Selamat Menyambut Ulangtahun Maal Hijrah 1443. Tahun silih berganti. Namun, cuti umum sempena Maal Hijrah kali ini sama seperti di tahun lepas kerana sebahagian besar daripada kita bekerja di rumah. 

Ramai di kalangan kita kini menyambut tahun baharu sekurang-kurangnya dengan mengirim poster ucap selamat melalui media sosial dan aplikasi sembang. Tetapi, setelah itu, apa? Apakah sambutan Maal Hijrah kita sekadar bertukar-tukar poster ‘copy and paste’ semata-mata? Dan setelah itu apakah kita buat kerja atau berehat seperti hari-hari yang lain? 

Usah begitu. Keadaan sudah berubah. Suasana sudah bertukar. Bukan kita sahaja, malah satu dunia kini diancam dengan virus Covid-19. Jika kita buat biasa-biasa sahaja dengan apa yang terjadi, kita seolah-olah berada di dalam sindrom penafian. Apakah kita tidak peka dengan petanda dan alamat yang ALLAH swt hendak sampaikan kepada kita semua? 

Mungkin agaknya sebab fikiran manusia pada hari ini bergantung kepada penaakulan saintifik dan logik, maka kita tidak nampak tanda-tanda Yang Maha Halus telah sampaikan. Sesungguhnya ia memerlukan menungan mendalam agar kita merasai bahawa kesukaran yang ALLAH takdirkan kepada kita, sebenarnya mempunyai maksud yang baik dan indah.

Covid-19 adalah makhluk ALLAH. Atas apa jua sebab, samada ia berpunca dari kelawar ataupun dihidupkan melalui makmal oleh konspirasi farmaseutikal dan kapitalis, ia hanyalah asbab virus itu berganda lalu melanda ke seluruh dunia. Dengan cara sebab pun, Covid-19 wujud dengan izin ALLAH swt. 

Ia juga tentera ALLAH seperti mana juga tentera nyamuk yang menyerang Raja Namrud dan tenteranya atau burung-burung Ababil yang menyerang Pasukan Abrahah. Bezanya, tentera burung dan nyamuk itu kesemuanya muncul untuk menghancurkan kaum yang menentang ALLAH. 

Sebaliknya tentera Covid-19 pada masa kini muncul untuk menyedarkan manusia. Persamaan kaum dahulu dan manusia pada hari ini ialah masing-masing juga adalah golongan yang engkar dengan ALLAH. Siapa yang boleh menafikan bahawa pada hari ini kita juga punyai ciri-ciri kaum yang menentang ALLAH? Sebab itulah kita berdepan dengan kesusahan dan kesukaran. Alhamdulilah, kita tidak dihancurkan seperti umat terdahulu. Sebabnya, ALLAH menyayangi kita sebagai umat Nabi Muhammad saw dan umat di akhir zaman. 

Sebelum datangnya Covid-19, kita berada dalam keseronokan dan kebebasan. Hidup kita dipenuhi dengan liburan dan hiburan. Amal ibadah menjadi acara rutin ataupun diketepikan. Asal kita bersolat lima waktu, kita percaya bahawa kita seorang Muslim yang baik walaupun solat kita di akhir waktu. Padahal, amalan solat semata-mata sebagai tanda keislaman seseorang itu bagai kepandaian seorang kanak-kanak menghitung satu hingga sepuluh.

Dunia kelam-kabut apabila Covid-19 menyerang. Malah sudah melebihi setahun pun dunia masih lagi bersusah payah melawan virus yang kian ganas. Banyak negara menutup sempadan antarabangsa. Banyak lagi negara yang menutup sempadan negeri dan juga daerah. Yang di daerah pun dikekang agar hanya duduk di rumah.

Ramai yang duduk di rumah sudah begitu tertekan kerana tidak biasa terkurung. Namun, seandainya kita tidak menerima lagi ia sebagai suatu kebiasaan dan mengambil peluang yang datang bersamanya, kita rugi kerana membiarkan suasana menguasai kita, bukan kita yang menguasai suasana.

Sebenarnya, dalam keadaan terkurung dan terhad inilah kita berpeluang untuk reset kehidupan. Bila tidak sesak di jalan raya, kita berpeluang punyai banyak masa dengan keluarga. Bila kita dihadkan pergi ke pasaraya, kita berpeluang untuk mengatur belanja dengan lebih berkesan. Yang penting, Covid-19 ini seolah-olah mengheret kita, kecil atau besar, kaya atau miskin, hina atau mulia, semuanya sama di garisan permulaan.

Wahai. Secara halus, kesemua kekangan dan kurungan yang kita hadapi ini adalah aturan ALLAH agar kita semua berpeluang untuk memperlengkapkan diri ke jalan yang lebih baik. Kita diberi ruang masa untuk melebihkan ibadah khusus dan menambah amal jariah khususnya menghulurkan sedekah.

Dan kematian yang berlaku setiap hari di kalangan mereka yang kita kenal dan yang bersaudara dengan kita membuat kita berasakan bahawa mati itu  begitu hampir kepada kita. Kematian yang berlalu secara tiba-tiba dan kerap itu menguatkan keyakinan kita untuk bersedia ke dunia yang seterusnya lalu mula bertungkus-lumus mempersiap diri.

Bukankah ini hijrah yang ALLAH dorong dan lorongkan kepada kita?