BLOG

Tanggungjawab Berat Orang Filem

Tanggungjawab Berat Orang Filem

MAAFCAKAP 13.7.2022

Filem Mat Kilau kini mencetus fenomena dari pelbagai sudut. Dari sudut bisnes, ia telah mengaut lebih RM71 juta setelah 20 hari tayangan. Dengan kos pembikinan RM8 juta, ia  telah mencatat keuntungan. Dari sudut pemasaran, usaha pihak penerbit yang menggunakan media sosial, kerjasama dari pelbagai blogger video, media sosial, media akhbar cetak dan elektronik telah meningkatkan market awareness.

Sayang, kerana tuanpunya pawagam-pawagam utama seperti GSC dan juga TGV  tidak fikir filem ini akan meletup lalu mengukir kutipan box-office. Kerana tidak yakin itulah, pihak pawagam juga tiada kelihatan menyediakan ‘movie standee cardboard display,’ yang gah di kawasan foyer pawagam untuk para penonton bergaya sebagai satu bentuk promosi yang baik.

Kasihan, bila ramai penonton yang sekadar bergambar di sebelah poster bercermin, untuk berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan yang belum masuk panggung. Mat Kilau menjuarai carta 10 filem terlaris pawagam mereka memukul habis filem terbitan Hollywood, Tamil, Hongkong, Singapura, Indonesia dan Korea sejak hari pertama ia ditayangkan.

Walau apa pun, pihak FINAS boleh membuat kajian, apakah filem Mat Kilau telah membuka fenomena kembalinya selera khalayak untuk kembali ke pawagam? Dikatakan Mat Kilau mampu menggamit sejumlah besar para penonton kembali masuk panggung.

Filem Mat Kilau ini adalah fiksyen, menurut para pengkaryanya. Mereka hanya menyandarkan latar ceritanya berdasarkan kisah benar pahlawan Mat Kilau. Bagaimana pun, filem ini telah merangsang imaginasi khalayak penonton Melayu. Mereka keluar panggung dengan semangat.

Mereka terkesima melihat kezaliman British. Meskipun pada fikiran ramai, British itu lebih baik daripada Jepun dan Komunis, saya cenderung untuk memperkatakan bahawa secara sedar Sutradaranya Syamsul Yusof mahu menyingkap topeng sebenar kemunafikan penjajah British.

Ramai yang sudah lupa, pihak British, atas nama penasihat telah mempengaruhi Raja-Raja Melayu untuk menerima kehadiran mereka, membuat perjanjian berat sebelah dan akhirnya mahu terus menguasai kita melalui pelan Malayan Union yang akan menghapus kuasa kesultanan Melayu. Sesungguhnya mereka baik di luar, jahat di dalam.

Lakonan Adi Putra sebagai Mat Kilau amat berkesan. Namun yang sentiasa meniti di bibir mereka yang menonton ialah nama Mat Kilau, bukannya Adi Putra. Ertinya, semangat juang Mat Kilau telah meresap ke jiwa penonton yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

Secara di bawah sedar mereka inginkan semangat Mat Kilau hidup dalam diri mereka kerana mereka sudah tiada pembela dan pelindung yang boleh disandarkan harapan. Mana hero-hero pembela orang Melayu di sekeliling mereka? Mereka sudah tiada orang politik yang diyakini untuk membela nasib mereka.

Para ustaz? Oh, mereka hanya bercakap tentang dosa dan pahala tetapi sesama mereka makin tidak sebulu kerana berbeza manhaj. Sasterawan sebagai pembela? Bagus, tetapi di mana mereka? Para jutawan pula menghilang di kayangan mereka. Mana pula perginya sekelompok motivator yang boleh memberi mereka semangat ketika ini? Para influencer yang sering muncul pula hanya sebagai  penglipur lara. Mereka semua sudah tiada lagi.

Jadi,  mahu tidak mahu, penggiat industri perfileman sahaja yang boleh diharapkan. Dan mereka perlu galas tanggungjawab sebagai pembakar semangat anak bangsa. Orang kata, tiada rotan, akar pun berguna. Mereka perlu hasilkan lebih banyak kisah-kisah kepahlawanan untuk membara semangat dan jatidiri orang Melayu.

Sekali pandang ia seperti pelik. Tetapi bukankah medium perfileman adalah pendekatan make-believe yang amat berkesan? Orang filem tentu tahu bahawa dunia melihat kononnya Amerika hebat, kesan propaganda Hollywood yang tanpa henti.

Justeru, orang filem di Malaysia bukan sahaja harus memikirkan bagaimana untuk mengisi panggung wayang, malah bagaimana hendak bantu mengisi jatidiri bangsa yang dah hilang. 

Kita Dari Mana Hendak ke Mana

Kita Dari Mana Hendak ke Mana

MAAFCAKAP 6.7.2022


KITA DARI MANA HENDAK KE MANA

Baru-baru ini seorang pelajar, Syida menemubual saya secara Google Meet untuk menyiapkan tugasan dalam program Pengajian Medianya. Syida tidak kekok bertanya soalan, persis seorang wartawan. Tentulah perbualan menjadi rancak kerana dia mempunyai keyakinan diri. Namun, berbeza pula apabila Syida tampak kurang keyakinan diri.

Saya memang biasa berdepan dengan manusia yang mempunyai perawakan yang boleh berbeza. Syida extrovert sebagai pelajar kewartawanan tetapi sebaliknya introvert sebagai seorang gadis. Dan, dia meminta pandangan saya mengenai apa yang harus dia lakukan sebaik sahaja tamat pengajian.

Setelah berfikir sejenak, saya memberikan input saya. Saya kata, walau apa pun yang diingini, pertamanya seseorang itu harus tahu apa yang dia hendak. Sekurang-kurangnya seseorang itu mesti punyai gambaran dia dengan apa yang diingininya.

Jika ingin menjadi seorang doktor, dia harus punyai imej dia berpakaian jubah putih dan sebuah stethoskop berlingkar di dadanya. Dia mesti ‘nampak’ dirinya sebagai orang yang telah berjaya mencapai apa yang diingininya.

Kedua, seseorang itu mesti tahu di mana dia berada sekarang. Umpama seseorang yang ingin memandu ke sesebuah tempat, dia mesti memasukkan maklumat dia di mana dan hendak ke mana kepada aplikasi Waze sebelum ditunjukkan jalan. Ramai orang yang ‘tidak sedar dirinya berada di mana’ sebelum melangkah ke mana-mana.

Ketiga, untuk mencapai sesuatu itu, kita mesti tahu cara untuk mendapatkannya. Jika ia mengenai kelulusan, dia mesti tahu apakah matapelajaran yang perlu diambil. Berapakah kelayakan minima dan di manakah dia boleh melanjutkan pelajarannya. Seandainya ia mengenai kerjaya, seseorang itu perlu tahu mengenai kemahiran yang perlu dia ada dan latihan yang perlu dilalui.

Keempat, seseorang itu mesti tahu bilakah dia ingin mencapai apa yang dihajati. Kerangka waktu atau garis waktu adalah perlu jika seseorang mahu mencapai sesuatu. Jika tiada ketetapan ‘bila’ maka dia mungkin berbuat sesuatu sambil lewa, bertangguh yang akhirnya tidak kesampaian. Hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.

Dan kelima, perkara yang tidak ramai yang suka memikirkan ialah memahami hakikat bahawa apa yang dicapai itu kesemuanya dengan izin ALLAH. Dan, apa yang tidak diperolehi itu juga dengan kehendak ALLAH.

Apabila kita berasa yang kita akan mencapai sesuatu yang diingini kerana kita berusaha secara mutlak tanpa mengambil pertimbangan akan ketentuan-NYA, maka orang berjaya akan berasa dia berjaya kerana usahanya semata-mata. Dia akan mengikut logik akal bahawa dia akan mendapat apa yang dihajatinya apabila dia bersungguh-sungguh.

Dengan tanggapan bahawa dia berhak berjaya setelah berusaha, dia tidak dapat menerima hakikat kegagalan. Dia akan kecewa, tawar hati, hilang keyakinan diri, malah ‘marahkan Tuhan’ kerana berasa dirinya tidak diberi keadilan kerana masih gagal walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

Padahal, manusia hanya melihat dia berjaya bila mencapai apa yang dihajati dan berasa gagal bila tidak dapat menunaikan kehendaknya. Sedangkan setiap langkah dan gerak manusia itu diperhati-NYA dan terpulang pada ALLAH hendak memberi atau menafikan kehendak seseorang. Namun, ALLAH tetap memberi markah yang sama bagi setiap usaha manusia samada berjaya atau sebaliknya.

Proses usaha itulah yang pasti diberi ganjaran. Kejayaan atau kegagalan hanyalah perhentian sementara. Orang berjaya mungkin jadi lebih baik atau sombong dengan kejayaannya. Orang gagal mungkin merajuk dengan Tuhannya atau menambah doa dan menjadi insan yang taat. Selepas berusaha, tindakan orang berjaya atau gagal itulah yang akan diberi markah.

Lama Syida termenung, kemudian mengangguk tanda faham.

Di Mana Hebatnya Filem Mat Kilau?

Di Mana Hebatnya Filem Mat Kilau?

MAAFCAKAP 29.6.2022


DI MANA HEBATNYA
FILEM MAT KILAU?

Filem Mat Kilau kini menjadi salah sebuah topik yang tular. Ia bakal mengatasi kutipan tertinggi filem Malaysia yang disandang filem Munafik 2 yang sebanyak RM37.74 juta. Awal-awal lagi sebelum ia mula ditayang pada 23 Jun, pasukan pemasaran Kembara Studios telah merangka pelan promosinya dengan tersusun. Sehingga catatan ini ditulis, promosi mereka di Youtube sahaja sudah melebihi 1.2 juta tontonan.

Hebahan melalui laman-laman sosial telah menangkap minat golongan penggemar filem yang matang atau yang sukakan filem-filem yang lebih serius. Trailer promosinya sahaja sudah cukup mengundang ramai khususnya youtubers perfileman untuk mengulasnya termasuk melalui pendekatan reaction videos.

Pure Pixels, F8Buzz, dan Mawi World adalah di antara saluran Youtube yang terkenal dengan ulasan-ulasan mereka khususnya mengenai hiburan termasuk perfileman. Portal-portal berita seperti MeleTOP dan KiniTV serta dua orang ustaz selebriti seperti Ustaz Badli Shah dan Ustaz Elyas Ismail turut mengulasnya.

Tidak lupa juga, ramai para pelakon sendiri yang mempromosikan filem ini di laman sosial masing-masing. Barangkali kita mula perasan pengulas-pengulas dari tanah seberang seperti Cak Lonjong, Endhy JR dan Cak Mojib turut tumpang sekaki memberi ulasan. Dan, Tayangan Perdana filem yang dihadiri oleh para pengkarya perfileman, para pelakon dan petugas media membuka tirai yang merungkai apa yang ada dinanti-nantikan.

Kesannya, cerita mengenai filem Mat Kilau menjadi tular bila ia dihebahkan oleh mereka yang menjadi influencer media sosial. Ia mengundang ramai untuk tertanya-tanya mengenai filem ini. Ramai golongan warga emas, yang dipimpin anak-anak, turun ke panggung untuk menonton.

Sebilangan besar kaki wayang yang sudah terlupa dengan pawagam akibat Covid-19 dan juga dengan adanya Netflix, Viu dan Astro mula belajar menempah tiket dan membeli jagung bertih secara online kerana itulah SOP terkini. Apakah Mat Kilau menjadi mangkin mengembalikan hobi menonton filem yang akan memulihkan industri perfileman Malaysia?

Filem ini dikategorikan sebagai PG13. Satu keluarga boleh pergi menonton. Apa impaknya? Kanak-kanak akan terdedah dengan seni silat yang menjadi warisan bangsa. ‘Oh rupa-rupanya kita juga ada seni mempertahankan diri sehebat karate dan taekwondo.’ Mungkin itulah kata mereka yang tidak pandang sebelah mata terhadap seni mempertahankan diri ini.

Jika hendak lihat filem ini menjadi tular kerana hype atau over-rated, ia terjadi secara semulajadi apabila golongan muda terkejut dengan visual yang disampaikan Sekejap sahaja ia melarat dan tular di Tiktok dengan MatKilauChallenge di mana masing-masing menunjukkan aksi silat walaupun dengan cara yang canggung tetapi  menghiburkan.

Bagi orang Melayu, filem Mat Kilau telah menghidupkan kembali ‘DNA Melayu’ yang sudah lama terbenam di ceruk hati. Meskipun dialog-dialog di dalam filem ini ada kalanya bagai berkhutbah mengenai penyatuan Melayu,  ia tidak mengapa. Sebabnya, pemimpin politik kita tidak boleh diharap bercakap mengenainya lagi. Tiada rotan, akar pun berguna.

Andainya orang filem terpaksa mengambil peranan meniupkan semangat bangsa; biarlah. Siapa yang boleh menafikan bahawa di dalam dada mereka juga tertanam semangat keMelayuan? Mungkin inilah satu-satunya filem yang mereka bukan sekadar melakonkan watak, tetapi meresapkan sekali jiwa watak itu ke dalam diri.

ISMA, Ikatan Muslimin Malaysia sebagai NGO yang cukup kuat menyokong filem ini harus dipuji kerana berjaya menggunakan medium filem untuk menyampaikan mesej mengenai penyatuan Melayu yang sudah dianggap tidak penting. Ia menepati kata-kata Tun Mahathir sebagai tetamu khas Tayangan Perdana. Menurutnya, filem ini menjadikan ‘keMelayuan yang ada, luluh’ begitu tepat sekali. Filem Mat Kilau telah mencairkan otak dan hati yang beku untuk melancarkan aliran semangat Melayu yang kian pudar.

Dahulu, semangat Melayu ditiup melalui pentas bangsawan, kini ia dihembus melalui filem. Barangkali Perdana Menteri boleh singgah menonton filem ini untuk menghidu denyut rasa orang Melayu pada hari ini.

Ada Kerja, Tiada Kerjaya

Ada Kerja, Tiada Kerjaya

MAAFCAKAP 22.6.2022

Tidak beberapa lama dahulu syarikat tempat saya bertugas mengadakan temuduga untuk pengambilan staf baharu. Poster iklan dipapar di media sosial dan juga di portal pengambilan pekerja, selain dari hebahan melalui kumpulan Whatsapp di grup kakitangan. Tidak cukup dengan itu, kami juga umumkan penerimaan  kehadiran calon melalui ‘walk-in’ interview.

Tiga hari dipilih untuk temuduga. Kami menganggarkan puluhan calon pekerja akan datang. Namun, pada hari kejadian, calon yang hadir pada hari pertama tidak sampai 10 orang. Begitu juga kedatangan pada hari kedua dan juga ketiga. Apa yang sudah jadi? Tidak cukup hebahan? Waktu temuduga tidak sesuai?

Perbincangan diadakan di kalangan Ketua-ketua Jabatan dan kami juga cuba merisik maklumat di syarikat-syarikat yang lain untuk mendapat gambaran, apakah mereka menghadapi keadaan yang serupa?

Benar. Jumlah mereka yang datang temuduga di syarikat-syarikat lain pun tidak ramai. Maknanya, kian ramai yang tidak mahu bekerja makan gaji secara sepenuh masa. Sebaliknya, mereka lebih suka bekerja berdasarkan tugasan. Inilah fenomena sektor sumber manusia yang sedang berubah kepada gig economy.

Gig adalah slanga yang bermaksud tugasan sekejap. Dalam tafsiran kita ia adalah kerja sementara atau kerja sambilan. Keadaan pasaran yang sentiasa tidak menentu menyebabkan makin banyak syarikat sentiasa waspada mengawal kos. Mereka tidak mahu lagi menyediakan jabatan-jabatan dalaman yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan bisnes mereka.

Sektor pemasaran, jualan, rekabentuk, penyediaan konten, perakaunan, keselamatan dan lain-lain perkhidmatan sokongan tidak perlu lagi diwujudkan dalam sesebuah syarikat. Adalah lebih mudah mereka mendapatkan perkhidmatan luar.

Betul, ia amat praktikal untuk kebanyakan perniagaan khususnya syarikat-syarikat IKS. Namun, ia tidak menguntungkan kepada ramai di kalangan pekerja ekonomi gig ini dari segi jangka panjang.

Meskipun kerja sambilan sebegini memberi kebebasan masa dan menjimatkan kos perjalanan bagi seseorang, dari segi jangka panjang, dikhuatiri ramai yang tidak sempat membina ekonomi diri dan juga menstabilkan keluarga. Mereka ini tiada kemudahan seperti kenaikan gaji, bonus, cuti dan yang paling penting ialah sakit pening dan jaminan insuran mereka sepertimana pekerja tetap.

Pada hari ini masing-masing masih boleh bertahan bekerja secara sambilan. Tetapi maaf cakap… 20 tahun akan datang, bagaimanakah keadaan kerjaya mereka? Pendek kata, seseorang yang bekerja sambilan itu tidak ubah seperti odd-job worker atau handyman menurut istilah dahulu.

Keadaan ini mengakibatkan seseorang pekerja dalam ekonomi gig ini juga tidak mendedahkan mereka dengan sistem dan disiplin kerja, memahami perlakuan dalam organisasi, bekerja dalam pasukan dan peluang untuk mempunyai dan membina tim sendiri.

Dari segi jangka panjang seseorang petugas dalam ekonomi gig ini akhirnya tidak sempat untuk memikirkan masa depan diri dan keluarganya. Sebab, ada kerja baru ada gaji. Dia tidak boleh merancang lebih jauh kerana dia bekerja tanpa kerjaya.

Ini berbeza berbanding dengan seseorang pekerja tetap di sesebuah organisasi di mana sekurang-kurangnya kerjaya beliau dipantau dan dibina oleh pihak syarikat melalui Jabatan Sumber Manusia. 

Keadaan diburukkan lagi dengan kesukaan instant gratification atau kepuasan semerta yang dibekalkan oleh media sosial. Ia adalah dunia lepas bebas di mana seseorang itu boleh menggila berhibur sesuka hati tanpa henti. Keseronokan menjadi ulam kehidupan seharian. Di mana masa depan diri, keluarga, ibubapa dan juga agamanya? Mudah-mudahan mereka kesemua hanya menjadi pekerja dalam gig economy secara sementara. Mudah-mudahan mereka sentiasa mencari dan dibuka jalan mendapat kerja yang lebih stabil.

Kerana Menyukainya, Cikgu Zalita Beli 15 Naskhah “Tidak Salah Memberi Maaf”

Kerana Menyukainya, Cikgu Zalita Beli 15 Naskhah “Tidak Salah Memberi Maaf”

Cikgu Zalita Md Lassim, adalah Guru Perpustakaan & Media, Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR). Apa yang menarik ialah, beliau membeli kesemuanya 15 naskhah untuk diri dan juga rakan-rakannya. Mengapa Cikgu Zalita teruja dengan buku TIDAK SALAH MEMBERI MAAF ini? Ikuti temubual Layar Minda dengan beliau…

Apa yang trigger Puan untuk membeli buku TIDAK SALAH MEMBERI MAAF?

Pertama tajuk bukunya membawa maksud yang membuatkan saya perlu baca buku ini. Tambahan pula,  bila melihat kulitnya yang punyai ilustrasi cawan pecah yang dibalut, saya rasa perlu baca buku ini. Saya rasa buku ini seperti ada ruh, kerana kata-kata tarbiahnya boleh sampai ke hati.

Sewaktu PKP dahulu saya ada banyak masa. Tapi bila mula sekolah, saya jadi sangat hectic. Kerana itu, saya rasa saya perlukan ingatan berupa tarbiah atau teguran yang sangat mudah untuk difahami sebagai motivasi diri.

Apa komen Puan mengenai buku ini?

Tajuknya sangat catchy. Saya dah tengok sekali lalu dan saya rasa saya buat pilihan yang betul. Walaupun belum baca, saya ‘ada sixth sense’ yang buku ini sebagai hadiah yang bagus untuk pihak pengurusan.

Mengapa Puan beli buku-buku ini sebagai hadiah?

Sebagai guru Perpustakaan dan Media, saya bertanggungjawab terhadap program  membaca. Program Nilam bagi saya sudah sangat klise. Perjuangan membaca pula tak pernah selesai.

Tajuk buku ini pula sangat kena pada semua orang dalam hidup ini. Ada waktu-waktu kita terluka dan tak boleh move on. Kemudian, bila saya tengok isi kandungannya, saya masukkan dalam grup whatsapp dan grup iklan sekolah untuk kongsikan mengenai buku ini.

Salah seorang rakan saya sangat excited dan kata, dia nak juga senaskhah. Kemudian, ada yang nak beli dua, ada yang nak beli tiga naskhah!

Bagaimana buku boleh membantu tabiat membaca para pelajar?

Memupuk budaya iqra bukan mudah sekarang ini sebab para pelajar guna ipad di sekolah. Membaca buku fizikal seolah-olah macam hendak suruh makan racun. Tapi masih ada anak-anak yang sangat baik hendak membaca. Ruh iqra itu sangat bermakna.

Kita sendiri tak boleh buat banyak walaupun sentiasa bercakap mengenai kebaikan membaca. Membaca buku memberi makna pada kehidupan kita di dunia dan akhirat. Dan inilah yang saya mampu buat.

………………………..

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]