MAAFCAKAP 26.1.2022

Sewaktu menulis artikel ini, saya sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menziarahi jenazah abang saya, Aris bin Mohamed. Dia meninggal dunia pada hari ini, 25 Januari 2022, pada usia 71 tahun kerana sakit tua. Al-fatihah.

Begitulah kita dengan usia. Bila tiba saatnya, ruh kita akan ditarik oleh  malaikat Izrail dari jasad tanpa lewat atau cepat walau sesaat; walau di mana jua kita berada. Tamatlah perjalanan kehidupan kita di dunia ini. Kita akan melalui alam barzakh, alam mahsyar sebelum berakhir di Syurga mahupun Neraka.

Menurut apa yang saya tahu, kita sebenarnya mati sekadar beberapa jam sahaja. Apabila ruh kita diambil dan dibawa ke langit, tidak lama kemudian ia akan dikembalikan ke kubur. Diriwayatkan, si mati akan mendengar langkah manusia terakhir yang meninggalkan kuburan setelah kita dikebumikan. 

Kemudian datanglah malaikat Mungkar dan Nakir dengan soalan kubur. Jawapan-jawapan kita akan menentukan samada kubur kita menjadi taman syurga ataupun lubang neraka.  Tentulah kita berada dalam keadaan sedar dari saat kita ditanya malaikat-malaikat itu. Ertinya kita sudah dihidupkan. Wallahu’alam.

Alhamdulilah, saya dipanjangkan usia hingga melewati 64 tahun.  Bagi orang muda, mereka mengatakan, wah lamanya saya hidup. Tetapi percayalah, sesiapa yang berusia seperti saya berasakan hidup ini begitu singkat. Terasa baru sangat saya bersekolah, bekerja, berkahwin, beranak dan bercucu. Tidak sedar betapa saya sudah hampir 15 tahun menjadi warga emas.

Apabila merenungi erti hidup, kita sebenarnya diberi peluang untuk berada di dunia ini hanya ditugaskan dengan satu arahan iaitu beribadah kepada-NYA.. “Tidak-KU jadikan jin  dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-KU.” (ar-Zariyat: 46). Jika begitu, kita  seolah-olah tidak diperlukan berbuat apa-apa melainkan beribadah sahaja kepada ALLAH swt.

Bila diperhalusi, kita boleh berbuat apa sahaja yang kita ingini di dunia ini asalkan ia berada di dalam perimeter yang makruf, bukannya yang mungkar. Walaupun begitu, segala  makruf yang dilakukan akan sia-sia jika tidak diniatkan pula sebagai ibadah. Bila ia diniatkan sebagai ibadah maka kehidupan kita itu sendiri menjadi ibadah di sepanjang hayat.. 

Tetapi kebanyakan daripada kita tidak diberitahu tentang tugas utama kita di dunia ini hanya untuk beribadah. Maaf cakap, sebahagian besar daripada orang tua kita bukannya difahamkan oleh ibubapa mereka pula mengenai tugas ini kerana mereka pun jahil. Mereka yang lebih berautoriti seperti orang agama, kerapkali menyebut mengenainya. 

Namun, ingatan-ingatan mereka banyak yang tidak sampai ke hati, lebih-lebih lagi apabila kita sentiasa diuar-uarkan dengan matlamat-matlamat keduniaan. Sebagai rakyat, kita sentiasa diingatkan agar setia pada negara. Kita bersekolah dan belajar hingga ke universiti untuk keluar sebagai golongan terpelajar yang kemudiannya bekerja. Orang tua pula selalu memesan, ‘belajarlah rajin-rajin, nanti hidupmu senang dan boleh berjasa pada orang tua.’ 

Bila kita bercinta, ia bertujuan untuk berumahtangga. Yang dikisahkan keluarga kedua-dua belah pihak ialah majlis persandingannya, berapa hantarannya, dengan meletakkan hantaran sekian-sekian tanpa merujuk kepada kebolehan si gadis sebagai bakal isteri dan ibu. 

Pasangan yang berkahwin itu akan lalui perjalanan hidup seperti ibubapa, atau ibubapa kepada ibubapa mereka; berkahwin beranak dan bercucu dengan utopia ‘happily ever after.’ Berapa kerap atau berapa kerat di antara pasangan itu berbincang dari hati ke hati tentang kehidupan selepas mati?