Ada sebuah portal baharu untuk peminat membaca. NovelPlus Technology. Inilah pengendali dan pembangun platform menulis dan membaca secara dalam talian sosial.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Crystal Lai berkata, syarikat ini memiliki pelbagai bacaan e-buku yang merangkumi lebih 37,000 novel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia yang telah diterbitkan dengan ekosistem lebih 2.1 juta pengguna.
Sebanyak 10,000 adalah berdaftar sebagai penulis dan bakinya pembaca.
Beliau berkata, platform ini beroperasi di bawah jenama NovelPlus, dengan kandungan diakses menerusi aplikasi mudah alih dan pelayar web.
“NovelPlus beroperasi menggunakan model freemium di mana pembaca boleh mengakses platform ini secara percuma atau membayar yuran langganan bagi menikmati pengalaman membaca tanpa iklan,” katanya di sini hari ini.
Lai berkata, apa yang ditawarkan oleh NTP ialah sebuah platform yang membolehkan pembaca melayari dan memilih e-buku, mengatur susun pengalaman mereka dan menguruskan profil mereka serta berinteraksi dengan penulis yang berdaftar di platform.
Manakala bagi penulis pula, platform NovelPlus membolehkan mereka menulis, menyunting dan menyiarkan sendiri novel bersiri mereka, menubuhkan komuniti pembaca mereka dan menerima ulasan serta penghargaan daripada pembaca.
“Pengiklan juga boleh mengiklan di aplikasi mudah alih dan pelayar web NoveplPlus. Iklan akan disasarkan kepada pengguna yang tidak berlanggan,” ujarnya lagi
“Kami berterusan melakukan inovasi dan berubah demi keperluan para pengguna kami. Ini adalah permulaan evolusi bagi NovelPlus dan kami akan terus melakukan penambahbaikan yang memenuhi keperluan pengguna kami.
Ini merupakan satu-satunya platform e-novel di Malaysia. Di luar negara, platform e-novel seperti Webnovel dari Hong Kong dan Kobo dari Amerika menerima sambutan yang amat penggalakkan.
Para penulis e-novel kini mempunyai satu lagi saluran memperoleh pendapatan dari syarikat pelayan itu, pengiklan dan juga pelanggan e-book keluaran mereka.