar-dasar kerajaan. 

Bagaimana pun Benjamin Chau, Penolong Pengarah Eksekutif, ong Kong Trade Devekopment Council pula berkata, buku-buku pro-demokrasi masih boleh dipamer asalkan tidak melanggar undang-undang.

Betapa pun, beberapa orang pengunjung seperti Alex Chan, merungut kerana kurangnya buku-buku politik pada pestabuku kali ini. “Bukankah kita sepatutnya boleh beli apa-apa buku di pestabuku? Apakah Hong Kong masih menjadi tempat buku-buku kebebasan bersuara dan kebebasan menerbit?”

Usah Malu Meminta Tolong

Usah Malu Meminta Tolong

MAAFCAKAP 14.7.2021

Carian dalam Twitter menunjukkan kempen ‘bendera putih’ dimulakan oleh pengguna Facebook bernama ‘Jah’ atau Nik Faizah Nik Othman, Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan. Alhamdulilah, cadangan beliau telah memberi kelegaan kepada ribuan insan yang memerlukan pertolongan.

Mengibarkan bendera putih adalah cara meminta tolong dengan pendekatan yang molek, sopan dan terhormat. Ia adalah pelapik yang mengurangkan rasa malu orang yang meminta pertolongan. Sejak itu, ribuan bendera putih kelihatan berkibaran di merata ceruk negara. Kita dapat melihat buktinya bila kita melayari ‘kitajaga.co’ sebuah aplikasi dari usaha rakyat Malaysia. Ia petunjuk bahawa ramai sekali warganegara kita yang dalam kesempitan.

Nik Faizah Nik Othman telah memberi jalan yang mudah dan praktikal kepada mereka yang inginkan bantuan. Ia juga membolehkan individu dan kumpulan segera datang membantu. Bendera putih membolehkan jiran tetangga tahu masalah jiran yang selama ini mereka anggap okey sahaja seperti mereka.

Sesungguhnya meminta tolong adalah satu tindakan yang natural bagi sesiapa yang di dalam kesusahan. Lebih-lebih lagi bila PKP yang rata-rata dialami kita semua, kita yang masih ada serba sedikit, amat memahami dan ingin menolong meringankan beban orang lain.

Orang Malaysia amat terkenal suka membantu tidak akan teragak-agak menolong sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Jika selama ini kita akan turut membantu dalam situasi terdesak seperti kemalangan dan kebakaran, kini kepayahan kehidupan yang kian menghimpit menyemarakkan sikap kita yang suka menolong.

Nampaknya slogan ‘kita jaga kita’ bukan sekadar slogan kita menjaga sesama sendiri untuk mengawal merebaknya Covid-19. ‘Kita jaga kita’ kini mempunyai skop yang lebih luas. ‘Kita jaga kita’ daripada kebuluran, ‘kita jaga kita’ kerana orang politik asyik berpolitik dan tidak pandang rakyat dan ‘kita jaga kita’ menggerakkan rakyat sebagai pasukan mengekang Covid-19.

Kerajaan terbina dari sokongan rakyat. Kerajaan pula berperanan membantu rakyat. Apabila jentera kerajaan khususnya di Kementerian Kesihatan Malaysia berada di dalam kepayahan, rakyat Malaysia yang suka menolong akan datang membantu.

Pegawai-pegawai kerajaan di KKM sebenarnya terdiri dari kalangan rakyat  juga. Rata-rata orang awam yang mempunyai saudara-mara di kalangan ‘orang hospital.’ Malah, kesemua rakyat di negara ini pernah mendapat layanan hospital. Hospital adalah institusi yang amat dekat di hati rakyat. Malah, ada di angtara kita yang bagai ‘terhutang nyawa’ dengan hospital.

Justeru, pihak KKM tidak perlu berasa segan, rasa serba-salah atau masih mahu bertindak hero jika keadaan memerlukan mereka pula meminta pertolongan dari rakyat yang sebenarnya saudara-mara mereka juga. Kes-kes di mana individu atau kumpulan yang datang untuk menolong harus dipersilakan dengan tangan terbuka dengan mematuhi saluran; tidak dinafi, dilewat atau ditolak.

Ramai di kalangan rakyat kini sudah menjadi sukarelawan secara langsung sebagai petugas di hospital-hospital kerajaan dan PPV. Ramai lagi yang rela menjadi sukarelawan dalam memerangi Covid-19. Seru sahaja, mereka akan muncul sedia membantu.

Sikap tidak mahu atau malu meminta tolong harus diketepikan jauh-jauh. Usah menggagahkan diri sendirian pada waktu ini. Maaf cakap, sikap demikian seolah-olah mahu membunuh diri.

Inilah masanya perhubungan kerajaan-rakyat ditulis semula. Jika selama ini perhubungan kerajaan-rakyat itu diertikan perhubungan kerajaan membantu rakyat, biarlah kali ini perhubungan kerajaan-rakyat itu bermaksud perhubungan rakyat membantu kerajaan pula. Tidak ada masalah pun.

Arab Saudi Pula Buka Pestabuku Kepada Ramai

Arab Saudi Pula Buka Pestabuku Kepada Ramai

Sumber: SaudiGazette.com . 5.7.2021

Suruhanjaya Penerbitan dan Penterjemahan, Kementerian Kebudayaan Arab Saudi mengumumkan ia akan melipatkaligandakan Riyadh Book Fair untuk menarik minat penerbit-penerbit buku di seluruh dunia.

“Saya menyeru semua penerbit tempatan, negara-negara Arab dan para penerbit di seluruh dunia agar menyertai pestabuku kami yang akan diperbesarkan hingga dua kali ganda,” ujar Menteri Kebudayaan, Putera Badr bin Abdullah.

Pestabuku ini dibatalkan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19. Pestabuku Riyadh yang akan dianjurkan pada Oktober akan datang. Ia akan mengusahakan kerjasama di antara pelbagai institusi dan korporat, aktiviti interaktif, bengkel dan juga seminar. 

Apakah Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur akan dibuka semula kepada orang ramai pada tahun ini?

Hong Kong Berani Buka Pestabuku Pada Awam

Hong Kong Berani Buka Pestabuku Pada Awam

Sumber: HongKongBuzz . oleh rmedcalf . 4.7.2021

Pestabuku Hong Kong akan dibuka pada 14 Julai dalam keadaan dunia yang masih belum pulih dari pandemik Covid-19. Hong Kong adalah di antara negara yang berani membuka pestabukunya kepada orang ramai.

Sebelum Covid, pestabuku ini telah menarik sejuta para pengunjung. Namun dijangka, pandemik dan juga suasana politik di negara itu akan menyaksikan kekurangan para pengunjung.

Begitu pun, pihak penganjur telah menawarkan galakan untuk para peminat buku. Sebanyak 35,000 tiket percuma akan diberi kepada mereka yang telah divaksinasi. Fi pengunjung sebanyak HK$25 untuk dewasa dan HK$10 bagi kanak-kanak. Dalam pada itu, kesemua para pengunjung diwajibkan meyarung pelitup muka.

Pesta yang akan berlangsung selama dari 14 – 21 Julai nanti di Convention and Exhibition Centre akan mempamerkan buku-buku dari 670 penerbit. 

Sumber berita & foto: HK Buzz

Bacaan selanjutnya: https://hongkongbuzz.hk/2021/07/book-fair-opens-next-week-with-threats-of-national-security-law-and-police-raid-hanging-over-it

Bila Boleh Menang Lawan COVID-19?

Bila Boleh Menang Lawan COVID-19?

MAAFCAKAP 7.7.2021

Kibaran bendera putih muncul di mana-mana. Di akhbar-akhbar dan di media sosial, terdapat begitu banyak liputan berita, foto dan video penyerahan bantuan di rumah-rumah yang berbendera putih ini. 

Jika bencana alam seperti banjir menggerakkan pelbagai sukarelawan untuk turun membantu ke kawasan-kawasan yang terjejas, bencana Covid-19 ini memunculkan lebih ramai lagi kumpulan sukarelawan dan juga orang perseorangan turun membantu.

Namun bila meneliti foto-foto dan video-video ini, saya terpana bila terpandang rumah-rumah yang mengibarkan bendera putih itu bukan sahaja rumah-rumah kecil, rumah di kawasan setinggan dan juga rumah pangsa.

Sebaliknya, saya terpandang rumah-rumah teres setingkat dan dua tingkat juga mengibarkan bendera putih. Kelihatan pula di antara rumah-rumah itu yang menyimpan kereta berjenama import! Apakah ertinya? Maknanya, apa yang diperkatakan bahawa kesusahan telah merayap ke golongan M40 memang benar. Kalau orang kata Covid is real, poverty is also real!

Golongan ini telah sampai pada tahap tidak segan lagi untuk memberitahu yang mereka susah. Mereka kini berdepan dengan realiti yang pahit. Sewa rumah, ansuran kereta, hutang kad kredit dan pelbagai hutang piutang lagi yang perlu dilangsaikan. Inilah yang jadikan mereka susah.

Pada hari ini,orang kaya pun susah. Sebabnya, mereka juga golongan yang meminjam. Malah, golongan berada lebih banyak meminjam daripada golongan marhaen. Dengan keadaan kesukaran untuk menjana pendapatan, golongan yang kaya boleh lumpuh. 

Bukannya bertujuan untuk mengata golongan kaya dan M40, sebab kita semua berdepan dengan hakikat ini. Yang senang dan yang susah kini sama-sama payah. Seolah-olah pandemik ini sedang menolak kita semua kembali ke garisan permulaan perlumbaan kehidupan.

Setelah lebih 15 bulan kita bergelut dengan pandemik ini, ia adalah peperangan yang belum tentu kalah dan menangnya. Di medan peperangan Covid-19 di negara-negara luar, belum ada kejayaan mutlak buat beberapa negara. Meskipun ada yang berpesta untuk menyedapkan hati bahawa mereka telah menang melawan Covid-19, bimbang mereka tidak hilang lagi.

Dalam pada merangka pelan untuk keluar dari pandemik pada pertengahan Julai ini, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengakui bahawa ‘Covid-19 masih jauh dari berjaya.’ Baru bulan lalu, rakyatnya melompat berpesta membuka topeng muka. 

Di Amerika pula, Presiden Joe Biden mengakui bahawa virus Corona belum dapat dihapuskan meskipun hampir kesemua negeri-negerinya sudah melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka. Di negara China pula, walaupun jumlah kes telah menurun di bawah 50, ia masih diselimuti kebimbangan bila lockdown di sempadan China-Burma dikuatkuasakan bila kes-kes meningkat di sana. 

Terkini, terdapat pelbagai varian virus dari United Kingdom, India, Afrika, Brazil dan California. Nampaknya peperangan ini akan memakan masa yang makin panjang. Dalam peperangan biasa, askar akan berperang dengan askar. Masing-masing mahir dengan seni peperangan.

Tetapi kita berlawan dengan musuh yang tak kelihatan. Dan musuh-musuh ini menyerang rakyat, bukannya pasukan tentera. Pelan Pemulihan Negara boleh berubah mengikut keadaan. Jika sebelum ini kita hampir berjaya menumpaskan Covid-19 dengan kepakaran pasukan frontliners kita dan sokongan kita juga, berikan sokongan berterusan kepada tim yang sama ini. Apa pilihan yang kita ada? 

Dalam pada itu, mereka yang menjadi contoh, hentikanlah dahulu perangai seolah-olah keadaan biasa-biasa sahaja. Terdapat segolongan public figure yang masih berperangai seolah-olah menongkat langit. Rakyat memerhati.

Buat kita semua, bersedialah untuk berdepan dengan hari-hari sukar yang panjang. Berpadalah andainya hendak bergembira, cuma jangan sampai bersikap denial seolah-olah kita kebal dari jangkitan. 

Berdoalah, kerana doa juga adalah sejenis suntikan vaksinasi spiritual.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]