MAAFCAKAP 4.5.2022
Maka pada tahun ini, ada yang berkata, kita beraya secara mengejut. Mengejut kerana terkejut. Yang terkejut adalah mereka yang siang-siang lagi mengagak yang kita akan beraya lewat sehari dari Arab Saudi kerana kita berpuasa lewat sehari dari mereka.

Ramai di kalangan netizen pula memperli yang kita akan lewat dari kebanyakan negara-negara lain. Seolah-olah lewat beraya kerana kaedah menentukan hari raya kita sudah ketinggalan. Namun, apabila pengumuman Aidilfitri dibuat, ramai pula yang panik bila hari raya disambut lebih awal dari yang tercatat di kalendar!

Mereka yang menempah pakaian, jamuan di pagi raya dan kuih-muih sibuk menghubungi pembekal agar menyiapkan pesanan pada esok harinya. Yang merancang pulang untuk berbuka akhir di kampung, terpaksa beraya di dalam perjalanan. Bagai hendak huru-hara jadinya.

Sebenarnya, beberapa tahun yang lalu, kita pernah juga beraya lebih awal dari tarikh yang tercatat di kalendar. Kita juga pernah beraya lewat dari tarikhnya. Tetapi oleh kerana lazimnya kita beraya seperti tarikh yang tercatat di kalendar, ramai menganggap melihat anak bulan di merata tempat itu bagai formaliti sahaja. Malah ada juga suara-suara yang mencadangkan lebih baik mengikut hisab sahaja daripada cara rukyah seolah-olah cara itu sudah ketinggalan zaman.

Tetapi, walau apa pun keadaan, kita semua masih seronok! Sebabnya, apa yang terpahat di fikiran ialah yang positif. Di sebalik haru-biru itu, kita tersenyum bila terbayang wajah ayah bonda, kampung halaman, bau ketupat, lemang, lodeh dan serunding. Kita terbayang bertemu sanak saudara, kawan lama, sahabat sekolah untuk beraya. Bila kita bayangkan keseronokan selepas segala kelam-kabut dan ketidakselesaan, kita jadi gembira. Kita gembira kerana berfikiran positif!

Dari satu sudut pandang, senario ‘raya mengejut’ ini adalah latihan minda. Oleh kerana seronoknya matlamat untuk beraya, reaksi kita terhadap pengumuman hari raya yang di luar jangkaan membuat kita panik kerana takut tak sempat buat persediaan. Tetapi yang lebih penting ialah bila kita respon kepada pengumuman itu. Respon kita ialah dengan terus bertindak untuk mencapai matlamat. Membujur lalu, melintang patah dan kita redah menangani situasi itu. Yang penting kita harunginya walaupun dalam kesuntukan masa.

Begitulah hidup; banyak perkara yang terjadi itu bukan seperti yang kita harapkan. Bagi kebanyakan daripada kita, apa jua hal yang di luar jangkaan kerap dilihat sebagai suatu masalah kerana menyusahkan perancangan.
Tetapi jika direnung, dalam 10 hal luar jangka yang terjadi kepada diri, terdapat dua atau tiga daripadanya sebenarnya menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari yang diharapkan. Situasi-situasi inilah yang perlu kita teliti dan perhati agar kita sentiasa tenang dalam perjalanan untuk mencapai apa yang dihajatkan.

Begitulah bila kita merancang. Fikirkan hasil yang positif semata-mata, bukan yang negatif. Fikirkan yang kita akan sempat balik kampung untuk beraya, bukan sebaliknya. Apabila kita berfikiran positif, ia akan membuat kita bertindak positif, dan natijahnya adalah positif juga. Bagaimana pula andainya hasilnya negatif?

Bukankah kita dikehendaki berusaha, bersangka baik kepada ALLAH tetapi hasil usaha kita, kita serahkan kepada-NYA? Apa jua hasil dari usaha itulah yang terbaik buat kita kerana ALLAH yang beri. Walaupun hati tak seronok, tetapi bila itulah kehendak ALLAH, kita mesti menerimanya sebagai hamba-NYA.

Dalam situasi ‘hari raya mengejut’ ini, perancangan kita beranjak kerana hasilnya dipercepatkan. Aidilfitri adalah hari kemenangan. Lihat sahaja ‘hari raya mengejut’ ini sebagai kemenangan yang dipercepatkan! Nikmati dan syukurilah hadiah kemenangan ini dari-NYA!
Salam Aidilfitri dari saya.