BLOG

Bangkit Daripada Sebuah Kehilangan

Bangkit Daripada Sebuah Kehilangan

MAAFCAKAP 5.1.2022

Saya menerima mesej dari seorang teman setelah saya memberi reaksi ‘tanda sedih’ kepada statusnya. Dia adalah salah seorang mangsa banjir di Pantai Timur. Rumahnya ditenggelami air hingga ke paras bumbung. Restorannya di pekan pula dipenuhi selut. Total loss, menurut istilah insuran.

Dia hilang segala harta benda yang telah dibinanya selama tiga tahun. Shukri pulang ke kampung setelah bosan bekerja di sebuah syarikat swasta bandar. Setelah berkahwin, dia bina hidup baharu bersama isteri dan dua anak. Kepulangannya ke desa membolehkan dia menjaga orang tua dan juga dusun milik keluarga.

Tragedi sebagai mangsa banjir menghanyutkan masa depannya. Demikian, kata Syukri. Dan, dia meminta nasihat dari saya. Alamak, terasa sukar memberi pandangan, apatah lagi sebuah nasihat. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Shukri sedang mengalami trauma bila terkenangkan nasib malangnya. Dia juga mengalami fobia setiap kali hujan turun. Apalah nasihat yang saya boleh berikan selain kata-kata semangat dari orang yang pernah mengalami banjir hanya di paras buku lali! 

 Sebenarnya, kau hanya total loss dari segi harta benda. Sedangkan diri, isteri, anak-anak dan ibu ayah masih bernafas. Bersyukurlah, bersyukurlah, bersyukurlah sementara kita masih dibekalkan rezeki berupa masa, tenaga dan fikiran. Hanya harta yang musnah. Tetapi masa, tenaga dan fikiran itu adalah modal untuk meneruskan kehidupan.

Masa; ia masih ada untuk digunakan. Mudah-mudahan ALLAH kurniakan panjang umur supaya dapat terus bina kehidupan. Tenaga pula masih kuat. Usia 30an adalah usia optimum manusia yang penuh energi. Masih boleh memanjat, bergayut, melompat dan mengangkat tanpa mengalami sakit-sakit pinggang pula. 

Fikiran pula masih cergas dan cerdas. Fikiran tidak boleh dilihat. Tetapi ia boleh dijelmakan melalui tindakan. Fikiranlah yang memampukan manusia membina pencakar langit atau menyelami lautan dalam. 

Namun, bersama-sama fikiran ialah hati. Hati mesti kental. Kental bererti liat. Tidak boleh patah. Tidak pula boleh berhati tisu kerana tisu mudah koyak. Aset hati inilah yang perlu dipelihara. Kita datang ke dunia ini pun dalam keadaan telanjang. Apa yang kau diperoleh di dunia ini kesemuanya menjadikan kau yang tiada apa-apa menjadi apa-apa. 

Kau dan aku biasa dengar apa yang aku katakan ini. Tetapi kata-kataku kali ini memberi makna kerana kau sedang alami kesakitan dari sebuah kehilangan. Kehilangan dari apa yang kita telah dapat di atas usaha kita selama ini.

Tetapi, nanti dulu. Apakah kita berasakan yang kita dapat apa yang kita usahakan selama ini? Sebenarnya tidak. Selama ini kita tidak pernah dapat apa sahaja yang kita usahakan. Jika kita sahaja apa yang kita usahakan,  maka kita pasti dapat apa sahaja yang kita usahakan. Jadi, oleh kerana kita tidak semestinya dapat apa yang kita usahakan, ia berkait dengan pihak yang memberi.

ALLAH-lah pihak yang memberi. Ar-Razzak, Yang Maha Pemberi Rezeki. Dia Maha Kuasa, kita hanya hamba. Sebagai hamba, kita mesti senantiasa ingat yang kita ini tidak layak berasa empunya apabila kita peroleh apa-apa. Malah, tidak kena bila berasa malang sementelah DIA mengambil apa jua yang DIA pinjamkan kepada kita. 

Sejak kecil, dunia mengajar kita untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau peroleh tanpa mahu melepaskan sebab berasa itu kita punya. Lihatlah kanak-kanak yang mendapat mainan. Hak orang lain pun dia tidak mahu lepaskan kerana dia berasa apa yang dia dapat itu dia yang punya!

Kau boleh kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau dapat. Tapi bila ALLAH ambil balik, bukakan tangan dan lepaskanlah. Bukakan hati dan lepaskanlah ia dari sanubari. Cari yang lain kerana ALLAH Maha Pemberi. Pasti DIA akan beri yang lain. Bila DIA tahu yang kau rela melepaskan apa yang DIA telah berikan, maka DIA akan gantikan dengan yang lebih baik.

Akhir kata, kau tanyalah kesemua mereka yang telah kehilangan apa yang mereka paling sayangi. Kesemua mereka akan mengaku telah menjadi manusia yang lebih baik. Asalkan mereka insaf dan kembali dekatkan diri kepada Yang Maha Besar.  

Sarang Tebuan Sudah Dijolok

Sarang Tebuan Sudah Dijolok

MAAFCAKAP 29.12.2021

Apa nak jadi dengan wakil-wakil rakyat kita yang berjawatan menteri ini? Lepas satu, satu lagi kecuaian tingkah laku yang tidak cerdik mereka pamerkan. Selepas seorang, seorang lagi daripada mereka buat perangai kerana tidak peka dengan persepsi rakyat.

Boleh dikatakan sebahagian besar daripada kalangan jemaah menteri tidak kelihatan ketika banjir mula melanda pada Sabtu 18 Disember. Sebilangan daripada mereka hadir di persidangan parti. Ada pula yang menaikkan status selfie bercuti di luar negara. 

Tiada suara atau perintah semerta dan sepadu mengerah semua jentera pentadbiran turun menyelamatkan mangsa banjir. Media-media utama pula gagal memaparkan apa yang mereka lakukan. Sekurang-kurangnya dua hari mereka menyepi. 

Ada khabar yang mengatakan Angkatan Tentera terpaksa bertindak secara tersendiri. Mana pelan tindakan dari semua agensi-agensi kerajaan? Malangnya, ada menteri buat pelancaran program membantu mangsa banjir anjuran syarikat swasta di hotel. Dalam keadaan yang sensitif sebegitu, menteri boleh sahaja wakilkan kepada KSU kementeriannya, kalau pun majlis itu tidak dapat ditangguh.

Seolah-olah dikejut dari tidur, setelah netizen bising, maka pak-pak menteri turun padang. Namun, tidak perlulah  berkonvoi hingga mengganggu lalu lintas dan membantutkan usaha petugas membantu mangsa di lapangan. 

Sepatutnya mereka buka sahaja bilik gerakan banjir, berkampung di situ dan buat sidang media dua tiga kali sehari seperti waktu pandemik Covid-19 menyerang dahulu. Paparkan laporan situasi di merata pelosok kawasan banjir di skrin-skrin besar.

Maklumkan status mutakhir banjir, apa tindakan, berapa tenaga pasukan tentera, bomba, Rela dan logistik serta berapa pula jumlah PPS di sesebuah kawasan. Dengan cara ini, rakyat, khususnya saudara mara dan sahabat handai mangsa mudah dapat maklumat terkini yang sah. Sidang-sidang media sewaktu Covid-19 dahulu dinanti-nanti rakyat dan membantu mententeramkan jiwa rakyat. Pendekatan yang strategik itu patut diulangpakai.

Malangnya mereka turun padang pula untuk berlakon menyapu lantai,  menyembur simen, menyodok lumpur dan memikul beras. Orang nampak itu adalah lakonan. Persoalannya ialah apakah pasukan media pak-pak dan mak-mak menteri sudah ketinggalan zaman dengan membiarkan menteri-menteri mereka berlakon pegang cangkul, penyapu, penyodok dan water jet sebagai prop? Dulu… bolehlah. Dulu, editor akhbar dan televisyen berperanan memilih gambar terbaik yang hanya fokus kepada pak menteri sedang beraksi. 

Kini, mengapa dibiarkan jurufoto dan juruvideo ambil gambar hingga memuatkan juga aksi petugas-petugas media yang berkerumun merakam momen? Maka jadilah ia sebuah lakonan dari sebuah skrip murahan. 

Dahulu, dalam sesebuah majlis, sekiranya pasukan media tak sempat ambil gambar pak menteri sedang beri sijil pada tok enghulu, jangan harap Pak Menteri hendak posing semula. Kemudian, ketika era pak menteri sporting dengan media, dia boleh bekerjasama posing semula untuk beri peluang pada para jurugambar rakam semula aksi.

Tapi kini, kerana terlalu over-sporting di antara pak menteri dan media, terjadilah malapetaka imej yang mengundang ‘kemeluatan’ netizen. Kalau pun ingin pikul beras, junjung kampit gula atau tolong basuh kereta sekali pun, lakukanlah di kawasan pilihanraya masing-masing. Undi anda ada di situ. Rakyat akan lebih faham dan tak meroyan. 

Walau apa pun, bukan sahaja imej ahli-ahli politik telah terhakis akibat tindak-tanduk mereka sendiri, malah sudah sampai ke peringkat last straw. Rakyat sudah hilang hormat kepada mereka. Pantang mereka silap langkah, perilaku mereka akan menjadi tular. Seperti persefahaman sesama netizen, mereka kini menyakini #rakyatjagarakyat#

Mereka yakin bahawa mereka tidak perlukan orang politik kerana mereka boleh jaga diri mereka sendiri. Rakyat yang sebilangan besarnya orang Melayu punyai prinsip ‘raja (pemimpin) adil, raja disembah; raja zalim, raja disanggah.’ Orang Melayu bila sudah mengamuk, mereka tidak peduli apa pun lagi.

Mereka sudah jauh hati dan ini bukan mudah hendak dipujuk. Rasa meluat mereka dengan perangai orang politik akan terus melarat dan tidak mustahil mereka tidak mahu memilih orang politik yang tidak mereka benci. Mereka sudah tidak hairan untuk istiqamah memilih berdasarkan parti. Sebaliknya akan memilih berdasarkan personaliti kerana orang politik sendiri boleh bertukar bendera parti pada bila-bila masa.

Betul, akan ada yang kata… ‘bila tiba pilihanraya nanti, rakyat akan dipujuk dan memilih mereka lagi.’ Tetapi, jangan pula lupa dengan adanya pepatah, ‘sarang tebuan jangan dijolok.’ Kini, sarang itu sudah pun dijolok!   

Pesanan Buku BookXcess Terjejas

Pesanan Buku BookXcess Terjejas

RIBUAN BUKU ROSAK AKIBAT BANJIR

BANJIR yang melumpuh kehidupan di Shah Alam pada minggu lalu turut memusnahkan ribuan buku-buku di gudang BookXcess. Tingkat bawah gudang itu tenggelam sama sekali. Ratusan buku-buku turut hanyut hingga ke luar gudang. Kerugian dianggarkan jutaan ringgit.

Menurut kenyataan rasmi syarikat itu di Facebook, mala petaka itu menjejaskan kiriman buku-buku yang dipesan secara online. Bagaimana pun, syarikat itu memberi jaminan bahawa kesemua pesanan akan dipenuhi walaupun mengambil sedikit masa. 

Inilah malapetaka pertama yang dialami oleh syarikat buku yang terkenal itu. Namun, dengan sokongan para peminat buku, syarikat itu yakin akan dapat berdiri gagah kembali.

BookXcess merupakan sebuah syarikat buku yang diasaskan oleh pasangan suami isteri, Andrew Yap dan Jacqueline Ng. Kedai pertama mereka bermula di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Book Xcess terkenal dengan pesta jualan buku Big Bad Wolf yang kini mengadakan pameran buku di merata dunia. ~ LayarMinda.

Walau Rancak, Jangan Berdosa

Walau Rancak, Jangan Berdosa

MAAFCAKAP 22.12.2021

Hujan lebat pada 17 Disember lalu diterima oleh warga Selangor sebagai sesuatu yang biasa. Tidak ramai yang perasan Jabatan Meteorologi telah memberi amaran bahawa hujan lebat akibat siklon Rai yang melibas Filipina akan berterusan hingga mengakibatkan banjir besar.

Menjelang Ahad 19 Disember banyak kampung, bandar dan taman dinaiki air. Banyak juga kawasan terputus hubungan dan menjadi pulau. Ribuan kenderaan terperangkap di jalanraya seperti di Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga, Selangor. Banyak juga kenderaan yang terperuk dan terbalik dilambung arus seperti di Hulu Langat. Sementara itu ribuan rakyat terpaksa menyelamatkan diri. Ramai juga yang meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Yang ada keluarga dan sahabat handai, dapatlah mereka tumpang menginap. Yang tidak sempat bertindak dan hilang arah, terpaksa menumpang di masjid, dewan-dewan dan sekolah. Ramai juga terpaksa berteduh dan bermalam di pasaraya seperti di Giant dan Aeon.

Hingga ke hari Ahad itu, tiada pengumuman khusus dari pihak pemerintah. Bencana alam bukan sahaja melibatkan harta benda tetapi mengenai nyawa. Namun para pemimpin politik kesemuanya menyepi. Kalau ada pun kenyataan, ia dikeluarkan menurut bacaan skrip kenyataan yang tertulis dan jawapan retorik yang standard.

Sedih. Rakyat nampak betapa para pemimpin politik bercakap penuh emosi mengkritik sesama mereka. Tetapi tiada kata-kata penuh perasaan untuk membela setiap nyawa rakyat yang terluah dari bibir mereka untuk mengurangkan stres rakyat. Ke mana jiwa rakyat mereka?

Dalam pada itu ratusan kenderaan rakyat khususnya dari utara berderet-deret menghala ke Lembah Kelang untuk turun membantu. Mereka tahu dan prihatin apa yang dirasa oleh warga Selangor kerana mereka pernah melalui bencana alam itu sebelum ini. Kini mereka datang untuk membantu.

#Rakyat jaga Rakyat Begitulah tanda pagar yang kelihatan dalam banyak status di media-media sosial. Bagus sangat kerana rakyat kian sedar bahawa mereka tidak boleh mengharap kepada pihak pemerintah. Sudah lama mereka berasakan begitu tatkala ahli-ahli politik asyik berebut kerusi ketika pandemik Covid-19 melanda. Apakah mereka sudah jauh berada di puncak kayangan sehingga mereka lambat turun ke bumi untuk meranduk banjir?

Keadaan cuaca kini semakin tenang. Langit tampak membiru. Matahari memancar terik. Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca khususnya di negeri Selangor berada dalam keadaan baik walaupun hujan diramalkan akan lebat di lain-lain negeri utara dan timur semenanjung.

Namun kini, rakyat kembali ke rumah masing-masing untuk melihat apa yang ditinggalkan. Benar, tatkala hujan lebat dan masing-masing menyelamatkan diri dan peralatan, ramai yang kelihatan bersemangat kerana ramai yang sama senasib. Namun, apabila melihat keadaan harta benda yang ditinggalkan apabila tiba ke halaman rumah, kesukaran mula dirasai.

Lantai yang berselerak, kusyen dan sofa yang lembab, bilik tidur dengan kain baju yang hapak, peti sejuk yang terbalik, periuk belanga, pinggan mangkuk yang kotor itu kesemuanya perlu dibersihkan dan disusun kembali ke tempatnya. Itu belum lagi hal ehwal pendawaian. Dan, tentunya membaiki kenderaan yang dimasuki air.

Yang lelah ialah tenaga membersih rumah. Jika menjirus najis kucing di celah pasu bunga dalam keadaan biasa sudah cukup menyakitkan hati, betapa pula membersih seluruh rumah. Yang perit ialah poket. Ribuan ringgit diperlukan untuk membaiki kesemuanya. Dalam sebulan ini, ramai yang hidup bagaikan pelarian di rumah dalam serba kekurangan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah realiti. Kadangkala ia dirasai bagaikan siksaan, ada masanya ia ditangani sebagai satu ujian. Perasaan trauma akan berselang seli dengan rasa cekal ketika mengatur satu persatu langkah bagai memulakan hidup baharu.

Dalam tempoh ini, kita yang bertuah kerana tidak terlibat langsung dengan malapetaka banjir seharusnya sujud syukur untuk Yang Maha Esa. Buktikan rasa syukur itu dengan menghulur sedekah dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian ataupun apa jua keperluan melalui pelbagai pihak yang sedia menyelaraskan bantuan kita.

Andainya tidak boleh juga, jauhkan diri dari tergelek, tergelak dan tersengih-sengih dengan penuh ‘rancak seolah-olah tidak rasa berdosa’ kerana tidak peduli dengan saudara-saudara kita yang sugul membalut luka hati yang cedera akibat bencana itu.

Berjimat Untuk Berbelanja

Berjimat Untuk Berbelanja

MAAFCAKAP 15.12.2021

Tahun 2021 sudah merangkak ke penghujung. Apa persediaan yang bakal dilakukan pada 2022 nanti? Itulah persoalan yang mula menjelma di kotak fikiran. Resolusi 2021 bukan lagi untuk mengejar dunia dan seisinya. Pangkat, harta dan takhta sudah dirasa. Ketiga-tiganya punyai erti buat diri tetapi sudah tak ada maknanya bila mata hati kerap mengajak untuk meninjau ke dunia sebelah sana. 

Dua tahun kita mengharungi pandemik Covid-19. Dengan segala apa yang berlaku, reaksi tindakan kita kesemuanya menjurus kepada beberapa faktor yang di antaranya ialah mengenai penjimatan. Dalam tempoh pandemik itu, kita terpaksa menjimat masa, tenaga dan material. 

Kita menjimat banyak masa, sementelah tidak banyak bergerak jauh daripada kawasan rumah mahupun daerah. Work from home juga menjimat masa perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Tidak perlu banyak masa untuk berkereta mencari tempat makan. Sebaliknya, bila hendak menjamu selera, melangkah sahaja ke dapur untuk mengisi perut. 

Penjimatan wang untuk kos perjalanan yang perlukan bajet yang besar juga dapat kita lakukan. Dan bila kita tidak perlu bergerak jauh, ia turut menjimat tenaga meskipun ia akhirnya menjadikan kita boyot.

Maka penjimatan masa, tenaga dan material juga patut diteruskan, malah menjadi objektif saya untuk tahun hadapan. Buat permulaan, saya menjimat masa dengan mencatu waktu membelek telefon. Salah satu masa yang terbuang ialah dengan meneliti Whatsapp.

Saya dipelawa untuk menyertai berpuluh-puluh kumpulan Whatsapp. Pada kebanyakan grup, saya hanya menjadi ahli pasif dengan membaca sekali lalu mesej yang kebanyakkannya untuk orang lain. Begitu pun, sudah menjadi satu kerja pula untuk memadam beratus-ratus mesej dan imej dari telefon saya. 

Bagi menjimatkan masa, saya meninggalkan beberapa kumpulan. Kerana itu, ada ahli grup yang hubungi saya bertanyakan, mengapa saya keluar dari kumpulan? Saya jawab yang saya hanya tinggalkan grup maya tetapi bukannya geng di alam nyata. 

Persahabatan lebih kekal terjalin melalui ziarah dan aktiviti bersama. Keluar dari kumpulan agama, bukannya keluar dari agama. Keluar dari kumpulan bincang politik bukannya menoktahkan perjuangan. Dan, keluar dari kumpulan saudara bukannya memutuskan silaturrahim. Tujuan utama Whatsapp adalah untuk memudahkan perhubungan. Jadi seandainya ia menyusahkan, kita tinggalkan ia.

Dengan tenaga yang kian berkurang, saya perlu tidur secukupnya. Saya tidak boleh lagi berjaga 24 jam seperti di zaman muda. Kini, tidur yang tidak cukup boleh jadikan saya zombie. Kailulah sudah kerap saya lakukan. Malah, pandai-pandai adakan kailulah pula sebelum asar. Saya perlu benar-benar seimbangkan di antara waktu tidur dan berjaga.

Material juga adalah aspek yang perlu saya jimatkan. Saya makan apa yang terhidang di meja dan apa yang biasa. Tidak lagi mahu bereksperimen dengan menjamah hidangan dari ceruk dunia. Tekak mahu tetapi perut mungkin tidak suka. Untuk kereta dan rumah yang telah habis bayar, saya tidak perlukan kenderaan 4 X 4 mahupun istana. 

Dalam mengamalkan penjimatan masa, tenaga dan material ketika pandemik selama setahun lebih ini, apa tujuan penjimatan itu sendiri? Matlamatnya ialah berbelanja setelah berjimat! Masa, tenaga dan material akan menyusut dari segi kuantiti. Namun, dari segi kualiti, ia boleh meningkat bila kita gunakan dengan cara yang yang lebih bermakna.

Menziarah seorang kawan lama dan bersembang lebih setengah hari itu lebih baik daripada kononnya bersembang dengan 500 orang kenalan dalam kumpulan Whatsapp. Saya menjimat masa untuk membelanjakan waktu itu hanya untuk seorang kawan yang terlantar. 

Saya menjimat tenaga; tidak perlu stres untuk berlumba dengan lampu merah trafik, berbincang formula politik yang orang politik pun tak peduli atau bercakap semata-mata kerana hendak bercakap. Saya belanja penjimatan tenaga itu untuk belajar khusyuk atau mengajar sesiapa yang bertanya dari ilmu yang saya ada.

Dan, saya menjimat material untuk diri agar saya tak teragak-agak untuk memberi pada yang memerlukan. Sudah berpuluh tahun DIA memberi saya meskipun saya tidak meminta-minta. Kini saya yakin DIA akan terus memberi apatah lagi bila kita dah reti memohon. Matawang dunia akan merosot, matawang akhirat akan berganda. 

“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” – Al-Furqan: 67.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]