BLOG

Menteri Agama Tulis Buku

Menteri Agama Tulis Buku

Astro Awani . 16.8.2021

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan kembali menulis buku selepas tidak lagi menjadi menteri.

Beliau berkata selain menulis buku, beliau juga akan aktif di YouTube dan Twitter serta menyampaikan kuliah agama.

“Mungkin selepas ini saya lebih aktif di YouTube Channel dan Twitter Spaces. Kembali menulis buku, menyampaikan kuliah dan menjawab soalan-soalan agama,” katanya di Twitter.

Beliau turut memohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahannya selama lebih 17 bulan menggalas tugas sebagai menteri.

“Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan saya sepanjang 17 bulan 6 hari ini. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua,” katanya lagi.

Zulkifli turut menjunjung kasih atas kepercayaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah melantik beliau sebagai Ahli Dewan Negara dan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri.

Beliau bersama anggota jemaah kabinet meletak jawatan pada Isnin susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bila Joni Memanjat Tiang

Bila Joni Memanjat Tiang

MAAFCAKAP 25.8.2021

Baru-baru ini saya menerima sebuah video yang tular. Ia memaparkan suasana sebuah majlis menaikkan bendera di padang. Kedengaran muzik lagu patriotik dimainkan pancaragam. Tatkala bendera hendak dinaikkan oleh dua orang askar, tiba-tiba tali pengikat bendera itu terputus. Satu hujung tali masih terikat di bendera, sementara hujung tali yang satu lagi sudah ternaik di puncak tiang.

Buat seketika dua orang askar yang memegang bendera itu kelihatan terpempan. Apa yang patut mereka lakukan? Semua mata memandang mereka, bendera dan puncak tiang. Mereka terpaku dan terus berdiri membatu. Di saat itu, muncul seorang pelajar remaja dari perbarisan. Dengan berkaki ayam, lantas dia memanjat tiang bendera lalu membawa turun hujung tali yang tersangkut di puncak tiang.

Perbuatannya mendapat tepukan dari para hadirin khususnya para pegawai askar yang kelihatan berkerumun untuk menyambutnya di tanah. Lantas beliau menjadi tumpuan dan diajak berfoto sebagai tanda meraikan seorang pelajar yang berani bertindak. Majlis yang tampak akan menjadi cacat bertukar menjadi sebuah peristiwa yang cukup membanggakan.

Saya turut berasa bangga bila menonton video itu. Naluri ingin tahu saya membawa saya menelusuri internet untuk mendapat maklumat tepat mengenai insiden itu. Oh, rupa-rupanya kejadian itu berlaku di sebuah majlis Hari Ulangtahun ke-73 Republik Indonesia, di Atambua, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada tahun 2018.

Dan pelajar yang telah menyelamatkan keadaan hingga berkibarnya bendera Sang Saka Merah Putih itu bernama Joni. Insiden itu sampai ke pengetahuan Presiden Jokowi. Bangga dengan pelajar itu, Jokowi menghadiahkan Joni sebuah rumah. Tiga tahun berlalu dan kini Joni bahagia tinggal bersama isteri dan seorang anak di desa Silawan, Antambua, di Perbatasan Timur Leste.

Bayangkan. Bayangkan seandainya peristiwa yang sama terjadi di negara kita. Akan adakah seorang Joni yang tampil memanjat tiang bendera lalu mengubah peristiwa yang hampir memalukan itu kepada sesuatu yang membanggakan? Sekiranya kita ada seorang Joni, malah beberapa orang Joni, apakah yang akan kita perkata dan tularkan? Ya, kejayaan Joni Malaysia itu akan disebut-sebut.

Namun bersandarkan kepada trend pemikiran kita di media sosial, yang akan dibicarakan secara galak setelah itu ialah siapakah orang yang cuai mengikat tali bendera itu? Pasukan tentera manakah yang telah menjatuhkan imej negara? Kroni siapakah yang membekal tali bendera itu? Bahkan akan timbul syak wasangka barangkali insiden itu sengaja diada-adakan untuk mengalih perhatian isu meningkatnya kes penghidap Covid-19! Dan… Parlimen digesa mesti bersidang!

Akhirnya, insiden yang sepatutnya dijadikan contoh teladan yang membanggakan dengan mudah dan senang-senang sahaja akan berubah menjadi sebuah insiden yang memalukan negara. Maklumlah, yang tidak dapat berkibar kerana insiden itu ialah Jalur Gemilang yang dibangga-banggakan!

Maaf cakap, sekiranya andaian saya tampak ‘over’ kerana memikirkan tentang kemungkinan yang negatif itu. Namun, tidakkah kian ramai di kalangan kita suka melihat dari sudut yang negatif? Oh, barangkali oleh kerana hari-hari kita terlalu mendambakan keputusan negatif dari Covid-19, maka kita terbawa-bawa hingga sentiasa berfikiran negatif? Mana mungkin, kan?

Sebenarnya saya sedih walaupun menyampaikan pandangan ini secara sinis. Namun, jika kita merenung dan meneliti, tidakkah kita kini mula tenggelam dalam pemikiran yang negatif, penuh syak wasangka yang bersalut dengki? Semakin sehari kita kian mengiyakan yang tidak baik dan yang buruk-buruk.

Kisah Joni itu berlaku di majlis menyambut hari merdeka Indonesia. Ia adalah sebuah peristiwa peribadi yang akan diingati Joni hingga ke akhir hayatnya. Ramai di kalangan datuk nenek kita juga punyai peristiwa peribadi yang berkait dengan hari merdeka. Mereka ada cerita bergadai nyawa menentang komunis, bergilir-gilir mengawal kampung dari ancaman musuh dan menyerahkan emas pusaka untuk dijadikan tambang pemimpin memperoleh kemerdekaan.

Kita, bagaimana?

Bila Kita Dah Tak Kuasa

Bila Kita Dah Tak Kuasa

MAAFCAKAP 4.8.2021

Baru-baru ini saya bersembang video dengan seorang teman rapat, Azam. Kami gunakan Liqaa, sebuah aplikasi sembang yang dibina oleh anak tempatan. Sedang saya berbual, saya perasan sesusuk tubuh yang duduk termenung di belakang teman saya. Lantas saya bertanya kenapa anaknya Azeem, kelihatan monyok?

Tanpa berlengah, Azam memanggil Azeem untuk bersembang dengan saya. Kebetulannya, perbualan saya dengan Azam sudah ke penghujung. Meskipun tampak Azeem berjalan sambil mengheret kakinya, dia duduk dan menghadiahkan sebuah senyuman tawar kepada saya sebagai tanda hormat kepada orang tua.

Dipendekkan cerita, Azeem kelihatan sedih kerana sudah dua minggu teman wanitanya menghilang diri tanpa meninggalkan jejak. Akaun laman sosialnya di Facebook, Instagram dan Tiktoknya  telah dipadam. 

Bila Azeem cuba mengirim Whatsapp, mesejnya turut disekat dan telefon tidak berjawab. Dalam keadaan PKP dan larangan merentas daerah, Azeem tidak boleh merentas dari Selangor untuk ke Kedah mencari kekasihnya.

‘Ghosting!’ Jadi ‘hantu.’ Itulah istilah yang diguna bagi seseorang yang memutuskan hubungan lalu menghilangkan diri tanpa meninggalkan kesan. Ia biasa terjadi dalam perhubungan rapat, khususnya sepasang kekasih. 

Ghosting berlaku apabila si pelaku tidak mahu meneruskan perhubungan tetapi tidak sampai hati untuk menyatakan hasratnya memutuskan hubungan. Mungkin juga ia terjadi kerana perasaan bosan dan amat meluat. Barangkali juga ia berlaku kerana si pelakunya berasa dia tiada kuasa atau berdaya lagi menjernihkan keadaan untuk meneruskan perhubungan.

Keadaan Azeem ini lantas mengingatkan saya kepada apa yang berlaku kepada orang Melayu pada hari ini berhubung dengan senario politik.  Di permukaan, kita dapati masih ramai yang memberi ulasan, komen dan kritik terhadap apa yang berlaku. Mesej, foto dan video masih bersimpang-siur di media sosial.

Rata-rata mereka ini adalah ahli-ahli parti atau simpatisan politik. Ada juga yang riuh kerana menyokong personaliti yang mereka sukai. Dari pagi hingga ke malam, ribuan mesej dan komen menular di mana-mana kumpulan sembang.

Namun, kita nampak lebih ramai lagi orang Melayu di luar sana yang telah berhenti mengambil bahagian dalam mengulas dan bersambang mengenai keletah dan kerenah ahli-ahli politik Melayu. Ramai yang kini memandang sepi dengan apa yang terjadi mutakhir ini.

Mereka lebih berminat untuk berkongsi hal-hal semasa seperti Covid-19, berita kemalangan, berita kesusahan dan kemiskinan, malah kisah-kisah artis yang telah berhijrah. Cerita-cerita kegilaan politik nampaknya tidak menjadi pilihan dan minat. 

Sembang rambang saya dengan beberapa orang yang aktif dalam isu-isu politik rata-ratanya berkata mereka sudah tidak kuasa lagi untuk bercakap dan berdebat siapa yang bakal berkuasa. Bagi mereka, walau siapa pun yang menduduki kerusi kepimpinan negara, ia tidak akan mengubah agenda besar negara dalam melawan Covid-19.

Dalam keadaan sekarang, tiada pemimpin yang akan dapat memberi gambaran tentang masa depan negara siap dengan pelan dan rancangannya. Ini adalah kerana, pemimpin mana pun yang akan menjadi ketua, tempoh masa mereka memimpin hanya sekejap sebelum PRU berikutnya berlangsung.

Saya tidak terkejut, sekiranya selama ini begitu banyak kempen berjalan untuk memilih seseorang menjadi wakil rakyat, pada kempen PRU akan datang, kempen-kempen untuk menolak seseorang calon akan berlaku. Ia akan digerakkan oleh kumpulan-kumpulan yang berasakan hanya itulah kuasa yang mereka ada untuk membersihkan golongan yang mereka pilih memimpin mereka.

Apa jua yang berlaku pada tempoh terdekat hingga ke PRU akan datang tidak akan dipedulikan kerana mereka tiada kuasa untuk ambil tahu lagi. Jika anda rajin menelusuri laman-laman sosial seperti Facebook, anda akan temui pelbagai isyarat yang mereka sudah bersedia melancarkan perang saraf. 

Cuma kini, mereka menghalakan serangan perang saraf mereka melepasi sempadan hingga ke Israel sebagai lapangan sasar. Tunggulah bila mereka menoleh untuk memantau situasi di dalam negara bila tiba masanya. 

Awang Sariyan Tokoh Penggiat Sastera Johor

Awang Sariyan Tokoh Penggiat Sastera Johor

SarawakVoice . 10.8.2021

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Penggiat Sastera Johor dalam Anugerah Sastera Johor (ASJ) Ke-12 bagi tahun 2021.

Anugerah khas ini yang merupakan anugerah persuratan tertinggi dari negeri Johor diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk IR. Haji Hasni Mohammad.

Menurut Jendela DBP, penganugerahan ini diberikan kepada  Dr. Awang  atas berkat usaha dan ketekalan beliau dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan tanpa mengira konteks perubahan global kini.

“Syabas kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Usaha dan keringat perjuangan yang dicurahkan selama ini sungguh besar ertinya kepada kita semua. Perjuangan beliau wajarlah diteladani oleh semua pihak,” kata Datuk Hasni.

Dr. Awang pernah menjadi Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menjadi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing, China.

Juga pernah menjadi Ketua Pengarah DBP, Profesor Bahasa di Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya, tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris, dan Pengarah Jabatan Bahasa DBP.

Karyanya terdiri daripada lebih 60 judul buku dan lebih seribu makalah. Antara buku tulisannya termasuklah Ceritera BahasaWarna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di MalaysiaSintaksis Bahasa Melayu Bersumberkan Karya SasteraAsas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islamdan Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk BangsakuBeliau turut menghasilkan buku puisiiaitu Mencari Makna Diri dan Di Denai Kehidupan

Kita Dipaksa Untuk Berhijrah

Kita Dipaksa Untuk Berhijrah

Selamat Menyambut Ulangtahun Maal Hijrah 1443. Tahun silih berganti. Namun, cuti umum sempena Maal Hijrah kali ini sama seperti di tahun lepas kerana sebahagian besar daripada kita bekerja di rumah. 

Ramai di kalangan kita kini menyambut tahun baharu sekurang-kurangnya dengan mengirim poster ucap selamat melalui media sosial dan aplikasi sembang. Tetapi, setelah itu, apa? Apakah sambutan Maal Hijrah kita sekadar bertukar-tukar poster ‘copy and paste’ semata-mata? Dan setelah itu apakah kita buat kerja atau berehat seperti hari-hari yang lain? 

Usah begitu. Keadaan sudah berubah. Suasana sudah bertukar. Bukan kita sahaja, malah satu dunia kini diancam dengan virus Covid-19. Jika kita buat biasa-biasa sahaja dengan apa yang terjadi, kita seolah-olah berada di dalam sindrom penafian. Apakah kita tidak peka dengan petanda dan alamat yang ALLAH swt hendak sampaikan kepada kita semua? 

Mungkin agaknya sebab fikiran manusia pada hari ini bergantung kepada penaakulan saintifik dan logik, maka kita tidak nampak tanda-tanda Yang Maha Halus telah sampaikan. Sesungguhnya ia memerlukan menungan mendalam agar kita merasai bahawa kesukaran yang ALLAH takdirkan kepada kita, sebenarnya mempunyai maksud yang baik dan indah.

Covid-19 adalah makhluk ALLAH. Atas apa jua sebab, samada ia berpunca dari kelawar ataupun dihidupkan melalui makmal oleh konspirasi farmaseutikal dan kapitalis, ia hanyalah asbab virus itu berganda lalu melanda ke seluruh dunia. Dengan cara sebab pun, Covid-19 wujud dengan izin ALLAH swt. 

Ia juga tentera ALLAH seperti mana juga tentera nyamuk yang menyerang Raja Namrud dan tenteranya atau burung-burung Ababil yang menyerang Pasukan Abrahah. Bezanya, tentera burung dan nyamuk itu kesemuanya muncul untuk menghancurkan kaum yang menentang ALLAH. 

Sebaliknya tentera Covid-19 pada masa kini muncul untuk menyedarkan manusia. Persamaan kaum dahulu dan manusia pada hari ini ialah masing-masing juga adalah golongan yang engkar dengan ALLAH. Siapa yang boleh menafikan bahawa pada hari ini kita juga punyai ciri-ciri kaum yang menentang ALLAH? Sebab itulah kita berdepan dengan kesusahan dan kesukaran. Alhamdulilah, kita tidak dihancurkan seperti umat terdahulu. Sebabnya, ALLAH menyayangi kita sebagai umat Nabi Muhammad saw dan umat di akhir zaman. 

Sebelum datangnya Covid-19, kita berada dalam keseronokan dan kebebasan. Hidup kita dipenuhi dengan liburan dan hiburan. Amal ibadah menjadi acara rutin ataupun diketepikan. Asal kita bersolat lima waktu, kita percaya bahawa kita seorang Muslim yang baik walaupun solat kita di akhir waktu. Padahal, amalan solat semata-mata sebagai tanda keislaman seseorang itu bagai kepandaian seorang kanak-kanak menghitung satu hingga sepuluh.

Dunia kelam-kabut apabila Covid-19 menyerang. Malah sudah melebihi setahun pun dunia masih lagi bersusah payah melawan virus yang kian ganas. Banyak negara menutup sempadan antarabangsa. Banyak lagi negara yang menutup sempadan negeri dan juga daerah. Yang di daerah pun dikekang agar hanya duduk di rumah.

Ramai yang duduk di rumah sudah begitu tertekan kerana tidak biasa terkurung. Namun, seandainya kita tidak menerima lagi ia sebagai suatu kebiasaan dan mengambil peluang yang datang bersamanya, kita rugi kerana membiarkan suasana menguasai kita, bukan kita yang menguasai suasana.

Sebenarnya, dalam keadaan terkurung dan terhad inilah kita berpeluang untuk reset kehidupan. Bila tidak sesak di jalan raya, kita berpeluang punyai banyak masa dengan keluarga. Bila kita dihadkan pergi ke pasaraya, kita berpeluang untuk mengatur belanja dengan lebih berkesan. Yang penting, Covid-19 ini seolah-olah mengheret kita, kecil atau besar, kaya atau miskin, hina atau mulia, semuanya sama di garisan permulaan.

Wahai. Secara halus, kesemua kekangan dan kurungan yang kita hadapi ini adalah aturan ALLAH agar kita semua berpeluang untuk memperlengkapkan diri ke jalan yang lebih baik. Kita diberi ruang masa untuk melebihkan ibadah khusus dan menambah amal jariah khususnya menghulurkan sedekah.

Dan kematian yang berlaku setiap hari di kalangan mereka yang kita kenal dan yang bersaudara dengan kita membuat kita berasakan bahawa mati itu  begitu hampir kepada kita. Kematian yang berlalu secara tiba-tiba dan kerap itu menguatkan keyakinan kita untuk bersedia ke dunia yang seterusnya lalu mula bertungkus-lumus mempersiap diri.

Bukankah ini hijrah yang ALLAH dorong dan lorongkan kepada kita?

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]