MAAFCAKAP 5.1.2022

Saya menerima mesej dari seorang teman setelah saya memberi reaksi ‘tanda sedih’ kepada statusnya. Dia adalah salah seorang mangsa banjir di Pantai Timur. Rumahnya ditenggelami air hingga ke paras bumbung. Restorannya di pekan pula dipenuhi selut. Total loss, menurut istilah insuran.

Dia hilang segala harta benda yang telah dibinanya selama tiga tahun. Shukri pulang ke kampung setelah bosan bekerja di sebuah syarikat swasta bandar. Setelah berkahwin, dia bina hidup baharu bersama isteri dan dua anak. Kepulangannya ke desa membolehkan dia menjaga orang tua dan juga dusun milik keluarga.

Tragedi sebagai mangsa banjir menghanyutkan masa depannya. Demikian, kata Syukri. Dan, dia meminta nasihat dari saya. Alamak, terasa sukar memberi pandangan, apatah lagi sebuah nasihat. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Shukri sedang mengalami trauma bila terkenangkan nasib malangnya. Dia juga mengalami fobia setiap kali hujan turun. Apalah nasihat yang saya boleh berikan selain kata-kata semangat dari orang yang pernah mengalami banjir hanya di paras buku lali! 

 Sebenarnya, kau hanya total loss dari segi harta benda. Sedangkan diri, isteri, anak-anak dan ibu ayah masih bernafas. Bersyukurlah, bersyukurlah, bersyukurlah sementara kita masih dibekalkan rezeki berupa masa, tenaga dan fikiran. Hanya harta yang musnah. Tetapi masa, tenaga dan fikiran itu adalah modal untuk meneruskan kehidupan.

Masa; ia masih ada untuk digunakan. Mudah-mudahan ALLAH kurniakan panjang umur supaya dapat terus bina kehidupan. Tenaga pula masih kuat. Usia 30an adalah usia optimum manusia yang penuh energi. Masih boleh memanjat, bergayut, melompat dan mengangkat tanpa mengalami sakit-sakit pinggang pula. 

Fikiran pula masih cergas dan cerdas. Fikiran tidak boleh dilihat. Tetapi ia boleh dijelmakan melalui tindakan. Fikiranlah yang memampukan manusia membina pencakar langit atau menyelami lautan dalam. 

Namun, bersama-sama fikiran ialah hati. Hati mesti kental. Kental bererti liat. Tidak boleh patah. Tidak pula boleh berhati tisu kerana tisu mudah koyak. Aset hati inilah yang perlu dipelihara. Kita datang ke dunia ini pun dalam keadaan telanjang. Apa yang kau diperoleh di dunia ini kesemuanya menjadikan kau yang tiada apa-apa menjadi apa-apa. 

Kau dan aku biasa dengar apa yang aku katakan ini. Tetapi kata-kataku kali ini memberi makna kerana kau sedang alami kesakitan dari sebuah kehilangan. Kehilangan dari apa yang kita telah dapat di atas usaha kita selama ini.

Tetapi, nanti dulu. Apakah kita berasakan yang kita dapat apa yang kita usahakan selama ini? Sebenarnya tidak. Selama ini kita tidak pernah dapat apa sahaja yang kita usahakan. Jika kita sahaja apa yang kita usahakan,  maka kita pasti dapat apa sahaja yang kita usahakan. Jadi, oleh kerana kita tidak semestinya dapat apa yang kita usahakan, ia berkait dengan pihak yang memberi.

ALLAH-lah pihak yang memberi. Ar-Razzak, Yang Maha Pemberi Rezeki. Dia Maha Kuasa, kita hanya hamba. Sebagai hamba, kita mesti senantiasa ingat yang kita ini tidak layak berasa empunya apabila kita peroleh apa-apa. Malah, tidak kena bila berasa malang sementelah DIA mengambil apa jua yang DIA pinjamkan kepada kita. 

Sejak kecil, dunia mengajar kita untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau peroleh tanpa mahu melepaskan sebab berasa itu kita punya. Lihatlah kanak-kanak yang mendapat mainan. Hak orang lain pun dia tidak mahu lepaskan kerana dia berasa apa yang dia dapat itu dia yang punya!

Kau boleh kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau dapat. Tapi bila ALLAH ambil balik, bukakan tangan dan lepaskanlah. Bukakan hati dan lepaskanlah ia dari sanubari. Cari yang lain kerana ALLAH Maha Pemberi. Pasti DIA akan beri yang lain. Bila DIA tahu yang kau rela melepaskan apa yang DIA telah berikan, maka DIA akan gantikan dengan yang lebih baik.

Akhir kata, kau tanyalah kesemua mereka yang telah kehilangan apa yang mereka paling sayangi. Kesemua mereka akan mengaku telah menjadi manusia yang lebih baik. Asalkan mereka insaf dan kembali dekatkan diri kepada Yang Maha Besar.