MAAFCAKAP 25.8.2021
Baru-baru ini saya menerima sebuah video yang tular. Ia memaparkan suasana sebuah majlis menaikkan bendera di padang. Kedengaran muzik lagu patriotik dimainkan pancaragam. Tatkala bendera hendak dinaikkan oleh dua orang askar, tiba-tiba tali pengikat bendera itu terputus. Satu hujung tali masih terikat di bendera, sementara hujung tali yang satu lagi sudah ternaik di puncak tiang.
Buat seketika dua orang askar yang memegang bendera itu kelihatan terpempan. Apa yang patut mereka lakukan? Semua mata memandang mereka, bendera dan puncak tiang. Mereka terpaku dan terus berdiri membatu. Di saat itu, muncul seorang pelajar remaja dari perbarisan. Dengan berkaki ayam, lantas dia memanjat tiang bendera lalu membawa turun hujung tali yang tersangkut di puncak tiang.
Perbuatannya mendapat tepukan dari para hadirin khususnya para pegawai askar yang kelihatan berkerumun untuk menyambutnya di tanah. Lantas beliau menjadi tumpuan dan diajak berfoto sebagai tanda meraikan seorang pelajar yang berani bertindak. Majlis yang tampak akan menjadi cacat bertukar menjadi sebuah peristiwa yang cukup membanggakan.
Saya turut berasa bangga bila menonton video itu. Naluri ingin tahu saya membawa saya menelusuri internet untuk mendapat maklumat tepat mengenai insiden itu. Oh, rupa-rupanya kejadian itu berlaku di sebuah majlis Hari Ulangtahun ke-73 Republik Indonesia, di Atambua, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada tahun 2018.
Dan pelajar yang telah menyelamatkan keadaan hingga berkibarnya bendera Sang Saka Merah Putih itu bernama Joni. Insiden itu sampai ke pengetahuan Presiden Jokowi. Bangga dengan pelajar itu, Jokowi menghadiahkan Joni sebuah rumah. Tiga tahun berlalu dan kini Joni bahagia tinggal bersama isteri dan seorang anak di desa Silawan, Antambua, di Perbatasan Timur Leste.
Bayangkan. Bayangkan seandainya peristiwa yang sama terjadi di negara kita. Akan adakah seorang Joni yang tampil memanjat tiang bendera lalu mengubah peristiwa yang hampir memalukan itu kepada sesuatu yang membanggakan? Sekiranya kita ada seorang Joni, malah beberapa orang Joni, apakah yang akan kita perkata dan tularkan? Ya, kejayaan Joni Malaysia itu akan disebut-sebut.
Namun bersandarkan kepada trend pemikiran kita di media sosial, yang akan dibicarakan secara galak setelah itu ialah siapakah orang yang cuai mengikat tali bendera itu? Pasukan tentera manakah yang telah menjatuhkan imej negara? Kroni siapakah yang membekal tali bendera itu? Bahkan akan timbul syak wasangka barangkali insiden itu sengaja diada-adakan untuk mengalih perhatian isu meningkatnya kes penghidap Covid-19! Dan… Parlimen digesa mesti bersidang!
Akhirnya, insiden yang sepatutnya dijadikan contoh teladan yang membanggakan dengan mudah dan senang-senang sahaja akan berubah menjadi sebuah insiden yang memalukan negara. Maklumlah, yang tidak dapat berkibar kerana insiden itu ialah Jalur Gemilang yang dibangga-banggakan!
Maaf cakap, sekiranya andaian saya tampak ‘over’ kerana memikirkan tentang kemungkinan yang negatif itu. Namun, tidakkah kian ramai di kalangan kita suka melihat dari sudut yang negatif? Oh, barangkali oleh kerana hari-hari kita terlalu mendambakan keputusan negatif dari Covid-19, maka kita terbawa-bawa hingga sentiasa berfikiran negatif? Mana mungkin, kan?
Sebenarnya saya sedih walaupun menyampaikan pandangan ini secara sinis. Namun, jika kita merenung dan meneliti, tidakkah kita kini mula tenggelam dalam pemikiran yang negatif, penuh syak wasangka yang bersalut dengki? Semakin sehari kita kian mengiyakan yang tidak baik dan yang buruk-buruk.
Kisah Joni itu berlaku di majlis menyambut hari merdeka Indonesia. Ia adalah sebuah peristiwa peribadi yang akan diingati Joni hingga ke akhir hayatnya. Ramai di kalangan datuk nenek kita juga punyai peristiwa peribadi yang berkait dengan hari merdeka. Mereka ada cerita bergadai nyawa menentang komunis, bergilir-gilir mengawal kampung dari ancaman musuh dan menyerahkan emas pusaka untuk dijadikan tambang pemimpin memperoleh kemerdekaan.
Kita, bagaimana?