MAAFCAKAP 2.2.2022
Jarang juga saya dan rakan-rakan berbincang fasal kerja yang tidak berkesudahan. Selalunya apabila minum petang dengan kawan-kawan di kafe Bunch Oh, Cyberjaya, kami ambil peluang rehat itu untuk bergurau senda, kutuk mengutuk langsung bergelak ketawa.
Tetapi agaknya kerana tahun 2022 ini adalah tahun untuk memacu larian setelah dua tahun lemau dengan hidup berkurung akibat PKP, semua pelan mesti dilipatgandakan. Kami yang berniaga bimbang apa akan jadi seandainya PKP datang lagi untuk sekian kalinya.
Petang kelmarin kami saling mengadu tentang kerja tidak pernah habis walaupun sudah dibereskan. Ada sahaja kerja susulan yang perlu dilakukan. Nampak gaya, kerjanya semakin banyak, kian bercabang dan bisa bikin saya dan rakan-rakan huru-hara perasaan.
Adakah kerja tidak habis-habis kerana memang pun kerja itu semakin banyak? Apakah sikap bertangguh mengakibatkan kerja semakin bertimbun? Ataupun apakah kerana kurang cekap mengurus masa dan salah prioriti menjadi penyebabnya?
Malam itu saya menelusuri internet mencari jawapan. Banyak kuliah-kuliah pendek dalam bentuk video yang saya tonton. Di antaranya ialah video-video TED (Technology, Entertainment and Design) yang membariskan pakar-pakar motivasi, psikologi dan bisnes yang membicarakan mengenai pengurusan masa.
Pandangan-pandangan daripada selebriti dan pakar motivasi terkenal seperti Arnold Schwarzenegger, George Freeman, Tony Robbins, Malcolm Gladwell, Steve Jobs dan Jack Ma ada memberikan saya rumusan bahawa punca kerja tak siap-siap adalah kerana kita tidak memperuntukkan masa untuknya.
“You don’t have time because you don’t allocate the time for it.” Ia sama seperti sikap kita terhadap solat. Kita sering menangguhkan solat hingga bersolat di akhir waktu kerana kita tidak memperuntukkan masa untuk menunaikannya. Jika bukan kerana wajib, iaitu berdosa meninggalkannya, sudah tentu kita tidak akan melakukannnya.
Soalnya di sini, mengapa kita lewatkan masa untuk bersolat? Kita berbuat begitu kerana kita berasakan ia tidak penting. Itu sahaja. Jika kita melihat solat itu sebagai penting, sudah tentu kita akan segera menunaikannya apabila masuk waktu.
Persoalan berikutnya ialah bagaimana kita hendak mengenalpasti samada sesuatu perkara itu penting dan perlu diberikan masa? Sesuatu itu perlu diberi masa apabila kita dapat membezakan apakah sesuatu perkara itu penting atau mustahak. Hal yang penting melibatkan sesuatu yang membantu kita mencapai impian dalam kerjaya mahupun secara peribadi.
Hal yang mustahak pula lazimnya berkaitan dengan hal-hal yang membantu orang lain mencapai matlamatnya. Kita terpaksa menumpukan pada hal-hal yang mustahak kerana implikasinya lebih besar kerana melibatkan orang lain.
Dengan sebab komitmen kerja yang melibatkan organisasi, rakan sekerja dan juga majikan, apa jua yang tercetus daripadanya seringkali melibatkan perkara mustahak yang perlu dibereskan mengikut deadline.
Berhubung dengan hal yang penting dan mustahak, carta Eisenhower’s Quardrant yang beliau cetuskan pada tahun 1954 masih boleh digunapakai. Menurut carta itu, terdapat empat jenis hal-hal yang penting dan mustahak.
Pertama, kerja yang penting dan mustahak. Kedua, kerja penting tetapi tidak mustahak. Ketiga, kerja tidak penting tetapi mustahak dan yang keempat, kerja yang tidak penting dan tidak mustahak. Yang pertama itulah yang paling utama.
Menyiapkan slaid persembahan pelan bisnes bos dalam masa dua jam lagi adalah sesuatu yang penting dan mustahak. Menentukan acara majlis pada bulan hadapan itu penting tetapi tidak mustahak kerana masih punyai banyak masa.
Kerja-kerja yang boleh diserahkan pada orang lain itu penting tetapi mustahak. Dan kerja menjawab e-mel mengenai tawaran diskaun sesebuah produk itu tidak penting dan tidak mustahak.
Kita perlu kenalpasti dan fokus dengan matlamat profesional dan juga peribadi. Andainya kita tahu apa yang kita mahu jadi pada lima tahun akan datang, kita boleh beri masa kepada apa jua kerja-kerja yang akan membantu kita mencapai impian itu.
Jika kita tiada matlamat itu di dalam fikiran, kita tidak sedar yang kita telah mengambil masa melakukan hal-hal yang tidak penting. Lebih buruk lagi jika kita lebih pentingkan kerja orang lain daripada kerja kita sendiri. Itulah sudah pasti membazir masa.