MAAFCAKAP 7.7.2021

Kibaran bendera putih muncul di mana-mana. Di akhbar-akhbar dan di media sosial, terdapat begitu banyak liputan berita, foto dan video penyerahan bantuan di rumah-rumah yang berbendera putih ini. 

Jika bencana alam seperti banjir menggerakkan pelbagai sukarelawan untuk turun membantu ke kawasan-kawasan yang terjejas, bencana Covid-19 ini memunculkan lebih ramai lagi kumpulan sukarelawan dan juga orang perseorangan turun membantu.

Namun bila meneliti foto-foto dan video-video ini, saya terpana bila terpandang rumah-rumah yang mengibarkan bendera putih itu bukan sahaja rumah-rumah kecil, rumah di kawasan setinggan dan juga rumah pangsa.

Sebaliknya, saya terpandang rumah-rumah teres setingkat dan dua tingkat juga mengibarkan bendera putih. Kelihatan pula di antara rumah-rumah itu yang menyimpan kereta berjenama import! Apakah ertinya? Maknanya, apa yang diperkatakan bahawa kesusahan telah merayap ke golongan M40 memang benar. Kalau orang kata Covid is real, poverty is also real!

Golongan ini telah sampai pada tahap tidak segan lagi untuk memberitahu yang mereka susah. Mereka kini berdepan dengan realiti yang pahit. Sewa rumah, ansuran kereta, hutang kad kredit dan pelbagai hutang piutang lagi yang perlu dilangsaikan. Inilah yang jadikan mereka susah.

Pada hari ini,orang kaya pun susah. Sebabnya, mereka juga golongan yang meminjam. Malah, golongan berada lebih banyak meminjam daripada golongan marhaen. Dengan keadaan kesukaran untuk menjana pendapatan, golongan yang kaya boleh lumpuh. 

Bukannya bertujuan untuk mengata golongan kaya dan M40, sebab kita semua berdepan dengan hakikat ini. Yang senang dan yang susah kini sama-sama payah. Seolah-olah pandemik ini sedang menolak kita semua kembali ke garisan permulaan perlumbaan kehidupan.

Setelah lebih 15 bulan kita bergelut dengan pandemik ini, ia adalah peperangan yang belum tentu kalah dan menangnya. Di medan peperangan Covid-19 di negara-negara luar, belum ada kejayaan mutlak buat beberapa negara. Meskipun ada yang berpesta untuk menyedapkan hati bahawa mereka telah menang melawan Covid-19, bimbang mereka tidak hilang lagi.

Dalam pada merangka pelan untuk keluar dari pandemik pada pertengahan Julai ini, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengakui bahawa ‘Covid-19 masih jauh dari berjaya.’ Baru bulan lalu, rakyatnya melompat berpesta membuka topeng muka. 

Di Amerika pula, Presiden Joe Biden mengakui bahawa virus Corona belum dapat dihapuskan meskipun hampir kesemua negeri-negerinya sudah melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka. Di negara China pula, walaupun jumlah kes telah menurun di bawah 50, ia masih diselimuti kebimbangan bila lockdown di sempadan China-Burma dikuatkuasakan bila kes-kes meningkat di sana. 

Terkini, terdapat pelbagai varian virus dari United Kingdom, India, Afrika, Brazil dan California. Nampaknya peperangan ini akan memakan masa yang makin panjang. Dalam peperangan biasa, askar akan berperang dengan askar. Masing-masing mahir dengan seni peperangan.

Tetapi kita berlawan dengan musuh yang tak kelihatan. Dan musuh-musuh ini menyerang rakyat, bukannya pasukan tentera. Pelan Pemulihan Negara boleh berubah mengikut keadaan. Jika sebelum ini kita hampir berjaya menumpaskan Covid-19 dengan kepakaran pasukan frontliners kita dan sokongan kita juga, berikan sokongan berterusan kepada tim yang sama ini. Apa pilihan yang kita ada? 

Dalam pada itu, mereka yang menjadi contoh, hentikanlah dahulu perangai seolah-olah keadaan biasa-biasa sahaja. Terdapat segolongan public figure yang masih berperangai seolah-olah menongkat langit. Rakyat memerhati.

Buat kita semua, bersedialah untuk berdepan dengan hari-hari sukar yang panjang. Berpadalah andainya hendak bergembira, cuma jangan sampai bersikap denial seolah-olah kita kebal dari jangkitan. 

Berdoalah, kerana doa juga adalah sejenis suntikan vaksinasi spiritual.