MAAFCAKAP 14.7.2021
Carian dalam Twitter menunjukkan kempen ‘bendera putih’ dimulakan oleh pengguna Facebook bernama ‘Jah’ atau Nik Faizah Nik Othman, Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan. Alhamdulilah, cadangan beliau telah memberi kelegaan kepada ribuan insan yang memerlukan pertolongan.
Mengibarkan bendera putih adalah cara meminta tolong dengan pendekatan yang molek, sopan dan terhormat. Ia adalah pelapik yang mengurangkan rasa malu orang yang meminta pertolongan. Sejak itu, ribuan bendera putih kelihatan berkibaran di merata ceruk negara. Kita dapat melihat buktinya bila kita melayari ‘kitajaga.co’ sebuah aplikasi dari usaha rakyat Malaysia. Ia petunjuk bahawa ramai sekali warganegara kita yang dalam kesempitan.
Nik Faizah Nik Othman telah memberi jalan yang mudah dan praktikal kepada mereka yang inginkan bantuan. Ia juga membolehkan individu dan kumpulan segera datang membantu. Bendera putih membolehkan jiran tetangga tahu masalah jiran yang selama ini mereka anggap okey sahaja seperti mereka.
Sesungguhnya meminta tolong adalah satu tindakan yang natural bagi sesiapa yang di dalam kesusahan. Lebih-lebih lagi bila PKP yang rata-rata dialami kita semua, kita yang masih ada serba sedikit, amat memahami dan ingin menolong meringankan beban orang lain.
Orang Malaysia amat terkenal suka membantu tidak akan teragak-agak menolong sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan agama. Jika selama ini kita akan turut membantu dalam situasi terdesak seperti kemalangan dan kebakaran, kini kepayahan kehidupan yang kian menghimpit menyemarakkan sikap kita yang suka menolong.
Nampaknya slogan ‘kita jaga kita’ bukan sekadar slogan kita menjaga sesama sendiri untuk mengawal merebaknya Covid-19. ‘Kita jaga kita’ kini mempunyai skop yang lebih luas. ‘Kita jaga kita’ daripada kebuluran, ‘kita jaga kita’ kerana orang politik asyik berpolitik dan tidak pandang rakyat dan ‘kita jaga kita’ menggerakkan rakyat sebagai pasukan mengekang Covid-19.
Kerajaan terbina dari sokongan rakyat. Kerajaan pula berperanan membantu rakyat. Apabila jentera kerajaan khususnya di Kementerian Kesihatan Malaysia berada di dalam kepayahan, rakyat Malaysia yang suka menolong akan datang membantu.
Pegawai-pegawai kerajaan di KKM sebenarnya terdiri dari kalangan rakyat juga. Rata-rata orang awam yang mempunyai saudara-mara di kalangan ‘orang hospital.’ Malah, kesemua rakyat di negara ini pernah mendapat layanan hospital. Hospital adalah institusi yang amat dekat di hati rakyat. Malah, ada di angtara kita yang bagai ‘terhutang nyawa’ dengan hospital.
Justeru, pihak KKM tidak perlu berasa segan, rasa serba-salah atau masih mahu bertindak hero jika keadaan memerlukan mereka pula meminta pertolongan dari rakyat yang sebenarnya saudara-mara mereka juga. Kes-kes di mana individu atau kumpulan yang datang untuk menolong harus dipersilakan dengan tangan terbuka dengan mematuhi saluran; tidak dinafi, dilewat atau ditolak.
Ramai di kalangan rakyat kini sudah menjadi sukarelawan secara langsung sebagai petugas di hospital-hospital kerajaan dan PPV. Ramai lagi yang rela menjadi sukarelawan dalam memerangi Covid-19. Seru sahaja, mereka akan muncul sedia membantu.
Sikap tidak mahu atau malu meminta tolong harus diketepikan jauh-jauh. Usah menggagahkan diri sendirian pada waktu ini. Maaf cakap, sikap demikian seolah-olah mahu membunuh diri.
Inilah masanya perhubungan kerajaan-rakyat ditulis semula. Jika selama ini perhubungan kerajaan-rakyat itu diertikan perhubungan kerajaan membantu rakyat, biarlah kali ini perhubungan kerajaan-rakyat itu bermaksud perhubungan rakyat membantu kerajaan pula. Tidak ada masalah pun.