MAAFCAKAP 27.4.2022

WORLD QURAN HOUR bukan hanya sebuah acara, malah sudah menjadi sebuah fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil. Tetapi kini, ia menjadi sebuah gelombang yang besar. Semakin lama, kempen World Quran Hour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, yang dipayungi Kumpulan Karangkraf ini menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk menyertainya.

Kelmarin, tanggal 24 Ramadan atau 26 April 2022, kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan berkanun, pasukan beruniform, NGO dan sejumlah ramai individu telah meluangkan masa untuk bersama al-Quran selama satu jam.

Di Malaysia sahaja, lebih 15,000 organisasi telah sama-sama menyertainya di masjid, surau, madrasah, pejabat dan dewan kuliah. Malakat Mall sebagai satu-satunya mall Muslim yang sentiasa mengamalkan urusan muamalah secara Islam tidak ketinggalan menjadikan pasarnya sebagai lokasi kempen ini.

Pada tahun ini, Surah As-Sajdah dipilih dengan tema ‘Dunia Bersujud.’ Sujud adalah satu perbuatan melekapkan dahi ke bumi sebagai tanda menyerah kepada yang lebih berkuasa. Ia adalah tanda bahawa si pelaku memperakui dirinya adalah hamba kepada tuannya. Siapakah ‘tuan’ yang selayaknya menerima sujud seorang hamba?

Hari ini satu dunia kerap bersujud malah senantiasa bersujud. Tetapi, dunia kini bersujud kepada siapa? Siapakah yang dunia perakui sebagai ‘tuan’? Jawabnya, apa-apa sahaja, siapa-siapa sahaja selain ALLAH, Al-Khalik. Pelik, namun tidak menghairankan.

Dunia tidak sujud kepada ALLAH, Maha Pencipta Makhluk kerana mengiktiraf  kuasa lain yang lebih hebat. Dunia sujud kepada pembangunan hingga sanggup menarah dan menjarah seluruh pelosok dunia hingga ekosistem alamnya jadi tunggang terbalik. Kini, dunia kerap berdepan dengan pelbagai bencana alam.

Ribut taufan, banjir dan kebakaran hutan adalah akibat sujudnya dunia kepada pembangunan. Pencemaran udara, tenaga dan sumber air mengakibatkan apa yang selama ini percuma di alam ini terpaksa dibayar dengan harga yang mahal.

Dunia juga sujud kepada wang. Ramai yang mengejar wang, malah sudah bertuhankan wang. Apa yang mendatangkan keuntungan akan dinaikkan harganya agar labanya berlipat ganda. Tidak cukup dengan itu, sistem riba pula diamalkan. Istilah riba dinamakan faedah dan hutang pula diperkenalkan sebagai kredit semata-mata untuk memberi nama yang cantik buat sesuatu yang hodoh. Yang menguasai wang mahu mengumpul sebanyak wang, yang meminjam pula terus mengejar wang juga kerana hendak membayar hutang.

Ramai juga manusia kini sujud kepada masa. Mereka kononnya tidak cukup masa lalu berebut-rebut mengejar masa. Tamaknya manusia itu kerana masa yang ada hanya untuk diri. Makan, tidur, bekerja dan berhibur hanya diperuntukkan pada dirinya. Berziarah untuk sahabat handai dan taulan tidak dapat dilakukan kerana dia tiada masa kerana sudah sujud padanya.

Mengapa manusia sujud pada makhluk dan tidak kepada Tuhan? Sebab manusia sudah jauh dari Penciptanya. Mengapa manusia jauh daripada Penciptanya? Kerana manusia berasakan dia berkuasa terhadap apa yang dia mahu. Man jadda wa jadda. Kalau dia bersungguh-sungguh, dia akan dapat. Doa, tidak perlu kerana dia hanya perlu berusaha.

Maka akhirnya, dia melupakan ALLAH, dan sebaliknya langsung sujud pada apa yang dikejarnya. Apabila dia tidak sujud kepada-NYA, itu tandanya dia sudah hilang iman. Malangnya jika dia tidak sedar yang dia sudah tidak beriman.

Orang begini tidak akan merebahkan dirinya untuk bersujud. Dalam solat, ada sujud. Tidakkah mereka yang sengaja meninggalkan solat yang mana di dalamnya ada sujud adalah manusia yang sombong?