MAAFCAKAP 22.12.2021

Hujan lebat pada 17 Disember lalu diterima oleh warga Selangor sebagai sesuatu yang biasa. Tidak ramai yang perasan Jabatan Meteorologi telah memberi amaran bahawa hujan lebat akibat siklon Rai yang melibas Filipina akan berterusan hingga mengakibatkan banjir besar.

Menjelang Ahad 19 Disember banyak kampung, bandar dan taman dinaiki air. Banyak juga kawasan terputus hubungan dan menjadi pulau. Ribuan kenderaan terperangkap di jalanraya seperti di Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga, Selangor. Banyak juga kenderaan yang terperuk dan terbalik dilambung arus seperti di Hulu Langat. Sementara itu ribuan rakyat terpaksa menyelamatkan diri. Ramai juga yang meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Yang ada keluarga dan sahabat handai, dapatlah mereka tumpang menginap. Yang tidak sempat bertindak dan hilang arah, terpaksa menumpang di masjid, dewan-dewan dan sekolah. Ramai juga terpaksa berteduh dan bermalam di pasaraya seperti di Giant dan Aeon.

Hingga ke hari Ahad itu, tiada pengumuman khusus dari pihak pemerintah. Bencana alam bukan sahaja melibatkan harta benda tetapi mengenai nyawa. Namun para pemimpin politik kesemuanya menyepi. Kalau ada pun kenyataan, ia dikeluarkan menurut bacaan skrip kenyataan yang tertulis dan jawapan retorik yang standard.

Sedih. Rakyat nampak betapa para pemimpin politik bercakap penuh emosi mengkritik sesama mereka. Tetapi tiada kata-kata penuh perasaan untuk membela setiap nyawa rakyat yang terluah dari bibir mereka untuk mengurangkan stres rakyat. Ke mana jiwa rakyat mereka?

Dalam pada itu ratusan kenderaan rakyat khususnya dari utara berderet-deret menghala ke Lembah Kelang untuk turun membantu. Mereka tahu dan prihatin apa yang dirasa oleh warga Selangor kerana mereka pernah melalui bencana alam itu sebelum ini. Kini mereka datang untuk membantu.

#Rakyat jaga Rakyat Begitulah tanda pagar yang kelihatan dalam banyak status di media-media sosial. Bagus sangat kerana rakyat kian sedar bahawa mereka tidak boleh mengharap kepada pihak pemerintah. Sudah lama mereka berasakan begitu tatkala ahli-ahli politik asyik berebut kerusi ketika pandemik Covid-19 melanda. Apakah mereka sudah jauh berada di puncak kayangan sehingga mereka lambat turun ke bumi untuk meranduk banjir?

Keadaan cuaca kini semakin tenang. Langit tampak membiru. Matahari memancar terik. Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca khususnya di negeri Selangor berada dalam keadaan baik walaupun hujan diramalkan akan lebat di lain-lain negeri utara dan timur semenanjung.

Namun kini, rakyat kembali ke rumah masing-masing untuk melihat apa yang ditinggalkan. Benar, tatkala hujan lebat dan masing-masing menyelamatkan diri dan peralatan, ramai yang kelihatan bersemangat kerana ramai yang sama senasib. Namun, apabila melihat keadaan harta benda yang ditinggalkan apabila tiba ke halaman rumah, kesukaran mula dirasai.

Lantai yang berselerak, kusyen dan sofa yang lembab, bilik tidur dengan kain baju yang hapak, peti sejuk yang terbalik, periuk belanga, pinggan mangkuk yang kotor itu kesemuanya perlu dibersihkan dan disusun kembali ke tempatnya. Itu belum lagi hal ehwal pendawaian. Dan, tentunya membaiki kenderaan yang dimasuki air.

Yang lelah ialah tenaga membersih rumah. Jika menjirus najis kucing di celah pasu bunga dalam keadaan biasa sudah cukup menyakitkan hati, betapa pula membersih seluruh rumah. Yang perit ialah poket. Ribuan ringgit diperlukan untuk membaiki kesemuanya. Dalam sebulan ini, ramai yang hidup bagaikan pelarian di rumah dalam serba kekurangan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah realiti. Kadangkala ia dirasai bagaikan siksaan, ada masanya ia ditangani sebagai satu ujian. Perasaan trauma akan berselang seli dengan rasa cekal ketika mengatur satu persatu langkah bagai memulakan hidup baharu.

Dalam tempoh ini, kita yang bertuah kerana tidak terlibat langsung dengan malapetaka banjir seharusnya sujud syukur untuk Yang Maha Esa. Buktikan rasa syukur itu dengan menghulur sedekah dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian ataupun apa jua keperluan melalui pelbagai pihak yang sedia menyelaraskan bantuan kita.

Andainya tidak boleh juga, jauhkan diri dari tergelek, tergelak dan tersengih-sengih dengan penuh ‘rancak seolah-olah tidak rasa berdosa’ kerana tidak peduli dengan saudara-saudara kita yang sugul membalut luka hati yang cedera akibat bencana itu.