MAAFCAKAP 9.2.2022

Apabila mengharungi hal-hal usaha dan hasil dalam kehidupan, kita bukan berdepan dengan natijah hitam-putih semata-mata. Sebaliknya kita juga memperoleh hasil di antara kedua-duanya. Tiada istilah berjaya atau gagal, boleh atau tidak, menang atau kalah secara mutlak. 

Walaupun berjaya mendapat tempat pertama, tetapi pelari 100 meter itu gagal untuk memecahkan rekod kebangsaan. Dia boleh membuat kek tetapi bentuknya tak cantik. Parti itu menang sorak, tetapi kampung tergadai.

Berjaya, tetapi tidak begitu bagus; boleh, tetapi tidak begitu menjadi; atau menang, tetapi ada aspek-aspek yang tewas itu menjadikan sesuatu yang dilihat molek itu sebenarnya tidak begitu cantik. Inilah kawasan kelabu atau grey area iaitu wilayah yang menjadikan sesuatu perkara itu tidak mutlak hitam mahupun putihnya.

Pokoknya, jika kita melihat sesuatu perkara dari kacamata hitam dan putih semata-mata, ia menjadikan kita manusia yang tidak pragmatik. Misalnya, jika selama ini kita work from office (WFO), pandemik memaksa kita work from home(WFH). Kini, banyak syarikat sudah nampak kedua-dua pendekatan iaitu WFO atau WFH itu boleh sahaja dilakukan menurut kesesuaian. Terdapat grey area di situ di mana kedua-dua pendekatan bekerja boleh dipraktikkan. Janji ~ kerja berjalan lancar.

Begitu juga dalam soal kesihatan, ia bukan semata-mata hal sakit dan ubat. Apabila sakit, kita makan ubat. Tetapi, ramai yang mengambil ‘ubat hospital’ menolak sama sekali ubat-ubat alternatif lain kerana tidak mahu mencampur kedua-duanya. 

Ataupun, jika seseorang mengambil ubat alternatif, dia akan menolak sama-sekali ‘ubat hospital’ dengan penuh emosional. Padahal, jika diteliti, banyak ‘ubat hospital’ adalah semata-mata ubat tetapi ubat alternatif itu pula banyak yang terdiri daripada makanan.  

Jika kita merawat diri hanya dengan memakan ubat, ada kemungkinan penyakit akan berulang jika ia tidak diikuti dengan pengubatan melalui pemilihan makanan yang sesuai. Jelas, kita perlu lebih terbuka untuk mempelbagaikan pendekatan perubatan kerana ia membantu diri kita mendapatkan keserasian untuk pulih.  

Kerap kali juga kita mendengar perancangan sesebuah projek itu melibatkan Plan A. Jika Plan A tidak menjadi, maka Plan B dilakukan. Untuk menjimatkan masa, mengapa tidak mengadunkan Plan A dan Plan B yang dilaksanakan secara serentak dan terjalin? Ini menjadikan projek lebih cepat dilaksanakan dengan menukar strategi Plan A dan Plan B pada bila-bila masa yang diperlukan.

Tuntutan kehidupan memerlukan kita pada hari ini memerlukan kita cepat dan terbuka mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Kita tidak boleh lagi berpegang kepada satu cara, lebih-lebih lagi cara lama yang juga konvensional sedangkan suasana dan keadaan tidak konsisten seperti dahulu.

Pendekatan mengikut cara A dan juga cara B, kini menjadi norma. Jadi, ia tidak boleh dilihat dari kacamata yang negatif seperti yang biasa kita kaitkan dengan manusia yang boleh menerima cara A atau cara B pada bila-bila masa. 

Ia bukan soal makan dua belah, berperangai lalang, talam dua muka, liberal, plural, malah munafik! Sikap yang dimaksudkan itu adalah sikap yang saling bertentangan sama sekali, iaitu menerima apa sahaja walaupun ia melibatkan hal-hal mungkar. Sempadannya ialah sikap menerima kedua-dua pendekatan apabila kedua-duanya itu secara relatifnya baik.

Yang penting, kita mempunyai sikap yang terbuka untuk menerima perubahan pada bila-bila masa asalkan ia tidak melanggar etika kehidupan dan prinsip agama. Apabila kita peka untuk menerima lebih dari satu cara dalam mendepani sesuatu perkara, maka kita akan tergolong di kalangan mereka yang dikatakan bersikap terbuka. Begitulah…