Di Antara Plan A Dan Plan B
MAAFCAKAP 9.2.2022
Apabila mengharungi hal-hal usaha dan hasil dalam kehidupan, kita bukan berdepan dengan natijah hitam-putih semata-mata. Sebaliknya kita juga memperoleh hasil di antara kedua-duanya. Tiada istilah berjaya atau gagal, boleh atau tidak, menang atau kalah secara mutlak.
Walaupun berjaya mendapat tempat pertama, tetapi pelari 100 meter itu gagal untuk memecahkan rekod kebangsaan. Dia boleh membuat kek tetapi bentuknya tak cantik. Parti itu menang sorak, tetapi kampung tergadai.
Berjaya, tetapi tidak begitu bagus; boleh, tetapi tidak begitu menjadi; atau menang, tetapi ada aspek-aspek yang tewas itu menjadikan sesuatu yang dilihat molek itu sebenarnya tidak begitu cantik. Inilah kawasan kelabu atau grey area iaitu wilayah yang menjadikan sesuatu perkara itu tidak mutlak hitam mahupun putihnya.
Pokoknya, jika kita melihat sesuatu perkara dari kacamata hitam dan putih semata-mata, ia menjadikan kita manusia yang tidak pragmatik. Misalnya, jika selama ini kita work from office (WFO), pandemik memaksa kita work from home(WFH). Kini, banyak syarikat sudah nampak kedua-dua pendekatan iaitu WFO atau WFH itu boleh sahaja dilakukan menurut kesesuaian. Terdapat grey area di situ di mana kedua-dua pendekatan bekerja boleh dipraktikkan. Janji ~ kerja berjalan lancar.
Begitu juga dalam soal kesihatan, ia bukan semata-mata hal sakit dan ubat. Apabila sakit, kita makan ubat. Tetapi, ramai yang mengambil ‘ubat hospital’ menolak sama sekali ubat-ubat alternatif lain kerana tidak mahu mencampur kedua-duanya.
Ataupun, jika seseorang mengambil ubat alternatif, dia akan menolak sama-sekali ‘ubat hospital’ dengan penuh emosional. Padahal, jika diteliti, banyak ‘ubat hospital’ adalah semata-mata ubat tetapi ubat alternatif itu pula banyak yang terdiri daripada makanan.
Jika kita merawat diri hanya dengan memakan ubat, ada kemungkinan penyakit akan berulang jika ia tidak diikuti dengan pengubatan melalui pemilihan makanan yang sesuai. Jelas, kita perlu lebih terbuka untuk mempelbagaikan pendekatan perubatan kerana ia membantu diri kita mendapatkan keserasian untuk pulih.
Kerap kali juga kita mendengar perancangan sesebuah projek itu melibatkan Plan A. Jika Plan A tidak menjadi, maka Plan B dilakukan. Untuk menjimatkan masa, mengapa tidak mengadunkan Plan A dan Plan B yang dilaksanakan secara serentak dan terjalin? Ini menjadikan projek lebih cepat dilaksanakan dengan menukar strategi Plan A dan Plan B pada bila-bila masa yang diperlukan.
Tuntutan kehidupan memerlukan kita pada hari ini memerlukan kita cepat dan terbuka mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada satu cara, lebih-lebih lagi cara lama yang juga konvensional sedangkan suasana dan keadaan tidak konsisten seperti dahulu.
Pendekatan mengikut cara A dan juga cara B, kini menjadi norma. Jadi, ia tidak boleh dilihat dari kacamata yang negatif seperti yang biasa kita kaitkan dengan manusia yang boleh menerima cara A atau cara B pada bila-bila masa.
Ia bukan soal makan dua belah, berperangai lalang, talam dua muka, liberal, plural, malah munafik! Sikap yang dimaksudkan itu adalah sikap yang saling bertentangan sama sekali, iaitu menerima apa sahaja walaupun ia melibatkan hal-hal mungkar. Sempadannya ialah sikap menerima kedua-dua pendekatan apabila kedua-duanya itu secara relatifnya baik.
Yang penting, kita mempunyai sikap yang terbuka untuk menerima perubahan pada bila-bila masa asalkan ia tidak melanggar etika kehidupan dan prinsip agama. Apabila kita peka untuk menerima lebih dari satu cara dalam mendepani sesuatu perkara, maka kita akan tergolong di kalangan mereka yang dikatakan bersikap terbuka. Begitulah…
Tidak Penting Kerana Tiada Masa
MAAFCAKAP 2.2.2022
Jarang juga saya dan rakan-rakan berbincang fasal kerja yang tidak berkesudahan. Selalunya apabila minum petang dengan kawan-kawan di kafe Bunch Oh, Cyberjaya, kami ambil peluang rehat itu untuk bergurau senda, kutuk mengutuk langsung bergelak ketawa.
Tetapi agaknya kerana tahun 2022 ini adalah tahun untuk memacu larian setelah dua tahun lemau dengan hidup berkurung akibat PKP, semua pelan mesti dilipatgandakan. Kami yang berniaga bimbang apa akan jadi seandainya PKP datang lagi untuk sekian kalinya.
Petang kelmarin kami saling mengadu tentang kerja tidak pernah habis walaupun sudah dibereskan. Ada sahaja kerja susulan yang perlu dilakukan. Nampak gaya, kerjanya semakin banyak, kian bercabang dan bisa bikin saya dan rakan-rakan huru-hara perasaan.
Adakah kerja tidak habis-habis kerana memang pun kerja itu semakin banyak? Apakah sikap bertangguh mengakibatkan kerja semakin bertimbun? Ataupun apakah kerana kurang cekap mengurus masa dan salah prioriti menjadi penyebabnya?
Malam itu saya menelusuri internet mencari jawapan. Banyak kuliah-kuliah pendek dalam bentuk video yang saya tonton. Di antaranya ialah video-video TED (Technology, Entertainment and Design) yang membariskan pakar-pakar motivasi, psikologi dan bisnes yang membicarakan mengenai pengurusan masa.
Pandangan-pandangan daripada selebriti dan pakar motivasi terkenal seperti Arnold Schwarzenegger, George Freeman, Tony Robbins, Malcolm Gladwell, Steve Jobs dan Jack Ma ada memberikan saya rumusan bahawa punca kerja tak siap-siap adalah kerana kita tidak memperuntukkan masa untuknya.
“You don’t have time because you don’t allocate the time for it.” Ia sama seperti sikap kita terhadap solat. Kita sering menangguhkan solat hingga bersolat di akhir waktu kerana kita tidak memperuntukkan masa untuk menunaikannya. Jika bukan kerana wajib, iaitu berdosa meninggalkannya, sudah tentu kita tidak akan melakukannnya.
Soalnya di sini, mengapa kita lewatkan masa untuk bersolat? Kita berbuat begitu kerana kita berasakan ia tidak penting. Itu sahaja. Jika kita melihat solat itu sebagai penting, sudah tentu kita akan segera menunaikannya apabila masuk waktu.
Persoalan berikutnya ialah bagaimana kita hendak mengenalpasti samada sesuatu perkara itu penting dan perlu diberikan masa? Sesuatu itu perlu diberi masa apabila kita dapat membezakan apakah sesuatu perkara itu penting atau mustahak. Hal yang penting melibatkan sesuatu yang membantu kita mencapai impian dalam kerjaya mahupun secara peribadi.
Hal yang mustahak pula lazimnya berkaitan dengan hal-hal yang membantu orang lain mencapai matlamatnya. Kita terpaksa menumpukan pada hal-hal yang mustahak kerana implikasinya lebih besar kerana melibatkan orang lain.
Dengan sebab komitmen kerja yang melibatkan organisasi, rakan sekerja dan juga majikan, apa jua yang tercetus daripadanya seringkali melibatkan perkara mustahak yang perlu dibereskan mengikut deadline.
Berhubung dengan hal yang penting dan mustahak, carta Eisenhower’s Quardrant yang beliau cetuskan pada tahun 1954 masih boleh digunapakai. Menurut carta itu, terdapat empat jenis hal-hal yang penting dan mustahak.
Pertama, kerja yang penting dan mustahak. Kedua, kerja penting tetapi tidak mustahak. Ketiga, kerja tidak penting tetapi mustahak dan yang keempat, kerja yang tidak penting dan tidak mustahak. Yang pertama itulah yang paling utama.
Menyiapkan slaid persembahan pelan bisnes bos dalam masa dua jam lagi adalah sesuatu yang penting dan mustahak. Menentukan acara majlis pada bulan hadapan itu penting tetapi tidak mustahak kerana masih punyai banyak masa.
Kerja-kerja yang boleh diserahkan pada orang lain itu penting tetapi mustahak. Dan kerja menjawab e-mel mengenai tawaran diskaun sesebuah produk itu tidak penting dan tidak mustahak.
Kita perlu kenalpasti dan fokus dengan matlamat profesional dan juga peribadi. Andainya kita tahu apa yang kita mahu jadi pada lima tahun akan datang, kita boleh beri masa kepada apa jua kerja-kerja yang akan membantu kita mencapai impian itu.
Jika kita tiada matlamat itu di dalam fikiran, kita tidak sedar yang kita telah mengambil masa melakukan hal-hal yang tidak penting. Lebih buruk lagi jika kita lebih pentingkan kerja orang lain daripada kerja kita sendiri. Itulah sudah pasti membazir masa.
Bersediakah Untuk Hidup Lepas Mati?
MAAFCAKAP 26.1.2022
Sewaktu menulis artikel ini, saya sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menziarahi jenazah abang saya, Aris bin Mohamed. Dia meninggal dunia pada hari ini, 25 Januari 2022, pada usia 71 tahun kerana sakit tua. Al-fatihah.
Begitulah kita dengan usia. Bila tiba saatnya, ruh kita akan ditarik oleh malaikat Izrail dari jasad tanpa lewat atau cepat walau sesaat; walau di mana jua kita berada. Tamatlah perjalanan kehidupan kita di dunia ini. Kita akan melalui alam barzakh, alam mahsyar sebelum berakhir di Syurga mahupun Neraka.
Menurut apa yang saya tahu, kita sebenarnya mati sekadar beberapa jam sahaja. Apabila ruh kita diambil dan dibawa ke langit, tidak lama kemudian ia akan dikembalikan ke kubur. Diriwayatkan, si mati akan mendengar langkah manusia terakhir yang meninggalkan kuburan setelah kita dikebumikan.
Kemudian datanglah malaikat Mungkar dan Nakir dengan soalan kubur. Jawapan-jawapan kita akan menentukan samada kubur kita menjadi taman syurga ataupun lubang neraka. Tentulah kita berada dalam keadaan sedar dari saat kita ditanya malaikat-malaikat itu. Ertinya kita sudah dihidupkan. Wallahu’alam.
Alhamdulilah, saya dipanjangkan usia hingga melewati 64 tahun. Bagi orang muda, mereka mengatakan, wah lamanya saya hidup. Tetapi percayalah, sesiapa yang berusia seperti saya berasakan hidup ini begitu singkat. Terasa baru sangat saya bersekolah, bekerja, berkahwin, beranak dan bercucu. Tidak sedar betapa saya sudah hampir 15 tahun menjadi warga emas.
Apabila merenungi erti hidup, kita sebenarnya diberi peluang untuk berada di dunia ini hanya ditugaskan dengan satu arahan iaitu beribadah kepada-NYA.. “Tidak-KU jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-KU.” (ar-Zariyat: 46). Jika begitu, kita seolah-olah tidak diperlukan berbuat apa-apa melainkan beribadah sahaja kepada ALLAH swt.
Bila diperhalusi, kita boleh berbuat apa sahaja yang kita ingini di dunia ini asalkan ia berada di dalam perimeter yang makruf, bukannya yang mungkar. Walaupun begitu, segala makruf yang dilakukan akan sia-sia jika tidak diniatkan pula sebagai ibadah. Bila ia diniatkan sebagai ibadah maka kehidupan kita itu sendiri menjadi ibadah di sepanjang hayat..
Tetapi kebanyakan daripada kita tidak diberitahu tentang tugas utama kita di dunia ini hanya untuk beribadah. Maaf cakap, sebahagian besar daripada orang tua kita bukannya difahamkan oleh ibubapa mereka pula mengenai tugas ini kerana mereka pun jahil. Mereka yang lebih berautoriti seperti orang agama, kerapkali menyebut mengenainya.
Namun, ingatan-ingatan mereka banyak yang tidak sampai ke hati, lebih-lebih lagi apabila kita sentiasa diuar-uarkan dengan matlamat-matlamat keduniaan. Sebagai rakyat, kita sentiasa diingatkan agar setia pada negara. Kita bersekolah dan belajar hingga ke universiti untuk keluar sebagai golongan terpelajar yang kemudiannya bekerja. Orang tua pula selalu memesan, ‘belajarlah rajin-rajin, nanti hidupmu senang dan boleh berjasa pada orang tua.’
Bila kita bercinta, ia bertujuan untuk berumahtangga. Yang dikisahkan keluarga kedua-dua belah pihak ialah majlis persandingannya, berapa hantarannya, dengan meletakkan hantaran sekian-sekian tanpa merujuk kepada kebolehan si gadis sebagai bakal isteri dan ibu.
Pasangan yang berkahwin itu akan lalui perjalanan hidup seperti ibubapa, atau ibubapa kepada ibubapa mereka; berkahwin beranak dan bercucu dengan utopia ‘happily ever after.’ Berapa kerap atau berapa kerat di antara pasangan itu berbincang dari hati ke hati tentang kehidupan selepas mati?
Kenapa Bertindak Seperti Hakim?
MAAFCAKAP 19.1.2022
Baru-baru ini, telah tular video seorang pemandu lori yang terbabit dengan kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan. Golongan netizen segera menuduh bahawa lelaki itu mabuk, khayal akibat dadah atau cuai memandu. Namun tidak lama kemudian pihak polis mengesahkan bahawa pemandu itu sebenarnya mengalami serangan jantung hingga mengakibatkan kemalangan dan telah pun meninggal dunia. Innalilah waina ilaihi rojiun.
Kemudian, timbul pula video seorang remaja dimandikan oleh para jemaah sebuah masjid seperti jenazah sebagai ‘hukuman’ kerana cuba mencuri wang dari tabung masjid. Maklumat awal yang diterima daripada remaja itu ialah dia cuba mencuri kerana hendak membeli ubat untuk datuknya. Sekali lagi para netizen memberi reaksi mengenai ketidakadilan jemaah masjid itu, mengkritik mereka serta menyuarakan rasa simpati kepada remaja itu
Namun berita seterusnya dari datuk remaja itu sendiri menceritakan hal yang berlainan. Malah terdapat juga pendedahan dari orang kampung remaja itu sendiri mengenai perangainya yang sebenar. Akhirnya, remaja itu telah dihukum oleh mahkamah tetapi imam masjid itu pula dipercayai telah meletak jawatan. Lihatlah betapa kita menghukum tanpa mendapat maklumat lengkap.
Muncul juga isu yang mempertikaikan pembelian saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. Beliau didakwa memiliki saham dengan jumlah yang melampau. Maklumat awal ialah, saham itu adalah kepunyaan adik Tan Sri Azam yang membeli saham menggunakan namanya.
Sekali lagi kita mendahului mahkamah dengan mengeji, mengata dan menghukum seolah-olah beliau telah bersalah. Padahal, mereka yang dalam politik, yang lebih maklum tentang tuduhan salah laku ini tidak pantas menghukum. Mereka hanya mendesak beliau meletak jawatan, ambil cuti serta membawa usul agar hal ini dibincangkan dalam Parlimen.
Sekiranya kita tidak suka seseorang itu mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri, mengapa pula kita mendahului mahkamah dengan terus menjatuhkan hukuman sebaik sahaja menerima berita yang tampaknya seperti melanggar undang-undang meskipun fakta-faktanya belum lengkap diperoleh?
Bekas Perdana Menteri Britain, William E. Gladstone terkenal dengan mutiara kata, ‘justice delayed is justice denied,’ atau ‘pengadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.’ Saya juga berasa bahawa keadilan juga dinafikan sekiranya kita menyegerakan pengadilan untuk memuaskan hati agar yang dianggap salah itu segera dihukum. Takut-takut, tanpa kita sedari, kita menjadi ahli-ahli mahkamah kangaru.
Mengapa pada hari ini kita terpengaruh untuk menjadi seseorang yang judgemental iaitu seseorang yang cepat menghukum kerana mempunyai su’u dzon iaitu prasangka terhadap orang lain? Keadaan masyarakat yang semakin terbuka dan buas menjadikan kita takut. Kita tidak mahu apa jua keburukan yang berlaku kepada orang lain itu tertimpa pula pada diri sendiri.
Lantas kita memberi reaksi untuk mengawal emosi diri. Namun, apabila kita menghebahkan pandangan kita kepada kalangan kenalan melalui media sosial, ia juga bertujuan untuk memberi amaran kepada mereka di samping berkongsi perasaan dan pendirian kita dengan mereka.
Namun pada waktu yang sama, banyak sekali berita yang diterbitkan oleh media profesional mahupun media bisnes telah disalut sensasi untuk meraih lebih banyak capaian. Ia menjadi formula algorithm semua media sosial sebagai strategi pemasaran mereka.
Lagi ramai mereka yang berkerumun ke media sosial mereka, lagi mudah mereka mendapat wang iklan daripada para peniaga. Jadi, berita yang disalut sensasi itu akan menarik lebih banyak capaian, lantas mendapat bayaran dari pengendali media sosial itu.
Kita tidak boleh melompat dan melatah setiap kali mendapat berita yang disensasikan. Ia tidak adil buat mereka yang terlibat, mereka yang membaca reaksi kita, malah buat diri kita sendiri. Mujur kita bukannya Pak Menteri yang sentiasa diekori kamera dan mikrofon di sepanjang masa.
Jika tidak, mungkin kita menjadi bahan ketawa masyarakat apabila kenyataan kita yang spontan itu didapati pra-matang atau tidak masuk akal itu menjadi sensasi hingga ke luar negara!
Senang Kerja Tetapi Hidup Susah
MAAFCAKAP 12.1.2022
Laporan Statistik Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pengangguran Malaysia menurun pada kadar 4.3 % pada Oktober tahun lalu. Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, sosial dan rekreasi secara berterusan telah mendorong kedudukan tenaga buruh menurun dari kadar 4.8 % pada Jun tahun lalu.
Apakah trend menurun ini berlaku kerana semakin ramai di kalangan pencari kerja mengambil keputusan untuk tidak mendaftar di Jabatan Tenaga Buruh tetapi sebaliknya mencari kerja sendiri? Jika benar, ia berita baik buat pemerintah kerana itu petanda kian ramai di kalangan rakyat tahu mencari kerja sendiri. Pemerintah boleh fokus pada program industri yang memerlukan kurang tenaga buruh dalam program IR 4.0nya.
Apabila pelbagai sektor ekonomi mula aktif, kalangan pencari kerja pada hari ini lebih peka akan peluang pekerjaan dengan mencari kerja melalui pelbagai saluran di internet. Banyak sektor seperti industri penghantaran dan perusahaan-perusahaan kecil pembuatan, mengiklankan peluang pekerjaan secara sedemikian.
Ramai juga di kalangan mereka yang diberhentikan kerja pula memperoleh pendapatan dari klien di kawasan perumahan sendiri dengan memberi perkhidmatan membaik pulih barangan elektrik, komputer, mengecat dan menebas. Kerja yang popular kini ialah sebagai penghantar makanan. Ia memberi peluang pekerjaan kepada ribuan penganggur. Seseorang juga boleh mula berniaga secara kecil-kecilan menguruskan pelbagai produk secara dropship.
Apabila rakyat semakin mudah mendapat kerja, maknanya mereka juga boleh memilih. Apakah pula kesannya pada majikan khususnya majikan-majikan kecil? Beberapa orang teman yang mempunyai bisnes di sektor Industri Kecil dan Sederhana mula kompelin mengenai sukarnya mereka mendapat pekerja yang setia dengan tempat kerjanya.
Kian ramai yang bekerja semata-mata untuk mendapat gaji dan bukan membina kerjaya atau masa depan. Pada bila-bila masa, peluang bekerja di tempat lain terbuka luas dan seseorang pekerja mudah berhenti kerja mahupun tiba-tiba menghilangkan diri dengan tidak datang kerja.
Ketua keluarga kecil barangkali lebih perlukan kerja kekal untuk membina masa depan dengan bertugas di sesebuah tempat. Sebaliknya dari kalangan orang bujang samada para graduan mahupun yang tamat SPM ‘sama naik’ tidak mahu ambil peduli untuk menseiringkan matlamat syarikat dengan diri sendiri.
Asalkan dapat menyiapkan tugasan, itu sudah memadai. Disiplin yang ketat tidak perlu dipatuhi kerana bila tak suka, boleh sahaja angkat kaki dan esok boleh dapat kerja lain. Trend begini tidak positif untuk pihak majikan dan juga kepada golongan pekerja sendiri.
Sikap mudah berhenti kerja akan membuatkan pihak majikan terpaksa melatih semula pekerja yang baharu. Kos melatih akan meningkat dan kelancaran produksi akan terganggu kerana seseorang staf baharu perlukan masa untuk mahir menjalankan kerjanya. Faktor 4M dalam pengeluaran iaitu ‘man, material, machine dan method’ sudah tentu terjejas kerana faktor man.
Dalam pada itu, sikap seseorang yang mudah berpindah kerja, atau job-hopping bukannya kerana mengejar peluang yang lebih baik, sebaliknya mahukan peluang bekerja yang lebih releks akan menjejaskan masa depan kerjaya seseorang. Pengalaman kerjanya meskipun di pelbagai tempat akan dilihat majikan sebagai pekerja yang sukar setia kepada tempat kerjanya. Dia bukan pekerja pilihan untuk dinaikkan pangkat.
Akibatnya, peningkatan gajinya tidak stabil. Ini bakal mengganggu perancangannya membina ekonomi diri, apatah lagi keluarganya. KWSPnya mungkin sudah entah ke mana kerana perpindahan kerjanya yang kerap akan menjejaskan rekod carumannya. Meskipun seseorang itu boleh dapat apa yang dia ingini, dia hanya peroleh instant gratification, yang berupa ganjaran yang kecil. Tetapi dia tidak sedar yang dia telah meletakkan dirinya agar kais pagi makan pagi untuk sepanjang hayatnya.


