Pestabuku KL Bakal Meletup-Letup
Selepas dua tahun tiada pameran kerana PKP, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 memang dinanti-nantikan oleh para pembaca Malaysia. Mulai 3 – 12 Jun 2022 di World Trade Centre, Kuala Lumpur, seluruh rakyat Malaysia berpeluang menjamu mata dan selera membaca di pestabuku yang terbesar di Malaysia.

Pestabuku Kuala Lumpur adalah hari raya buat mereka dalam industri buku. Para penerbit, pengedar, pencetak, pengedar dan penjual berhimpun untuk mempamer buku masing-masing. Para peminat buku pula berpeluang menatap dan mendapatkan buku yang diingini.
Pestabuku KL, sebagai antara pesta dan pameran yang terkenal dengan catatan rekod pengunjung melebihi 2 juta sejak tahun 2013 tentunya menjadi ‘acara mesti pergi’ bagi kalendar keluarga peminat buku yang punyai lebih besar strata sosialnya.

10 hari dikhususkan oleh penganjur untuk pestabuku ini. Dari 10 pagi hingga 10 malam, keadaan dijangka sesak. Untuk berdepan dengan keadaan ini, para pengunjung jangan pula lupakan SOP demi keselamatan kesihatan diri masing-masing.
Nantikan berita susulan.
Selamat berpesta.
– Layarminda
Berbelanja Untuk Dapat Pahala
MAAFCAKAP 18.5.2022
Saya bermesej dengan Olan bila memesan kerepek pisang tanduk daripadanya. Sambil itu saya ucapkan tahniah kerana seronok melihat foto berbalang-balang kerepek jualannya di media sosial. Sempat juga saya mengusik yang dia sudah boleh saya gelar tauke.
Katanya, perniagaan pelbagai kerepek hanyalah usaha kecil-kecilan. Jika ditolak dengan segala kos, dia hanya memperoleh RM3.00 untuk sebalang kerepek. Purata jualannya ialah lima balang sehari, dan dia hanya dapat untung bersih RM450 sahaja sebulan.
Olan pandai bertukang. Dia sering dipanggil oleh temannya jika kawannya itu tidak cukup tangan untuk menyiapkan kerja-kerja membetulkan rumah. Olan adalah salah seorang mangsa PKP. Pendapatan keluarganya tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Dia tidak lagi dibenarkan isterinya bekerja selepas bersalin. Katanya, kos pengangkutan dan makan minum lebih mahal dan isterinya tidak dapat membantu kewangan keluarga walaupun bekerja. Olan sendiri diberhentikan kerja sebagai staf perkhidmatan di bidang perhotelan.
Dalam keadaan kita melihat mereka yang mewah berbelanja di musim perayaan, apakah ia gambaran kemakmuran? Tidak banyak syarikat memberi bonus. Barangkali, pengeluaran khas KWSP memberi rezeki kepada ramai untuk berbelanja lebih. Namun, sekejap sahaja RM10,000 wang akan habis kerana pelbagai pembayaran dan perbelanjaan perayaan.
Pada tahun lalu, 37,415 perniagaan dilapor gulung tikar berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 26,007 merupakan usahawan mikro diikuti 2,738 lagi membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), yang menjalankan survei menganggarkan 580,000 perniagaan, mewakili 49 peratus dari sektor PMKS berisiko menutup perniagaan menjelang Oktober depan sekiranya mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.
Persatuan Majikan Malaysia pula turut menyuarakan bahawa banyak perniagaan berdepan dengan kesukaran apabila kerajaan mewajibkan penggajian minima RM1,500 mulai Mei ini. Banyak perniagaan yang baharu hendak pulih terpaksa berdepan dengan kenaikan gaji kakitangan yang dianggap mendadak.
Apa yang kita boleh buat? Beruntunglah sekiranya kita masih mempunyai pekerjaan dan juga mempunyai majikan yang mampu membayar gaji walaupun tanpa bonus mahupun kenaikan. Jika kita pandang di sekeliling, kita mula nampak riak wajah-wajah yang hilang senyuman bila mendepani kesukaran mengawal perbelanjaan kerana kenaikan harga barang.
Jika kita bukan dari golongan yang membeli kereta baharu secara tunai, rumah baharu, makan-makan, terbang-terbang ataupun boleh menabur wang merata-rata, kita semua adalah golongan yang perlu berhati-hati mengawal perbelanjaan.
Yang penting, kita perlu saling bantu membantu sesama sendiri agar masing-masing dapat terus berdiri. Kita perlu bantu orang seperti Olan. Jika kita biasa membeli kerepek dalam paket yang dibeli di pasaraya, pastikan kita beli sebalang dari Olan. Jika kita biasa membeli kek dari kedai yang popular, belilah dari mereka yang menjual melalui media sosial ataupun dari grup Whatsapp setaman.
Mari kita bantu mereka. Biarlah mereka kaya kerana kita membantu mereka kaya. Bukankah kita sudah selalu sangat membantu yang kaya menjadi lebih kaya? Bila kita membeli dari jenama-jenama terkenal antarabangsa, kita mengkayakan yang sudah kaya. Mereka tidak akan miskin jika kita tidak membeli dari mereka.
Kita bukannya hendak boikot jenama-jenama yang sudah jadi citarasa kita. Kita cuma hendak bantu juga saudara-saudara kita juga untuk hidup. Niat itu penting. Bila kita membeli dengan niat untuk membantu, kita akan dapat pahala. Ini sama sekali tidak sama dengan bila kita membeli dari jenama besar. Sebab, bila kita membeli tanpa niat untuk membantu perniagaan yang besar itu, dari mana datangnya pahala?
Apa Lagi Selepas ‘Mat Ri Ya’?
MAAFCAKAP 11.5.2022
Di antara amalan masyarakat kita pada Hari Raya Aidilfitri ialah dengan saling memberi ucap selamat. Walaupun ucapan menurut sunnah ialah ‘taqobalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud, ‘semoga Allah menerima amal ibadah kami dan amal ibadah kalian semua,’ kita biasa dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’ ataupun ucapan ‘Salam Aidilfitri.’
Kini ucapan-ucapan itu bukan sahaja dilafaz tatkala beraya, tetapi juga disampaikan dalam bentuk video dan audio melalui pelbagai laman sosial. Namun, yang lebih banyak kelihatan ialah catatan di Facebook, Twitter dan juga Whatsapp.
Barangkali oleh kerana masing-masing terlalu banyak ucapan ‘Selamat Hari Raya’ yang hendak ditaip, maka timbullah ciptaan singkatan ‘SHR, MZB, HMM’ iaitu Selamat Hari Raya, maaf zahir batin, halal makan dan minum. Namun yang saya lihat terkini ialah akronim ‘mat ri ya’ sebagai singkatan ‘Selamat Hari Raya.’
Dalam suasana seronok-seronok dan suka-suka hari raya, ramai yang menggunakannya. Kita yang menerima ada yang tersenyum-senyum membaca akronim itu. Tetapi, ada yang marah kerana beranggapan akronim itu telah merosakkan bahasa.
Malah ada yang memberi amaran akan‘unfriend’ sekiranya ada yang mengirim ‘mat ri ya,’ kepadanya. Tuanpunya sesebuah laman sosial mempunyai hak menentukan peraturannya. Pendiriannya perlu dihormati kerana ia adalah preference atau pilihan. Tapi tangguhkan dahulu andainya hendak buang kawan hanya kerana bencikan sebuah akronim. Chill, kata orang sekarang.
Pada dasarnya, saya tidak berasa bahawa mereka yang menggunakan akronim ‘mat ri ya’ itu mahu merosakkan bahasanya. Tulisan dan ejaan adalah satu bentuk komunikasi. Asalkan faham maknanya, maka komunikasi itu sempurna. Selama ini, bukankah kita biasa gunakan akronim? Walaupun begitu, bahasa kita tetap utuh dan tidak terjejas.
Sebagai contoh, akronim ‘kugiran’ itu bermaksud ‘kumpulan gitar rancak.’ ‘Pawagam’ pula adalah ‘panggung wayang gambar.’ Kedua-duanya kalau tidak silap saya mula dituturkan oleh Seniman Agung allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Kita juga ada banyak singkatan yang kita sendiri gunakan di waktu sekolah kerana hendak cepat menulis nota. Kita gunakan ‘yg’ untuk ‘yang,’ ‘dll’ untuk ‘dan lain-lain lagi’ serta ‘sbgnya’ untuk ‘sebagainya.’ Kita okey sahaja dengan singkatan ini. Bahasa tidak rosak, pun.
Di era SMS yang memberi ruang mesej hanya untuk 160 huruf, kita guna singkatan perkataan. Kita gunakan ‘akum’ untuk ‘assalamualaikum,’ ‘wbh’ untuk ‘wabarakatuh’ dan ‘saw’ untuk ‘salallahu alaihi wasalam.’
Oleh kerana dunia digital ini digemari oleh anak-anak, maka timbullah ejaan ‘katne’ untuk ‘di mana,’ ‘takleh’ dan untuk ‘tidak boleh.’ Kini ada stail menggunakan perkataan berganda dengan dua huruf ‘I’ seperti ‘suka II’ menggantikan ‘suka-suka.’ Jika kita ke laman Wattpad, yang digemari golongan remaja, kita akan temui ejaan yang lebih memeningkan.
Apakah selama ini, penggunaan akronim dan singkatan itu merosakkan bahasa? Tidak dan tidak pernah. Sebabnya, kita tahu bila hendak menggunakan yang baku. Apabila kita berurusan secara rasmi, kita sendiri akan gunakan bahasa dan ejaan yang standard, sesuai di tempatnya.
Berlainan pula bila kita berkomunikasi secara tidak rasmi. Kita cakap dan sebut apa sahaja asalkan difahami oleh orang lain. Bahasa pasar, bahasa rosak, slanga, malah loghat tidak pernah merosakkan bahasa. Ia tidak mengusik bahasa jika yang dimaksudkan ialah bahasa persuratan.
Bagi saya, cakaplah apa sahaja menggunakan gaya apa pun, mengejalah mengikut apa yang boleh difahami orang. Yang tidak boleh ialah mencaci, mengutuk, memfitnah dan apa sahaja yang berdosa samada secara tulisan mahupun ejaan. Maaf cakap…tiada dosanya bila menggunakan ‘mat ri ya.’ Mana tahu, di tahun hadapan ia diterima dan dimasukkan ke dalam kamus seperti juga akronim ‘kugiran’ dan ‘pawagam.’
Pengajaran Dari Hari Raya Mengejut
MAAFCAKAP 4.5.2022
Maka pada tahun ini, ada yang berkata, kita beraya secara mengejut. Mengejut kerana terkejut. Yang terkejut adalah mereka yang siang-siang lagi mengagak yang kita akan beraya lewat sehari dari Arab Saudi kerana kita berpuasa lewat sehari dari mereka.
Ramai di kalangan netizen pula memperli yang kita akan lewat dari kebanyakan negara-negara lain. Seolah-olah lewat beraya kerana kaedah menentukan hari raya kita sudah ketinggalan. Namun, apabila pengumuman Aidilfitri dibuat, ramai pula yang panik bila hari raya disambut lebih awal dari yang tercatat di kalendar!
Mereka yang menempah pakaian, jamuan di pagi raya dan kuih-muih sibuk menghubungi pembekal agar menyiapkan pesanan pada esok harinya. Yang merancang pulang untuk berbuka akhir di kampung, terpaksa beraya di dalam perjalanan. Bagai hendak huru-hara jadinya.
Sebenarnya, beberapa tahun yang lalu, kita pernah juga beraya lebih awal dari tarikh yang tercatat di kalendar. Kita juga pernah beraya lewat dari tarikhnya. Tetapi oleh kerana lazimnya kita beraya seperti tarikh yang tercatat di kalendar, ramai menganggap melihat anak bulan di merata tempat itu bagai formaliti sahaja. Malah ada juga suara-suara yang mencadangkan lebih baik mengikut hisab sahaja daripada cara rukyah seolah-olah cara itu sudah ketinggalan zaman.
Tetapi, walau apa pun keadaan, kita semua masih seronok! Sebabnya, apa yang terpahat di fikiran ialah yang positif. Di sebalik haru-biru itu, kita tersenyum bila terbayang wajah ayah bonda, kampung halaman, bau ketupat, lemang, lodeh dan serunding. Kita terbayang bertemu sanak saudara, kawan lama, sahabat sekolah untuk beraya. Bila kita bayangkan keseronokan selepas segala kelam-kabut dan ketidakselesaan, kita jadi gembira. Kita gembira kerana berfikiran positif!
Dari satu sudut pandang, senario ‘raya mengejut’ ini adalah latihan minda. Oleh kerana seronoknya matlamat untuk beraya, reaksi kita terhadap pengumuman hari raya yang di luar jangkaan membuat kita panik kerana takut tak sempat buat persediaan. Tetapi yang lebih penting ialah bila kita respon kepada pengumuman itu. Respon kita ialah dengan terus bertindak untuk mencapai matlamat. Membujur lalu, melintang patah dan kita redah menangani situasi itu. Yang penting kita harunginya walaupun dalam kesuntukan masa.
Begitulah hidup; banyak perkara yang terjadi itu bukan seperti yang kita harapkan. Bagi kebanyakan daripada kita, apa jua hal yang di luar jangkaan kerap dilihat sebagai suatu masalah kerana menyusahkan perancangan.
Tetapi jika direnung, dalam 10 hal luar jangka yang terjadi kepada diri, terdapat dua atau tiga daripadanya sebenarnya menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang diharapkan. Situasi-situasi inilah yang perlu kita teliti dan perhati agar kita sentiasa tenang dalam perjalanan untuk mencapai apa yang dihajatkan.
Begitulah bila kita merancang. Fikirkan hasil yang positif semata-mata, bukan yang negatif. Fikirkan yang kita akan sempat balik kampung untuk beraya, bukan sebaliknya. Apabila kita berfikiran positif, ia akan membuat kita bertindak positif, dan natijahnya adalah positif juga. Bagaimana pula andainya hasilnya negatif?
Bukankah kita dikehendaki berusaha, bersangka baik kepada ALLAH tetapi hasil usaha kita, kita serahkan kepada-NYA? Apa jua hasil dari usaha itulah yang terbaik buat kita kerana ALLAH yang beri. Walaupun hati tak seronok, tetapi bila itulah kehendak ALLAH, kita mesti menerimanya sebagai hamba-NYA.
Dalam situasi ‘hari raya mengejut’ ini, perancangan kita beranjak kerana hasilnya dipercepatkan. Aidilfitri adalah hari kemenangan. Lihat sahaja ‘hari raya mengejut’ ini sebagai kemenangan yang dipercepatkan! Nikmati dan syukurilah hadiah kemenangan ini dari-NYA!
Salam Aidilfitri dari saya.
Kepada Siapa Kita Bersujud?
MAAFCAKAP 27.4.2022
WORLD QURAN HOUR bukan hanya sebuah acara, malah sudah menjadi sebuah fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil. Tetapi kini, ia menjadi sebuah gelombang yang besar. Semakin lama, kempen World Quran Hour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, yang dipayungi Kumpulan Karangkraf ini menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk menyertainya.
Kelmarin, tanggal 24 Ramadan atau 26 April 2022, kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan berkanun, pasukan beruniform, NGO dan sejumlah ramai individu telah meluangkan masa untuk bersama al-Quran selama satu jam.
Di Malaysia sahaja, lebih 15,000 organisasi telah sama-sama menyertainya di masjid, surau, madrasah, pejabat dan dewan kuliah. Malakat Mall sebagai satu-satunya mall Muslim yang sentiasa mengamalkan urusan muamalah secara Islam tidak ketinggalan menjadikan pasarnya sebagai lokasi kempen ini.
Pada tahun ini, Surah As-Sajdah dipilih dengan tema ‘Dunia Bersujud.’ Sujud adalah satu perbuatan melekapkan dahi ke bumi sebagai tanda menyerah kepada yang lebih berkuasa. Ia adalah tanda bahawa si pelaku memperakui dirinya adalah hamba kepada tuannya. Siapakah ‘tuan’ yang selayaknya menerima sujud seorang hamba?
Hari ini satu dunia kerap bersujud malah senantiasa bersujud. Tetapi, dunia kini bersujud kepada siapa? Siapakah yang dunia perakui sebagai ‘tuan’? Jawabnya, apa-apa sahaja, siapa-siapa sahaja selain ALLAH, Al-Khalik. Pelik, namun tidak menghairankan.
Dunia tidak sujud kepada ALLAH, Maha Pencipta Makhluk kerana mengiktiraf kuasa lain yang lebih hebat. Dunia sujud kepada pembangunan hingga sanggup menarah dan menjarah seluruh pelosok dunia hingga ekosistem alamnya jadi tunggang terbalik. Kini, dunia kerap berdepan dengan pelbagai bencana alam.
Ribut taufan, banjir dan kebakaran hutan adalah akibat sujudnya dunia kepada pembangunan. Pencemaran udara, tenaga dan sumber air mengakibatkan apa yang selama ini percuma di alam ini terpaksa dibayar dengan harga yang mahal.
Dunia juga sujud kepada wang. Ramai yang mengejar wang, malah sudah bertuhankan wang. Apa yang mendatangkan keuntungan akan dinaikkan harganya agar labanya berlipat ganda. Tidak cukup dengan itu, sistem riba pula diamalkan. Istilah riba dinamakan faedah dan hutang pula diperkenalkan sebagai kredit semata-mata untuk memberi nama yang cantik buat sesuatu yang hodoh. Yang menguasai wang mahu mengumpul sebanyak wang, yang meminjam pula terus mengejar wang juga kerana hendak membayar hutang.
Ramai juga manusia kini sujud kepada masa. Mereka kononnya tidak cukup masa lalu berebut-rebut mengejar masa. Tamaknya manusia itu kerana masa yang ada hanya untuk diri. Makan, tidur, bekerja dan berhibur hanya diperuntukkan pada dirinya. Berziarah untuk sahabat handai dan taulan tidak dapat dilakukan kerana dia tiada masa kerana sudah sujud padanya.
Mengapa manusia sujud pada makhluk dan tidak kepada Tuhan? Sebab manusia sudah jauh dari Penciptanya. Mengapa manusia jauh daripada Penciptanya? Kerana manusia berasakan dia berkuasa terhadap apa yang dia mahu. Man jadda wa jadda. Kalau dia bersungguh-sungguh, dia akan dapat. Doa, tidak perlu kerana dia hanya perlu berusaha.
Maka akhirnya, dia melupakan ALLAH, dan sebaliknya langsung sujud pada apa yang dikejarnya. Apabila dia tidak sujud kepada-NYA, itu tandanya dia sudah hilang iman. Malangnya jika dia tidak sedar yang dia sudah tidak beriman.
Orang begini tidak akan merebahkan dirinya untuk bersujud. Dalam solat, ada sujud. Tidakkah mereka yang sengaja meninggalkan solat yang mana di dalamnya ada sujud adalah manusia yang sombong?


